Rabu, Februari 27, 2008

Puteri Bertujuh Turun Bersiram




Semoga paparan ini dapat memberi pemahaman kepada semua pelajar saya akan sebuah persembahan puisi tradisional secara berteater yang akan dibuat ketujuh-tujuh pelajar sastera saya diiringi beberapa orang pelajar kelas bahasa saya.

Sayugia dimaklumkan, bahan ini dibangunkan bersama-sama setelah ketujuh-tujuh pelajar itu mencari jalan cerita asal kisah Malim Deman, Cerita Tun Teja dan Hang Tuah, Cerita Puteri Helen Troy, Ratu Kuning Permaisuri Patani Silam, Kisah Cinderlaras dan sekelumit kisah dalam Hikayat Merong Mahawangsa; mengambil episod Geroda yang melanggar perintah Raja Sulaiman.

Tema puisi tradisional ini mengenai kesetiaan pada negara tercinta. Semoga anda senang membacanya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sinopsis Puteri Bertujuh Turun Bersiram

Tujuh puteri kayangan turun ke dunia untuk bersuka ria tanpa mendapat keizinan ayahanda dan bonda mereka terlebih dahulu. Ketujuh-tujuh puteri sedar bahawa daripada apa-apa yang mereka ceritakan sesama sendiri tentang beberapa orang wanita dan puteri menunjukkan bahawa betapa kesemuanya menunjukkan kesetiaan pada negara dan ketua pemerintahannya.

Daripada cerita Helen Puteri Troy, Cinderlaras, Puteri Cina dengan Putera Raja Rom hinggalah kepada cerita Tun Teja yang mengasihi akan Hang Tuah yang taat setia kepada raja dan negaranya, ketujuh-tujuh orang puteri kayangan itu sedar bahawa mereka harus berubah sikap.

Ketujuh-tujuh puteri akan bersenandung, bersyair, bergurindam, bernazam, berseloka dan mengucapkan kata-kata berirama dalam menyampaikan mesej kesetiaan pada negara dan bercerita mengenai keempat-empat kisah itu.

Mereka akan berpuisi dengan iringan gender, gendang dan seruling.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Puisi
Puteri Bertujuh Turun Bersiram


canto - gamelan, gendang dan seruling

Tujuh puteri kayangan cahaya
Turun ke bumi dengan gembira
Yang bongsu duduk berdiam
Wajahnya riang menjadi muram

Ayuhai kakanda-kakanda bestari
Bukankah kita turun ke mari
Tanpa keizinan ayahanda beri?
Kelakuan kita semua
Menujukkan bibit-bibit derhaka
Terhadap perintah ayahanda bonda.

Mengapakah adinda kata begitu?
Pada kakanda bukan tak tentu
Bukankah hajat kita sudah bersatu
Ke dunia turun bersama
Kita bersuka ria

Benar akan kata kakanda
Namun kurang enak rasa
dalam hati adinda

Kenapa demikian adinda berasa?
Apakah perlu diikutikan rasa?

Manalah ayahanda bonda tahu
Ke arah mana kita tuju

Bukankah kita anak-anak yang baik?
Kita belajar dan kita cerdik?
Kita cerdas dan kita cantik?

Cantik, cerdik, cerdas dan baik
Belum lagi adinda fikir sudah molek
Sebagai tanda taat setia
Daripada para puteri baginda
Kepada negara tercinta.

Kisah Tun Teja
Ingat akan kesetiaan, sebuah kisah sudah berzaman
Tekenal bukan kepalang
Dijadikan orang lagu dan gurindam

Benarkah kata-katamu?

Benar, yang mulia puteri, tuanku
Tuan patik hanyalah satu
Patik datang ke mari, membawa tuan puteri pergi
Untuk dijadikan permaisuri gahara
Kepada Sultan Melaka

Bagaimana cinta kita, padamu Laksamana
Ayuhai Hang Tuah?

Demi cinta patik berkorban
Taat setia kepada sultan
Begitulah harapan patik terhadap puteri yang mulia
Cinta Tun Teja pada Sultan patik sembahkan.

Ya itulah ketaatan setia seorang perwira
Setia pada raja setentunya pada negara.

Tersebut pula
Dari tanah jauh sebuah kisah
Cinta kasih taat setia kepada negara bangsanya.

Puteri Helen Puteri Troy
Menjadi incaran
Mercu kejayaan
Tercipta kesejahteraan
Putera Paris penuh jaya
Kehebatannya melangkaui para dea
Namun,
Akhirnya Helen turut bersama
Dijulang kesetiaan kepada suaminya
Kejayaan kerajaan Sparta
Terkenal dalam sejarah.

Dinda tahu sebuah lagi
Raja Kuning Ratu Patani
Terkenal dalam lipatan sejarah bahari
Wanita perkasa pemimpin bersifat berhati waja
Kuasa asing tunduk kepadanya
Satu yang baginda ratu pelajari
Taat setianya kepada raja, negeri
Sedari kecil bondanya beri
Didikan yang penuh makna bererti.

Bagaimana pula taat cinta ibu Cinderlaras
Kasihnya pada anak dan suami penuh ikhlas
Walaupun sehari-hari dia gemas
Hidup di kalangan binatang-binatang buas
Kepada anaknya diajar, didik
Selain perkasa, mestilah cerdik
Kasihi yang muda hormati yang tua
Harus taat kepada raja dan negara.

Betapa murka ayahanda pasti
Kepada kita terbit di hati

Usahlah gusar kekanda sekalian
Akan kasihnya ayahanda dan bonda
Teringat adinda ayuhai kakanda
Ada sebuah madah ayahanda
Berkenaan Raja Sulaiman yang bijaksana
Angkara murka baginda pada garuda
Yang memisahkan anak Raja Rom dan jodohnya
Anak Raja Cina
Garuda angkuh gagal akhirnya
Namun cepat mengaku segala silapnya
Raja Sulaiman raja budiman
Ulah garuda baginda maafkan.

Tentulah begitu ayahanda kita
Kasih sayangnya seluas alam buana
Marilah segera kita bersama
Pulang menghadap ayahanda bonda
Maaf kita pohon
Kemanpunan kita mohon
Semoga reda murkanya
Bangkit semula kasihnya akan kita semua

Yalah, adinda-adinda sekalian
Marilah segera kita kerjakan
Semoga ketaatan yang kita junjung
Kebahagiaan,
Keamanan,
Kemakmuran,
Segera tanah tercinta ketaatan berkunjung.
Kasih ayahanda menjadi tajuk,
Pada keadilan sama-sama kita tunduk.

Sabtu, Februari 16, 2008

Puisi Ilham Ciptaku

Hasrat Hati

Ingin sekali aku habiskan
masaku senggang bersamamu
mendakapmu membisikan
betapa kasihku amat mendalam
kepadamu.

Ingin sekali aku isikan
setiap saat tenang bersamamu
tekun patuh bertazkirah
setiap kali kita
selesai bersalat jemaah.

Ingin sekali aku lenyapkan
seunggun rasa marah
yang sering meruap lahap hati
kerana sering tidak bersetuju
dengan sebahagian
keinginan remajamu.

Ada waktu-waktunya
ayahanda berasa begitu bersalah
kerana rasa kasih
ayahanda yang satu ini
kepada anakanda tiada terperinya.

Namun satu yang ayahanda tahu
betapa tingginya nilai kasihmu
terhadap ayahandamu ini yang satu
walau ada masa-masanya
anakanda gentar takut meresah
menatap ini wajah tua ayahandamu.


Genting Highlands
17 Disember 2007

Ahad, Februari 10, 2008

Tarian Mak Inang Cina - 6 Februari 2008



*** Kami bergambar sejurus setelah pelajar-pelajar membuat persembahan.

Teks dalam syair
Syair Terciptanya Tarian Mak Inang Cina
(BPGHS 6 Februari 2008)

***
Audio Rakaman Dendangan Syair dalam lagu-lagu rampaian
http://myfreefilehosting.com/f/127ba3658e_42.3MB

Alkisah tersebut cerita lama,
Puteri Hang Li Po berdukacita,
kerana dihantar ke negeri Melaka,
anugerah kepada sultan bertakhta.

Dalam pelayaran rentas samudera,
Laut Cina Selatan yang bergelora,
Hang Tuah perkasa iringi baginda,
puteri berduka sepanjang masa.

Laku Hang Tuah puteri senangi,
pahlawan tampan gagah berbudi,
terpautlah sudah hati sang puteri,
yang bakal menjadi permaisuri.

Demi memahami akan tugasnya,
Hang Tuah budiman tak turut hatinya,
dihormati sang puteri selayak tuannya,
taatnya lagi akan sultannya.

Dipanggil segera Si Kembang Cina,
tak lupa juga Dang Perwara,
sebuah tarian diusul dicipta,
buat hiburan puteri jelita.

Irama Cina diusul guna,
gendang Melayu menatah rentaknya,
gerak tari Melayu dan Cina,
digabung indah dengan jayanya.

Tarian Mak Inang Cina kini tercipta,
rentak Melayu lagunya Cina,
hayunan tangan langkah kakinya,
lemah gemalai menghibur asalnya.

Si Kembang Cina Dang Perwara,
Hang Tuah tangkas menari sama,
terhibur puteri hilang dukanya,
hingga sampai ke negeri Melaka.

Abdul Manaf Bin Mohd Yasir - 2008


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Teks terjemahan
Malay Dance Item – Mak Inang Cina

According to the recounts of the Malay Annals or Sulalatus Salatin, Princess Hang Li Po was sent to Melaka as a mark of Imperial Ming China accepting the Melaka Malay Sultanate as a vassal state in the fifteenth century A.D.

Princess Hang Li Po was sad when she arrived in Melaka. All her courtesans tried to please and cheer her up but to no avail. In the meantime, Princess Hang Li Po grew to like the famous Malay warrior, Hang Tuah, who was not only handsome but witty.

Upon hearing her majesty’s sad plight, Hang Tuah proposed to the two chiefs of the maid-in-waiting, Kembang Cina and Dang Perwara to create a dance using a Chinese tune. Thus, Mak Inang Cina dance was created.

The dance tries to capture and relive the mood of celebration with the ladies’ graceful hand movements and dance steps.


Teks asal
Tarian Mak Inang Cina

Menurut catatan dalam Sulalatus Salatin atau dikenali juga sebagai Sejarah Melayu, Puteri Hang Li Po diutus ke Melaka sebagai tanda Kerajaan Wangsa Ming di China menerima Kesultanan Melayu Melaka sebagai negeri yang tunduk di bawah kuasanya dalam abad kelima belas Masihi.

Puteri Hang Li Po sungguh berdukacita sewaktu baginda tiba di Melaka. Para dayang-dayangnya cuba menghibur hati baginda namun mereka tidak berjaya. Pada waktu yang sama, Puteri Hang Li Po jatuh kasih kepada pahlawan Melayu yang terbilang lagi bijaksana, Hang Tuah.

Sebaik-baik sahaja dia mengetahui akan kesedihan Puteri Hang Li Po, Hang Tuah mengusulkan agar ketua-ketua inang baginda, Kembang Cina dan Dang Perwara, menciptakan sebuah tarian dengan menggunakan sebuah irama Cina. Maka, Tarian Mak Inang Cina tercipta.

Tarian ini cuba membangkitkan dan menggambarkan suasana keceriaan sesebuah sambutan perayaan dengan hayunan tangan dan langkah kaki yang gemalai.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Perenungan Peribadi Projek Tarian Mak Inang Cina
Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2008 di BPGHS


Dengan bantuan Encik Murah dari Sri Warisan, maka Tarian Mak Inang Cina dibentuk dengan lebih teratur lagi indah. Sememangnya, jauhari juga yang mengenal manikam. Dengan bimbingan beliau, dalam sesi-sesi singkat sahaja, para pelajar dapat menarikan tarian ini dengan selesa lagi yakin. Lapan orang pelajar daripada sebilangan besar ahli kumpulan ini dipilih untuk membuat persembahan pada hari tersebut. Kelapan-lapan orang pelajar yang terpilih itu pula begitu gigih berlatih dengan bimbingan Pak Murah dan juga sesama sendiri pada waktu petang selepas tamat kelas serta ‘time-practise’ setiap hari sebelum tibanya hari persembahan. Nadia dan Farhana merupakan pelajar menengah empat yang bakal menduduki peperiksaan besar hujung tahun ini. Saya percaya, dengan aktiviti ini akan memberikan mereka tenaga dan keselesaan untuk melegakan diri selepas penat menatap buku mengulang kaji pelajaran. Saya dan rakan-rakan guru saya juga sedar betapa mereka, kelapan-lapannya, gigih berusaha dan kami sentiasa berdoa agar mereka dapat bekerjasama dan menjalin persaudaraan dan menautkukuhkan semangat kekitaan dalam usaha mereka membuat sumbangan yang mereka mampu bagi sambutan perayaan di sekolah itu nanti.

Saya dan rakan-rakan guru saya sedar, sebagai individu, terbitnya sikap dan pandangan yang berbeza-beza dalam kalangan mereka berlapan itu. Saya senang mendapat tahu dan juga menyaksikan bahawa mereka dapat memahami antara satu sama lain dan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan mereka dapat diatasi dengan baik. Sebagai guru, kami sedar betapa hal ini akan sedikit sebanyak membuat mereka sedar betapa nilai bekerjasama dan bertimbang rasa perlu mereka miliki untuk mengawal perasaan yang kurang selesa akibat kurangnya kepekaan mengenai perasaan dan tindakan satu sama lain sewaktu melakukan usaha bagi projek ini bersama-sama. Syabas, para pelajar itu dapat mengatasinya dengan berkat kesabaran, minat dan azam mereka yang mahu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri sendiri dan rakan-rakan yang lain. Semoga hal ini akan mereka hargai hingga mereka menjejakkan kaki ke alam luas selepas menjalaninya dalam persekitaran alam persekolahan ini.

Sebelum itu, ketiga-tiga guru kumpulan tarian ini, Cikgu Senan, Cikgu Noormarlina dan saya sendiri, bersetuju dengan sinopsis tarian yang sudah disusun bagi disampaikan pengacara majlis sebelum persembahan tarian dibuat. Cikgu Azahrina Khamis, guru kelas 3M1 membantu saya dalam menterjemah sinopsis dalam bahasa Inggeris.

Pagi Rabu 6 Februari yang nyaman, di lelapang gelanggang hoki berhadapan bilik guru SR2, mereka membuat persembahan di atas pentas sementara yang dibina sehari sebelumnya. Dengan berpakaian baju kurung dan kebaya yang berwarna merah yang dimiliki atau didapatkan daripada rakan-rakan mereka, para pelajar berlapan itu membuat persembahan yang sungguh menyenangkan lagi menghibur hati dengan langkah kaki dan hayunan gemalai menurut irama dan rentak lagu Mak Inang Cina. Usaha bekerjasama dan daya mengatasi kekurangan diupayakan dengan mendapat bantuan rakan-rakan yang lain.

Sabrina berpendapat, “... ia cukup bagus. Walaupun mereka hanya memakai baju kurung biasa, persembahan tadi menarik.”

Bagi Hanafi pula, “... sungguh menghiburkan.”

Syafiq berpendapat, “... ia amat menarik sekali.”

Izyan pula mengatakan, “... tentang tarian Melayu tadi, saya rasa ia amat baik. Dan, saya baru tahu ia dipanggil Mak Inang Cina.”

Cikgu Noormarlina memberikan pandangan berikut. “Walaupun masa latihan singkat, mereka (para pelajar yang membuat persembahan) mampu menunjukkan penghayatan yang baik.”

Puan Liam, kaunselor bagi para pelajar berpendapat, “The dance was very appropriate for the occasion, it added on to the multi-racial element of the performances in the celebration as a whole. Good work!”

Sebelum dan sesudah persembahan dibuat, kumpulan penari itu memetik gambar bersama-sama para guru sebagai kenangan dan rakaman. Tergambar jelas perasaan puas dengan usaha yang bukan sedikit tetapi penuh bermakna. Bagi saya secara peribadi, projek ini merupakan kejayaan para pelajar terutamanya mencipta sebuah pengalaman manis yang saya harap berkekalan. Bagi saya dan rakan-rakan saya, amat jelas bahawa walaupun terdapat dugaan dan cubaan akibat pembauran kedinamikan kemanusiaan antara pelajar, pelatih dan guru, sesebuah kejayaan itu boleh dicapai dengan bersikap berlapang dada dan membuat tindakan yang tepat.

Saya amat terharu dengan usaha Cikgu Senan dan Cikgu Noormarlina terutamanya, memastikan usaha yang kecil ini tidak dipersia-siakan. Begitu juga Encik Murah; sumbangan beliau juga bukan sedikit. Buat Puan Jasmah Hodari dan anaknya, Nur Syafiqah dari Men.4 (2007) yang membantu para pelajar berlapan itu merias diri dan berdandan dengan baik sekali. Cikgu Azahrina, Encik Murah, Puan Jasmah Hodari dan anaknya Nur Syafikah, Cikgu Senan dan Cikgu Noormarlina; terima kasih banyak-banyak.

Terutama sekali buat Nadia, Farhana, Nur Farhana, Safiah, Nur Syafiqah, Shahirah dan Shahirah serta Khaliesah; anda membuat kami semua berasa sungguh bangga. Kejayaan anda membuat persembahan itu membuktikan kepada semua pihak bahawa dalam keterbatasan yang penuh dengan hambatan tidak membentur semangat dan minat anda dalam terus berusaha melakukan sesuatu untuk kebaikan kita bersama. Cikgu Senan, Cikgu Noormarlina dan saya terutama sekali senang dengan persembahan anda semua. Kami juga seghairah anda semua yang membuat persembahan yang sungguh menyeronokkan sekali itu. Nampak jelas pada wajah-wajah semuanya sewaktu berpotret tadi. Syabas!



Langkah Selanjutnya – Tindakan Pembelajaran Bagi Para Guru dan Saya

Lanjutan daripada usaha ini, para pelajar yang lainnya, dalam program EMAS di sekolah ini akan dibimbing kelapan-lapan orang pelajar yang membuat persembahan ini secara berasingan dan dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Setiap pelajar diharapkan dapat membuat penampilan pada khalayak ramai di dalam dan luar sekolah bagi aktiviti-aktiviti serupa dengan persembahan Tarian Mak Inang Cina ini pada masa-masa akan datang. Para pelajar lelaki juga tidak terkecuali; beberapa pergerakan dan langkah khusus bagi para pelajar lelaki juga sudah ditetapkan dan sedang diajarkan kepada sebahagian para pelajar yang lain.

Oleh kerana Safiah dan Nur Farhana dalam kelas bahasa yang saya bimbing, mereka akan memulakan dengan rakan-rakan sekelas mereka itu. Para pelajar lelaki akan saya bimbing sendiri dan kemudian digandingkan dengan para pelajar perempuan. Kumpulan-kumpulan yang lain akan menyusul setelah lebih ramai terlatih untuk menarikannya. Setiap pelajar akan memberikan perenungan peribadi setiap kali mereka menyudahkan persembahan itu.

Selepas menjalani latihan, mereka akan membuat persembahan. Tempat dan masanya akan ditentukan pada masa akan datang.

Harapan rakan-rakan guru saya, Cikgu Senan, Cikgu Noormarlina dan saya agar usaha kecil ini bukan sahaja akan menjana pemahaman setiap pelajar betapa seni persembahan Melayu itu amat indah dan penuh dengan disiplin di samping nilai-nilai seperti kesantunan, bekerjasama, persaudaraan dan berusaha dengan gigih serta yang lainnya, dan kelak akan terbentuk cita-cita para pelajar untuk terus melakukan sesuatu usaha dengan lebih bijak dan cekal menyelesaikannya demi meraih kejayaan pada masa depan.

Saya sedang menantikan respons para pelajar mengenai usaha projek ini, sama ada pelajar yang menyaksikannya sebagai penonton termasuk para pelajar yang membuat persembahan tarian tersebut. Para pelajar yang membuat persembahan sudah saya minta mereka membuat perenungan. Saya akan berkongsi apa-apa yang mereka tanggapi.

Salam Kesenian buat anda semua, para pelajar dan karyawan guru Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Selasa, Februari 05, 2008

Piramid Diodrama - Sinopsis Buku

Ini adalah sebahagian bahan yang disediakan oleh pelajar Men.1HMT. Semoga anda senang membacanya.

Piramid Diodrama 01






‘Mat Salleh (Pertahankan Tanah Sabah Negeri Di Bawah Bayu)’ – terjadi di abad kesembilan belas, di negeri Sabah. Watak-wataknya; Mat Salleh, Gabenor C.V. Creagh, Dayang Bandung dan orang-orang kampung.

Mat Salleh ialah pejuang Sabah, anak Datuk Balu yang berasal dari Pulau Sulu. Ibunya pula orang Bajau yang tinggal di daerah Iranam.

Setelah dewasa, Mat Salleh berkahwin dengan adik perempuan Sultan Sulu. Kemudian, Mat Salleh dilantik sebagai ketua di daerah Ulu Sugut untuk menjadi pemimpin penduduk di sana. Dia dan kawan-kawannya berasa kurang senang dengan penjajah Inggeris. Mereka menentang penjajah Inggeris di beberapa buah tempat seperti di Ambung dan Pulau Gaya.

Pihak Inggeris telah berusaha untuk menangkap dan membunuh Mat Salleh. Pada mulanya, mereka gagal. Namun, pada 31 haribulan Januari 1900, Mat Salleh mereka berjaya tembak mati. Sejak itulah berakhirnya perjuangan wira Sabah yang terkenal akan keberaniannya.

Disediakan oleh
MUHAMMAD ZAHIN BIN MOHD ALI – Men 106 (2008)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.



Piramid Diodrama 02






’Misteri Pantai Gorongon’ ditulis oleh R. Hamzah 2 – terjadi dalam abad kedua puluh satu – di Pulau Sulu. Watak-wataknya ialah Janet, Gopal, Kamarul, Cikgu Budi, Ramdi, Anjun, Zurina, Cikgu Ahmad, Kisin, Suvah.

Janet, Azlinda, Kamarul, Gopal dan Cikgu Budi hendak pulang dari kampung Cikgu Budi. Mereka telah kehilangan tiket kapal mereka.

Cikgu Budi menggantikan mereka tiket lalu mereka menaiki kaal. Kapal itu tiba di sebuah pulau. Sewaktu menikmati pemadangan di pulau itu, mereka ditawan oleh sekumpulan penjahat.

Mujur mereka dapat diselamatkan oleh polis marin. Mereka berjaya pulang ke Kuala Lumpur sesudah kejadian itu.

Disediakan
AHMAD MUSTAQIM – Men. 106 (2008)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang



Piramid Diodrama 03






’Si Awal’ diceritakan semula oleh A.R. Rahim – terjadi pada zaman dahilu di dalam sebuah kampung. Watak-wataknya ialah Awal, Sulong, Bongsu dan Mulia.

Sulung dan Bongsu pula rajin berusaha di bendang. Awal selalu bangun lewat. Mak Dayang, ibunya telah beberapa kali menasihatinya agar berubah sikap.Namun, Awang tetap tidak mahu berubah. Mak Dayang yang tua itu tidak diendahkan Awal.

Awal terjumpa seorang perempuan tua yang mahu Awal pula mengubah perangainya dengan bercerita kepadanya. Cerita perempuan tua itu menyentuh hatinya dan Awal menjadi semakin rajin berusaha.

Awal telah terpandang seorang puteri yang berwajah sungguh menawan hati. Tidak lama kemudian, mereka jatuh cinta dan berkahwin. Malangnya, Awal mendapatiputeri itu malas dan berkelakuan buruk. Dengan sabar, Awal cuba mengubah perangai puteri yang buruk itu. Puteri itu berubah sikap dan mereka hidup bahagia.

Disediakan
MARISSA BTE ALI MADJELISI – Men. 106 (2008)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Rabu, Januari 30, 2008

Bahan Buat Karangan Naratif

Bahan yang saya paparkan di bawah ini merupakan sumbangan Cikgu Senan Bin Long. Beliau membenarkan saya berkongsi dengan anda semua. Semoga ada manfaatnya.

Situasi Mencemaskan

1 jantungku berdegap-degup
2 jantungku berdenyut cepat
3 jantungku bagaikan hendak putus
4 hatiku berdebar-debar
5 hatiku sungguh tidak tenteram
6 perasaanku tidak menentu
7 perasaanku gundah-gulana
8 darahku mengalir dengan cepat
9 terasa darah adrenalina mengalir ke seluruh tubuhku
10 mataku terbeliak / terbuka besar


Situasi Menyedihkan

1 air mata jatuh berlinangan
2 air mata mula bergenangan di kelopak mataku
3 sebak di dada dapat aku rasakan
4 sungguh hiba / sayu mengenangkan nasib itu
5 aku hanya mampu mengetap bibir
6 betapa pilu hatiku ini
7 tangisanku tidak terkawal / tidak dapat dikawal
8 rintihan batinku Tuhan yang tahu
9 meraung-raung tangisannya
10 terharu sungguh perasaanku


Situasi Mengecewakan

1 harapan musnah sama sekali
2 harapan hancur berkecai
3 masa depannya kian pudar
4 hatiku retak seribu
5 hatiku remuk redam
6 menyesal sungguh aku rasakan
7 tidak berguna sesen pun
8 aku menangis tidak berlagu
9 aku mula menyumpah saranah di dalam hati
10 tidak aku duga selama ini



Situasi Menggembirakan

1 dapatlah aku berhibur hati
2 dunia ini aku yang punya
3 gembira di hati tidak terkata
4 perasaan riang ria menyelubungi diriku
5 ketawa berdekah-dekah
6 mula mengukir senyuman lebar
7 aku terlonjak-lonjak kegirangan
8 suka sekali aku melihatnya
9 tidak terkata riangnya / gembiranya
10 kasih sungguh perhubungan itu


Situasi Mengimbas Semula / Mengenangkan Kembali

1 mesra sungguh saat itu
2 belaian kasih penuh manja
3 terkenang akan masa-masa bahagia
4 tawanya begitu memikat
5 kata-katanya menyentuh jiwa
6 apakan daya, nasi sudah menjadi bubur
7 tidak ada apa yang boleh menahannya, sudah terlanjur
8 bergelumang penuh dengan dosa
9 sejahat-jahat syaitan, tidak sejahatnya
10 mual sungguh tekak aku mengenangkannya


Situasi Menggeramkan

1 benci aku melihatnya
2 inginku tumbuk sahaja mukanya
3 kalaulah dapat aku meludahnya
4 macam hendak aku picit-picit badannya ibarat memicit bayi
5 rasanya hendak aku sepak / tampar pipinya
6 sedap betul kalau dapat memijak badannya
7 hendak aku siat-siat kulitnya
8 kalaulah dapat dikeroyok ramai-ramai, alangkah baiknya
9 tidak sabar hendak menunggu, rasanya mahu serang sahaja
10 terimalah nanti padahnya


Situasi Melegakan

1 aku menghela nafas panjang
2 barulah dapat aku menghirup udara nyaman
3 rasanya lapang di dada
4 kini ringan keadaanku
5 lapang benar saat ini
6 tenteram sungguh hati ini
7 fikiranku mula aman
8 hembusan nafas tanda lega
9 keadaan kembali seperti sedia kala
10 perasaanku tenang, setenang-tenang air laut


Situasi Tidak Menentu

1 makan banyak, kenyang tidak
2 di luar cuaca sejuk, di bilik panas pula
3 hujan panas diikuti sambaran halilintar
4 buat ini tidak kena, buat itu pun tidak kena
5 ombak mengganas tidak tentu pasal
6 melakukan sesuatu, tetapi asyik salah sahaja
7 badan terasa seram sejuk
8 asyik tergigit lidah sahaja
9 ke hulu, ke hilir tanpa tujuan
10 cakap salah, tidak cakap pun salah


Situasi Kesyukuran

1 mujurlah bantuan datang dengan cepat
2 nasib baik tidak teruk sangat
3 tanpa diduga, pertolongan dating segera
4 tidak disangka-sangka, kami berjaya diselamatkan
5 tidak semena-mena, bantuan datang dari segenap penjuru
6 tiba-tiba keadaan yang genting itu dapat diatasi / diredakan
7 siapa sangka kami masih dapat hidup lagi
8 kami / aku hanya mampu bersujud sebagai tanda mengakui KeMaha
Besarannya
9 aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih / syukur ke hadrat Ilahi /
Tuhan
10 segala puji kepada Tuhan yang mengetahui segala-galanya


Situasi Keheningan Alam

1 angin bertiup sepoi-sepoi bahasa
2 desiran ombak memukul pantai
3 burung-burung berkicau riang di angkasa
4 dedaun pokok saling bergeseran
5 bayu bertiup lembut
6 udara segar dan nyaman
7 sang suria / mentari tenggelam di ufuk barat
8 bulan mengambang penuh memikat
9 air sungai mengalir tenang
10 samudera / lautan tenang terhampar luas

Piramid Diodrama - Men.1HMT

http://myfreefilehosting.com/f/3fff49d615_0.03MB

Rabu, Januari 23, 2008

Kit Bahasa Melayu Saya 3

Kamus Dewan

*** Kamus Dewan Edisi Keempat ***



*** Kamus Dewan Edisi Ketiga ***



Kali ini, saya akan membincangkan perihal Kamus Dewan dalam Kit Bahasa Melayu. Semoga catatan ringkas di bawah ini memberikan anda pemahaman betapa salah satu usaha untuk anda meningkatkan penguasaan bahasa Melayu anda ialah dengan memiliki sesebuah kamus dan mahir menggunakannya. Kamus Dewan disenaraikan sebagai bahan rujukan untuk anda gunakan dalam ujian nasional beberapa tahun lalu.

Kamus ini pertama kali diterbitkan dalam tahun 1970. Editornya bernama Dr. Teuku Iskandar. Edisi pertama Kamus Dewan ini dijadikan panduan dan pedoman untuk menggali kekayaan kosa kata Melayu dan merupakan terbitan yang terlaris pada tahun 1991 dan 1992. Menurut Ibrahim Ahmad, “… pengguna kamus memilikinya untuk tujuan yang tertentu, seperti untuk menyertai teka kata dan uji akal anjuran media massa tempatan.” (Ibrahim Ahmad, 2002). Kamus ini kemudian diterbitkan dalam edisi baru “… sebagai suatu usaha akademik yang dibina secara beransur-ansur.” Pembaharuan ini dibuat sejajar dengan kepesatan yang hebat dalam dunia keilmuan. Perkembangan kebahasaan menampakkan peningkatannya dari segi pembakuan ejaan, pembentukan perkataan baru, ayat-ayat, dan sebagainya. Terbitnya data-data baru yang dikumpulkan secara manual dan berbantukan komputer. Penyemakan Kamus Dewan dilakukan hingga terbitnya Kamus Dewan Edisi Keempat.

Para penyusun Kamus Dewan edisi semakan daripada terbitan tahun 1970 membuat perubahan signifikan, selain sejajar dengan perkembangan Ejaan Rumi Baru. Beberapa penambahan dan penyemakan utama dari segi kepersisan fakta, takrif, dan seumpamanya dibuat semata-mata untuk memenuhi keperluan pengguna kamus semasa. Pada tahun 1989, usaha penyemakan entri baharu dibuat supaya dapat menampung ledakan pelbagai kosa kata baharu sepanjang tempoh 1984-1988. Sehingga kini, Kamus Dewan terus dikemaskinikan. Kamus Dewan merupakan dokumentasi kosa kata bahasa Melayu secara lengkap dan menjadi rujukan penting dalam bidang kebahasaan serta diharapkan dapat memenuhi aspirasi bangsa dalam usaha pembinaan, pengembangan, dan pembakuan bahasa Melayu. Oleh itu, setiap kata, frasa, dan ungkapan baharu yang tercipta dalam pelbagai bidang ilmu sepanjang masa dikumpulkan. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, dibuat pengemaskinian aspek pembentukan kata (morfologi) kata pinjaman, aspek homonim (perkataan yg sama bunyi atau ejaannya dgn perkataan lain tetapi berbeza maknanya) dan polisemi (sesuatu bentuk kata, ungkapan, dsb yg mempunyai lebih drpd satu makna yg bertalian rapat antara satu sama lain), tanda baca, nama saintifik untuk haiwan dan tumbuhan, dialek Melayu dan tambahan entri baru.

Dari segi pengekodan bahasa pula, Kamus Dewan tetap mendapat sambutan seperti kamus-kamus yang lain.

Kamus digunakan sebagai buku rujukan yang mengandungi kata daripada bahasa Melayu, yang disusun menurut abjad, diberi makna dan keterangan lain yang berkaitan. Kamus Dewan memberikan penjelasan makna secara tepat dan tuntas kepada pengguna menurut konteks penggunaan sesepatah perkataan.

Saya menganjurkan anda sebagai pemilik dan pengguna Kamus Dewan, sama ada edisi ketiga atau edisi keempat, adalah penting anda memiliki juga kemahiran menggunakan kamus. Semak dan teliti bahagian Panduan Penggunaan Kamus untuk memastikan bahawa anda memanfaatkan kelebihan kamus yang anda miliki itu.

Kamus Dewan bukan hanya menyenaraikan perkataan dan maknanya, malah merupakan dokumen bahasa Melayu yang komprehensif, iaitu yang luas liputannya dan lengkap atau banyak butiran dll yg terkandung di dalamnya dan tuntas.

Semoga catatan ringkas saya ini memnyutik semangat baru dalam anda mencari ikhtiar mencipta kejayaan dalam pelajaran anda.

Salam Bahasa.

rujukan
1. Kamus Dewan, edisi keempat, 2004. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Ibrahim Ahmad, 2002. Perkamusan Melayu Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemahaman Men. 1HMT - BK1A/1-3

Berdasarkan kaedah KWL dan Thinking-Aloud, saya ada membincangkan sebab-musabab anda semua perlu mengaitkan pengalaman dan pengetahuan anda yang lalu dengan meneliti gambar dalam teks. Daripada perbincangan itu, ada kekata internet, maklumat, emel terbit dan saya catatkan di papan putih. Ini adalah bahagian K(Know - Tahu).

Saya lanjutkan dengan menggerakkan W(What - Apa) dengan memberikan anda peluang membina makna dan sebab-musabab atau apa-apa yang mungkin anda akan pelajari dalam teks. Saya membenarkan anda semua meninjau kelima-lima soalan latihan yang menuruti teks yang akan dibaca itu. Saya arahkan anda menomborkan setiap perenggan sebelum memulakan pembacaan bersama-sama.

Langkah berikutnya, saya menyuruh anda melihat sepintas lalu dan mencari apakah yang terpantul secara kerap dalam teks itu. Daripada langkah itu, nama Suhailah dan Hamidah terdapat dengan kerap dalam petikan. Saya lalu mengarahkan anda melihat papan tanda dan membuat bulatan pada nama watak Suhailah. Saya meminta anda membuat ketetapan sama ada nama Suhailah itu yang akan kita bincangkan. Kemudian, saya membuat tujuh anak panah dengan menombor setiap satu untuk melambangkan nombor perenggan.

Berdasarkan nombor itu, anda semua membaca perenggan 1 hingga 7 tahap demi tahap dengan menurut arahan yang saya berikan. Setiap kali selesai pembacaan setiap perenggan, saya membuat anda bersama-sama memikirkan dan menetapkan apa-apa inti penting dalam setiap hubungan maklumat dengan menggunakan sawang dan ranting peta minda. Setiap kali selesai bahagian setiap perenggan, saya akan bersama-sama anda membuat ayat-ayat sendiri berdasarkan maklumat yang tercatat pada setiap ranting sawang peta minda itu. Saya menegaskan bahawa ayat-ayat itu hendaklah mudah dengan subjek dan predikatnya yang jelas. Penggunaan kata yang bersinonim dengan ayat-ayat ringkas amat membantu anda dalam memahami teks. Berdasarkan semua maklumat, saya dan anda bersama-sama membina ayat-ayat sendiri secara lisan setiap perenggan yang dibina.

Setelah selesai bahagian langkah membaca dan merangkaikan peta minda dengan kaedah Thinking-Aloud, saya meminta anda membina sebaris ayat mengenai apa-apa yang anda fahami secara keseluruhan teks. Anda bersetuju bahawa teks itu mengenai apa-apa yang tercetus dalam emel yang dihantar Hamidah kepada Suhaila mengenai pengalaman baru mereka di tempat yang baru. Hamidah menceritakan pengalaman tinggal di luar negara sementara Suhaila menceritakan pengalaman belajar di sekolah yang baru.

Daripada langkah itu, anda saya minta menjelaskan bahagian L(Learned - Pelajari) kaedah KWL tersebut. Anda bersetuju Suhaila dan Hamidah masih berutus khabar melalui emel.

Sebelum menggerakan anda membuat latihan pemahaman, saya minta anda meneliti soalan-soalan itu dan mengarahkan anda menggariskan frasa-frasa soalan yang harus anda salin dalam jawapan setiap soalan. Saya ada membiincangkan bahawa berdasarkan kemahuan soalan, banyak maklumat di dalam perenggan perlu disaring dan disusun semula sebelum anda dapat menjawab soalan-soalan itu. Semua kata tanya ada padanan kata hubung dan penanda dalam anda merangkai maklumat dalam teks untuk dicantum pada frasa soalan yag akan disalin sebagai jawapan pada latihan anda itu.

Daripada kesemua langkah yang kita jalankan, saya menegaskan perlunya anda memahami setiap perenggan beserta isi-isinya. Setiap isi dan contoh akan dapat diperolehi dengan begitu jelas apabila isi-isi itu disusun dalam peta minda yang kemas.

Bagi saya, hal sedemikian dapat membantu anda menyusun maklumat dalam teks dan memberikan makna yang jelas apa-apa yang anda baca. Secara sedar, anda sudah saya gerakkan membina pemahaman dan melakukan peringkasan semua idea dalam petikan, melalui ayat-ayat yang kita bina secara lisan bersama-sama. Saya akan menjalankan kaedah ini dalam beberapa buah sesi pengajaran saya yang akan datang. Semoga anda semua mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Penulisan Karangan Naratif - Men. 3HMT

Waktu 1 – Rabu, 16.1.2008
Berdasarkan petikan laporan atau rencana dalam akhbar, anda diarahkan memilih salah satu bahan orang yang dipaparkan untuk membina watak dalam sebuah karangan naratif.

Dalam Borang Penulisan Watak A, anda diminta pula mengisikan mengenai watak pilihan anda itu dengan mengisi kesukaan dan kebenciannya; matlamat hidupnya dan bentuk usaha watak anda itu dalam mencapai matlamat dan harapannya dalam hidup.

Dalam Borang Penulisan Watak B, anda diminta menyenaraikan beberapa watak sampingan selain watak utama dan usaha watak-watak tersebut. Anda disarankan memperlihatkan cabaran yang dihadapi watak dan usahanya menempuhi cabaran hidupnya dan akhirnya mencipta kejayaan.

Dalam borang plot anda diminta menjalurkan cerita dari mula hingga akhir dengan mengisi kotak-kota jalinan peristiwa yang signifikan. And diminta membuat lakaran komik mudah; enam petak dengan sedikit penerangan peristiwa yang dilakar.

Tujuan keempat-empat bahan itu adalah untuk menyusun idea anda dalam menjalinkan cerita yang akan anda hasilkan. Anda boleh melakukan mana-mana perubahan yang anda fikirkan perlu sewaktu menuliskan karangan.


Waktu 2 – Khamis, 17.1.2008
Anda menulis karangan anda berdasarkan keempat-empat borang yang anda telah isikan. Sepatutnya, dalam tahap penulisan ini anda sudah dapat menggarap idea yang kental mengenai pengisahan anda itu. Saya membenarkan anda menanyakan sebarang soalan sewaktu anda menulis. Soalan-soalan itu hendaklah sejajar dengan cerita yang anda sedang hasilkan.

Daripada pengamatan saya, beberapa orang rakan-rakan anda saya tegur kerana tidak melengkapkan keempat-empat orang itu. Oleh sebab tidak menyudahkan semua langkah dalam Waktu 1, saya pasti mereka sukar menulis. Oleh itu, saya mengarahkan mereka menyudahkan keempat-empat borang itu. Sesudah itu mereka dibenarkan menuliskan cerita dalam karangan mereka itu.


Waktu 3 – Jumaat, 18.1.2008
Karangan draf pertama anda seharusnya sudah selesai dibuat. Saya meminta anda menyemaknya semula setelah saya menerangkan beberapa kesilapan yang anda lakukan dalam membuat tugasan menulis karangan sebelum ini.

Saya meminta anda memikirkan ketepatan ayat yang anda gunakan usah terlalu panjang dan sarat dengan maklumat. Sekurang-kurangnya ada dua frasa yang mendukung satu idea dalam ayat anda itu. Jika idea itu masih memerlukan beberapa maklumat untuk memberikan kejelasan, saya menyarankan anda menggunakan ayat yang lain, dengan menurut formula satu idea dengan sebanyak dua frasa. Suasana atau ‘mood’ cerita nada hendaklah menggunakan ayat-ayat yang persis untuk membangkitkan pemahaman pembaca untuk terus membaca karangan anda hingga habis.

Antaranya, persoalan kepersisan perkataan, saya menyarankan anda menilai semula setiap perkataan yang anda gunakan sama ada sesuai atau tidak. Saya minta anda menilai sendiri sama ada menangis teresak-esak atau meraung sesuai untuk menerangkan kesedihan yang anda hadapi dalam sesebuah peritiwa yang mengerikan hingga meyebabkan kematian.

Saya juga menyarankan agar anda menyemak ejaan perkataan yang anda gunakan. Adakah gulungan atau golongan yang anda gunakan. Adakah ejaan yang bentul bagi kekata ‘banya’ yang menerima imbuhan ‘ke-…-an’ atau adakah terdapat imbuhan ‘ke-…-kan’? Tidak ada imbuhan ‘ke-…-kan’, yang hanya ada ‘ke-…-an’. Oleh itu, ‘kebanyakkan’ adalah salah dan bentuk yang betul adalah ‘kebanyakan’. Saya menganjurkan anda merujuk Kamus Dewan bagi menyemak ejaan anda itu. Bagi istilah sains dan perdagangan, anda juga saya minta merujuk Kamus Inggeris-Melayu Dewan.

Saya juga menerangkan bahawa penggunaan bentuk ‘bersama’ dan ‘bersama-sama’ usah anda kelirukan. Saya juga mengingatkan penggunaan kata ‘atas’ yang bersifat ‘kata sendi’ dan juga bersifat ‘kata tempat’.

Saya juga meminta anda memikirkan sama ada pengunaan kata-kata yang terdapat dalam kamus itu setara dengan pertuturan watak yang anda ciptakan dalam karangan tersebut.

Sesudah anda menyelesaikan draf karangan anda itu, saya minta anda memberikan rakan anda menukar karangan dengan anda untuk disemak. Saya mahu rakan anda memberikan responsnya setelah membaca karangan anda dengan menuliskan nota ringkas dengan menggunakan pensel pada bahagian akhir karangan anda itu. Saya menganjurkan anda menimbangkan saranan yang terdapat dalam respons rakan anda itu sewaktu anda menulis semula karangan anda itu.

Yang penting dalam anda dalam menjalankan langkah-langkah penulisan dalam Waktu 1, Waktu 2 dan Waktu 3 ini, anda mengesan betapa pentingnya anda mengutarakan idea yang sesuai dalam menjalinkan setiap peristiwa dalam karangan anda jenis ini.

Saya berharap anda dapat memahami bahawa jalan cerita yang mudah dan jelas dengan gaya penceritaan yang sesuai lagi menarik dapat meningkatkan mutu penulisan anda itu.

Saya juga meminta anda menggurat perasaan pembaca dan memastikan ada kesan-kesan yang terpahat dalam hati pembaca (yang menyenangkan setentunya) setelah selesai membaca karangan anda itu.

Demikianlah penjelasan bagi setiap langkah anda menghasilkan karangan dalam darjah yang saya sarankan. Semoga besar manfaatnya bagi anda pada masa hadapan, dalam menjawab soalan peperiksaan dan juga untuk anda membuat karangan kreatif.

Kit Bahasa Melayu Saya 2

Tatabahasa Dewan

Bahan Pendamping Tatabahasa Dewan



Tatabahasa Dewan
Tatabahasa Dewan (TB) akan saya bincangkan secara ringkas sebagai bahan dalam Kit Bahasa Melayu saya kali ini.

TB merupakan salah satu usaha pengekodan bahasa yang amat penting dalam pembinaan bahasa baku. TB diterbitkan untuk menjadi bahan rujukan dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu bagi para pelajar semua peringkat dan masyarakat umum.

TB disusun dalam tiga komponen, iaitu bab pengenalan yang memerikan sejarah ringkas Bahasa Melayu dan variasi bahasa Melayu. Komponen kedua pula mengandungi tujuh belas bab yang meliputi bidang perkataan dan pembentukan perkataan (morfologi), dan juga bidang sintaksis, iaitu ayat.

Perbincangan tatabahasa dimulakan dengan bidang perkataan dan pembentukannya (morfologi), yang diluaskan dengan bentuk-bentuk frasa dan klausa, dan dilanjutkan dengan topik khusus dalam bidang ayat (sintaksis). Setiap bahagian itu pula dimulakan dengan bab pengenalan.

Jika diteliti daripada halaman kandungan, terdapat sejumlah 19 bab termasuk halaman glosari istilah dan senarai imbuhan dalam bahasa Melayu.

TB membincangkan huraian tatabahasa dan analisis tatabahasa dalam setiap bab dan topik yang diutarakan. Tujuan penerbitan TB adalah untuk menyediakan satu huraian terhadap bahasa Melayu yang dapat digunakan sebagai sumber rujukan pengguna, murid sekolah dan penutur bahasa Melayu. Selain itu, TB juga diharapkan dapat dijadikan pegangan untuk para pengguna dalam mencari huraian tatabahasa dan persoalan tentang struktur dan binaan tatabahasa bahasa Melayu yang selalunya didapati banyak kerumitannya kerana tidak difahami dengan jitu. Buku ini merupakan buku deskriptif (memberikan keterangan yang bertujuan untuk menyampaikan gambaran mental tentang sesuatu yg dialami) dan buku preskriptif (bersifat menentukan atau panduan) tentang tatabahasa bahasa Melayu. TB juga mengambil kira pemerian tatabahasa bahasa Melayu yang merujuk pada bahan yang ditulis sama ada dalam bahan yang dihasilkan di Malaysia dan di Indonesia.

Bahasa Melayu masih berkembang dan bersifat dinamis. Ada banyak perubahan yang bersifat positif dan tidak kurang pula yang bersifat negatif. Oleh itu, TB diterbitkan dengan menggalakkan semua bentuk perkembangan yang bersifat positif. Pernyataan tegas diberikan bagi bentuk-bentuk perkembangan yang negatif, terutamanya dalam aspek pembentukan istilah untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dalam setiap cakupan semua bidang ilmu.

Sejauh ini, buku ini dapat memperincikan banyak hal tentang tatabahasa bahasa Melayu. Walaupun perkembangan bahasa begitu pesat berlaku, pelbagai penegasan tentang penggunaan yang telah mantap dapat dibincangkan dalam TB. TB menjadi salah satu rujukan bagi ramai pengguna bahasa Melayu.

Menurut pengamatan saya, aspek imbuhan dan pembentukan kata termasuk membina ayat merupakan hal yang menjadi cabaran besar setiap pelajar tatabahasa bahasa Melayu. Oleh itu, salah satu bahan rujukan yang para pelajar boleh gunakan untuk meningkatkan penguasaan tatabahasa bahasa Melayu dengan merujuk TB. Sememangnya, anda perlu bantuan guru dan orang-orang bijak pandai dan memahami selok-belok tatabahasa bahasa Melayu yang baku.

Dua buah buku yang saya dapati boleh digunakan bersama-sama TB adalah buku susunan Abdullah Hassan yang berjudul Tatabahasa Pedagogi Bahasa Melayu terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd (1993), dan buku usaha sama Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. yang berjudul Tatabahasa Dinamika, juga terbitan Utusan Publications and Distributors (1994).

Semoga catatan ringkas ini akan merangsang anda meneruskan usaha untuk mencipta kejayaan dalam pelajaran anda.

Salam Bahasa.


rujukan
Nik Safiah, et. al, 2004. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumaat, Januari 18, 2008

Tarian Mak Inang Cina - 17.1.2008 - Program EMAS

Alhamdulillah, saya berasa sungguh bahagia kerana dapat menggerakkan kumpulan tarian ini dengan membina konsep dan jalur cerita bagi tarian berirama tradisional ini. Catatan ini sekadar mengingatkan semua langkah yang dijalan dalam membina konsep tarian and jalur ceritanya.

Projek tarian ini dibuat untuk persembahan pada sambutan Tahun Baru Cina pada 6 Februari 2008 di auditorium Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Konsepnya secara khusus melambangkan perihat keriangan dan keanggunan dalam meraikan sebuah perayaan.

Sinopsis - Sebuah tarian yang memamerkan perasaan gembira anak-anak gadis ketika menyambut sesebuah perayaan. Pergerakan irama dan rentah beserta lenggangan tangan dengan langkah Melayu dengan diselang-selikan hayunan dan lentikan jari, meniru gaya tarian Cina yang mudah.

Konsep pergerakan meliputi tarian adalah seperti berikut:
A. menggayakan pakaian baru
B. menyampaikan ucapan selamat
C. berkunjung-kunjungan
D. membuat kuih-muih perayaan


Pergerakan dan langkah menghiasi iringan lagu tarian yang mengandungi bahagian-bahagian berikut:

Intro(Mula) – Biola
Rangkap 1 – Biola (A) -V
Rangkap 2 – Biola (D) - V
Selingan – Akordion (C)
Rangkap 3 – Akordion (B) – Oo0
Rangkap 4 – Akordion (C) - Oo0
Rangkap 5- Biola (C) - / /
Rangkap 6 – Biola (B) - / /
Akhir – Akordion - ______


Bentuk-bentuk Tarian yang akan digerakkan:
- bulatan
- menyilang
- segi tiga
- sebaris
- berbaris-baris


Respons pelajar yang bersama-sama membina konsep dan bentuk tarian adalah seperti berikut:
- setiap pergerakan harian boleh diubah dan digayakan menjadi gerakan tarian
- setiap pergerakan yang dibuat ada maknanya yang tersendiri
- ada erti-erti halus dalam setiap gerakan tarian Melayu
- setiap tarian sebaik-baiknya mempunyai jalan cerita

Latihan akan dijalankan dengan para pelajar sendiri menentukan setiap gaya dan pergerakan dengan panduan yang saya berikan.

Saya berharap projek ini akan berjaya dan para pesertanya akan memerolehi manfaat yang banyak daripadanya.

Berikut merupakan paparan beberapa aktiviti sesi yang diadakan pada tarikh tersebut.







Irama Mak Inang Cina
http://myfreefilehosting.com/f/f6bd933559_31.69MB

Rabu, Januari 16, 2008

Men. 1HMT - Kata Ganti Nama Diri 15.1.2008

Semoga semua perbincangan dan aktiviti yang saya jalankan anda dapat manfaat daripadanya. Sebagai peringatan, saya ada menyuruh anda melakukan aktiviti mengisi tempat kosong untuk menguji pemahaman kata ganti diri yang sudah anda ketahui.

Daripada perbincangan, saya mendapati ramai yang mula sedar, penggunaan kata ganti nama diri amat penting untuk tujuan berkomunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis. Penegasan mengenai kata ganti nama 'beliau' yang digunakan bagi orang yang dianggap mulia saya buat juga. Semoga anda tidak lupa akan peringatan saya itu.

Saya lanjutkan dengan penerangan tatabahasa, dengan menggunakan slaid 'powerpoint' dan buku teks anda.

Anda kemudiannya, membincangkan mengenai hobi, aktiviti masa lapang, makanan kegemaran teman-teman dan juga mengenai saya, Cikgu Manaf. Saya berasa amat senang mendapati menggunakan kata ganti nama diri yang sesuai dalam pembentangan kamu sesudah itu.

Saya lanjukan dengan penulisan mengenai seseorang yang kamu masih ingat sewaktu berada di sekolah rendah dulu. Aktiviti mendengar irama klasik barat dengan menggambarkan orang itu sewaktu anda memejamkan mata saya beraharap dapat membantu. Sesudah itu, saya edarkan borang menulis maklumat (writers' block) untuk anda isi. Karangan itu akan anda selesaikan dalam bilik darjah pada masa pelajaran yang berikutnya.

Saya paparkan pautan bahan-bahan pengajaran saya buat kegunaan anda untuk mengulang kaji dan menyduahkan tugasan-tugasan yang serupa pada masa hadapan.

slaid pengajaran

latihan terkawal

latihan mencungkil pengetahuan sedia ada

Khamis, Januari 10, 2008

10.1.2008 - Men. 3HMT - Kata Tunggal



Saya memuatkan pautan bahan pengajaran saya pada hari ini. Semoga anda dapat memanfaatkannya bagi menyelesaikan tugasan dan tujuan mengulang kaji.

Bahan daripada pengalaman anda amat saya harap-harapkan anda gunakan dalam menyelesaikan tugasan Latihan Kemahiran yang sudah saya berikan awal tadi.

Slaid Pengajaran
http://myfreefilehosting.com/f/6aa77ab607_16.05MB

Lembaran Nota Pelajar (kosong)
http://myfreefilehosting.com/f/3c70c4c1b3_0.03MB

Lembaran Latihan Mencungkil Pengetahuan
http://myfreefilehosting.com/f/ee4047d6c7_0.02MB

Lembaran Latihan Kemahiran Terkawal
http://myfreefilehosting.com/f/71c45c8fff_0.02MB

Lembaran Latihan Kemahiran Bebas
http://myfreefilehosting.com/f/5c8cc21481_0.33MB

Selamat maju jaya.

Selasa, Januari 08, 2008

Lirik Lagu 'Bahasaku'

Senikata: Nadiputra
Gubahan: Dzul Rabull Jalil
Nyanyian: Kumpulan Padu Suara Harmoni Orkid
Kelab Masyarakat Tampines West


01.
Dengan nama Allah
Pengasih, Penyayang
Pasrahlah usaha kami
Menyahut seruan pertiwi
Sesuci jasmani rohani

02.
Duhai putera puteri ibunda
Laksamana Tuah berperi sudah
Takkan Melayu hilang di dunia
Jadi perisai semangat waja

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni

03.
Siapa lagi kalau tidak kita?
Tepuklah dada tanya selera
Bahasa ibunda jiwa nusa
Mertabatkan ke persada dunia

04.
Arif Budiman mulia pekerti
Amalan Nabi duniawi ukhrawi
Jadikan pakaian jasmani rohani
Teguhkan iman sifat terpuji

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni

05.
Kami insan lemah bersujud diri
Bermunajat pasrah sesungguh peri
Limpah rahmatmu, sinarmu Ilahi
Bahasa Ibunda disanjung tinggi

06.
Yang Maha Esa tersemat di hati
Rahmat Syufaat rabbul Izzati
Ya Rasulullah semoga kami diberkati
Usaha murni semulia ini

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni


*****
Saya amat terkesan dengan munajah yang terdapat dalam lirik lagu ini. Lagu ini pernah dipersembahkan dalam acara Anugerah Persuratan pada 29 Disember 2007 yang lalu. Munajah ini merupakan harapan semua para sasterawan, guru dan ibu bapa. Bertambah-tambah lagi jika anda mendengar dendangannya. Semoga akan ada peluang bagi saya mendengar dendangan ini sekai lagi pada masa-masa akan datang.

3 Buah Cerita Tentang Malu

Perkara di bawah ini merupakan pengamatan peribadi saya. Namun, saya mahu berkongsi dengan anda, anak-anak didik saya. Semoga besar manfaatnya.



Rasa Malu

Malu adalah perasaan rendah diri akan kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibanding-bandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh dimengertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak setimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Seseorang yang bersifat demikian beranggapan bahawa dirinya hina dan kurang daripada orang lain yang dianggapnya pula memiliki banyak kelebihan daripada dirinya. Seseorang yang bersifat sedemikian akan menjauhi orang lain, menyorok wajahnya apabila dipandang orang.



Mendapat Malu

Seseorang yang dimalukan akan berasa terhina dan terkeji daripada kaca mata orang lain. Orang yang menerima aib dan keji ini akan berasa marah, geram, sanggup bertindak kasar dan keras terhadap orang yang memberinya malu. Oleh sebab dia berpendapat bahawa maruah dan harga dirinya dicabar sewaktu dimalukan. Air mukanya jatuh di khalayak ramai menyebabkan dia berasa begitu hina dan aib sekali. Individu itu akan berasa sedih, pilu dan kecewa. Tindakan yang tidak wajar selalunya menuruti kerana dia menganggap dirinya hina, kotor, keji dan tidak berguna lagi di mata dunia.



Tidak Tahu Malu

Berbeza pula dengan sikap ini. Seseorang akan tergamak melakukan sesuatu perbuatan yang mengaibkan dirinya sendiri. Hal demikian terjadi akibat dorongan atau kerana berasa dirinya terdesak, sama ada dia menyedarinya atau tidak. Timbul istilah muka tebal, sanggup dimalukan dan diaibkan orang begitu sahaja. Bukan kerana dia seorang yang tahan hati dan dapat menelan kekejian yang orang lain lemparkan kepadanya. Mungkin juga dia dimalukan kerana kesalahan akan perbuatannya sendiri.

Gurindam Pujian Bagi Orang Bijaksana




Masalah kusut dapat diselesaikannya,
Orang marah dapat disejukkannya,
Musuh ganas dapat ditundukkannya.

Yang bengkok dapat diluruskan,
Yang patah dapat disambungkan,
Yang bercerai dapat disatukan,
Yang tenggelam dapat ditimbulkan.

Yang hanyut dapat dimudikkan,
Yang tercicir dapat dikutip,
Yang bocor dapat ditampal,
Yang koyak dapat dijahit.

Yang lekuk dapat diratakan,
Yang hilang dapat dicari,
Yang sesat dapat ke pangkal jalan,
Yang kurang dapat dicukupkan,
Yang lebih dapat dikurangkan.

Bila membahagi sama banyak,
Bila memotong sama besar,
Bila mengukur sama panjang,
Bila membungkus sama tebal,
Bila menyapu sama rata.

Yang tua dikedepankan,
Yang berilmu ditinggikan,
Yang muda dihargai,
Yang lemah diajari,
Yang kuat diikuti.


dipetik daripada
Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd (2004), Pantun & Gurindam untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Gurindam Orang Berguru Daripada Orang Berilmu

Kalau hendak tahu luasnya padang,
tanyalah belalang.

Kalau hendak tahu banyaknya teluk,
tanyalah siput.

Kalau hendak tahu luasnya kolam,
tanyalah katak.

Kalau hendak tahu dalamnya laut,
tanyalah yu.

Kalau hendak tahu luasnya langit,
tanyalah helang.

Kalau hendak tahu luasnya hutan,
tanyalah kijang.

Kalau hendak tahu kerasnya paku,
tanyalah tukul.

Kalau hendak tahu liatnya tangkai jering,
tanyalah galah.

Semua orang mempunyai pengetahuan,
Semua orang boleh menjadi guru…..

dipetik daripada
Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd (2004), Pantun & Gurindam untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Etika Kerja: Menurut 57 Larik Peribahasa Melayu – Bahagian 1

Dipetik daripada makalah ilmiah
Wan Rafaei Abdul Rahman (1993), Etika Kerja, dalam Psikologi Melayu, Abdul Halim Othman (1993), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




01. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Maksudnya: Semakin tinggi ilmu semakin merendah diri.

02. Jangan ikut resmi lalang, makin tua makin tegak.
Maksudnya: Ilmu hanya sedikit tetapi sombongnya lebih.

03. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Maksudnya: Orang yang berpangkat takkan hilang darjatnya apabila membuat kerja orang bawahan.

04. Berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
Maksudnya: Beringat-ingat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

05. Kerja teragak-agak tidak menjadi, kerja beransur-ansur tidak bertulun.
Maksudnya: Kerja yang dibuat sedikit-sedikit lambat siapnya, kerja yang dibuat sekali tidak berdaya.

06. Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.
Maksudnya: Orang yang berilmu biasnya diam dalam tingkah lakunya.

07. Hangat-hangat tahi ayam.
Maksudnya: Kerja diamalkan penuh semangat pada mulanya, akhirnya menjadi malas pula.

08. Biar lambat, asalkan selamat
Maksudnya: Kerja biar cermat dan menurut peraturan yang ditetapkan.

09. Tidak akan lari gunung dikejar.
Maksudnya: Usaha gigih yang dibuat pasti menerima kejayaan pada akhirnya.

10. Ada hari ada nasi.
Maksudnya: Setiap adanya usaha akan ada kejayaannya.

11. Air dalam berenang, air dangkal bercebok.
Maksudnya: Sesuaikan pekerjaan menurut penghasilan.

12. Alang-alang berdakwat, biarlah hitam.
Maksudnya: Buat sesuatu pekerjaan biarlah sampai berjaya.

13. Arang habis besi binasa.
Maksudnya: Pekerjaan yang sia-sia.

14. Awal dibuat, akhir diingat.
Maksudnya: Melakukan sesuatu pekerjaan perlu difikirkan masak-masak supaya selamat kesudahannya.

15. Bagi Jawi makan, dimamah dulu baru ditelan.
Maksudnya: Berfikir dahulu dengan masak-masak sebelum melakukan sebarang tugas.

16. Bagai lalat cari puru.
Maksudnya: Melakukan pekerjaan dengan segera lagi cepat.

17. Berbilang daripada esa, mengaji daripada alif.
Maksudnya: Melakukan sesuatu hendaklah daripada permulaannya.

18. Yang dulu mendapat, yang kemudian ketinggalan.
Maksudnya: Seseorang yang rajin selalu mendapat keuntungan daripada seseorang yang malas.

19. Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi.
Maksudnya: Sesuatu pekerjaan hendaklah dibuat dengan sesempurnanya.

20. Usul-usul, asal-asal, asal yang ditinggalkan.
Maksudnya: Mengerjakan sesuatu hendaklah berhati-hati.

Sapaan Mesra Dalam Sesebuah Keluarga Melayu



Sapaan yang sopan lagi mesra ini, menurut pengamatan saya, masih digunakan dalam sebahagian besar ahli keluarga saya. Sapaan bagi anak-anak menurut urutan usia dan kedudukan dalam sesebuah keluarga adalah seperti berikut.

1. Sulong
2. Ngah
3. Alang
4. Andak
5. Uteh
6. Hitam
7. Acik
8. Bongsu atau Ancu

Bagi bapa saudara, digunakan sapaan Pak dan bagi ibu saudara digunakan sapaan Mak, dan diikuti dengan panggilan menurut susunan tadi.

Oleh itu, Pak Long bagi bapa saudara yang tertua sekali dan Mak Ancu atau Mak Busu bagi ibu saudara yang termuda sekali. Bagi orang Melayu berketurunan Jawa, abang atau kakak ibu bapa anak disapa dengan pangkat Wak, dan yang muda daripada ibu bapanya disebut pangkat Cik disebut sebelum menyapa dengan menggunakan nama-nama mereka. Hal yang sama juga berlaku dalam keluarga Melayu berketurunan Bawean. Sapaan Wak digantikan dengan Obek sementara sapaan Cik dipertahankan.

Bagaimanakah agaknya sapaan orang-orang daripada keturunan dan sukuan Melayu yang lain? Bagaimanakah pula dengan keluarga yang mengamalkan perkahwinan dengan pasangan ras yang lain? Tentu seronok kalau dapat anda berkongsi pengalaman anda itu.

Sapaan sebegini sememangnya mempunyai nilai yang amat tinggi kerana hal sedemikian dilakukan untuk menyemai sikap saling hormat-menghormati lagi kasih-mengasihi dalam kalangan sanak-saudara. Ada sesebahagian masyarakat kita yang menitikberatkan hal ini dan ada pula tidak mengendahkannya langsung. Adakah hal yang sama anda dapati berlaku dalam keluarga dan sanak-saudara anda?

dipadankan daripada
Richard Winstedt, 1947. The Malays – A Cultural History, UK: Routledge & Kegan Ltd.

Isnin, Januari 07, 2008

Peta Makna

Peta-peta makna ini membantu anda mengukuhkan pemahaman perkataan baru dan juga peribahasa baru yang hendak anda kuasai. Manfaatkan borang-borang di bawah ini untuk usaha anda itu.


Peta Makna Perkataan Baru
http://myfreefilehosting.com/f/73543bef29_0.02MB

Peta Makna Peribahasa Baru
http://myfreefilehosting.com/f/4f0081d333_0.01MB