Memaparkan catatan dengan label Budaya Kita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Budaya Kita. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 07, 2009

Upacara Perbarisan Memperingati Hari Merdeka, 7 Ogos 2009





Pagi-pagi lagi, kelihatan ramai warga sekolah berpakaian berwarna merah dan putih untuk meraikan Hari Kebangsaan yang jatuh pada hari Ahad, tanggal 9 Ogos 2009. Oleh kerana itu, sebuah perbarisan bagi memperingati hari kemerdekaan dan mendengar perutusan Menteri Pendidikan dibacakan.

Perbarisan dimulakan pada jam 7.30 pagi tadi di kawasan perhimpunan di kampus baru sekolah kami.

Dalam perutusan hari Kebangsaan, diperingatkan betapa sebagai sebuah masyarakat, warga Singapura berjaya dengan berkat kerjasama antara mereka untuk menangani cabaran daripada kesan kemelesetan ekonomi dan juga dapat mengekang, sejauh ini, penularan Selsema Babi H1N1. Diperingatkan juga betapa dalam menangani apa-apa cabaran baru dalam dunia ini, sebagai sebuah negara, rakyat Singapura perlu terus berusaha dengan lebih gigih di samping mengukuhkan asas perpaduan dengan meningkatkan daya pesaingan dan amalan meritokrasi. Acara penuh warna-warni itu diakhiri dengan peraduan sorakan antara darjah. Isnin, 10 Ogos 2009 nanti, kami akan bercuti sempena Hari Kemerdekaan yang disambut pada hari Ahad, 9 Ogos 2009. Jangan lupa untuk bersama-sama rakyat Singapura yang lainnya mengucapkan ikrar bersama-sama pada 9 Ogos 2009 tepat jam 8.22 mlm.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-44. Dirgahayu Singapuraku! Majulah Singapuraku!

Jumaat, Ogos 08, 2008

8 Ogos 2008

Encik Lee Seng Hai, pengetua sekolah, menyampaikan amanat hari kebangsaan sewaktu kawad perbarisan hari kebangsaan.


Aziz (bekas pelajar BPGHS) bersama-sama Hanafi dan Anna - para pengacara kawad perbarisan hari kebangsaan.


Para pelajar Menengah 3L1 sewaktu membuat persembahan sorakan





Perayaan Hari Kebangsaan di BPGHS amat saya nanti-nantikan. Dalam sambutan hari ini, seperti biasa, dimulakan dengan acara perbarisan. Beberapa perenungan yang dibuat dengan penyertaan seluruh kaki tangan dan warga sekolah. Saya dapat melihat kebanggaan yang terpancar pada wajah-wajah para pelajar yang menyertai perbarisan. Ya, memang terdapat yang kaku dan kesilapan kecil di sana sini, namun begitulah halnya apabila sesebuah tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Benar kata seorang rakan yang duduk di sebelah saya, bahawa acara perbarisan tersebut tidak kemas dan banyak kesilapan. Saya merenung jauh. Apakah kesempurnaan yang diharapkan sedangkan para pelajar ini sedang belajar menanggung tanggungjawab dan mengendalikan pembelajaran pada diri sendiri dengan pengalaman ini. Saya hanya tersenyum, membiarkan sungutannya itu. Biarlah, saya sedar semuanya dilakukan untuk membimbing para pelajar; yang berkawad dan juga yang menyaksikan; belajar akan makna menimba pengalaman yang sebaik-baiknya.

Lagu 'My People My Home' yang didendangkan mengingatkan betapa pentingnya setiap warga negara Singapura ini terus mengamalkan hidup harmoni dalam sekitaran pelbagai kaum yang tinggal bersama-sama, bertepatan dengan mesej yang Encik Lee Seng Hai, pengetua sekolah sampaikan ucapan menteri pendidikan. Secara peribadi, saya tersentuh dengan kejayaan para pemuka negara masa lalu dan masa kini, yang mahu setiap rakyat Singapura bersatu padu tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, membina sebuah negara yang bersatu padu dengan iltizam mengukuhkan perpaduan sepanjang masa.

Sungguh meriah sekali apabila seusai perbarisan, semua warga sekolah ke kampus Oracle untuk menyaksikan pelbagai aksi para pelajar melakukan sorakan secara berkumpulan. Suasana pesta agak terkendur apabila hujan renyai turun. Namun, semangat untuk bertanding terus marak menyala. Saya cukup terhibur menyaksikan gelagat para pelajar yang saya kenali beraksi sesama rakan-rakan sedarjah mereka.

Semoga semangat setia kawan akan bercambah menjadi semangat bersatu pada masa hadapan. Para pelajar yang akan mencorakkan masa depan negara sebagai warga pada masa hadapan. Semoga juga sorakan ketaatsetiaan kepada negara akan terus mekar dan tumbuh menjadi pohon kebaktian jati diri Singapura. Semoga semangat kesingapuraan akan sentiasa marak dan menyala selama-lamanya.

Dirgahayu BPGHS! Dirgahayu Singapuraku!

Rabu, Julai 23, 2008

Program Hari Keharmonian Kaum, Sekolah Menengah Bukit Batok, 21 Julai 2008.

Pada petang hari Isnin, 21 Julai 2008, kumpulan "Puteri Bertujuh Turun Bersiram" buat persembahan sekali lagi. Selain mendapat perhatian akan kerja-kerja para pelajar ini, saya bersyukur setiap seorang daripada mereka mendapat pengalaman yang bermakna dalam erti bekerjasama dan mengukuhkan silaturahim.

Saya sedar terdapat beberapa kerumitan dan isu-isu penyelarasan, namu saya percaya daripada kerumitan yang boleh dileraikan dengan saling memahami akan hati budi sesama mereka, mereka mendapat pengalaman yang amat berharga. Saya sedar ada sebahagian mereka yang merasakan diri mereka layak memberi orang lain pandangan mereka, namun saya tekankan sikap ukhuwah dan saling menghargai setiap rakan dalam kumpulan itu. Mereka harus saling bermusyawaha dan mereka harus mengawal perasaan masing-masing dan menjaga hati orang lain. Saya sedar, inilah hakikat perkembangan sahsiah anak-anak remaja ini. Mereka memerlukan panduan dan bimbingan. Mereka juga perlu ditegur dan menerima pandangan sesama sendiri dan orang-orang yang dewasa, iaitu para guru termasuk diri saya sendiri. Semoga pengalaman membuat persembahan ini, yang bakal menerima lagi undangan daripada beberapa pihak yang sedang dipertimbangkan, membuat mereka lebih yakin dan berhemah tinggi.

Saya bersyukur dengan pengalaman membimbing dan mendampingi pelajar-pelajar saya ini. Pengalam ini amat berharga, semoha usaha saya mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya. Aamiiin.












Program Usaha Sama HCI-BPGHS, Hari Keharmonian Kaum, 21 Julai 2008

Mereka tersenyum-senyum bangga apabila Farhanny mengenalkan program Usaha Sama HCI-BPGHS sepanjang beberapa bulan yang lalu. Farhanny saya suruh baca teks ucapan yang saya tukil daripada bahan hebahan yang disediakan Valen, salah seorang pelajar yang mengikuti program ini di BPGHS.

Program tersebut termasuklah membuat lukisan batik, membuat dua jenis kuih Melayu, menari dan memainkan alat-alat gamelan. Persembahan gemelan itu adalah kemuncak acara program yang dijalankan di BPGHS.

Bermula bulan hadapan, akan bermulalah beberapa siri aktiviti yang akan dijalankan di pihak HCI.

7 Ogos 2008, para pelajar EMAS Menengah 1 akan ada pengalaman menarikan Tarian Singa.
21 Ogos 2008, mereka akan mengenali Kesenian Minum Teh Cina.
28 Ogos 2008, ada aktiviti Bot Naga.
11 September 2008, ada aktiviti Kaligrafi Cina.

