Ringkasan Cerita
Dalam sebuah perhimpunan, para siput digemparkan dengan berita seekor umang-umang yang menyerang seekor rakan siput mereka.
Ada sekumpulan dalam perhimpunan itu mengusulkan serangan balas. Namun, Tok Rapot, ketua para siput itu, meminta semua kaumnya usah bergopoh-gapah dalam bertindak. Toka Rapot meminta mereka agar menyiasat dahulu sama ada benar atau tidak berita tersebut.
Apot yang menyaksikan kejadian itu memberikan laopran. Menurutnya, seekor umang-umang telah membantai siput yang malang itu. Siput yang malang itu Miut. Menurut Apot, dia dan Miut sedang mencari makanan bersama-sama sewaktu mereka diserang oleh seekor umang-umang. Miut tewas apabila cuba menangkis serangan umang-umang itu. Badannya disepit oleh umang-umang yang menyerang itu. Umang-umang itu sungguh bengis. Cangkerang Miut dirampas oleh umang-umang tersebut. Apot sempat melarikan dirinya setelah dia bersembunyi di sebalik rumpai.
Mendengarkan laporan Apot itu, Tok Rapot naik berang lalu menuduh kaum umang-umang telah melanggar perjanjian damai yang telah disepakati oleh kaumnya dan kaum umang-umang sebelum ini.
Lipot bersungut-sungut dan mendakwa perjanjian itu hanya sebuah kepura-puraan, yang tidak ditepati oleh pihak umang-umang. Yot pula menyatakan kekesalannya kerana cangkerang Miut yang dirampas umang-umang yang menyerang itu. Cangkerang tempat mereka berlindung diri itu dirampas dan mereka tidak harus mendiamkan diri. Siput-siput yang lain bersetuju dengannya.
Tok Rapot cuba menenangkan kemarahan para siput dan meminta mereka sama-sama mencari ikhtiar dalam mencari jalan keluar masalah yang dihadapi itu dengan cara aman.
Sebahagian siput yang berhimpun itu membantah kata-kata Tok Rapot. Mereka mendakwa, dalam semua keadaan, pihak siput yang menjadi mangsa keadaan, kalah dan kecundang. Tok Rapot memujuk mereka agar mereka terus berunding dengan pihak umang-umang dan meminta sebuah gencatan senjata diwujudkan. Selain itu, mereka hendaklah menggunakan budi bicara dan muslihat tanpa sebarang tindakan yang tergesa-gesa. Tok Rapot mahu meminta kedamaian sebenar bagi semua pihak.
Namun, pendapat Tok Rapot itu dibantah juga. Limut mengingatkan bahawa mereka selalu menjadi mangsa dalam semua keadaan dan mahu tindakan tegas segera diambil. Kata-katanya itu membangkitkan semangat juang para siput yang lain. Kata-katanya itu disambut dengan sorakan gemuruh sebahagian para siput itu yang tidak berpuas hati dengan keadaan mereka selama ini.
Tok Rapot bungkam mendengarkan kata-kata Limut dan melihat reaksi sebahagian siput-siput itu. Tak Rapot cuba sekali lagi menenangkan agar para siput mengalah untuk mengelakkan padah yang lebih besar. Tok Rapot percaya kesabaran akan memberikan mereka kejayaan pada akhirnya.
Tok Rapot cuba menekankan bahawa hukum alam yang menghendaki bangsa siput tunduk dengan tindakan kaum umang-umang itu. Lipot membantah dan mahu mereka bertindak balas agar kaum umang-umang tidak lagi memangsakan kaum siput. Namun Tok Rapot cuba buat sekian kalinya menenangkan sebahagian kaum siput yang bersetuju dengan pendapat Limot itu. Setiap kata-kata Tok Rapot terus dibantah-bantah oleh Limot.
Tok Rapot mengingatkan betapa keadaan para siput yang sangat lemah itu tidak akan mampu menewaskan kekuatan kaum umang-umang. Limot terus-terusan membangkitkan semangat sebahagian kaumnya di situ untuk bangkit melawan kaum umang-umang dan menidakkan usul-usul Tok Rapot.
Perbalahan pendapat itu dicelah oleh Apot. Apot meminta para siput itu agar mereka semua menghentikan pertikaman lidah dan perkelahian yang tidak ada sudah-sudahnya sejak awal perhimpunan itu.
Tok Rapot memberi amaran kepada semua siput yang berhimpun itu agar tidak melanggar kata-katanya. Tok Rapot cuba menekankan bahawa kata-katanya sebagai ketua bagi kaum siput hendaklah mereka patuhi.
Tindakan Tok Rapot itu dikecam hebat lalu sebahagian siput-siput itu menggelarnya pengecut dan mahu menjatuhkan kedudukan Tok Rapot daripada jawatan yang disandangnya itu. Mereka mendakwa bahawa Tok Rapot tidak layak menjadi ketua kaum siput lagi.
Apot mencelah lagi dengan mengingatkan agar para siput itu tidak bertindak ganas kerana hal demikian bukanlah cara hidup mereka. Kata-kata Apot itu disanggah Peot dan hujag-hujah.
Keadaan demikian membuat Tok Rapot menjadi gelisah. Dia bimbang akan tindakan nekad siput-siput yang sedang marah-marah itu. Tok Rapot bimbang akan amaran kaum umang-umang yang telah diberikan kepadanya sebelum itu. Tok Rapot telah diarahkan untuk melenyapkan siput-siput yang mahu memberontak dan merusuh. Jika hal keadaan sipu-siput yang mahu merusuh itu tidak dikawal, dia akan dilucutkan daripada kekuasaannya dalam kalangan siput. Tok Rapot juga bimbang akan ancaman bahawa bangsanya itu akan dihapuskan jika dia tidak mengawal keadaan.
Tok Rapot lalu mengarahkan mata-mata dalam kalangan siput itu menangkap semua siput yang mahu merusuh dan menimbulkan kekeliruan. Para siput yang berhimpun mula berpecah belah dan terbahagi kepada dua golongan; sebahagian yang menyokong Tok Rapot dan sebahagian yang menyokong Lipot. Para siput yang berhimpun dan telah berpecah belah itu mula bertempur sesama sendiri, masing-masing hendak menegakkan kebenaran mereka masing-masing dan menundukkan pihak yang menentang.
Apot yang tidak condong kepada mana-mana pihak yang bertelagah itu kecewa dengan apa-apa yang berlaku di depan matanya.
Keadaan kacau-bilau dalam perhimpunan siput itu telah dimanfaatkan oleh satu pihak umang-umang yang sedang menantikan saat-saat untuk bertindak. Tanpa disedari para siput yang berhimpun itu, kaum umang-umang itu telah menyerang semua siput yang bertelagah semasa sendiri itu untuk merampas cangkerang siput-siput itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan