Memaparkan catatan dengan label Pustaka Bangsa Kita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pustaka Bangsa Kita. Papar semua catatan

Selasa, April 05, 2011

Tersebutlah Kisah.... Berita Harian, Singapura, 2 April, 2011

Oleh
Ismail Wardi




Tajuk: Syair Cerita Kanak-Kanak
Penulis: Abdul Manaf Mohd Yasir
Penerbit: Persama Enterprise, Singapura
Tebal: 112 halaman

BELIAU amat meminati syair. Malah, dalam beberapa acara bahasa dan sastera, beliau diundang melagukan beberapa syair seperti Syair Siti Zubaidah, Dendang Siti Fatimah dan Syair Selendang Delima.

Keupayaan Abdul Manaf Mohd Yasir bersyair dengan membawakan lagu yang berbeza-beza mampu memukau hadirin.

Minat yang mendalam serta percaya bahawa syair berpotensi dihidupkan dan dikembangkan untuk generasi akan datang telah mendorongnya mengusahakan sebuah buku kumpulan syair berjudul Syair Cerita Kanak-Kanak, yang baru sahaja diterbitkan.
Sebelum ini, Abdul Manaf telah menghasilkan dua novel remaja, Aku Tidak Punya Pilihan (DBP 1994) dan Bagai Angin Bertiup Lalu (Pekan Ilmu 2009).

Syair Cerita Kanak-Kanak menghidangkan sembilan syair yang digubah berdasarkan cerita-cerita rakyat terkenal seperti Lebai Malang, Singapura Dilanggar Todak, Badang dan beberapa cerita dongeng Melayu.

Bertujuan menyampaikan cerita menerusi syair, penulis menggubahnya menggunakan perkataan-perkataan mudah demi menuju sasarannya, iaitu pembaca kanak-kanak peringkat rendah atau sebagai permulaan mengenali syair.

Cerita-cerita itu mengandungi banyak pengajaran dan teladan.

Setiap syair telah digubah menurut alur cerita. Namun, sama ada disengajakan atau tidak, pada beberapa cerita, penulisnya tidak mengakhiri syairnya hingga ke akhir cerita. Sebagai contoh, di dalam Syair Badang Beroleh Kekuatan di halaman 9, kisah Badang diakhiri dengan syair:

Badang perkasa masyhurlah namanya,
Ramai yang hairan mendengar kisahnya,
Bukan sedikit kagum dek kekuatannya,
Tak kurang yang kasih akan baik budinya.


Pada pandangan saya, jika bahagian ini dimasukkan juga kisah Badang beradu kekuatan mengangkat batu besar dengan seorang pahlawan gagah dari benua Keling dan kemudian melontarkannya ke kuala sungai Singapura serta kisah Badang menguji kekuatannya dengan seorang pahlawan dari Perlak, seperti tercatat dalam Sejarah Melayu, ia akan lebih menarik perhatian kanak-kanak.

Bagaimanapun, apa yang menariknya, pada sesetengah syair, penulis menyelitkan beberapa dialog bagi lebih menghidupkan cerita apabila dibaca atau dilagukan.
Contohnya:

'Ampun tuanku patik menurut perintah,'
Perdana Menteri memberi sembah,
'Kalaulah begitu tuanku bertitah,
Berkubu batang pisang rakyat dikerah!'
- Syair Hang Nadim, halaman 23.


Kesimpulannya, usaha Abdul Manaf ini wajar dihargai memandangkan kurangnya bukubuku sebegini untuk bacaan kanak-kanak dan ia amat baik jika digunakan di sekolah-sekolah rendah sebagai bacaan tambahan.

Jumaat, Januari 28, 2011

Syair Cerita Kanak-Kanak (2011), Persama Enterprise Pte Ltd (Singapura)


(Penulis dengan buku Syair Cerita Kanak-kanak yang digubahnya.)


Berikut adalah apa-apa yang saya paparkan dalam facebook saya bagi tujuan promosi.

01. Syair Sang Nila Utama

Terdapat 14 buah rangkap dalam syair narasi ini, menceritakan semula salah sebuah cerita rakyat akan asal usul nama pulau Temasek yang bertukar pada Singapura atau Kota Singa. Terdapat dua buah gambar berwarna menghiasi teks syair ini. Syair ini saya harapkan dapat menjadi bahan alternatif bagi kita mengimbas kembali cerita popular dunia tentang tanah air kita ini.



02. Syair Badang Beroleh Kekuatan

Terdiri daripada 39 buah rangkap dalam penceritaan cerita rakyat hero Melayu zaman silam ini. Saya menyodorkan tujuan asal Badang hendak menahan lukah di sungai itu guna mendapatkan sumber protein tambahan bagi memudahkannya menebas dan menerangkan kawasan hutan yang telah diperintahkan oleh tuannya. Penceritaan semula kisah masyhur ini pernah saya sampaikan dalam sesi bercerita untuk kanak-kanak dalam bahasa Melayu di Perpustakaan Daerah Tampines lebih sepuluh tahun dahulu.



03. Syair Hang Nadim

Terdiri daripada 30 buah rangkap, syair ini amat sinonim dengan nama salah tokoh anak Melayu silam yang bijak namun dia mendahului zamannya. Kehadirannya tidak disenangi oleh orang-orang yang berpengaruh sekeliling raja pulau tercinta ini pada zaman dahulu. Seingat saya, kebijaksanaan Hang Nadim harus dikekalkan dan dimasyhurkan kepada anak-anak kita sejak kecil lagi. Sikapnya yang mahu memberi huraian terhadap masalah besar haruslah disanjung.



04. Syair Sang Rajuna Tapa Menderhaka

Terdiri daripada 19 buah rangkap, kisah ini mengingatkan kembali dilema Sang Rajuna Tapa. Akibat tertekan persaannya, dia mengambil tindakan yang merugikan semua pihak. Namun, daripada cerita ini, saya berhasrat mengutarakan pandangan bahawa sebelum apa-apa tindakan yang hendak kita ambil perlu kita timbang akan baik dan buruknya.



05. Syair Radin Mas Ayu

Terdiri daripada 45 buah rangkap, syair ini merakam kisah seorang anak gadis yang baik dan berhemah tinggi. Sifat anak Melayu yang taat dan mengasihi anggota keluarganya ini juga menyisipkan semangat cinta dan taat setia akan tempat tinggal yang dianggap tanah air. Cerita rakyat yang mashyur ini diharapkan dapat mengingatkan kita betapa dalam tanah air kita ini, pernah wujud manusia-manusia misali seperti Pengiran Agung, yang taat dan setia kepada pemerintahan serta menyokong kesejahteraan tanah airnya itu. Radin Mas Ayu pula amat mementingkan kebahagiaan keluarganya daripada kepentingan dirinya sendiri.



06. Syair Candi Seribu

Saya mengenali cerita ini daripada almarhumah ibu saya sendiri. Sewaktu mula bersekolah, oleh kerana saya gemar pula akan membaca buku-buku cerita dongeng, saya mendapati cerita rakyat ini memerikan tentang betapa kekejaman hendaklah diperangi dengan musyawarah. Muslihat dilakukan untuk mengalahkan kekejaman itu perlu dilbuat setelah semua ikhtiar untuk menghindarinya menemukan jalan buntu. Cerita ini saya sampaikan dalam 13 buah rangkap syair. Saya sedang menyusun irama lagu syairnya yang saya gunakan daripada lagu-lagu midjil, lagu yang didendangkan untuk menyampaikan beberapa buah puisi tradisional Jawa .



07. Syair Pak Lebai Malang

Ada kalanya, dugaan datang dalam bentuk pilihan yang begitu banyak. Saya berpendapat kisah cerita ini mengingatkan akan kita betapa penting menghindari sikap buruk yang hanya memikirkan keuntungan sahaja. Tanpa menyusun tindakan yang sebaik-baiknya untuk dijayakan apa-apa yang dihajati, usaha yang murni itu tidak akan terlaksana malah akan mendatangkan kerugian atas diri kita kelak. Kisah ini dilagukan dalam 18 buah rangkap syair dalam lagu syair Seberang Tambak.



08. Syair Nakhoda Ragam dan Puteri Laila Mencanai

Cerita ini saya ketahui daripada persembahan dendangan sebuah lagu tradisi yang popular dari Brunei sewaktu saya di bangku sekolah. Negara Brunei begitu menakjubkan saya. Variasi bahasa Melayunya yang unik, bagi saya, daripada bahasa Melayu yang kita gunakan di daerah sini. Kesungguhan usaha raja yang popular dengan gelaran Nakhoda Ragam, yang keluar belayar mencari seorang permaisuri idaman hatinya lalu menemukan baginda dengan seorang puteri yang menjelma daripada buih dan rumpai di tengah-tengah lautan samudera yang luas. Cerita ini saya pernah lagukan dalam 48 buah rangkap syair. Saya gunakan lagu syair Siti Zunaidah Brunei, Riau dan Johor yang masyhur itu.



09. Syair Cerita Raja Bongsu

Syair terakhir dalam antologi ini terdiri daripada 42 rangkap syair. Raja Bongsu berjaya menyelamatkan Puteri Melor Di Awan yang telah dikurung gergasi. Mereka akhirnya berjaya menyelamatkan diri setelah mendapat pertolongan seekor ikan paus . Ikan paus itu datang membantu mereka daripada ancaman ditawan semula oleh gergasi pemakan manusia itu. Pada awal cerita ini, Raja Bongsu telah menyelamatkan ikan paus tersebut daripada mati terdampar di tepi pantai.


Terbitan
Persama Enterprise,
587, Geylang Road, #04-01,
Singapura 389526.

Hp +6585332922

emel: persama@pacific.net.sg

Selasa, Mac 23, 2010

Pesanan Munsyi Abdullah Akan Pekerjaan Guru

Pertama-tama hendaklah ada pengetahuan
Kedua hendaklah jangan ia (dia) membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.
Ketiga hendaklah ada ia (dia) sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.
Keempat hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai dia (-nya).
Kelima hendaklah ia (dia) rajin serta usaha.

(Hikayat Abdullah, 1997 (cetakan ketujuh): Kuala Lumpur, Pustaka Antara)

Saya selalu merenungkan apa-apa yang tersirat dalam pesanan Ayahanda Munsyi Abdullah, semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas roh almarhum ayahandaku ini dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang mendapat keampunan pada hari kebangkitan kelak. Begitu juga saya berharapkan kepada semua mantan guru saya yang sudah berpulang.

Rabu, Mac 03, 2010

Gema Puisi Artistik - Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Puisi ini diangkat daripada khazanah bangsa dan saya susun untuk dibuat persembahan puisi berteater - dibacakan dengan sedikit pergrakan seni.

Puisi di bawah ini telah saya susun khas untuk anak-anak didik di kelas-kelas menengah 2 Cikgu Noormarlina bawakan. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana membenarkan saya dalam ruang masa yang sedikit untuk berlatih dalam memahami serta menghayati puisi mudah ini. Saya bersyukur anak-anak itu berjaya membina pemahaman dan penghayatan terhadap puisi itu dalam masa yang begitu suntuk. Namun, dalam kesempitan, ada kelapangan dan saya diberi sokongan kuat dengan kegigihan anak-anak murid ini. Memanglah, pada mulanya, mereka agak janggal dan tidak tahu apa-apa. Setelah menjalani latihan untuk beberapa waktu yang singkat, saya yakin, mereka mampu membuatnya dengan baik. Semoga setiap waktu dan kata-kata yang mereka harungi dan telahi akan membawa pengertian yang besar pada masa-masa mendatang dalam diri semua yang terlibat secara langsung atau tidak.

Saya akan berkongsi pelbagai aspek pembinaan persembahan ini daripada pemkanaan serta penegasan sewaktu menatar anak-anak ini hinggalah pada hari pertandingan yang akan berlangsung pada 13 Mac 2010.

Saya amat senang dengan pengalaman yang banyak maknanya dalam diri saya secara peribadi sebagai seorang guru ini.

Terima kasih, Cikgu Noormarlina.

Terima kasih anak-anak.


Puisi Ciri-ciri Sahabat

Perempuan:
Budak jantan pandai melangkah
Pandai bercakap satu dua
Elok bermain di tengah rumah
Elok bermain di laman rumah
Sedang membesar
Kalau berjalan melangkah turun
Langkah diatur tujuh langkah
Ditengok ada di rumah
Dihimbau ada menyahut
Tidak bertingkah lebuh panjang
Tidak bersilang perjalanan
Tidak kalah di tengah gelanggang
Tanda dijemput dihantarkan
Tanda berpergi ‘kan berbalik
Tanda berpinjam dipulangkan

Lelaki:

Budak perempuan baru melangkah
Baru bercakap sepatah dua
Kaki diberi gelang kaki
Gelang bergenda bergiring-giring
Leher diberi rantai halus
Rantai tempat tangkal azimat
Telinga sudah ditindik dabung
Tindik dipasang anting-anting
Tangan diberi gelang selingkar
Gelang kecil belah rotan
Gelang dibuat main-mainan
Gadis sunti beranjak naik
Beranjak seri ke muka
Cantik berseri eloknya ada
Suaranya lemah-lemah lembut
Lenggangnya bagai goyang dahan
Langkah bagai dibilang-bilang

Macam-Macam Sahabat

Perempuan:

Pertama sahabat sejati

Amirah:

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dengan daging
Bagai aur dengan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Satu sakit dua terasa
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong

Ramai:

Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tidak dipampas
Mati tidak diungkit
Sakit tidak disebut
Salah tidak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai simpai sepenjalinan
Bagai kulit dengan isi
Bagai lukah dalam air

Amirah:

Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Gentingnya tidak memutus
Simpul tidak terungkai lagi.

Perempuan:

Kedua sahabat sama tinggi

Ryan:

Kasihnya berbatas-batas
Sayangnya berhingga-hingga

Ada buah sama menjolok
Buah habis galah dibuang.

Perempuan:

Ketiga sahabat kambing bujang

Asyiqin:

Kalau tidur sama sekandang
Kalau makan ke tengah padang
Kalau berbini tanduk-menanduk
Beradu kuat dengan keras
Lupa kandang
Lupa padang.

Perempuan:

Keempat sahabat cerdik buruk

Fyraz:

Yang bodoh dibodoh-bodohkan
Yang penakut dipelesi
Cerdiknya cerdik mengena
Piuh kacang hendak memanjat
Piuh jering hendak berisi
Piuh pilin mengeringkan.

Perempuan:

Kelima sahabat injab lukah

Ramai:

Dari muka bermanis-manis
Kalau masuk badan terkurung.

Perempuan:

Keenam sahabat anak harimau

Irfan:

Selagi kuku belum tumbuh
Selagi taring belum menyorong
Dapat dibawa bermain-main
Kalau kuku sudah runcing
Kalau taring sudah menyiung
Kulit tebal dicakarnya
Kepala keras dikerkahnya.

Perempuan:

Ketujuh sahabat burung tiung

Putra Danish:

Begitu orang begitu awak
Tak tahu untung sendiri

Perempuan:

Kedelapan sahabat kukur

Putra Danish:

Karutnya karut mengena
Soraknya sorak berisi
Kelapa jua yang binasa
Bagai durian dengan mentimun
Bagai kain buruk dengan onak
Siapa datang siapa kena.

Perempuan:

Kesembilan sahabat burung hinggap

Putra Syafiq & Haziq:

dahan dibuat tempat tidur
Hari siang dahan diberak
Terbang tidak berbalik lagi.

Perempuan:

Kesepuluh sahabat hulu keris

Putra Syafiq & Haziq:

Bagai hulu keris dengan matanya
Hulu molek ukir-berukir
Ditengok dipegang orang
Tuah terletak di matanya juga.

Perempuan:

Kesebelas sahabat sarung keris
Sarung pelindung mata keris
Tempat diam tempat berteduh
Luarnya tatah-bertatah

Dalamnya luka-lukaan
Sekali keris dicabut
Sekali sarung teriris
Sekali keris disarung
Sekali sarung tersayat

Lelaki:

Kedua belas sahabat umpan kail
Yang sedia bertungkus-lumus
Yang sedia membuang nyawa
Yang tak menyebut-nyebut jasa
Awak binasa orang senang
Kail juga yang disebut orang

Perempuan:

Kita berbicara kita bercerita

Lelaki:

Kita bersenda bersuka ria

Perempuan:

Macam-macam jenis sahabat

Lelaki:

Menurut cerita orang tua-tua

Perempuan:

Buat renungan kita semua

Ramai:

Oleh itu ayuhai teman
Pilih-pilih dalam bersahabat
Teman ketawa senang dicari
Teman menangis diri sendiri
Fikir-fikirlah

H A B I S



Setentunya, ada pelbagai latihan bahasa dibuat para pelajar Cikgu Noormarlina daripada pembelajaran bahasa, dan penulisan termasuk latihan pemahaman dengan bimbingan guru. Saya akan berkongsi apa-apa yang dihasilkan oleh semua pelajar itu dalam paparan yang akan datang.

Sabtu, Januari 23, 2010

Laksamana Tun Tuah - Abdul Samad Ahmad


HIkayat Hang Tuah yang diterbitkan semula dalam tahun 2008 dengan pengenalan tambahan oleh Noraih Mohamed.


Buku Laksamana Tun Tuah edisi ketiga ini diterbitkan dalam siri Sastera Melayu Remaja.

Buku ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia dalam tahun 1963. Kini, diterbitkan semula dalam edisi ketiga, dalam Siri Sastera Remaja Pilihan Abad 20 pada tahun 2004. Dalam kata pengantar buku ini, dinyatakan bahawa buku ini diterbitkan semula bersama-sama judul yang lain dalam siri ini "..... kerana dianggap klasik sewaktu karya ini diterbitkan pada mulanya dan karya dalam bentuk ini pernah menjadi popular, yang luas edaran dan bacaannya...."

Buku ini dihasilkan oleh Allahyarham A Samad Ahmad berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Dengan bahasa mudah dan langgam bercerita yang menarik hati, saya teruja membacanya semula buat entah kali ke berapa, saya tidak pasti. Saya amat terpanggil untuk membaca kiha pengembaraan Laksamana Hang Tuah dan lima sahabantnya dalam mereka menaburkan jasa dan berbakti kepada sultan Melaka.

Peristiwa pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat amat menyayat hati. Bagi saya, amat seronok menatap dan membaca semula kisah-kisah daripada hikayat Melayu yang masyhur itu. Walaupun saya senang dengan teks Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad, bagi saya buku yang diusahakan olhe Allayharham A Samad Ahmad ini merupakan pengiring bagi kitab besar itu dan juga sesuai ditatap oleh anak-anak murid saya atau sesiapa sahaja yang mahu berjinak-jinak dengan Hikayat Hang Tuah itu.

Seperti juga buku yang dihasilkan oleh Dato' Mubin Sheppard, "The Adventures of Hang Tuah", buku ini mudah dan seronok dibaca. Buku ini boleh didapatkan dari Perpustakaan Negara dalam rak-rak Remaja.

Saya akan menyediakan kertas latihan tatabahasa dan pemahaman serta reviu buku berdasarkan cerita daripada Hikayat Hang Tuah ini. Saya akan membina teks soalan-soalannya daripada pembacaan kedua-dua buku tersebut. Latihan kali ini bertujuan untuk memahirkan pengetahuan tatabahasa Melayu berdasarkan teks atau cerita daripada cerita pengembaraan Hang Tuah yang terkenal itu. Selamat membaca.

Ahad, Januari 17, 2010

"The Adventures Of Hang Tuah" susunan Dato Mubin Sheppard

Buku bahasa Inggeris ini bagi saya agak baik sebagai pengenalan kitab Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Ditulis oleh Dato' Mubin Sheppard, Alllahyarham, dimulakan dalam tahun 1943 di Penjara Changi, Singapura. Allahyarham menggunakan sumber Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah bagi penulisan buku ini dalam bahasa Inggeris ini. Harapannya, agar buku ini dapat membangkit rasa kasih cinta akan khazanah cerita Tanah Melayu dan Hang Tuah merupakan salah seorang wira zaman silam yang cukup diminati anak-anak bangsa hingga pada masa kini. Buku ini pertama kali diterbitkan dalam tahun 1949 oleh Donald moore dan Eastern University Press Pte Ltd, Singapura. Ilustrasi coretan hitam diusahakan oleh Kathleen Walker. Buku kecil setebal 136 halaman ini juga mengandungi glosari mudah dengan penerangan dalam bahasa Inggeris bagi kekata bahasa Melayu yang digunakan penulis dalam buku cerita mudah yang indah ini. Terdapat 12 bab yang mengisahkan pengembaraan Hang Tuah, daripada pertarungan dengan sekumpulan bajak laut hingga ghaibnya hang Tuah di Gunung Ledang pada bab 12.

Saya senang dengan penceritaan dalam buku ini kerana setelah membaca Kitab Hikayat Hang Tuah yang tebal itu, terasa banyak episod mengenai tokoh Hang Tuah begitu hidup sekali dalam jiwa buku Inggeris ini. Saya membaca buku bahasa Inggeris ini pada tahun-tahun 1970-an. Edisi ringkas bahasa Inggeris daripada buku Allahyarham Dato Mubin telah diusahakan dalam siri bahan bacaan tambahan bahasa Inggeris oleh Oxford Unviversity Press dalam tahun-tahun 1970. Buku ini masih segar dalam ingatan dan sayang sekali saya tidak ada salinannya. Semasa menuntut di Akademi Pengajian Melayu dulu, saya sempat mendapatkan salinan di Perpustakaan Universiti Malaya dan kembali membacanya dengan penuh nikmat.

Dalam kesempatan ini, saya coretkan sedikit catatan mengenai bahagian awal kisah Hang Tuah yang bukan sahaja bijak dan berani, cekap bermain senjata tetapi pandai dalam ilmu perniagaan dan mahir menggunakan sebanyak 12 bahasa asing. Hang tuah digambarkan sebagai anak yang baik budi, segak dan terang hati dalam pengajian al-Quran.

Semoga anak-anak murid akan senang seperti saya dan akan juga mencari serta membaca kisah tokoh terkenal dalam kalangan orang Melayu dalam buku ini, tidak kira di mana-mana sahaja anda berada.

Paparan daripada youtube.com


Hikayat yang terkenal ini juga sudah lama juga dijadikan filem yang masyhur dan juga dalam banyak pementasan drama dan bangsawan sejak sekian lama.


Sekelumit Kisah Indah Daripada Hikayat Hang Tuah

Hang Tuah sekeluarga berasal dari Sungai Duyung. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya pula Dang Merdu. Mereka telah berpindah ke Bentan dan membuka sebuah kedai menjual makanan. Di Bentan, mereka tinggal dalam kampung Bendahara.

Sewaktu kecil, Hang Tuah telah belajar mengaji al-Quran daripada seorang lebai dan belajar bahasa Keling, Siam, Cina dan Jawa hingga boleh menguasai sebanyak 12 jenis bahasa.

Hang Tuah sentiasa membantu kerja-kerja ayahnya di kedai makanan itu. Dia juga pergi ke sebuah yang belukar berdekatan untuk memungut kayu api. Setiap hari, dia membelah kayu api di hadapan kedai ayahnya. Hang Tuah amat rajin menjalankan kerja-kerja di rumah dan di kedai ayahnya itu.

Hang Tuah mempunyai empat orang rakan sebaya yang amat akrab dan diangkatnya sebagai saudara. Mereka ialah Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Pada suatu ketika, mereka telah bermuafakat untuk merantau dengan perahu. Dalam pelayaran ke Pulau Tingg itu, perahu mereka tealh dihambat oleh lanun. Mereka berlima berjaya menentang musuh dengan keberanian, lebih-lebih lagi Hang Tuah. Mereka berjaya menawan beberapa orang lanun itu dan menyerahkan mereka kepada Batin Singapura yang kebetulan sedang berlayar lewat di Pulau tinggi dalam perjalanan ke Bentan. Dikatakan daripada penangkapan lanun-lanun itu, tersebar khabar bahawa lanun-lanun itu telah diketuai oleh Atia Negara yang bertujuan untuk merompak di Palembang atas arahan Patih gajah Mada, seorang menteri Kerajaan Majapahit. Keberanian Hang Tuah menentang lanun-lanun itu disampaikan kepada pengetahuan Bendahara Paduka Raja oleh Batin Singapura.

Hang Tuah lima bersahabat itu pergi berguru kepada Aria Putera di Bukit Pancalusa. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya bertekad mahu menjadi tangkas bermain senjata dan mahir dalam kemahiran berperang. Mereka menuntut berbagai-bagai ilmu , iaitu syara hulubalang, firasat dan ilmu berperang dengan menggunakan senjata dan muslihat. Aria Putera mendapati bahawa kemampuan Hang Tuah jauh mengatasi kebolehan sahabat-shabatnya lalu dia memberikan tumpuan pengajaran yang lebih kepada Hang Tuah berbanding dengan yang lain. Sebelum berangkat pulang ke kampung halaman mereka, Aria Putera telah berpesan agar Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya perlu menambah ilmu persilatan mereka dengan menuntut kepada seorang guru silat yang bernama Sang Persata Nala yang bertapa di Gunung Wirana, Majapahit. Sang Persta Nala ialah saudara Aria Putera.

Hang Tuah pernah berjaya menewaskan orang mengamuk dengan kapak. Pada ketika itu, Hang sedang membelah kayu di hadapan kedai ayahnya. Dia dapat membunuh orang yang mengamuk itu dengan menggunakan sebilah kapak juga. Hang Tuah baru sahaja berumur 10 tahun pada waktu itu. Keberanian Hang Tuah itu amat mengkagumkan jiran-jiran di kampungnya dan juga sahabat-sahabatnya. Masyhurlah kisah keberanian dan kejayaan Hang Tuah menentang orang mengamuk dalam kampung Bendahara itu.

Pada suatu hari, Datuk Bendahara sedang berjalan-jalan diiringi oleh pegawai-pegawainya, datang empat orang lelaki yang mengamuk. Orang-orang yang mengamuk itu cuba membunuh membunuh Datuk Bendahara. Pengawal Datuk Bendahara yang bertangung jawab menjadanya lari meninggalkan Datuk Bendahara seorang diri. Hang tuah dan sahabat-sahabatnya dengan mara lalu mencabar orang-orang yang mengamuk itu dengan penuh keberanian. Bendahara yang tercegat berdiri di situ menyaksikan ketangkasan Hang Tuah dan para sahabatnya menentang orang-orang yang mengamuk itu. Datuk Bendahara berasa atakjubmenyaksikan keberanian Hang Tuah kerana walaupun dia masih kecil, Hang tuah begitu berani dan amat gagah perkasa.

Selepas kejadian itu, Datuk Bendahara menjadikan Hang Tuah dan keempat-empat orang sahabatnya sebagai anak angkat dan diberi persalinan sebagai hadiah.

Berita Datuk Bendahara diselamatkan oleh lima orang budak bersahabat sampai kepada pengetahuan Raja Bentan. Baginda memerintah Datuk Bendahara menyerahkan kelima-lima orang sahabat itu untuk dilantik sebagai biduanda di istana.

Nota
Akan saya bangunkan bahan latihan tatabahasa dan bahan pengajaran daripada hikayat ini pada masa-masa mendatang. Semoga para pelajar, tidak kira di mana-mana anda berada, akan mendapat manfaatnya, insya-Allah.

Khamis, September 03, 2009

Bagai Angin Bertiup Lalu



Tajuk : Bagai Angin Bertiup Lalu
Penulis : Abd. Manaf Mohd Yasir
Tahun : 2009
m/s : 147

ISBN : 978-967-5106-25-5
Harga : RM 14.90
(Untuk Semenanjung, Sabah & Sarawak)


Sinopsis : Pertelingkahan antara kedua ibu bapa menyebabkan Andi Mirza kebingungan dan tercicir di dalam pelajaran akibat tekanan emosi. Bertambah buruk apabila mengetahui kedua ibu bapanya dalam proses untuk bercerai. Untuk mengelakkan keluarganya berpecah belah, pelbagai cara yang dilakukan oleh Andi Mirza. Namun usahanya hanya menemui jalan buntu. Paling menyedihkan apabila adik kecilnya, Hadi melalui satu tekanan psikologi yang berat dan menggugah perasaan. Andi Mirza menjadi bingung untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Novel yang membawa pembaca menyelam psikologi anak-anak ketika keluarga dalam berantakan.

(dipetik daripada http://senaraibukupipsb.blogspot.com/2009/03/bagai-angin-bertiup-lalu.html)

Catatan
Buku ini adalah hasil daripada sebuah tugasan menulis novel sewaktu mengambil sebuah kursus di bawah bimbingan Profesor Rahman Shaari sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya pada tahun 2007.

Selasa, Januari 06, 2009

Gajah Mada - Langit Kresna Hariadi

Kelima-lima buku ini adalah karya ilham Langit Kresna Hariadi. Buku ini diterbitkan oleh Tiga Serangkai, Solo.


Gajah Mada 1
Gajah Mada telah mendapat maklumat penting tentang akan adanya kekacauan. Daripada para penyuluh yang tidak dikenalinya, terus-menerus menyalurkan beberapa keterangan penting dengan menggunakan kata rahsia sehingga Gajah Mada dan pasukan Bhayangkaranya yang hanya berjumlah tak lebih daripada dua puluh orang, berhasil menyelamatkan Raja yang terus diburu musuhnya. Gajah Mada harus menyelamatkan Jayanegara hingga ke Bedander (Bojonegoro). Gajah Mada dan pasukan Bhayangkara selanjutnya menjalan serangan balik dan berhasil mengnumpaskan Ra Kuti dari takhta kerajaan yang bukan haknya.


Gajah Mada 2
Setelah Jayanegara mangkat, hanya ada dua orang calon yang salah satunya pasti diangkat menjadi prabu putri. Mereka adalah Sri Gitaraja dan Dyah Wiyat. Masalahnya, para calon ratu itu telah itu memiliki calon suami masing-masing yang juga memiliki pengikut yang setia. Raden Cakradara, calon suami Sri Gitarja dan Raden Kudamerta, calon suami Dyah Wiyat. Gajah Mada berjaya mencari calon ganti Almarhum Jayanegara untuk menerajui kerajaan Majapahit.


Gajah Mada 3
Sejarah kebesaran Majapahit pada dasarnya dan dikaitkan dengan sepak terjang Mahapatih Gajah Mada, yang baginda mulai dari sejak mengangktt Sumpah Hamukti Palapa. Daripada sumpah yang ketika dikumandangkan diperlekehkan oleh beberapa pembesar kerajaan Majapahit, Gajah Mada bekerja keras membangun kekuatan prajurit, terutama armada angkatan tentera laut. Negara Majapahit pun kemudian berubah menjadi negara yang besar lagi berwibawa.


Gajah Mada 4
Dyah Pitaloka Citraresmi tersingkir karena tidak mampu mengelakkan daripada peminangan yang pihak Raja Hayam Wuruk. Dyah Pitaloka mahu menerima pinangan Prabu Hayam Wuruk dengan catatan bahawa dirinyalah nanti yang bakal ditabalkan menjadi raja menggantikan ayahandanya. Syarat itu ternyata dipenuhi. Namun, Dyah Pitaloka yang telah terlanjur jatuh cinta kepada Saniscara dan akhirnya kecundang. Dyah Pitaloka ternyata seorang laki-laki pengecut yang tidak mahu bertindak. Dyah Pitaloka kebingungan pada saat Puteri Ratu Sunda Guluh itu mahu menerimanya dan diangkat sebagai Ratu Majapahit.


Gajah Mada 5
Sepeninggalannya Gajah Mada, Majapahit dilanda berbagai persoalan. Tanpa Gajah Mada, kerajaan-kerajaan yang dinaungi oleh payung kerajaan Majapahit itu tak lagi takut bertindak menuntut kemerdekaan. Kekuasaan dan politik Majapahit sepeninggalannya Gajah Mada berubah haluan kerajaan yang melemah. Gajah Mada mungkin bisa mengubah semua keadaan dalam kerajaan dan menghentikan semua peperangan dan masalah yang menghambat keagungan Majapahit. Majapahit lumpuh dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah masa silam.

(foto sampul buku didapatkan daripada www.tigaserangkai.com)

Siri Gajah Mada ini agak menarik jalan ceritanya. Bahasanya segar dan dibaur dengan pelbagai kekata Jawa kuno yang diberikan glosari pada halaman-halaman akhir setiap bukunya.

Buku-buku ini saya dapatkan daripada sebuah toko buku di Solo, Jawa Tengah sewaktu dalam program 'twining' di Purbalinbga pada awal. Selain siri Gajah Mada ini, saya juga ada membeli Rara Mendut, sebuah trilogi yang berlatarbelakangkan kerajaan Mataram di Pulau Jawa. Rara Mendut terpaksa membayar pajak setiap hari kerana keengganannya tunduk untuk dijadikan gundik Temenggung Wiroguno, salah seorang panglima besar di kerajaan Mataram silam.

Sinopsisnya akan saya bicarakan dalam paparan yang akan datang.

Selamat membaca.