Saya percaya, para pelajar ini akan meraih sebanyak mungkin beberapa aspek kebudayaan dan kesenian masyarakat Cina Singapura dalam program usaha sama ini.
















Khamis, Mei 29, 2008

Perkhemahan Di Pulau Ubin - 28 Mei 2008

Alhamdulillah, para pelajar saya di tingkatan Menengah 1 telah menghadiri aktiviti ini. Mereka membatik, bermain beberapa jenis permainan tradisional dalam suasana kampung. Mereka juga belajar beberapa gerak tari Melayu tradisional dan mengikat samping dagang.

Tugasan bagi semua Pelajar yang menyertai aktiviti ini.
Buat perenungan peribadi mengenai pengalaman anda menyertai setiap bahagian aktiviti ini. Paparkan dalam blog anda.

Rabu, Mei 21, 2008

21 Mei 2008 - Program Pertukaran Budaya dan Kesenian usaha sama Insititut Hwa Chong

Minggu lagu, kami membatik - melukis dengan menggunakan lilin. Petang tadi, kami memasak dua jenis kuih Melayu tradisional - kuih abok-abok dan kuih ondeh-ondeh.

Madam Royhayati membimbing para pelajar EMAS dan Hwa Chong membuat kuih-muih itu. Aroma kelapar parut dengan daun pandan begitu kuat terhidu.

Daripada pengamatan saya, para peserta senang mengikuti aktiviti hari ini.

17 Mei 2008 - Sepagi Bersama Ustaz Fatris Kiyai Bakaram





Dua hal yang amat terkesan dalam hati saya daripada ceramah motivasi ini adalah
1. menilai semua kelebihan yang ada dalam diri kita, sebagai masyarakat Muslim Singapura yang berdaya saing lagi maju dan beriman;

2. menyusun masa dengan sebaik-baik mungkin.

Beliau mengingatkan saya betapa Rasulullah s.a.w pernah berpesan agar menjaga orang-orang muda dengan penuh kasih saya, dalam banyak-banyak pesanannya dalam saat-saat sebelum Baginda Rasulullah s.a.w. wafat.

Bagi seorang guru, saya sedar betapa saya harus benar-benar melihat tantangan serta cabaran dalam dunia pendidikan hari ini.

Sebagai seorang ayah, saya sedar betapa saya juga mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak-anak, sama ada dalam soal disiplin, keimanan dan pelajaran. Daripada soalan-soalan peserta, saya sedar betapa sebilangan anak didik saya menghadapi tekanan dalam mencapai harapan ibu bapa dan kesukaran untuk memahami apa-apa yang dikehendaki ibu bapa mereka.

Terharu juga hati saya apabila mendapati saranan Ustaz Fatris agar sama-sama memahami dan mengasihi anak-anak muda harapan bangsa dan negara.

Selasa, Januari 08, 2008

Etika Kerja: Menurut 57 Larik Peribahasa Melayu – Bahagian 1

Dipetik daripada makalah ilmiah
Wan Rafaei Abdul Rahman (1993), Etika Kerja, dalam Psikologi Melayu, Abdul Halim Othman (1993), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




01. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Maksudnya: Semakin tinggi ilmu semakin merendah diri.

02. Jangan ikut resmi lalang, makin tua makin tegak.
Maksudnya: Ilmu hanya sedikit tetapi sombongnya lebih.

03. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Maksudnya: Orang yang berpangkat takkan hilang darjatnya apabila membuat kerja orang bawahan.

04. Berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
Maksudnya: Beringat-ingat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

05. Kerja teragak-agak tidak menjadi, kerja beransur-ansur tidak bertulun.
Maksudnya: Kerja yang dibuat sedikit-sedikit lambat siapnya, kerja yang dibuat sekali tidak berdaya.

06. Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.
Maksudnya: Orang yang berilmu biasnya diam dalam tingkah lakunya.

07. Hangat-hangat tahi ayam.
Maksudnya: Kerja diamalkan penuh semangat pada mulanya, akhirnya menjadi malas pula.

08. Biar lambat, asalkan selamat
Maksudnya: Kerja biar cermat dan menurut peraturan yang ditetapkan.

09. Tidak akan lari gunung dikejar.
Maksudnya: Usaha gigih yang dibuat pasti menerima kejayaan pada akhirnya.

10. Ada hari ada nasi.
Maksudnya: Setiap adanya usaha akan ada kejayaannya.

11. Air dalam berenang, air dangkal bercebok.
Maksudnya: Sesuaikan pekerjaan menurut penghasilan.

12. Alang-alang berdakwat, biarlah hitam.
Maksudnya: Buat sesuatu pekerjaan biarlah sampai berjaya.

13. Arang habis besi binasa.
Maksudnya: Pekerjaan yang sia-sia.

14. Awal dibuat, akhir diingat.
Maksudnya: Melakukan sesuatu pekerjaan perlu difikirkan masak-masak supaya selamat kesudahannya.

15. Bagi Jawi makan, dimamah dulu baru ditelan.
Maksudnya: Berfikir dahulu dengan masak-masak sebelum melakukan sebarang tugas.

16. Bagai lalat cari puru.
Maksudnya: Melakukan pekerjaan dengan segera lagi cepat.

17. Berbilang daripada esa, mengaji daripada alif.
Maksudnya: Melakukan sesuatu hendaklah daripada permulaannya.

18. Yang dulu mendapat, yang kemudian ketinggalan.
Maksudnya: Seseorang yang rajin selalu mendapat keuntungan daripada seseorang yang malas.

19. Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi.
Maksudnya: Sesuatu pekerjaan hendaklah dibuat dengan sesempurnanya.

20. Usul-usul, asal-asal, asal yang ditinggalkan.
Maksudnya: Mengerjakan sesuatu hendaklah berhati-hati.

Sapaan Mesra Dalam Sesebuah Keluarga Melayu



Sapaan yang sopan lagi mesra ini, menurut pengamatan saya, masih digunakan dalam sebahagian besar ahli keluarga saya. Sapaan bagi anak-anak menurut urutan usia dan kedudukan dalam sesebuah keluarga adalah seperti berikut.

1. Sulong
2. Ngah
3. Alang
4. Andak
5. Uteh
6. Hitam
7. Acik
8. Bongsu atau Ancu

Bagi bapa saudara, digunakan sapaan Pak dan bagi ibu saudara digunakan sapaan Mak, dan diikuti dengan panggilan menurut susunan tadi.

Oleh itu, Pak Long bagi bapa saudara yang tertua sekali dan Mak Ancu atau Mak Busu bagi ibu saudara yang termuda sekali. Bagi orang Melayu berketurunan Jawa, abang atau kakak ibu bapa anak disapa dengan pangkat Wak, dan yang muda daripada ibu bapanya disebut pangkat Cik disebut sebelum menyapa dengan menggunakan nama-nama mereka. Hal yang sama juga berlaku dalam keluarga Melayu berketurunan Bawean. Sapaan Wak digantikan dengan Obek sementara sapaan Cik dipertahankan.

Bagaimanakah agaknya sapaan orang-orang daripada keturunan dan sukuan Melayu yang lain? Bagaimanakah pula dengan keluarga yang mengamalkan perkahwinan dengan pasangan ras yang lain? Tentu seronok kalau dapat anda berkongsi pengalaman anda itu.

Sapaan sebegini sememangnya mempunyai nilai yang amat tinggi kerana hal sedemikian dilakukan untuk menyemai sikap saling hormat-menghormati lagi kasih-mengasihi dalam kalangan sanak-saudara. Ada sesebahagian masyarakat kita yang menitikberatkan hal ini dan ada pula tidak mengendahkannya langsung. Adakah hal yang sama anda dapati berlaku dalam keluarga dan sanak-saudara anda?

dipadankan daripada
Richard Winstedt, 1947. The Malays – A Cultural History, UK: Routledge & Kegan Ltd.