Rabu, Februari 27, 2008

Puteri Bertujuh Turun Bersiram




Semoga paparan ini dapat memberi pemahaman kepada semua pelajar saya akan sebuah persembahan puisi tradisional secara berteater yang akan dibuat ketujuh-tujuh pelajar sastera saya diiringi beberapa orang pelajar kelas bahasa saya.

Sayugia dimaklumkan, bahan ini dibangunkan bersama-sama setelah ketujuh-tujuh pelajar itu mencari jalan cerita asal kisah Malim Deman, Cerita Tun Teja dan Hang Tuah, Cerita Puteri Helen Troy, Ratu Kuning Permaisuri Patani Silam, Kisah Cinderlaras dan sekelumit kisah dalam Hikayat Merong Mahawangsa; mengambil episod Geroda yang melanggar perintah Raja Sulaiman.

Tema puisi tradisional ini mengenai kesetiaan pada negara tercinta. Semoga anda senang membacanya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sinopsis Puteri Bertujuh Turun Bersiram

Tujuh puteri kayangan turun ke dunia untuk bersuka ria tanpa mendapat keizinan ayahanda dan bonda mereka terlebih dahulu. Ketujuh-tujuh puteri sedar bahawa daripada apa-apa yang mereka ceritakan sesama sendiri tentang beberapa orang wanita dan puteri menunjukkan bahawa betapa kesemuanya menunjukkan kesetiaan pada negara dan ketua pemerintahannya.

Daripada cerita Helen Puteri Troy, Cinderlaras, Puteri Cina dengan Putera Raja Rom hinggalah kepada cerita Tun Teja yang mengasihi akan Hang Tuah yang taat setia kepada raja dan negaranya, ketujuh-tujuh orang puteri kayangan itu sedar bahawa mereka harus berubah sikap.

Ketujuh-tujuh puteri akan bersenandung, bersyair, bergurindam, bernazam, berseloka dan mengucapkan kata-kata berirama dalam menyampaikan mesej kesetiaan pada negara dan bercerita mengenai keempat-empat kisah itu.

Mereka akan berpuisi dengan iringan gender, gendang dan seruling.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Puisi
Puteri Bertujuh Turun Bersiram


canto - gamelan, gendang dan seruling

Tujuh puteri kayangan cahaya
Turun ke bumi dengan gembira
Yang bongsu duduk berdiam
Wajahnya riang menjadi muram

Ayuhai kakanda-kakanda bestari
Bukankah kita turun ke mari
Tanpa keizinan ayahanda beri?
Kelakuan kita semua
Menujukkan bibit-bibit derhaka
Terhadap perintah ayahanda bonda.

Mengapakah adinda kata begitu?
Pada kakanda bukan tak tentu
Bukankah hajat kita sudah bersatu
Ke dunia turun bersama
Kita bersuka ria

Benar akan kata kakanda
Namun kurang enak rasa
dalam hati adinda

Kenapa demikian adinda berasa?
Apakah perlu diikutikan rasa?

Manalah ayahanda bonda tahu
Ke arah mana kita tuju

Bukankah kita anak-anak yang baik?
Kita belajar dan kita cerdik?
Kita cerdas dan kita cantik?

Cantik, cerdik, cerdas dan baik
Belum lagi adinda fikir sudah molek
Sebagai tanda taat setia
Daripada para puteri baginda
Kepada negara tercinta.

Kisah Tun Teja
Ingat akan kesetiaan, sebuah kisah sudah berzaman
Tekenal bukan kepalang
Dijadikan orang lagu dan gurindam

Benarkah kata-katamu?

Benar, yang mulia puteri, tuanku
Tuan patik hanyalah satu
Patik datang ke mari, membawa tuan puteri pergi
Untuk dijadikan permaisuri gahara
Kepada Sultan Melaka

Bagaimana cinta kita, padamu Laksamana
Ayuhai Hang Tuah?

Demi cinta patik berkorban
Taat setia kepada sultan
Begitulah harapan patik terhadap puteri yang mulia
Cinta Tun Teja pada Sultan patik sembahkan.

Ya itulah ketaatan setia seorang perwira
Setia pada raja setentunya pada negara.

Tersebut pula
Dari tanah jauh sebuah kisah
Cinta kasih taat setia kepada negara bangsanya.

Puteri Helen Puteri Troy
Menjadi incaran
Mercu kejayaan
Tercipta kesejahteraan
Putera Paris penuh jaya
Kehebatannya melangkaui para dea
Namun,
Akhirnya Helen turut bersama
Dijulang kesetiaan kepada suaminya
Kejayaan kerajaan Sparta
Terkenal dalam sejarah.

Dinda tahu sebuah lagi
Raja Kuning Ratu Patani
Terkenal dalam lipatan sejarah bahari
Wanita perkasa pemimpin bersifat berhati waja
Kuasa asing tunduk kepadanya
Satu yang baginda ratu pelajari
Taat setianya kepada raja, negeri
Sedari kecil bondanya beri
Didikan yang penuh makna bererti.

Bagaimana pula taat cinta ibu Cinderlaras
Kasihnya pada anak dan suami penuh ikhlas
Walaupun sehari-hari dia gemas
Hidup di kalangan binatang-binatang buas
Kepada anaknya diajar, didik
Selain perkasa, mestilah cerdik
Kasihi yang muda hormati yang tua
Harus taat kepada raja dan negara.

Betapa murka ayahanda pasti
Kepada kita terbit di hati

Usahlah gusar kekanda sekalian
Akan kasihnya ayahanda dan bonda
Teringat adinda ayuhai kakanda
Ada sebuah madah ayahanda
Berkenaan Raja Sulaiman yang bijaksana
Angkara murka baginda pada garuda
Yang memisahkan anak Raja Rom dan jodohnya
Anak Raja Cina
Garuda angkuh gagal akhirnya
Namun cepat mengaku segala silapnya
Raja Sulaiman raja budiman
Ulah garuda baginda maafkan.

Tentulah begitu ayahanda kita
Kasih sayangnya seluas alam buana
Marilah segera kita bersama
Pulang menghadap ayahanda bonda
Maaf kita pohon
Kemanpunan kita mohon
Semoga reda murkanya
Bangkit semula kasihnya akan kita semua

Yalah, adinda-adinda sekalian
Marilah segera kita kerjakan
Semoga ketaatan yang kita junjung
Kebahagiaan,
Keamanan,
Kemakmuran,
Segera tanah tercinta ketaatan berkunjung.
Kasih ayahanda menjadi tajuk,
Pada keadilan sama-sama kita tunduk.

Tiada ulasan: