Selasa, Disember 23, 2008

Ketupat Sate, Ketupat Bawang & Ketupat Basar

Saya hanya mahu berkongsi pemahaman dan minat saya ini dengan anda semua. Sejauh ini, saya hanya tahu menganyam 3 bentuk kelongsong ketupat yang selalu saya buat sewaktu tiba akhir Ramadan dan sebelum hari-hari Tasyrik. Saya senang menunjukkan cara-cara menganyam ketiga-tiga jenis kelongsong ketupat kepada Nurul Rasyidah dan Muhamad Faiz Danisy. Mereka belum mengerti apa-apa lagi, hanya kagum menyaksikan cara-cara saya menyediakan dan sesudah itu merebus ketupat-ketupat itu di dalam periuk elektrik selama 6 jam.

Kesenian ini menuntut kesabaran dan ketelitian yang boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja. Alah bisa, tegal biasa; memang susahlah dahulu tapi, lama-kelamaan akan menjadi mudah. Bukan hanya itu, proses pembuatan ketupat ini menyeronokkan pula. Pelbagai saiz dapat disiapkan hanya dengan memastikan sewaktu janur diraut dengan menurut kehendak masing-masing.

Setelah direbus, seperti lontong, ketupat perlu disejukkan sebelum dimakan dengan lauk-pauk yang pelbagai itu. Saya mengumpulkan sepuluh biji ketupat dalam setiap ikatan. Ikatan itu saya gantung untuk menyejukkannya. Penat menganyam kelonsong ketupat begitu berbaloi setelah menjamah hidangan yang lengkap sebagai juadah untuk sambutan kedua-dua Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Saya sedang memikirkan cara-cara untuk merakam proses menganyam kelongsong-kelongsong ketupat itu agar kesenian ini tidak akan hilang. Saya sedang berusaha untuk mempelajari sekurang-kurangnya 2 jenis kelongsong ketupat lagi pada tahun hadapan. Sesudah menguasainya, saya mahu mengajarkan anyamanmya kepada sesiapa sahaja yang berminat. Semoga saya akan menemukan kepandaian ini kelak, isya-Allah.


a. di bawah ini, ketiga-ketiga jenis kelongsong ketupat yang sudah siap saya anyam dan akan diisi dengan beras yang sudah dikosek dan ditoskan terlebih dahulu.

b. di bawah ini, ketupat-ketupat yang sudah direbus dan dibilas dengan air bersih akan saya ikat sebelum digantung agar cepat sejuk.

Tiada ulasan: