Tatabahasa Dewan
Bahan Pendamping Tatabahasa Dewan
Tatabahasa Dewan
Tatabahasa Dewan (TB) akan saya bincangkan secara ringkas sebagai bahan dalam Kit Bahasa Melayu saya kali ini.
TB merupakan salah satu usaha pengekodan bahasa yang amat penting dalam pembinaan bahasa baku. TB diterbitkan untuk menjadi bahan rujukan dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu bagi para pelajar semua peringkat dan masyarakat umum.
TB disusun dalam tiga komponen, iaitu bab pengenalan yang memerikan sejarah ringkas Bahasa Melayu dan variasi bahasa Melayu. Komponen kedua pula mengandungi tujuh belas bab yang meliputi bidang perkataan dan pembentukan perkataan (morfologi), dan juga bidang sintaksis, iaitu ayat.
Perbincangan tatabahasa dimulakan dengan bidang perkataan dan pembentukannya (morfologi), yang diluaskan dengan bentuk-bentuk frasa dan klausa, dan dilanjutkan dengan topik khusus dalam bidang ayat (sintaksis). Setiap bahagian itu pula dimulakan dengan bab pengenalan.
Jika diteliti daripada halaman kandungan, terdapat sejumlah 19 bab termasuk halaman glosari istilah dan senarai imbuhan dalam bahasa Melayu.
TB membincangkan huraian tatabahasa dan analisis tatabahasa dalam setiap bab dan topik yang diutarakan. Tujuan penerbitan TB adalah untuk menyediakan satu huraian terhadap bahasa Melayu yang dapat digunakan sebagai sumber rujukan pengguna, murid sekolah dan penutur bahasa Melayu. Selain itu, TB juga diharapkan dapat dijadikan pegangan untuk para pengguna dalam mencari huraian tatabahasa dan persoalan tentang struktur dan binaan tatabahasa bahasa Melayu yang selalunya didapati banyak kerumitannya kerana tidak difahami dengan jitu. Buku ini merupakan buku deskriptif (memberikan keterangan yang bertujuan untuk menyampaikan gambaran mental tentang sesuatu yg dialami) dan buku preskriptif (bersifat menentukan atau panduan) tentang tatabahasa bahasa Melayu. TB juga mengambil kira pemerian tatabahasa bahasa Melayu yang merujuk pada bahan yang ditulis sama ada dalam bahan yang dihasilkan di Malaysia dan di Indonesia.
Bahasa Melayu masih berkembang dan bersifat dinamis. Ada banyak perubahan yang bersifat positif dan tidak kurang pula yang bersifat negatif. Oleh itu, TB diterbitkan dengan menggalakkan semua bentuk perkembangan yang bersifat positif. Pernyataan tegas diberikan bagi bentuk-bentuk perkembangan yang negatif, terutamanya dalam aspek pembentukan istilah untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dalam setiap cakupan semua bidang ilmu.
Sejauh ini, buku ini dapat memperincikan banyak hal tentang tatabahasa bahasa Melayu. Walaupun perkembangan bahasa begitu pesat berlaku, pelbagai penegasan tentang penggunaan yang telah mantap dapat dibincangkan dalam TB. TB menjadi salah satu rujukan bagi ramai pengguna bahasa Melayu.
Menurut pengamatan saya, aspek imbuhan dan pembentukan kata termasuk membina ayat merupakan hal yang menjadi cabaran besar setiap pelajar tatabahasa bahasa Melayu. Oleh itu, salah satu bahan rujukan yang para pelajar boleh gunakan untuk meningkatkan penguasaan tatabahasa bahasa Melayu dengan merujuk TB. Sememangnya, anda perlu bantuan guru dan orang-orang bijak pandai dan memahami selok-belok tatabahasa bahasa Melayu yang baku.
Dua buah buku yang saya dapati boleh digunakan bersama-sama TB adalah buku susunan Abdullah Hassan yang berjudul Tatabahasa Pedagogi Bahasa Melayu terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd (1993), dan buku usaha sama Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. yang berjudul Tatabahasa Dinamika, juga terbitan Utusan Publications and Distributors (1994).
Semoga catatan ringkas ini akan merangsang anda meneruskan usaha untuk mencipta kejayaan dalam pelajaran anda.
Salam Bahasa.
rujukan
Nik Safiah, et. al, 2004. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan