Rabu, Januari 23, 2008

Penulisan Karangan Naratif - Men. 3HMT

Waktu 1 – Rabu, 16.1.2008
Berdasarkan petikan laporan atau rencana dalam akhbar, anda diarahkan memilih salah satu bahan orang yang dipaparkan untuk membina watak dalam sebuah karangan naratif.

Dalam Borang Penulisan Watak A, anda diminta pula mengisikan mengenai watak pilihan anda itu dengan mengisi kesukaan dan kebenciannya; matlamat hidupnya dan bentuk usaha watak anda itu dalam mencapai matlamat dan harapannya dalam hidup.

Dalam Borang Penulisan Watak B, anda diminta menyenaraikan beberapa watak sampingan selain watak utama dan usaha watak-watak tersebut. Anda disarankan memperlihatkan cabaran yang dihadapi watak dan usahanya menempuhi cabaran hidupnya dan akhirnya mencipta kejayaan.

Dalam borang plot anda diminta menjalurkan cerita dari mula hingga akhir dengan mengisi kotak-kota jalinan peristiwa yang signifikan. And diminta membuat lakaran komik mudah; enam petak dengan sedikit penerangan peristiwa yang dilakar.

Tujuan keempat-empat bahan itu adalah untuk menyusun idea anda dalam menjalinkan cerita yang akan anda hasilkan. Anda boleh melakukan mana-mana perubahan yang anda fikirkan perlu sewaktu menuliskan karangan.


Waktu 2 – Khamis, 17.1.2008
Anda menulis karangan anda berdasarkan keempat-empat borang yang anda telah isikan. Sepatutnya, dalam tahap penulisan ini anda sudah dapat menggarap idea yang kental mengenai pengisahan anda itu. Saya membenarkan anda menanyakan sebarang soalan sewaktu anda menulis. Soalan-soalan itu hendaklah sejajar dengan cerita yang anda sedang hasilkan.

Daripada pengamatan saya, beberapa orang rakan-rakan anda saya tegur kerana tidak melengkapkan keempat-empat orang itu. Oleh sebab tidak menyudahkan semua langkah dalam Waktu 1, saya pasti mereka sukar menulis. Oleh itu, saya mengarahkan mereka menyudahkan keempat-empat borang itu. Sesudah itu mereka dibenarkan menuliskan cerita dalam karangan mereka itu.


Waktu 3 – Jumaat, 18.1.2008
Karangan draf pertama anda seharusnya sudah selesai dibuat. Saya meminta anda menyemaknya semula setelah saya menerangkan beberapa kesilapan yang anda lakukan dalam membuat tugasan menulis karangan sebelum ini.

Saya meminta anda memikirkan ketepatan ayat yang anda gunakan usah terlalu panjang dan sarat dengan maklumat. Sekurang-kurangnya ada dua frasa yang mendukung satu idea dalam ayat anda itu. Jika idea itu masih memerlukan beberapa maklumat untuk memberikan kejelasan, saya menyarankan anda menggunakan ayat yang lain, dengan menurut formula satu idea dengan sebanyak dua frasa. Suasana atau ‘mood’ cerita nada hendaklah menggunakan ayat-ayat yang persis untuk membangkitkan pemahaman pembaca untuk terus membaca karangan anda hingga habis.

Antaranya, persoalan kepersisan perkataan, saya menyarankan anda menilai semula setiap perkataan yang anda gunakan sama ada sesuai atau tidak. Saya minta anda menilai sendiri sama ada menangis teresak-esak atau meraung sesuai untuk menerangkan kesedihan yang anda hadapi dalam sesebuah peritiwa yang mengerikan hingga meyebabkan kematian.

Saya juga menyarankan agar anda menyemak ejaan perkataan yang anda gunakan. Adakah gulungan atau golongan yang anda gunakan. Adakah ejaan yang bentul bagi kekata ‘banya’ yang menerima imbuhan ‘ke-…-an’ atau adakah terdapat imbuhan ‘ke-…-kan’? Tidak ada imbuhan ‘ke-…-kan’, yang hanya ada ‘ke-…-an’. Oleh itu, ‘kebanyakkan’ adalah salah dan bentuk yang betul adalah ‘kebanyakan’. Saya menganjurkan anda merujuk Kamus Dewan bagi menyemak ejaan anda itu. Bagi istilah sains dan perdagangan, anda juga saya minta merujuk Kamus Inggeris-Melayu Dewan.

Saya juga menerangkan bahawa penggunaan bentuk ‘bersama’ dan ‘bersama-sama’ usah anda kelirukan. Saya juga mengingatkan penggunaan kata ‘atas’ yang bersifat ‘kata sendi’ dan juga bersifat ‘kata tempat’.

Saya juga meminta anda memikirkan sama ada pengunaan kata-kata yang terdapat dalam kamus itu setara dengan pertuturan watak yang anda ciptakan dalam karangan tersebut.

Sesudah anda menyelesaikan draf karangan anda itu, saya minta anda memberikan rakan anda menukar karangan dengan anda untuk disemak. Saya mahu rakan anda memberikan responsnya setelah membaca karangan anda dengan menuliskan nota ringkas dengan menggunakan pensel pada bahagian akhir karangan anda itu. Saya menganjurkan anda menimbangkan saranan yang terdapat dalam respons rakan anda itu sewaktu anda menulis semula karangan anda itu.

Yang penting dalam anda dalam menjalankan langkah-langkah penulisan dalam Waktu 1, Waktu 2 dan Waktu 3 ini, anda mengesan betapa pentingnya anda mengutarakan idea yang sesuai dalam menjalinkan setiap peristiwa dalam karangan anda jenis ini.

Saya berharap anda dapat memahami bahawa jalan cerita yang mudah dan jelas dengan gaya penceritaan yang sesuai lagi menarik dapat meningkatkan mutu penulisan anda itu.

Saya juga meminta anda menggurat perasaan pembaca dan memastikan ada kesan-kesan yang terpahat dalam hati pembaca (yang menyenangkan setentunya) setelah selesai membaca karangan anda itu.

Demikianlah penjelasan bagi setiap langkah anda menghasilkan karangan dalam darjah yang saya sarankan. Semoga besar manfaatnya bagi anda pada masa hadapan, dalam menjawab soalan peperiksaan dan juga untuk anda membuat karangan kreatif.

Tiada ulasan: