Rabu, Januari 23, 2008

Pemahaman Men. 1HMT - BK1A/1-3

Berdasarkan kaedah KWL dan Thinking-Aloud, saya ada membincangkan sebab-musabab anda semua perlu mengaitkan pengalaman dan pengetahuan anda yang lalu dengan meneliti gambar dalam teks. Daripada perbincangan itu, ada kekata internet, maklumat, emel terbit dan saya catatkan di papan putih. Ini adalah bahagian K(Know - Tahu).

Saya lanjutkan dengan menggerakkan W(What - Apa) dengan memberikan anda peluang membina makna dan sebab-musabab atau apa-apa yang mungkin anda akan pelajari dalam teks. Saya membenarkan anda semua meninjau kelima-lima soalan latihan yang menuruti teks yang akan dibaca itu. Saya arahkan anda menomborkan setiap perenggan sebelum memulakan pembacaan bersama-sama.

Langkah berikutnya, saya menyuruh anda melihat sepintas lalu dan mencari apakah yang terpantul secara kerap dalam teks itu. Daripada langkah itu, nama Suhailah dan Hamidah terdapat dengan kerap dalam petikan. Saya lalu mengarahkan anda melihat papan tanda dan membuat bulatan pada nama watak Suhailah. Saya meminta anda membuat ketetapan sama ada nama Suhailah itu yang akan kita bincangkan. Kemudian, saya membuat tujuh anak panah dengan menombor setiap satu untuk melambangkan nombor perenggan.

Berdasarkan nombor itu, anda semua membaca perenggan 1 hingga 7 tahap demi tahap dengan menurut arahan yang saya berikan. Setiap kali selesai pembacaan setiap perenggan, saya membuat anda bersama-sama memikirkan dan menetapkan apa-apa inti penting dalam setiap hubungan maklumat dengan menggunakan sawang dan ranting peta minda. Setiap kali selesai bahagian setiap perenggan, saya akan bersama-sama anda membuat ayat-ayat sendiri berdasarkan maklumat yang tercatat pada setiap ranting sawang peta minda itu. Saya menegaskan bahawa ayat-ayat itu hendaklah mudah dengan subjek dan predikatnya yang jelas. Penggunaan kata yang bersinonim dengan ayat-ayat ringkas amat membantu anda dalam memahami teks. Berdasarkan semua maklumat, saya dan anda bersama-sama membina ayat-ayat sendiri secara lisan setiap perenggan yang dibina.

Setelah selesai bahagian langkah membaca dan merangkaikan peta minda dengan kaedah Thinking-Aloud, saya meminta anda membina sebaris ayat mengenai apa-apa yang anda fahami secara keseluruhan teks. Anda bersetuju bahawa teks itu mengenai apa-apa yang tercetus dalam emel yang dihantar Hamidah kepada Suhaila mengenai pengalaman baru mereka di tempat yang baru. Hamidah menceritakan pengalaman tinggal di luar negara sementara Suhaila menceritakan pengalaman belajar di sekolah yang baru.

Daripada langkah itu, anda saya minta menjelaskan bahagian L(Learned - Pelajari) kaedah KWL tersebut. Anda bersetuju Suhaila dan Hamidah masih berutus khabar melalui emel.

Sebelum menggerakan anda membuat latihan pemahaman, saya minta anda meneliti soalan-soalan itu dan mengarahkan anda menggariskan frasa-frasa soalan yang harus anda salin dalam jawapan setiap soalan. Saya ada membiincangkan bahawa berdasarkan kemahuan soalan, banyak maklumat di dalam perenggan perlu disaring dan disusun semula sebelum anda dapat menjawab soalan-soalan itu. Semua kata tanya ada padanan kata hubung dan penanda dalam anda merangkai maklumat dalam teks untuk dicantum pada frasa soalan yag akan disalin sebagai jawapan pada latihan anda itu.

Daripada kesemua langkah yang kita jalankan, saya menegaskan perlunya anda memahami setiap perenggan beserta isi-isinya. Setiap isi dan contoh akan dapat diperolehi dengan begitu jelas apabila isi-isi itu disusun dalam peta minda yang kemas.

Bagi saya, hal sedemikian dapat membantu anda menyusun maklumat dalam teks dan memberikan makna yang jelas apa-apa yang anda baca. Secara sedar, anda sudah saya gerakkan membina pemahaman dan melakukan peringkasan semua idea dalam petikan, melalui ayat-ayat yang kita bina secara lisan bersama-sama. Saya akan menjalankan kaedah ini dalam beberapa buah sesi pengajaran saya yang akan datang. Semoga anda semua mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Tiada ulasan: