Selasa, Februari 16, 2010

Hidangan Masyarakat Kita


Kedua-dua judul ini diterbitkan oleh Buku Prima mengandungi sebilangan hidangan tradisional yang jarang didapati dari tanah air kita yang dicintai.

Pagi tadi, saya sempat ke gerai Aiman di Jurong West St 42 sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berjalan jauh, rutin senaman saya setiap hujung minggu. Saya teringin benar hendak makan nasi rames (disebut rames - 'e' pepet). Hidangan nasi ini ringkas, kalau kita makan lontong, bagi nasi rames, bukan nasi lontong atau lontong gableg yang diberikan. Nasi putih, dicurah kuah lodeh, diberikan sambal tumis dan serundeng. Saya minta tauhu dalam kuah lontong itu. Berapa harganya? $2. Bagi saya lumayan, nasi dalam anggaran sebiji mangkuk sup berukuran saiz kecil dibungkus bersama-sama lauk-lauk yang saya nyatakan tadi. Sampai di rumah, setelah membersihkan diri selepas berjalan kaki selama satu jam di persekitaran Jurong West lama, saya duduk menghadapi hidangan kampung yang saya senangi itu. Benar-benar membangkitkan kenangan lama sewaktu di Jalan Eunos pada tahun-tahun 1970an, waktu saya kecil-kecil. Waktu itu, nasi rames saya itu dibeli di rumah Mak Tom di Jalan Jumat. Saya tinggal di Jalan Ambo' Sooloh simpang Jalan Omar Samad. Warung Mak Tom dan Pak Daim, suami isteri itu, di kolong rumah panggungnya yang terletak di simpang Jalan Traling. betapa saya terkenang kebaikan Mak Tom dan Pak Daim kepada para pelanggannya. Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada mereka suami isteri.


Berbalik tentang nasi rames itu, saya selalu diketawakan apabila minta nasi demikian di beberapa buah gerai makan di daerah kediaman saya sebelum ini. Sayang sekali, orang Melayu ini tidak kenal apakah bentuk dan rupa nasi rames. Mereka mempersenda nasi itu dengan kekata 'ramas'. Mereka mula mengungkit nama nasi sambal goreng dan seumpamanya, yang saya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil menahan gelak lantasa saya hanya tersenyum simpul sahaja.


Teringin saya menambah pengetahuan saya tentang makanan tradisi kita, yang banyak diambil alih oleh makanan India dan entah apa-apa sahaja yang dikatakan 'fusion'; bergedel sudah jadi macam-macam bentuk yang bukan main mahal harganya sebagai sebahagian hidangan tradisional Melayu kita sekarang ini.


Membelek-belek buku-buku resipi yang saya miliki, tiada entri tentang nasi rames pada mana-mana buku itu. Malah buku lama, Hidangan Tradisional Kita susunan Almarhumah Hajah Asfiah juga tidak terdapat apa-apa mengenai nasi rames ini. Namun, saya tertarik dengan beberapa resipi yang terdapat dalam buku yang disusun oleh Puan Rubiah Suparman. Ada sambal godok, lauk autentik yang selalu arwah ibu saya, Hajah Rasidah Taib sediakan pada perayaan dan masa-masa istimewa. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas roh arwah ibu saya yang dicintai itu. Nantilah, saya hendak merakamkan pengalaman hidup pada masa itu untuk tatapan anak-anak saya pada masa hadapan kelak. Nasi rames, sambal godok, gerang asem; lauk untuk nasi ambeng - aduh..duh..duh!

Tiada ulasan: