Jumaat, November 28, 2008

Lagu Syair Guru Arif Budiman 2008

Bagi makluman semua, bahan ini saya angkat daripada pesanan-pesanan yang terdapat dalam Hikayat Abdullah oleh Munsyi Abdullah dan Seuntai Kata Seindah Bahasa yang banyak memuatkan puisi-puisi tradisional Pak Tenas Affendy. Setelah memahami akan objektif Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB), saya gubah inti pati kedua-dua teks dan disusun dalam lapan rangkap syair ini.

Dendangan syairnya pula saya memanfaatkan dua daripada sebilangan besar ragam Lagu Syair Siti Zubaidah yang terkenal di daerah Nusantara ini.

Semoga usaha ini akan memeriahkan lagi usaha kita semua di seluruh Nusantara, dalam mengayakan lagi jumlah jenis-jenis lagu syair tradisional kita yang masih dikenali dan diamalkan.

****


Teks Syair Guru Arif Budiman


01.
Ayuhai tuan arif budiman,
Ayahanda Munsyi ada berpesan,
Padanya guru dalam pekerjaan,
Moleklah kita buat pedoman.

02.
Berpengetahuan syarat utama,
Tiada ujub pada cirinya,
Sabar membimbing anak didiknya,
Walaupun bebal pada sifatnya.

03.
Ilmu bahasa penting baginya,
Tahu setiap kata, penggunaannya,
Supaya faham anak-anak didiknya,
Setiap masa rajin berusaha.

04.
Pesanan Ayahanda Paduka pula,
Orang yang alim banyak manfaatnya,
Ilmunya ditebar merata-rata,
Setiap insan dapat kebaktiannya.

05.
Apabila anak ditunjuk ajar,
Kecil bernama besar bergelar,
Duduk tegak pada yang benar,
Fikiran jernih hatinya penyabar.

06.
Apabila anak diberi petuah,
Kecilnya baik besar menakah,
Berjalan tidak tersesat langkah,
Bercakap tidak tersalah lidah.

07.
Bergaul tidak tersilap tingkah,
Berkerja tidak pada yang salah,
Tahu memelihara laku kerenah,
Itulah dia insan bermaruah.

08.
Pekerjaan guru bukan mudahnya,
Berbakti untuk bangsa negara,
Arif budiman harapan bangsa,
Ayuhlah kita laksanakannya.


(pautan rakaman suara menggunakan 2 ragam Lagu Syair Siti Zubaidah untuk anda muat turun)
http://myfreefilehosting.com/f/908191d752_2.42MB

****

Tahniah buat semua penerima Anugerah Guru Arif Budiman 2008.

Tiada ulasan: