Jumaat, Disember 02, 2011

Cerita Dugung

Kononya, dugung dikatakan berasal daripada manusia.
Di sebuah pulau yang tidak ramai penduduknya, seekor ular hijau menetaskan sebiji telur yang mengandungi seorang bayi perempuan. Anak itu membesar menjadi seorang gadis yang sungguh jelita.
Pada suatu hari seorang pemuda pulau itu terpandang akan gadis itu dan telah jatuh hati kepadanya. Setelah dipinangnya, gadis itu yang dahulunya hidup bersendirian dengan ibunya, seeekor ular, kini menjalani hidup bersuami. Mereka mengerjakan sebidang huma padi yang luas. Keadaan ibu isterinya itu tidak diketahui sang suami. Tidak lama kemudian, pasangan itu mendapat seorang anak lelaki. Kehidupan mereka amat bahagia.
Ular hijau itu selalu menziarahi anak manusianya tanpa pengetahuan menantu manusianya. Ibu gadis itu berasa amat gembira mendapati anaknya sudah bersalin. Sementara dalam tempoh berpantang, ibu ular datang merawat anak perempuan serta cucu manusianya.
Pada suatu pagi, menantunya keluar bekerja di huma padi seperti biasa. Setelah menantunya pergi, ibu ular pun datang untuk menjalankan tugasnya merawat anak dan cucunya. Ketika anaknya pergi mandi, ular hijau itu dimintanya untuk mrnjagakan anaknya. Tidak lama kemudian, tanpa disedari ular itu dan anaknya, menantunya pulang kerana tertinggal sesuatu barang. Apabila dia masuk ke dalam bilik tidurnya, ibu ular tidak sedar akan kehadiran menantunya dan dia tidak sempat untuk bersembunyi. Menantunya itu yang menyangka bayinya telah diserang oleh seekor ular menjadi cemas. Dengan segera, dia menetak ular hijau itu hingga mati.
Apabila isterinya masuk ke dalam bilik dan melihat bangkai ular itu, dia meraung-raung sekuat-kuat hatinya kerana ibunya telah mati ditetak oleh suaminya.
Perempuan itu hilang akal lalu dengan tidak menegur suaminya, dia meluru lalu berlari ke arah laut. Suaminya menggendong anaknya lalu mengejar isterinya kerana hendak mengetahui sebab-musabab isterinya bersikap demikian. Namun, isterinya itu terlalu pantas berlari ke arah laut.
Sampai di atas tebing tinggi, si isteri itu lalu terjun ke dalam laut. Apabila jasadnya mencecah air, tubuh perempuan itu bertukar menjadi dugung dan terus berenang-renang menjauhi daratan. Lelaki itu terpegun menyaksikan kejadian yang berlaku di depan matanya sambil dia menggendong anaknya yang mula menangis tak henti-henti.

Tiada ulasan: