Memaparkan catatan dengan label Keindahan Kesenian Kita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keindahan Kesenian Kita. Papar semua catatan

Ahad, Februari 27, 2011

Bengkel Mencipta Pantun - Yusof Ishak House, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS)



Alhamdulillah, sesi tersebut yang beralngsung pada Sabtu, 26hb Februari 2011, di Bilik Latihan (Training Rooms) 2 & 3.

Para peserta telah diajak meneliti struktur serta binaan ayat dalam pantun 2 & 4 Kerat (Baris). Penggunaan flora & fauna dalam alam Melayu (termasuk alam yang mereka kenali) diungkap dalam bahasa lisan Melayu yang langsug namun tetap bersopan, menunjukkan keperibadian pengucap-pengucap pantun itu.

Struktur ayat yang digunakan adalah ayat-ayat lisan yang pelbagai dan mereka diminta berlatih seterusnya dengan merujuk cara lisan orang Melayu (perhatian kepada cara-cara ibu bapa mereka bercakap dalam bahasa Melayu) dan frasa-frasa serta ayat-ayat Melayu yang lazim. Mereka juga dianjurkan mengolah ayat-ayat dalam baris-baris pantun agar kelihatan segar dan menarik didengar dan akan pastinya mendapat perhatian pendengar.

Saya mengesyorkan agar mereka menyertai saya dalam perbincangan proses penciptaan pantun mudah di facebook saya Abdul Manaf Bin-Mohd Yasir pada setiap hari Ahad dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Meraka juga boleh menghantar pertanyaan mereka di alamat emel saya di manafyasir@gmail.com.

Selasa, Februari 01, 2011

Roro Mendut

Cerita rakyat Jawa barat ini amat mengharukan dengan kisah percintaan gadis kampung yang menjadi rampasan dan dijadikan selir Temenggung Wiroguno yang sudah tua itu. Lantas menentang paksaan Wiroguno itu, Mendut dikenakan hukuman menghantar pajak. Untuk memenuhi permintaan Wiroguno itu, Roro Mendut menjual rokok di pasar yang menjadi kegilaan ramai lelaki. Roro Mendut diselamatkan Pronocitro dalam sebuah kegawatan akibat orang ramai menyerbu warong rokok Mendut. Cinta Roro Mendut terjalin sewaktu Pronocitro menyelamatkannya. Cinta itu pula ditentang Wiroguno. Video ini saya gemari kerana lagu tembang Jawanya menyenangkan hati.

Ahad, Januari 23, 2011

Menimbang Rasa - Oslan Husien

Singapura, Oh, Singapura!

Selasa, Januari 04, 2011

Syair Cerita Kanak-kanak




Alhamdulillah!.

Buku ini terbit juga akhirnya. Saya berasa sangat seronok sekali.

Bahan-bahan syair yang juga sedang dirancangkan untuk beberapa buah cerita rakyat juga sedang dalam proses penyuntingan. Semoga buku-buku serupa ini akan terbit tidak lama lagi, menambahkan lagi koleksi dan varian penceritaan khazanah bangsa kita.

Saya akan membincangkannya pada siaran yang akan datang.

Selamat membaca.

Rabu, September 22, 2010

Andre Goh - Dikirim Jangan, Dipesan Jangan (1973)

1.
Sejak kita berpisah
Hatiku sedih bertambah pilu
Terkenang masa dahulu
Bila kau di sampingku
Mengikat janji berpadu

2.
Sayup
Kini tinggal kenangan
Serangkai kisah cinta denganmu
Apakah kesalahanku
Dulu pernah kumerayu
Namun dikau membisu

3.
Jangan kukau hampiri
Hatiku bukan untukmu lagi
Mohon maafku padamu
Dikirim jangan, dipesan pun jangan

4.
Usah dikau harapkan
Kataku takkan berubah ganti
Usahlah dikenang selalu
Jangan pula kaumerayu
Aku tetap tak kembali

(Pengakhiran)
… Rela kumembawa diri
Jauh ke alam yang sepi
Merana setiap hari

Catatan
Lagu yang sungguh syahdu ini mengenangkan saat saya kecil-kecil dulu hingga meningkat usia remaja. Pada waktu itu, saya hanya mendendangkannya tanpa memahami makna dalam liriknya.
Paparan lagu ini dapat diikuti di lelaman youtube.com dengan menaipkan kata pencariannnya 'Andre Goh'. Difahamkan bahawa penyanyinya sendiri yang mencipta lagu yang menggamit kenangan in.

Jumaat, September 03, 2010

Inai Pengantin - Sanisah Huri



1.
Bunga rampai dan sirih dara
Dihias indah depan pelamin
Gadis lampai manis jelita
Sirih dibagi untuk hadirin

2.
Dari Bentan ke Inderagiri
Singgah keramat di Pulau Tujuh
Kini ikatan suami isteri
Sudah selamat diijab kabul

korus
Inai-inai diiring lagu
Air mawar direnjis-renjis
Hidup damai pengantin baru
Mari doakan dalam majlis
Ya Rasulullullah Ya Habib Allah
Marhaban ya Marhaban

3.
Silatku seni berilmu batin
Pergi Kemaman masuk bertanding
Saya menyanyi untuk pengantin
Buat pedoman lepas bersanding

4.
Pingat bergelar Betara Dalam
Baru dikurnia Si Raja Muda
Ingat-ingat sembah dan salam
Pada ibu dan bapa mentua

Ulangi korus

5.
Khabar diberi Megat Laksamana
Untuk menutup fitnah angkara
Sabar menjadi berkat utama
Dalam sehidup serumah tangga

6.
Daun berimi sudah diikat
Dijual pula bersama serai
Suami isteri mudah muafakat
Janganlah pula bercerai-berai

Ulangi korus


Catatan
Lagu ini mengembalikan pengalaman sewaktu saya remaja dalam tahun-tahun 1980-an. Iramanya sinonim dengan majlis-majlis persandingan, liriknya pula disusun dengan indah sekali.

Rabu, Ogos 25, 2010

Bila Hati Telah Retak



1.
Bila hati telah retak
Hidup berteman si air mata
Bila laut tak berombak
Segunung pujuk tak berguna

2.
Bila hari telah senja
Alamat malam menjelang tiba
Bila jiwa telah merana
Segala yang indah kosong belaka

korus.
Ya Allah Maha Kuasa
Benarkah gunung mengeliling lautan
Lepaskan daku dari cengkaman
Ketika batin yang menyiksa

4.
Bila cinta telah berkecai
Kenangan jadi racun berbisa
Bila budi tak bernilai
Hanya insan di wajah saja

Nota Peribadi
Lagu ini sungguh meruntun-runtun hati saya apabila setiap kali saya mendengarnya. Videonya saya petik daripada youtube.com Lirik lagu ini saya paparkan di sini untuk tujuan megingatkan saya akan makna-makna yang tersirat. Semoga anda akan senang dengan lagu lama yang dipetik daripada sebuah drama terbitan Filem Nagara Malaysia dengan judul yang sama pada tahun 1983. Filem ini diarah oleh Rahman B. Dibintangi Rubiah Suparman, Abu Bakar Omar dan Rokiah Shafie. Akan saya usahakan cari bahan-bahan mengenainya dalam masa-masa yang akan datang.

Isnin, April 12, 2010

Sahut Puisi - 1.10 - Citra & Rakaman Harapan

(Lenny sedang menyampaikan Syair Pesanan Untuk Anak dalam lagu syair Siti Zubaidah serta puisi Nazam Bergurindam. Selain itu, Lenny ada juga menyampaikan Lagu Siti Zubaidah yang saya pasti memang dapat mengekalkan ciri-ciri epik Syair Siti Zubaidah Perang China yang panjang lagi indah itu.)

(Wajah Aidil, peniup sreruling tembaga atau 'flute', terlindung di dalam gambar ini ketika dirakam Caca pada waktu penyampaian syair 25 Rasul Pilihan yang saya susun daripada Kitab Qishasul Anbiya yang masyhur itu. Syair yang saya susun sendiri ini saya sampaikan dengan memanfaatkan lagu Gambus Palembang yang syahdu dan terkenal itu).


(2 jelitawan kumpulan Gurindam Sayang bergambar dengan saya. Jangan marah, mereka umpama anak-anak gadis saya sendiri. Terkenang saya akan anak gadis saya, Nurul Rasyidah Binti Abdul Manaf)


(Kami merakam potret ini untuk kenangan-kenangan setelah majlis selesai tepat pada jam 5.00 petang, hari Sabtu, 10.4.2010, itu. Seronoknya!)


(Ahmad Syah Redza, ketua kumpulan Gurindam Sayang, ialah tunggak serta tenaga yang gigih bekerja dalam persiapan persembahan-persembahan kami. Orangnya berat mulut tapi ideanya cukup bertenaga dan amat kreatif. Beliau bagai anak bagi saya, selain selaku ketua kumpulan ini yang saya amat sayangi dan hormati.)

Catatan Peribadi

Sayang pula kalau gambar-gambar ini tidak disertakan dalam blog bagi tujuan rakaman dan rujukan buat masa hadapan.
Saya sedar pada ketika ramai anak muda kita yang hilang arah dan malu akan jati diri mereka, anak-anak muda kumpulan ini amat sederhana dengan jati diri Melayu dan Muslim yang amat saya kagumi. Berkesenian, berkesenian juga, namun mereka sedar betapa jati diri mereka harus pelihara demi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang.
Saya berasa bertuah dapat mengenali dan mendampingi mereka sebagai rakan untuk berkongsi apa-apa yang saya minati .

Terima kasih Gurindam Sayang. Terima kasih Kemuning, Singapura.

Ahad, April 11, 2010

Sahut Puisi , 10 April 2010, Perpustakaan Daerah Jurong

(gambar saya bersama-sama anggota Gurindam Sayang)

Alhamdulillah, persembahan puisi tradisional yang saya buat dengan kerjasama rakan-rakan Kumpulan Muzik Irama Melayu Gurindam Sayang telah selamat diadakan. Majlis diselenggarakan oleh AJK MAEC Kelab Masyarakat Dover dengan kerjasama NLB Jurong East.


(Saya sedang menyampaikan puisi 25 Rasul Pilihan dalam irama lagu Gambus Palembang. Kumpulan Muzik Melayu Gurindam Sayang mengiringi persembahan saya ini)

Saya mengambil kesempatan ini untuk membicarakan apa-apa yang saya fahami tentang puisi Melayu tradisional, syair dan gurindam terutamanya, kepada para hadirin sebelum sesebuah persembahan itu kami teruskan.
Kesemua persembahan bahagian saya ini diilhamkan daripada epik-epik Melayu yang tersohor dan saya beranggapan hal demikian cocok bagi mengenalkan semula pustaka lama kita yang telah banyak menyumbang pada kesejahteraan jagat dan kehidupan kita pada hari ini.


Berikut adalah lirik & syair yang disusun bagi persembahan Sahut Puisi pada 10 April 2010 di Perpustakaan Daerah Jurong.

25 Rasul Pilihan
1.
Dua puluh lima rasul pilihan,
Sudah termaktub dalam al-Quran,
Martabatnya tinggi dijadikan Tuhan,
Hendaklah jazam kita imankan.

2.
Mula pertama Nabi Allah-mu Adam,
Nenek manusia kafir dan Islam,
Asal mulanya di Darus-Salam,
Tempat Jibrail tanah segenggam.

3.
Adam dijadikan seorang diri,
Berjalan di Syurga setiap hari,
Dilihatnya burung dua sejoli,
Inilah Adam hendak beristeri.

4.
Citanya Adam Allah ketahui,
Dijadikan Siti Hawa tulang rusuk kiri,
Allah nikahkan Jibrail saksi,
Dengan hantaran salawat Nabi.


Sakuntala
1.
Syahdan hikayat lama seorang raja Diusianta
Meminang puteri Kanwa bernama Sakuntala
Sakuntala gembira kerana dia bahagia
Tapi sayang oh sayang, hanya sekejab saja.
Sa…kun…tala

2.
Dusianta pun kembali menuju ke negaranya
Diberi cincin sebagai pengganti
Cincin itu pun hilang Sakuntala gelisah
Kerana dia dikutuk dewa

3.
Dicarinya Dusianta kerana lama tak jumpa
Tapi sampai di sana dia dilupakannya.
Sa…kun…tala


Siti Zubaidah

1.
Tersebutlah hikayat cerita yang lama,
Seorang puteri bernama Siti Zubaidah,
Suaranya merdu dan paras cantik jelita,
Hingga terpikat seorang raja mulia.

2.
Tetapi malang setelah jadi permaisuri,
Suamniya ditawan oleh ketujuh puteri,
Siti Zubaidah menangis siang dan malam,
Memikir suaminya yang di dalam tawanan.

3.
Sebagai lelaki Zubaidah menyamar diri,
Untuk mencari suaminya yang dicintai,
Setelah puas menanggung azab sengsara,
Akhirnya dia berjaya menuntut bela.


Megat Panji Alam
1.
Megat Panji Alam tersebut cerita
Puteri Tun Teja Ratna Gemala
Lasamana Hang Tuah hendak berbuat jasa
Kepada Sultan Melaka Seri Baginda.
2.
Tun Teja dibawa lari oleh Hang Tuah
Dengan jayanya ke negeri Melaka
Akibat angkara timbul bencana
Porak-peranda negeri Melaka.

3.
Menurut cerita ‘rang tua-tua
Megat Panj Alam kecundang juga
Dibunuh Hang Tuah dengan muslihatnya
Jadi sebutan dalam sejarah.

Secara keseluruhannya, saya amat berasa bertuah kerana dapat berkongsi dengan para hadirin beberapa buah lagu-lagu syair dan gurindam yang amat ulung dalam perbendaharaan puisi tradisional kita. Saya bertuah juga kerana rakan-rakan daripada Gurindam Sayang sanggup menyahut cabaran untuk terus mengekalkan tradisi indah ini dengan daya dan kemampuan mereka.
Pengalaman yang menggembirakan ini pasti tidak akan bermakna tanpa kerja keras mereka dan juga daya kreatif mereka dalam menjadikan persembahan ini berjaya bagi segmen kami.

Khamis, April 01, 2010

Anyaman Daun Kelapa

Saya akan menjalankan aktiviti menganyam ketupat dan belalang daripada janur kelapa. Selain itu, para pelajar saya akan juga membuat kuih Ondeh-ondeh dan Abok-abok. Mereka juga akan belajar menganyam ketupat.

Aktiviti ini akan dijalankan semasa dalam kelas Bahasa Melayu dan juga aktiviti Silang Budaya (Cina & Melayu) pada penggal ini.

Semoga ativiti ini akan mengembangkan pemahaman serta menajamkan sifat ambil peduli dan kepekaan akan betapa dalam kehidupan di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya ini, kita boleh mempelajari aspek-aspek kesenian dan budaya sesama kita yang boleh membina persefahaman dalam kalangan para pelajar kita pada masa jangka panjang.

Oleh itu, paparan yang saya buat ini dapat dimanfaatkan para pelajar sekalian. Paparan ini saya petik daripada lelaman youtube.com

Ucapan kasih buat teman-teman guru di BPGHS; Mr Phang Yu Khoon, Cikgu Noormarlina Bte Tasrib, Cikgu Senan Bin Long dan Cikgu Ali Bin Bujang, yang membolehkan perancangan aktiviti sedemikian untuk dibuat. Semoga aktiviti ini kelak akan berjaya dijalankan pada masa-masa yang sudah ditetapkan.

1. Video membuat kuih ondeh-ondeh
http://www.youtube.com/watch?v=ekoEY7MH9Ks

http://www.youtube.com/watch?v=lIQ5YGEwtOk

http://www.youtube.com/watch?v=lKFwKEZsVZ8

2. Video membuat belalang daripada daun kelapa
http://www.youtube.com/watch?v=DepGiDMs-7I

3. Video menganyam ketupat

http://www.youtube.com/watch?v=5L20yzXqPCQ

http://www.youtube.com/watch?v=bI50Rkz2qSE

Khamis, Mac 11, 2010

Gema Puisi Artistik - Takkan Melayu Hilang Di Dunia - 1.0

Saya masih ingat sewaktu mendapatkan persetujuan Cikgu Noormarlina untuk melatih semua pelajar menengah 2 bagi projek puisi ini.

Pengenalan saya lakukan dalam kelas-kelas bahasa bagi membuat para pelajar tersebut mengenali apa-apa yang dimaksudkan dengan puisi Melayu. Saya bertegas menyatakan bahawa puisi Melayu termasuk sajak, yang merupakan jenis puisi moden yang dipelopori oleh Allahyarham Masri SN dan Usman Awang di dalam dunia puisi Melayu daerah kita selepas perang dunia pertama.

Par pelajar itu saya kenalkan dengan bentuk puisi tradisional yang dipanggil pantun, syair, dan gurindam. Tersebutlah orang-orang seperti Raja Ali Haji, Munsyi Abdullah dan Zaaba yang masing-masing memberikan sumbangan yang besar dalam pelestarian puisi Melayu yang indah dan penuh dengan warnasarinya. Selain itu, saya minta para pelajar itu menulis apa-apa yang mereka faham melalui aktiviti pengenalan yang saya lakukan dalam kelas. Hasil tulisan kerja latihan mereka itu saya semak dan serahkan kepada Cikgu Noormarlina.

Daripada perbincangan dengan Cikgu Noormarlina, saya mendapat banyak input mengenai jenis puisi yang para pelajar itu akan saya ajar. Saya lalu mencari buku-buku yang ditulis oleh Pak Tenas Affendy. Daripada beberapa buah judul yang saya miliki, saya mendapati untuk mengisi tema 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia', saya memilih puisi-puisi yang menerangkan ciri-ciri tentang anak-anak remaja lelaki dan perempuan dalam masyarakat Melayu tradisional. Selain itu, saya juga dapat mengerti makna 12 jenis sahabat dalam perbendaharaan khazanah puisi Melayu kita dalam buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Setelah mengenal pasti bahan-bahan itu, saya berbincang-bincang lagi dengan Cikgu Noormarlina, beserta dua orang rakan guru yang lainnya, Cikgu Senan Bin Long dan Cikgu Ali Bujang, yang bersetuju dan sama-sama menyokong usaha dan memberikan pandangan kepada saya untuk mengangkat bahan-bahan yang saya susun itu menjadi sebuah persembahan puisi secara artistik.

Setelah menukil bahagian-bahagian yang saya perlukan, saya garap dan sunting beberapa buah bahagian puisi-puisi tersebut di samping menyusun sendiri bahagian pengakhiran puisi yang bakal para pelajar itu sampaikan. Belum terlintas dalam benak saya pada saat-saat itu akan betapa gamaknya bentuk persembahan itu nanti.

Saya kembali beberapa kali dalam kelas-kelas Cikgu Noormarlina dan mengajarkan makna yang tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi yang saya susun itu. Selain memahami makna secara harafiah, saya meminta para pelajar itu membuat perenungan peribadi mereka atau menuliskan apa-apa tanggapan yang mereka ada dalam apa-apa hal yang dikatakan sebagai anak remaja Melayu tradisional dan bandingkan dengan apa-apa yang mereka lihat dalam kehidupan mereka sendiri pada hari ini. Saya juga meminta mereka mencari makna setiap perkataan yang mereka tidak tahu dalam Kamus Dewan dan catatkan dalam kertas latihan untuk saya semak dan sesudah itu saya serahkan kepada Cikgu Noormarlina. Seperti anda semua maklum, ada sebilangan pelajar-pelajar itu tidak dapat menghayati apa-apa yang hendak saya utarakan untuk mendewasakan mereka dan setetntunya mereka memandang sepi akan latihan-latihan yang saya arahkan lalu tidak menyelesaikan tugasan mereka itu dengan sempurna. Ada ketikanya, saya terpaksa bertegas kepada mereka bahawa saya mahukan tugasan itu mereka sudahi dan dihantar untuk saya semak. Biasalah, ada seorang dua yang ungkal dan terus-terusan tidak mahu menghantar tugasan tersebut.

Dalam masa yang sama, saya dapat berkongsi pengalaman saya berdeklamasi puisi dengan memberikan tekanan pada nada, lontaran suara serta sebutan setiap perkataan dengan lenggok bahasa lisan Melayu yang saya faham. Saya maklum dengan penuh rendah hati, saya hanya tahu sedikit dan dengan bermodalkan yang sedikit itulah, saya menyarankan agar para pelajar itu meneliti serta menurut saranan-saranan yang saya buat itu. Saya tidak berputus asa walaupun saya sedar saya sedang berdepan dengan arus pemahaman yang kuat bahawa apa-apa yang mereka pelajari itu, mereka sangka tidak penting dan relevan dalam ujian akhir tahun dan juga peperiksaan GCE mereka kelak.

Tak kenal maka tak sayang/cinta. Oleh kerana saya kenal akan keindahan bahasa bangsa kita yang sungguh unik itu, saya cuba dan terus mencuba. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa-apa yang terbuku dalam hati saya. Terima kasih Cikgu-cikgu sekalian, rakan setugas saya yang saya hormati dan kasihi.

Kini, tinggal beberapa hari lagi sebelum tibanya hari peraduan. Saya tegaskan kepada kelapan-lapan orang pelajar yang akan membuat persembahan secara khusus, dan kepada rakan-rakan sedarjah mereka secara amnya, saya menujukkan mereka apa-apa yang saya kenal dan senangi - sedikit daripada timbunan khazanah puisi Melayu yang saya kenali, mungkin hanya sekelumit sahaja kerana ilmu Allah s.w.t. itu Maha Luas-Nya.

Saya bersyukur, walaupun agak perlahan, saya mendapati pelajar-pelajar itu mula menyenangi apa-apa yang mereka lakukan walaupun terdapat cabaran pada awalnya. Saya selalu menekankan betapa apa-apa yang mereka perolehi daripada apa-apa yang saya tunjukkan itu besar maknanya bagi saya dan saya berharap mereka tidak akan melupakan apa-apa yang mereka telah kecapi sejauh ini.

Wah, panjangnya cerita saya kali ini. Insya-Allah, saya akan menceritakan lagi masa-masa kami berlatih di dalam kelas, sewaktu hari raptai dan saat-saat sebelum hari persembahan, bagi saya secara peribadi tidak ada peraduan. Akan saya kongsi juga hasil-hasil tugasan yang disiapkan mereka. Nantilah.......

Sabtu, Mac 06, 2010

Nandung Senandung

Dalam lelaman ini, Cikgu Mohd Naim Daipi ada memuatkan sejumlah rakaman audio suara saya mendendangkan lagu-lagu kanak-kanak.

Terima kasih, Cikgu Naim. Budi baik Cikgu amat saya sanjung tingggi.

Untuk anak-anak murid dan rakan-rakan guru serta para ibu bapa, semoga bahan ini dapat anda manfaatkan.

Sila klik di bawah untuk ke lelaman yang terdapat rakaman audio suara saya ini.
http://www.saujana.sg/Wiyata/BahanPengajaran/NandungSenandung/tabid/3544/Default.aspx

Selasa, Februari 16, 2010

Hidangan Masyarakat Kita


Kedua-dua judul ini diterbitkan oleh Buku Prima mengandungi sebilangan hidangan tradisional yang jarang didapati dari tanah air kita yang dicintai.

Pagi tadi, saya sempat ke gerai Aiman di Jurong West St 42 sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjalan jauh, rutin senaman saya setiap hujung minggu. Saya teringin benar hendak makan nasi rames (disebut rames - 'e' pepet). Hidangan nasi ini ringkas, kalau kita makan lontong, bagi nasi rames, bukan nasi lontong atau lontong gableg yang diberikan. Nasi putih, dicurah kuah lodeh, diberikan sambal tumis dan serundeng. Saya minta tauhu dalam kuah lontong itu. Berapa harganya? $2. Bagi saya lumayan, nasi dalam anggaran sebiji mangkuk sup berukuran saiz kecil dibungkus bersama-sama lauk-lauk yang saya nyatakan tadi. Sampai di rumah, setelah membersihkan diri selepas berjalan kaki selama satu jam di persekitaran Jurong West lama, saya duduk menghadapi hidangan kampung yang saya senangi itu. Benar-benar membangkitkan kenangan lama sewaktu di Jalan Eunos pada tahun-tahun 1970an, waktu saya kecil-kecil. Waktu itu, nasi rames saya itu dibeli di rumah Mak Tom di Jalan Jumat. Saya tinggal di Jalan Ambo' Sooloh simpang Jalan Omar Samad. Warung Mak Tom dan Pak Daim, suami isteri itu, di kolong rumah panggungnya yang terletak di simpang Jalan Traling. betapa saya terkenang kebaikan Mak Tom dan Pak Daim kepada para pelanggannya. Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada mereka suami isteri.


Berbalik tentang nasi rames itu, saya selalu diketawakan apabila minta nasi demikian di beberapa buah gerai makan di daerah kediaman saya sebelum ini. Sayang sekali, orang Melayu ini tidak kenal apakah bentuk dan rupa nasi rames. Mereka mempersenda nasi itu dengan kekata 'ramas'. Mereka mula mengungkit nama nasi sambal goreng dan seumpamanya, yang saya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil menahan gelak lantasa saya hanya tersenyum simpul sahaja.


Teringin saya menambah pengetahuan saya tentang makanan tradisi kita, yang banyak diambil alih oleh makanan India dan entah apa-apa sahaja yang dikatakan 'fusion'; bergedel sudah jadi macam-macam bentuk yang bukan main mahal harganya sebagai sebahagian hidangan tradisional Melayu kita sekarang ini.


Membelek-belek buku-buku resipi yang saya miliki, tiada entri tentang nasi rames pada mana-mana buku itu. Malah buku lama, Hidangan Tradisional Kita susunan Almarhumah Hajah Asfiah juga tidak terdapat apa-apa mengenai nasi rames ini. Namun, saya tertarik dengan beberapa resipi yang terdapat dalam buku yang disusun oleh Puan Rubiah Suparman. Ada sambal godok, lauk autentik yang selalu arwah ibu saya, Hajah Rasidah Taib sediakan pada perayaan dan masa-masa istimewa. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas roh arwah ibu saya yang dicintai itu. Nantilah, saya hendak merakamkan pengalaman hidup pada masa itu untuk tatapan anak-anak saya pada masa hadapan kelak. Nasi rames, sambal godok, gerang asem; lauk untuk nasi ambeng - aduh..duh..duh!

Selasa, Februari 02, 2010

Apa Tanda Melayu Jati?



Pantun-pantun dua kerat di bawah ini saya petik daripada buku Khazanah Pantun Melayu Riau. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Penyusunnya, Bapak Tenas Effendy, seorang tokoh yang tersohor. Semoga anda mendapat manfaatnya.

Apa tanda Melayu jati,
Pantun memantun dia mengerti.

Apa tanda Melayu jati,
Dalam pantun ilmu dikaji.

Apa tanda Melayu jati,
Arif menyemak pantun berisi.

Apa tanda Melayu jati,
Dalam memantun pakaian diri.

Apa tanda Melayu jati,
Dalam pantun mengaji diri.

Apa tanda Melayu jati,
Memahami pantun telaga budi.

Apa tanda Melayu terbilang,
Pantun memantun akalnya terang.

Apa tanda Melayu terbilang,
Dalam pantun ilmu dituang.

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain dan baju;
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengangkat tuah Melayu.


Tugasan
Berikan pemahaman anda apa-apa yang berkaitan dengan orang Melayu dan keseniannya.

Khamis, Mac 05, 2009

Apa Tanda Melayu Terbilang?

Apa tanda Melayu jati?
Pantun memantun dia mengerti.

Apa tanda Melayu jati?
Arif menyemak pantun berisi.

Apa tanda Melayu beradat?
Pantun memantun dia beringat.

Apa tanda Melayu beradat?
Dalam pantun diambil manfaat.

Apa tanda Melayu terbilang?
Dalam pantun ilmu dituang.

Apa tanda Melayu berakal?
Dalam pantun mencari bekal.

Apa tanda Melayu senonoh?
Dalam pantun memberi contoh.

Elok kayu kerana daunnya,
Daun lebat tempat berteduh;
Elok Melayu kerana santunnya,
Santunnya beradat tempat berteduh.

dipetik daripada
Tengku Nasrudin Effendy,
Khazanah Pantun Melayu Riau
DBP 2007, Kuala Lumpur.

Rabu, Disember 31, 2008

Ketahuan - Matta Band

Saya jadi terpanggil merakam kenangan pengalaman anak-anak saya dengan lagu ini. Terutama sekali, apabila Faiz Danisy yang masih lima tahun menyarankan saya turut belajar lagu yang dia gemari ini. Saya pilih rakaman APM 2008 ini untuk dimuatkan dalam paparan ini.

Semoga para pelajar saya juga senang dengan klip video muzik lagu ini.

Selamat Tahun Baru 2009 untuk semua. Semoga semua kenangan manis pada tahun 2008 akan berlanjutan ke tahun 2009 ini. Cipta Jaya untuk masa depan anda.

Selasa, Disember 23, 2008

Ketupat Sate, Ketupat Bawang & Ketupat Basar

Saya hanya mahu berkongsi pemahaman dan minat saya ini dengan anda semua. Sejauh ini, saya hanya tahu menganyam 3 bentuk kelongsong ketupat yang selalu saya buat sewaktu tiba akhir Ramadan dan sebelum hari-hari Tasyrik. Saya senang menunjukkan cara-cara menganyam ketiga-tiga jenis kelongsong ketupat kepada Nurul Rasyidah dan Muhamad Faiz Danisy. Mereka belum mengerti apa-apa lagi, hanya kagum menyaksikan cara-cara saya menyediakan dan sesudah itu merebus ketupat-ketupat itu di dalam periuk elektrik selama 6 jam.

Kesenian ini menuntut kesabaran dan ketelitian yang boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja. Alah bisa, tegal biasa; memang susahlah dahulu tapi, lama-kelamaan akan menjadi mudah. Bukan hanya itu, proses pembuatan ketupat ini menyeronokkan pula. Pelbagai saiz dapat disiapkan hanya dengan memastikan sewaktu janur diraut dengan menurut kehendak masing-masing.

Setelah direbus, seperti lontong, ketupat perlu disejukkan sebelum dimakan dengan lauk-pauk yang pelbagai itu. Saya mengumpulkan sepuluh biji ketupat dalam setiap ikatan. Ikatan itu saya gantung untuk menyejukkannya. Penat menganyam kelonsong ketupat begitu berbaloi setelah menjamah hidangan yang lengkap sebagai juadah untuk sambutan kedua-dua Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Saya sedang memikirkan cara-cara untuk merakam proses menganyam kelongsong-kelongsong ketupat itu agar kesenian ini tidak akan hilang. Saya sedang berusaha untuk mempelajari sekurang-kurangnya 2 jenis kelongsong ketupat lagi pada tahun hadapan. Sesudah menguasainya, saya mahu mengajarkan anyamanmya kepada sesiapa sahaja yang berminat. Semoga saya akan menemukan kepandaian ini kelak, isya-Allah.


a. di bawah ini, ketiga-ketiga jenis kelongsong ketupat yang sudah siap saya anyam dan akan diisi dengan beras yang sudah dikosek dan ditoskan terlebih dahulu.

b. di bawah ini, ketupat-ketupat yang sudah direbus dan dibilas dengan air bersih akan saya ikat sebelum digantung agar cepat sejuk.

Jumaat, Disember 12, 2008

Muzik Video Lagu 'Taman Bahagia'

Klip ini dipetik daripada filem Gurindam Jiwa, terbitan Cathay Keris Production, 1966. Irama zapin ini dihiasi dengan dentingan petikan gambus.



Amati setiap rangkap pantun yang digubah sebagai lirik pada lagu ini.


Taman Bahagia

01. Perempuan
Orang Aceh membeli papan,
Bawa belayar ke Tanjung Rumi;
Bunga kembang di taman harapan,
Jangan dibiarkan kuntum gugur layu ke bumi.

02. Lelaki
Tali sauh dililit-lilit,
Singgah berlabuh di Sungai Lama;
Tuan helang sayalah pipit,
Adakah boleh berdua terbang bersama?

03. Perempuan
Belayar masuk ke Kuala Kedah,
Patah tiang timpa kemudi;
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang datang dengan asyik berahi.

04. Bersama-sama
Sungguh cantik sarang tempua,
Di dalam sungai anak buaya;
Helang pipit sama mergastua.
Mari terbang bersama riang ke taman bahagia.

Muzik Video 'Tari Sirih Pinang'

Klip ini dipetik daripada filem klasik Bawang Putih Bawang Merah, terbitan Cathay Keris Filem Production.



Amati setiap rangkap pantun yang digunakan sebagai lirik bagi lagu klasik ini.