Khamis, November 27, 2008

Khamis, 27 November 2008

Randai Buya HAMKA - Sebuah Perenungan dan Pengalaman Peribadi dalam Usaha Membinanya Bersama-sama Pelajar-pelajar EMAS-BPGHS







Hari ini, saya berasa sungguh lega setelah selesai melatih para pelajar berikut menyiapkan diri untuk persembahan mereka di Hotel Furama Harbourfront, Havelock Road pada hari Ahad, 30 November 2008.

Para pelajar menengah 2 terdiri daripada Ezuan, Nabilah, Shalinah dan Azlinda. Para pelajar menengah 3 terdiri daripada Ridhwan, Nabil, Hanafi dan Raafiq.

Yang sangat saya senangi adalah semangat mereka. Namun, pada mulanya, biasalah, tak kenal maka tak cinta (Melayu) atau tak kenal maka tak sayang (Indonesia). Saya berasa bangga mereka akhirnya dapat menghayati rangkap-rangkap puisi tokoh yang banyak jasa baktinya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Daripada latihan yang pada mulanya seakan-akan sukar bagi mereka semua, akhirnya dapat mereka lakukan dengan jayanya. Daripada aspek deklamasi hinggalah pada pukulan caklempong dan paluan rebana ibu dan marwas. Mereka saya kenalkan dengan rentak masri dan zapin bagi paluan rebana dan marwas selain rentak ‘march’ menggunakan alat-alat muzik paluan itu.

Mengenangkan kembali sewaktu mula latihan, saya bersyukur para pelajar saya akhirnya dapat saya bekalkan dengan pemahaman dan kemegahan yang ada pada tokoh dan penyampaian digabungkan pendeklamasian puisi tersebut dengan elemen talbiyah dan salawat Nabi s.a.w., termasuklah pukulan dentingan indah caklempong dan gempaknya paluan-paluan rebana dan marwas.

Saya berasa terharu melihat tahap iltizam tinggi akan projek ini dalam kalangan semua pesertanya. Mereka dapat bergabung usaha dan tenaga bagi menjayakan projek ini. Ujian terakhir bagi usaha mereka ini adalah dalam persembahan sebenarnya pada hari Ahad ini. Doa saya agar mereka dapat melakukan yang terbaik dalam majlis anjuran Masjid En-Naeem ini.

Saya selalu mengingatkan bahawa usaha mereka ini adalah sesuatu yang murni. Mengkhabarkan dan menyanjungi seorang tokoh besar yang menghasilkan Tafsir Al-Azhar, sebuah siri kitab tafsir Al-Quran dalam bahasa Melayu dan kitab Sejarah Umat Islam. Kedua-dua karya adalah sebahagian usaha tokoh almrahum Buya HAMKA yang tersohor itu.

Sewaktu dipersembahkan kepada tiga pegawai dari Masjid En-Naeem Selasa lalu, para tetamu itu berasa gembira terhadap usaha projek sumbangan daripada pihak sekolah BPGHS-EMAS ini. Terima kasih kepada Ustaz Muhammad dan dua orang rakannya dari Masjid En-Naeem atas kata-kata perangsang yang sememangnya para peserta pelajar kami hargai. Ingatan serta doa mereka bagi saya melancarkan lagi usaha saya menatar para peserta persembahan randai ini.

Begitu juga dengan input Cikgu Noormarlina Tasrib dan Cikgu Senan Long sewaktu menyaksikan persembahan dalam latihan kami di BPGHS kampus Teck Whye Crescent siang tadi. Kata-kata perangsang mereka berdua saya percaya amat memberikan kesan untuk para peserta randai gunakan untuk mempertingkatkan persembahan mereka kelak. Saya cukup terharu apabila Cikgu Senan sudi menyediakan boneka bayi bagi menambahkan impak persembahan ini kelak. Saya juga terharu apabila Cikgu Noormarlina akan turut bersama-sama juga untuk mengiringi para peserta pada hari Ahad nanti.

Saya pada waktu itu sedang berada di Indonesia bagi program pertukaran pelajar dengan sebuah sekolah di Purbalingga selama lapan hari. Betapa saya akan berasa ingin sekali melihat para peserta randai ini membuat persembahan setelah lebih dua bulan kami berlatih.

Para pelajar lelaki dan perempuan akan mengenakan pakaian baju kurung Melayu. Para pelajar perempuan akan mengenakan tudung kepala yang amat sesuai dalam persembahan randai ini.

Rakaman terima kasih juga buat Ketua Subjek saya, Cikgu Sazali Sahri. Beliau merupakan tulang belakang yang cukup kuat menyokong semua program EMAS dari segi kesusasteraan dan kesenian, selain pengajaran bahasa Melayu. Kepercayaan dan kesungguhan beliau serta rakan-rakan karyawan guru dalam jawatankuasa bahasa Melayu di BPGHS memungkinkan saya dapat menyumbang mana-mana yang saya fahami dan tahu dalam bidang ini. Namun, usaha saya itu jauh lebih sempurna dan mengharapkan anak-anak didik saya ini untuk terus meminati kesenian bangsa sekali gus mencintai bahasa Melayu yang indah lagi murni ini. Kepada mereka dan para pelajar yang lainnya saya berharap agar dapat meneruskan kelangsungan dalam masyarakat di sekolah saya ini keindahan dan kepedulian berbahasa Melayu dan seni serta sastera Melayu yang tinggi dan penuh dengan nilai santun dan serba-serbi kelebihannya itu.

Khas buat para pelajar sastera saya; Izyan, Adilah, Syahirah, Sabrina, Farhana, Aisyah dan Siti Umairah, ucapan terima kasih kerana dapat membina puisi Randai Buya HAMKA. Terima kasih buat Siti Umairah yang mengisi tempat saya membantu dan memastikan rakan-rakan peserta randai ini meneruskan latihan dengan ketiadaan saya dalam urusan rasmi bagi tempoh dua minggu.

Bagi saya, dalam mana-mana aspek penilaian; kepimpinan, kerjasama, kreativiti, iltizam, pengurusan dan proses penciptaan persembahan ini, semua para pesertanya; daripada semua pendklamator, pemuzik, penulis, para pesertanya saya percaya meraih banyak manfaat dan dapat melaksanakan tugas-tugas mereka dengan jayanya. Daripada aspek disiplin berkesenian, di pentas atau sewaktu berlatih, para peserta randai ini menunjukkan iltizam yang tinggi.

Bagi saya, saya mempelajari betapa banyak strategi untuk membentuk nilai kesenian dan pemahaman terhadapnya daripada interaksi saya dengan setiap pesertanya. Saya bersyukur bahawa pengalaman saya dalam projek ini mendatangkan manfaat dan memberi saya banyak peluang untuk membentuk set-set pengarahan berstuktur yang boleh saya eksploit sama ada dalam pengajaran dalam sekolah atau aktiviti ko-kurikular dan pengayaan, terutama sekali dalam program EMAS-BPGHS, pada masa hadapan.

Saya bertuah dapat peluang mengajar anak-anak didik saya apa-apa yang saya tahu tentang kesusasteraan dan persembahan kesenian yang saya harap dapat mencetus satu golongan anak-anak pintar dan pecinta seni dan bahasa pada masa depan.

DIRGAHAYU, BPGHS! Dirgahayu EMAS-BPGHS!

(gambar-gambar yang dirakam dalam latihan hari ini akan menyusul kelak)

Tiada ulasan: