Memaparkan catatan dengan label EMAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label EMAS. Papar semua catatan

Selasa, Mac 16, 2010

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 2.0 - Gambar-gambar Semasa Bengkel Berlangsung






Semoga paparan di atas ini akan memberikan sedikit gambaran kepada para pelajar yang tidak dapat mengikuti bengkel ini. Semoga paparan di atas ini akan mengembalikan semula semua kenangan yang para peserta lalui sewaktu berbengkel.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.2 - Maklum Balas Bengkel Puisi

Berikut adalah maklum balas sebahagian peserta bengkel bagi kelas penulisan Puisi oleh Cik Rasiah Halil. Semoga maklum balas ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

01.
Ahmad Dzul Danial (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya belajar menyusun puisi seperti sajak, pantun dan Syair. Pantun dan syair adalah puisi Melayu tradisional. Terdapat rangkap dan kerat dalam puisi-puisi tradisional. Saya gembira dapat belajar mencipta beberapa buah puisi Melayu.


02.
Muhd Hakeem Yaakop (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Hari kedua pula saya pelajari untuk mencipta pantun, syair dan sajak. Pengalaman mencipta puisi-puisi tersebut sangat seronok. Saya mempelajari puisi-puisi ini daripada Cikgu Rasiah(nama betul beliau Rashidah).


03.
Nama: Nurul Izyan (104)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Pada hari kedua, saya telah mempelajari cara-cara mengarang pantun, syair dan sajak. Amat bertuah saya rasakan dengan pengalaman ini. Yang amat saya suka adalah mempelajari teknik mencipta sajak. Dalam sesebuah sajak, tidak semestinya semua perkataan yang berakhir dengan rima yang sama dan yang penting adalah iramanya. Saya amat suka sekali dengan bengkel puisi ini. Saya sekarang dapat mengarang pantun, syair serta sajak sedikit demi sedikit. Kalau Cikgu Rasidah Halim datang ke lagi ke sekolah ini, tentu sekali saya akan hadir kelas-kelasnya. Ini adalah kerana cara-cara beliau mengajar kami begitu senang diikuti untuk menambah pemahaman kami. Saya amat suka dengan akan teknik beliau mengajar kami. Saya berasa bengkel ini amat berguna dan amat menyeronokkan!


04.
Nisa Camillia Bte Rohaizat (1B)
Sekolah Menengah West Spring

Pada hari ini, saya telah mempelajari cara-cara mencipta puisi tradisional, pantun dan juga sajak, puisi moden. Daripada bengkel ini, saya dapat mempelajari pelbagai jenis pengetahuan menarik tentang puisi. Saya berharap pada masa hadapan, akan ada bengkel-bengkel sebegini dianjurkan.


05.
Syafiqah Najihah Begum (1E4)
Sekolah Menengah Bukit Batok

Cikgu Rasiah Halil mengajar kami tentang puisi sambil berkongsi maklumat mengenai para tokok puisi Melayu tradisional. Beliau memberi kami banyak contoh puisi yang baik. Beliau mengajar kami dengan penerangan yang amat jelas dan saya dapat memahami setiap hal yang beliau ajarkan. Dahulu, saya tidak mengemari puisi moden dan pantun. Akan tetapi, saya mendapati pengalaman hari ini semakin menarik selepas diajar Cikgu Rasiah Halil.


06.
Nur Yannie (1B)
Sekolah Menengah West Spring

Saya telah mempelajari caracara yang mudah untuk menulis puisi, pantun, syair dan sajak. Saya berharap pada masa hadapan saya dapat menghadiri bengkel-bengkel seperti ini. Saya telah mempelajari tentang pelbagai perkataan yang berima.


07.
Syarah Khaliesah
Sekolah Menengah Fuhua

Saya mempelajari cara-cara mudah lagi menarik untuk menulis puisi; pantun, puisi, sajak dan syair yang baik dari pengajaran Cikgu Rasiah Halil.


08.
Syeikh Syahmi (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya telah mempelajari tentang puisi tradisional seperti pantun dan syair. Saya juga telah mempelajari tentang puisi moden; sajak. Saya telah mempelajari cara-cara untuk menulis beberapa buah puisi yang baik. Saya juga berpendapat bahawa Cikgu Rasiah telah mengajar dengan begitu baik sekali.


09.
Syahbil Syahiran
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya belajar tentang puisi moden dan puisi tradisional; pantun, syair. Saya pun dapat mempelajari cara-cara menulis puisi-puisi tersebut, iaitu pantun dan syair. Beberapa unsur yang membina puisi adalah kata/diksi, ritma, rima dan irama, lambang, aliterasi, unsur perbandingan, unsur perorangan dan sebagainya.


10.
Nurul Halizah Bte Suhaimi (1R3)
Sekolah Menengah Fuhua

Dua perkara yang saya telah pelajari dalam bengkel ini adalah:
Terutama sekali saya telah pelajari cara-cara menulis puisi; syair dan sajak dan serba sedikit tentang perbezaan puisi-puisi tersebut.

Ada beberapa jenis pantun. Ada pantun dua kerat dan ada pula yang mempunyai empat atau enam kerat.
sStu kekuatan bengkel ini yang saya perhatikan yang ada pada guru ini (Cikgu Rasiah Halil) ialah; seperti guru-guru yang lain, beliau bersedia membantu kami sewaktu kami menghadapi kesusahan untuk membuat tugasan yang diberi. Beliau juga dapat menerangkan makna perkataan-perkataan yang terdapat dalam puisi; syair, pantun dan juga sajak.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.1 - Maklum Balas Bengkel Cerpen

Berikut adalah maklum balas sebahagian peserta bengkel bagi kelas penulisan Cerpen oleh Encik Ismail Bin Wardi @ Iswardy. Semoga maklum balas ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

01.
Nur Amirah Salimin (101)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

1) Cerpen tidak mementingkan sangat penggunaan tatabahasa. Karangan mementingkan penggunaan tatabahasa.
2) Cerpen tidak mempunyai topik yang tetap-penulisan bebas. Karangan mempunyai topik yang tetap.
3) Cerpen pendek tetapi padat dengan maklumat. Karangan boleh ditulis dengan panjang.

Saya mahu mencadangkan Cikgu Iswardi agar dapat menerangkan persembahannya sebanyak dua kali; kali pertama pada permulaan sesi dan kali kedua di penghabisan sesi.


02.
Farah Nur Zakiah Bte Roslee (101)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Hari ini, saya mempelajari beberapa perkara tentang cerpen. Saya telah mempelajari bahawa perkara-perkara yang penting dalam cerpen adalah: tema cerita, plot, permulaan, klimaks, penghabisan, ayat pertama dan ayat terakhir.

Terdapat beberapa perbezaan antara sebuah karangan dengan sebuh cerpen. Cerpen harus lebih panjang daripada karangan. Untuk latihan karangan, kami diberi sebuah topik manakala cerpen tidak mempunyai topik yang ditetapkan.


03.
Nama: Nurul Izyan Bte Zulkiflee (104)
Sekolah: Sekolah tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Pada hari ini, saya telah dapat mempelajari cara-cara membuat sebuah cerpen. Sejak umur 11 tahun lagi, saya ingin sekali menyertai Projek Cerpen apabila umur saya menjangkau 15 tahun. Saya ingin sekali menulis cerpen tetapi saya tidak tahu cara-caranya. Saya amat bertuah dapat menghadiri bengkel penulisan cerpen ini. Cara Encik Ismail Wardi mengajar sangat mudah bagi saya untuk fahami. Saya ingin Encik Ismail Wardi mengajar saya dengan lebih mendalam. Menggunakan frasa-frasa berbunga tetapi frasa-frasa yang sesuai. Ini adalah sesuatu kemahiran baharu yang saya telah pelajari. Saya telah pun mempelajari cara-cara memilih tajuk-tajuk cerpen yang sesuai, cara-cara memulakan cerpen dan cara-cara mengakhiri cerpen kita itu. Saya berasa sangat beruntung sekali. Tidak ramai orang yang mendapat peluang keemasan ini. Sekian, terima kasih.


04.
Syasya Nur Nasriyah Bte M N
Sekolah Menengah Swiss Cottage

Saya pelajari bahawa cerpen itu lebih panjang daripada karangan yang biasa saya lakukan. Saya juga mempelajari bahawa sesebuah cerpen itu mempunyai pesanan khusus.


05.
Raihan Borhan
Sekolah Menengah West Spring

Bengkel penulisan bersama Cikgu Ismail Wardi (Iswardy) telah mengajar saya tentang cara-cara menghasilkan sebuah cerpen. Selepas menghadiri bengkel ini, saya mendapat pengetahuan lanjut tentang bentuk sesebuah cerpen. Insya-Allah, selepas bengkel ini, saya berharap akan ada alagi bengkel-bengkel penulisan seperti ini dianjurkan. Bengkel ini telah memberikan semangat untuk menulis dan menghasilkan lebih banyak cerpen pada masa akan datang.


06.
Nur Tutadawiah Binte Mohamad Noor ( 104 )
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya telah mempelajari bahawa untuk menghasilkan sesebuah cerpen itu bukannya sebuah kerja senang untuk dilakukan. Saya juga telah mempelajari bahawa sebuah cerpen lebih pendek daripada sebuah karangan. Saya juga mempelajari bahawa dalam sebuah cerpen, tatabahasa tidak begitu penting jika dibandingkan dengan menulis sesebuah karangan. Saya juga mempelajari bahawa ayat pertama dan terakhir amat penting dalam sesebuah cerpen jika dibandingkan dengan menulis sesebuah karangan.

Bagi saya, kekuatan bengkel ini adalah teknik menghasilkan sebuah jalan cerita dan teknik-teknik yang digunakan untuk menghasilkan sesebuah cerpen. Saya berasa teknik yang Cikgu Iswardi gunakan untuk mengajar kami agak baik dan saya tiada komen yang buruk mengenainya. Penerangannya juga cukup jelas dan tidak kabur. Terima kasih, Cikgu Iswardu kerana telah menghadiahkan sebuah buku kepada kami.

Jikalau Cikgu Iswardi akan mengajar sekali lagi, sudah tentu saya mahu menyertai bengkelnya sekali lagi! Bengkelnya amat menyeronokkan!


07.
Ummi Hani Sahlan

Hari ini saya berjaya datang ke sekolah dengan dada yang kosong dan pulang ke rumah dengan dada yang berisi. Daripada bengkel ini, saya mempelajari akan kelainan sebuah karangan dengan sebuah cerpen. Saya juga mendapat pengetahuan cara-cara hendak menarik perhatian seseorang pembaca untuk membaca cerpen yang akan saya hailkan kelak. Saya juga telah mempelajari betapa pentingnya ayat pertama dan ayat akhir dalam cerpen yang akan dihasilakn nanti. Selain itu, saya juga telah mempelajari apa-apa yang diperlukan salam sesebuah cerpen; contoh-contohnya adalah konflik dan klimaks.

Terima Kasih, Cikgu kerana menganjurkan bengkel penulisan ini.


08.
Muhammad Zaim Zamzam
Sekolah Menengah Swiss Cottage

Saya mendapati bengkel ini telah membantu saya dalam menulis sesebuah cerpen dan sesebuah karangan. Ini adalah kali pertama saya cuba menulis cerpen kerana saya hanya tahu menulis karangan yang lebih pendek daripada cerpen. Apa-apa yang Encik Iswardy bicarakan secara terperinci. Dengan semua butiran yang diberikan, saya berharap dapat membantu saya menghasilkan cerpen dengan lebih baik pada masa hadapan. Sebaik-baiknya Encik Iswardy telah mencetak salinan slaid 'powerpoint' untuk kami gunakan sebagai nota. Saya mendapati hal demikian adalah baik kerana kami dapat merujuknya semasa mengulang kajinya pada masa hadapan. Tetapi bersyukur kerana Encik Iswardy telah memberi kami bukunya yang berjudul 'Ombak Kosmopolitan' secara percuma dan dengan ditanda tangan beliau sekali.


09.
Nurul Halizah Suhaimi
Sekolah Menengah Fuhua

1. Terutama sekali, saya tahu cara-cara hendak munulis sebuah cerpen .

2. Cerpen sungguh berbeza daripada karangan. Sebuah cerpen lebih panjang daripada sebuah karangan tetapi ia lebih pendek daripada sebuah novel.

Komen-komen lain:-
Kekuatan bengkel ini : Encik Iswardy memberi kami sebuah buku koleksi cerpennya yang bertajuk Ombak Kosmopolitan untuk dibuat sebagai bahan untuknya mengajar kami. Ini ialah sebuah perkara yang ramai guru kami tidak lakukan.


10.
Insyirah Ali
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya berasa amat gembira dan berasa untung kerana dapat menghadir bengkel ini. Saya telah mempelajari banyak perkara baharu yang saya tidak tahu sebelum ini. Cerpen adalah sebuah cerita pendek. Saya telah mempelajari bahawa dalam sesebuah cerpen, tatabahasa tidak begitu mustahak. Sebuah cerpen berbeza apabila dibandingkan dengan sebuah karangan. Saya telah mempelajari bahawa betapa pentingnya ayat pertama dan ayat terakhir apabila hendak menulis cerpen.Bukan mudah untuk menulis dan menghasilkan sebuah cerpen. Saya juga telah mempelajari bahawa sesebuah cerpen tidak seharusnya terlalu panjang dan berjela-jela. Dalam sebuah cerpen juga, terdapat sebuah plot yang padat.

Cikgu Iswardy telah banyak mencurahkan ilmunya kepada kami. Saya suka akan cara-cara beliau mengajar kami. Saya telah memperolehi banyak faedah daripada menghadiri bengkel penulisan cerpen ini.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.0

Di bawah ini, adalah sebahagian gambar-gambar yang dipetik sewaktu bengkel dua hari itu dijalankan, 15-16 Mac 2010.






Dalam siaran yang akan datang, maklum balas para pelajar akan dimuatkan bagi bahan rujukan pada masa hadapan.

Isnin, Mac 15, 2010

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010

Tarikh 15-16 Mac 2010, para pelajar saya, dari kelas Cikgu Ali Bujang dan para pelajara VS telah menghadiri bengkel penulisan pengenalan penulisan kreatif - puisi dan cerpen. Alhamdulillah, bengkel ini telah berjalan lancar dengan jayanya. Para peserta telah mengkuti bengkel penulisan puisi dan cerita pendek atau cerpen di bawah bimbingan Cik Rasiah Halil dan Encik Ismail Wardi atau dikenali dengan nama Iswardy.

Bagi para pelajar yang tidak dapat menghadiri bengkel tersebut, para peserta telah mempelajari beberapa ciri-ciri puisi tradisional iaitu pantun, syair dan puisi moden iaitu sajak. Para peserta juga mengenali proses penciptaan sebuah cerpen dengan unsur-unsur plot, watak dan perwatakan, ayat pertama dan ayat terakhir sesbuah cerpen yang menarik hati.

Setiap pelajar EMAS (termasuk pelajar-pelajar VS) dikehendaki menyiapkan beberapa buah puisi dan sebuah cerpen sebagai tugasan yang akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan dalam bentuk buku antologi.

Oleh itu, para pelajar yang tidak dapat hadir pada kedua-dua hari bengkel itu boleh merujuk pada bahan-bahan pengajaran yang saya pautkan di bawah ini untuk membantu mereka menyudahkan tugasan yang ditetapkan.

Di bawah ini, saya muatkan bahan-bahan yang dikongsi para pembimbing bersama-sama para peserta bengkel bagi rujukan anda pada masa-masa yang anda senangi.

Cerpen




Puisi
http://www.scribd.com/doc/28726888

Khamis, November 27, 2008

Khamis, 27 November 2008

Randai Buya HAMKA - Sebuah Perenungan dan Pengalaman Peribadi dalam Usaha Membinanya Bersama-sama Pelajar-pelajar EMAS-BPGHS







Hari ini, saya berasa sungguh lega setelah selesai melatih para pelajar berikut menyiapkan diri untuk persembahan mereka di Hotel Furama Harbourfront, Havelock Road pada hari Ahad, 30 November 2008.

Para pelajar menengah 2 terdiri daripada Ezuan, Nabilah, Shalinah dan Azlinda. Para pelajar menengah 3 terdiri daripada Ridhwan, Nabil, Hanafi dan Raafiq.

Yang sangat saya senangi adalah semangat mereka. Namun, pada mulanya, biasalah, tak kenal maka tak cinta (Melayu) atau tak kenal maka tak sayang (Indonesia). Saya berasa bangga mereka akhirnya dapat menghayati rangkap-rangkap puisi tokoh yang banyak jasa baktinya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Daripada latihan yang pada mulanya seakan-akan sukar bagi mereka semua, akhirnya dapat mereka lakukan dengan jayanya. Daripada aspek deklamasi hinggalah pada pukulan caklempong dan paluan rebana ibu dan marwas. Mereka saya kenalkan dengan rentak masri dan zapin bagi paluan rebana dan marwas selain rentak ‘march’ menggunakan alat-alat muzik paluan itu.

Mengenangkan kembali sewaktu mula latihan, saya bersyukur para pelajar saya akhirnya dapat saya bekalkan dengan pemahaman dan kemegahan yang ada pada tokoh dan penyampaian digabungkan pendeklamasian puisi tersebut dengan elemen talbiyah dan salawat Nabi s.a.w., termasuklah pukulan dentingan indah caklempong dan gempaknya paluan-paluan rebana dan marwas.

Saya berasa terharu melihat tahap iltizam tinggi akan projek ini dalam kalangan semua pesertanya. Mereka dapat bergabung usaha dan tenaga bagi menjayakan projek ini. Ujian terakhir bagi usaha mereka ini adalah dalam persembahan sebenarnya pada hari Ahad ini. Doa saya agar mereka dapat melakukan yang terbaik dalam majlis anjuran Masjid En-Naeem ini.

Saya selalu mengingatkan bahawa usaha mereka ini adalah sesuatu yang murni. Mengkhabarkan dan menyanjungi seorang tokoh besar yang menghasilkan Tafsir Al-Azhar, sebuah siri kitab tafsir Al-Quran dalam bahasa Melayu dan kitab Sejarah Umat Islam. Kedua-dua karya adalah sebahagian usaha tokoh almrahum Buya HAMKA yang tersohor itu.

Sewaktu dipersembahkan kepada tiga pegawai dari Masjid En-Naeem Selasa lalu, para tetamu itu berasa gembira terhadap usaha projek sumbangan daripada pihak sekolah BPGHS-EMAS ini. Terima kasih kepada Ustaz Muhammad dan dua orang rakannya dari Masjid En-Naeem atas kata-kata perangsang yang sememangnya para peserta pelajar kami hargai. Ingatan serta doa mereka bagi saya melancarkan lagi usaha saya menatar para peserta persembahan randai ini.

Begitu juga dengan input Cikgu Noormarlina Tasrib dan Cikgu Senan Long sewaktu menyaksikan persembahan dalam latihan kami di BPGHS kampus Teck Whye Crescent siang tadi. Kata-kata perangsang mereka berdua saya percaya amat memberikan kesan untuk para peserta randai gunakan untuk mempertingkatkan persembahan mereka kelak. Saya cukup terharu apabila Cikgu Senan sudi menyediakan boneka bayi bagi menambahkan impak persembahan ini kelak. Saya juga terharu apabila Cikgu Noormarlina akan turut bersama-sama juga untuk mengiringi para peserta pada hari Ahad nanti.

Saya pada waktu itu sedang berada di Indonesia bagi program pertukaran pelajar dengan sebuah sekolah di Purbalingga selama lapan hari. Betapa saya akan berasa ingin sekali melihat para peserta randai ini membuat persembahan setelah lebih dua bulan kami berlatih.

Para pelajar lelaki dan perempuan akan mengenakan pakaian baju kurung Melayu. Para pelajar perempuan akan mengenakan tudung kepala yang amat sesuai dalam persembahan randai ini.

Rakaman terima kasih juga buat Ketua Subjek saya, Cikgu Sazali Sahri. Beliau merupakan tulang belakang yang cukup kuat menyokong semua program EMAS dari segi kesusasteraan dan kesenian, selain pengajaran bahasa Melayu. Kepercayaan dan kesungguhan beliau serta rakan-rakan karyawan guru dalam jawatankuasa bahasa Melayu di BPGHS memungkinkan saya dapat menyumbang mana-mana yang saya fahami dan tahu dalam bidang ini. Namun, usaha saya itu jauh lebih sempurna dan mengharapkan anak-anak didik saya ini untuk terus meminati kesenian bangsa sekali gus mencintai bahasa Melayu yang indah lagi murni ini. Kepada mereka dan para pelajar yang lainnya saya berharap agar dapat meneruskan kelangsungan dalam masyarakat di sekolah saya ini keindahan dan kepedulian berbahasa Melayu dan seni serta sastera Melayu yang tinggi dan penuh dengan nilai santun dan serba-serbi kelebihannya itu.

Khas buat para pelajar sastera saya; Izyan, Adilah, Syahirah, Sabrina, Farhana, Aisyah dan Siti Umairah, ucapan terima kasih kerana dapat membina puisi Randai Buya HAMKA. Terima kasih buat Siti Umairah yang mengisi tempat saya membantu dan memastikan rakan-rakan peserta randai ini meneruskan latihan dengan ketiadaan saya dalam urusan rasmi bagi tempoh dua minggu.

Bagi saya, dalam mana-mana aspek penilaian; kepimpinan, kerjasama, kreativiti, iltizam, pengurusan dan proses penciptaan persembahan ini, semua para pesertanya; daripada semua pendklamator, pemuzik, penulis, para pesertanya saya percaya meraih banyak manfaat dan dapat melaksanakan tugas-tugas mereka dengan jayanya. Daripada aspek disiplin berkesenian, di pentas atau sewaktu berlatih, para peserta randai ini menunjukkan iltizam yang tinggi.

Bagi saya, saya mempelajari betapa banyak strategi untuk membentuk nilai kesenian dan pemahaman terhadapnya daripada interaksi saya dengan setiap pesertanya. Saya bersyukur bahawa pengalaman saya dalam projek ini mendatangkan manfaat dan memberi saya banyak peluang untuk membentuk set-set pengarahan berstuktur yang boleh saya eksploit sama ada dalam pengajaran dalam sekolah atau aktiviti ko-kurikular dan pengayaan, terutama sekali dalam program EMAS-BPGHS, pada masa hadapan.

Saya bertuah dapat peluang mengajar anak-anak didik saya apa-apa yang saya tahu tentang kesusasteraan dan persembahan kesenian yang saya harap dapat mencetus satu golongan anak-anak pintar dan pecinta seni dan bahasa pada masa depan.

DIRGAHAYU, BPGHS! Dirgahayu EMAS-BPGHS!

(gambar-gambar yang dirakam dalam latihan hari ini akan menyusul kelak)

Isnin, September 08, 2008

Opera Naga-Naga Bertarung

Opera Naga Bertarung

• Putera Sulong
• Putera Bongsu
• Puteri Candera Dewi
• Raja Tua
• Raja Permaisuri
• 4 Menteri
• Bota
• 8 orang Panglima
• 8 orang Dayang
• 8 – 12 orang rakyat jelata


*****

Sinopsis
Opera Naga-naga Bertarung

Kisah dua orang putera raja yang bersaudara bertelagah mengenai kehandalan masing-masing. Pada masa yang sama, mereka berdua mencintai seorang puteri yang sama. Kisah ini berakhir dengan sebuah tragedi; kedua-dua putera raja bersaudara itu bertarung dan mati.

*****

Babak 1
Setting: Istana

Dua bilah keris telah dianugerahkan kepada kedua-dua putera raja itu oleh guru yang mengajar mereka ilmu pencak silat. Kedua-dua bilah keris itu saling bergantung kesaktian antara satu sama lain. Keris yang pertama telah diambil dahulu oleh Putera Bongsu manakala keris kedua diberi kepada Putera Sulong. Putera Sulong berasa murka kerana dia berpendapat telah mendapat sisa. Mentelah lagi, mendengar akan kata-kata yang menghasutnya, kemurkaan Putera Sulong menjadi bertambah-tambah.


Babak 2
Setting: Istana

Isi istana digemparkan dengan berita Puteri Candera Dewi diculik bota yang merosakkan negeri jiran. Puteri Candera Dewi ialah tunangan Putera Sulong. Putera Bongsu dalam diam telah menaruh hati kepada tunangan kakandanya. Putera Sulong lalu berangkat untuk meyelamatkan tunangannya, diikuti oleh Putera Bongsu tanpa pengetahuan sesiapa un.

Babak 3
Setting: Istana Runtuh

Puteri yang diculik oleh bota cuba diselamatkan oleh kedua-dua orang putera raja itu. Dalam pertarungan dengan bota, Putera Sulong pengsan. Putera Bongsu dapat menyelamatkan Puteri Candera Dewi dengan menggunakan kedua-dua kerisnya dan kepunyaan Putera Sulong dan membunuh bota.
Puteri Candera Dewi amat terhutang budi dengan jasa Putera Bongsu dan menyatakan penghargaannya di hadapan Putera Sulong yang baru sedar daripada pengsannya. Maka Putera Sulong lalu murka dan mencabar adindanya.


Babak 4
Setting: Lautan
Sewaktu bertarung di tengah lautan besar, kedua-dua putera raja itu bertukar menjadi naga. Ahirnya, kedua-duanya kecundang dan jasad mereka terdampar di tengah-tengah lautan menjadi sebuah pulau.

*****

Skrip opera ini akan dibangunkan dengan input para pelajar sastera dan bahasa saya pada penggal ini. Saya berharap usaha ini akan dapat saya tangani dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, saya memohon kerjasama semua pelajar yang berkenaan dalam pembinaannya itu.

Ahad, Julai 20, 2008

KUIZ BAHASA & KEBUDAYAAN 2008

19 Julai 2008 - Kuiz Bahasa & Budaya 2008 untuk Sekolah Rendah Zon Barat

Anjuran Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dengan usaha sama
Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu, Balai Rakyat Boon Lay

Bertempat di Balai Rakyat Boon Lay, 19 Julai 2008, 9.00 pg - 1.00 ptg

Sebanyak 7 buah sekolah rendah zon barat mengambil bahagian setelah mendaftar dalam masa 2 hari melalui emel.

Sekolah-sekolah tersebut adalah:
Sekolah Rendah Boon Lay Garden
Sekolah Rendah Greenridge
Sekolah Rendah Keming
Sekolah Rendah Perempuan Methodist
Sekolah Rendah Teck Whye
Sekolah Rendah West View
Sekolah Rendah Xingnan

Setiap pasukan diwakili empat orang pelajar (termasuk seorang peserta simpanan). Setiap pasukan terdiri sekurang-kurangnya seorang murid darjah 4, seorang murid darjah 5 dan seorang murid darjah 6, (termasuk seorang peserta simpanan - dari mana-mana peringkat darjah 4-6).

Sebanyak 2 pusingan saringan dijalankan dan 3 buah sekolah, Sekolah Rendah West View, Sekolah Rendah Boon Lay dan Sekolah Rendah Teck Whye masuk ke pusingan akhir. Sekolah Rendah Teck Whye menjadi juara, sementara Sekolah Rendah Boon Lay naib juara dan Sekolah Rendah West View mendapat tempat ketiga.

Pengadil-pengadil pada hari itu ialah Cikgu Zelda Ibrahim dari Sekolah Menengah Swiss Cottage, Cikgu Muslim Hanafiah dari Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Cikgu Nur Azarina Khamis dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Majlis juga mengalu-alukan Puan Ho Geok Choo, Anggota Parlimen GRC Jurong yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Acara selingan diserikan dengan nyanyian beramai-ramai oleh para pelajar ASEAN dan persembahan puisi artistik pelajar-pelajar HMT dari BPGHS.

Seramai seratus orang pelajar, ibu bapa dan para guru menghadiri acara ini.

Menjunjung Budi
Acara pada hari tersebut tidak akan dapat berlangsung tanpa kerja keras setiap individu berikut.

Encik Jusri - Pegawai Pentadbiran, Balai Rakyat Boon Lay.

Para Anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Balai Rakyat Boon Lay.

Cikgu Sazali Sahri - Ketua Subjek Bahasa dan Sastera Melayu, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Cikgu Noor Marlina, Cikgu Teoh, Cikgu Senan, Cikgu Ezra, Cikgu Maimoon dan Cikgu Nur Azarina - para tenaga pengajar dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Jawatankuasa Kecil Projek Kuiz:
Cikgu Zelda Ibrahim - Sekolah Menengah Swiss Cottage
Cikgu Muslim Hanafiah - Sekolah Menengah Yusoff Ishak
Cikgu Rahayu - Sekolah Rendah Xingnan
Cikgu Norlaily Ahmad - Sekolah Rendah Boon Lay Garden
Cikgu Hariyati Surana - Sekolah Rendah West View
Cikgu Faridah Abdul Aziz - Sekolah Rendah Teck Whye

Para pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang:
Nadiah, Diyana, Syahirah, Fazleen, Aisyah, Sabrina, Izyan, Adilah, Annastasia, Farhana, Ahamd Tirmuzi, Syafiq, Sufy, Saufy, Amirul Asyraf, Muhd Amirul, Hanafi, Ridhwan, Iqbal, Sulaiman, Iddo, Robert, Arveen, Wei Liang dan Bayu

Syukur kepada Hadirat Ilahi yang melancarkan semua aktiviti hari tersebut dengan inayah-Nya. Semoga usaha ini diberkati-Nya.




**********************************************
Sebahagian potret yang dipetik pada majlis tersebut.















Jumaat, Januari 18, 2008

Tarian Mak Inang Cina - 17.1.2008 - Program EMAS

Alhamdulillah, saya berasa sungguh bahagia kerana dapat menggerakkan kumpulan tarian ini dengan membina konsep dan jalur cerita bagi tarian berirama tradisional ini. Catatan ini sekadar mengingatkan semua langkah yang dijalan dalam membina konsep tarian and jalur ceritanya.

Projek tarian ini dibuat untuk persembahan pada sambutan Tahun Baru Cina pada 6 Februari 2008 di auditorium Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Konsepnya secara khusus melambangkan perihat keriangan dan keanggunan dalam meraikan sebuah perayaan.

Sinopsis - Sebuah tarian yang memamerkan perasaan gembira anak-anak gadis ketika menyambut sesebuah perayaan. Pergerakan irama dan rentah beserta lenggangan tangan dengan langkah Melayu dengan diselang-selikan hayunan dan lentikan jari, meniru gaya tarian Cina yang mudah.

Konsep pergerakan meliputi tarian adalah seperti berikut:
A. menggayakan pakaian baru
B. menyampaikan ucapan selamat
C. berkunjung-kunjungan
D. membuat kuih-muih perayaan


Pergerakan dan langkah menghiasi iringan lagu tarian yang mengandungi bahagian-bahagian berikut:

Intro(Mula) – Biola
Rangkap 1 – Biola (A) -V
Rangkap 2 – Biola (D) - V
Selingan – Akordion (C)
Rangkap 3 – Akordion (B) – Oo0
Rangkap 4 – Akordion (C) - Oo0
Rangkap 5- Biola (C) - / /
Rangkap 6 – Biola (B) - / /
Akhir – Akordion - ______


Bentuk-bentuk Tarian yang akan digerakkan:
- bulatan
- menyilang
- segi tiga
- sebaris
- berbaris-baris


Respons pelajar yang bersama-sama membina konsep dan bentuk tarian adalah seperti berikut:
- setiap pergerakan harian boleh diubah dan digayakan menjadi gerakan tarian
- setiap pergerakan yang dibuat ada maknanya yang tersendiri
- ada erti-erti halus dalam setiap gerakan tarian Melayu
- setiap tarian sebaik-baiknya mempunyai jalan cerita

Latihan akan dijalankan dengan para pelajar sendiri menentukan setiap gaya dan pergerakan dengan panduan yang saya berikan.

Saya berharap projek ini akan berjaya dan para pesertanya akan memerolehi manfaat yang banyak daripadanya.

Berikut merupakan paparan beberapa aktiviti sesi yang diadakan pada tarikh tersebut.







Irama Mak Inang Cina
http://myfreefilehosting.com/f/f6bd933559_31.69MB