Ahad, Ogos 03, 2008

Syair Narasi - Megat Panji Alam

Sebuah pementasan episod Tun Teja dibawa lari Laksamana Hang Tuah


Gambar Ukiran Timbul Tembaga di Muzium Negara KL.


01.
Megat Panji Alam tersebut cerita,
Puteri Tun Teja Ratna Gemala,
Laksamana Hang Tuah hendak berbuat jasa,
Kepada Sultan Melaka Seri Baginda.


02.
Tun Teja dibawa lari oleh Hang Tuah,
Ke Negeri Melaka dengan jayanya,
Punca angkara jadi sengketa,
Porak-peranda Negeri Melaka.


03.
Megat Panji Alam gagah perkasa,
Sudah masyhur serata dunia,
Hendak menentang Laksamana bijaksana,
Yang dapat membawa Tun Teja ke Melaka.


04.
Dengan gagahnya umpama sang dewa,
Megat Panji Alam terkecundang juga,
Di tangan Hang Tuah yang gagah perkasa,
Jadi tatapan generasi muda.




**********
Catatan kecil


Puisi ini saya dengar secara langsung daripada seorang penyampai yang sudah berumur dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur tiga tahun dahulu. Lagu Syair Narasi yang serupa dengan Lagu Gurindam yang sudah dimantapkan di Malaysia ini disampaikan dengan gaya yang sungguh mempesonakan.

BACA SINGAPURA - 5.0

Perpustakaan Masyarakat Geylang East - 2 Ogos 2008 @ 3.00ptg-5.00ptg

Apalah yang digelakkan? Entah, ya!

Sibuk makan dan minum sambil mendengar..... agaknya!

Rahmat yang jarang sekali tersenyum..... orangnya selalu serius.

"Inilah kisah dalam buku cerita saya," ujar Puan Hafiza Talib.

Kedua-dua orang pemudah cara ini, yang berbaju merah terang dan bertudung putih itu bekas ketua saya, sangat membantu menyebar minat membaca.





Rahmat dan Fahmi menanti saya di Stesen MRT Jurong East sejak jam 1.30ptg. Saya tiba jam 2.00ptg, membawa kotak dan kantung yang mengandungi bahan-bahan yang hendak saya kongsi bersama-sama para peserta dan setentunya Puan Hafiza Talib.

Sesampai kami di sana, kami bertemu Puan Zaimah dan Puan Rasidah di tingkat dua. Mereka saya pohonkan tempat untuk memamerkan bahan-bahan yang saya bawa tadi.

Mujurlah, Puan Syazana membenarkan dan kami memunggah isi kotak dan kantung itu. Bukan apa, hanya kotak-kotak cerita, papet dan buku kecil yang dihasilkan para pelajar saya dan rakan-rakan guru di sekolah kami.

Kami bertiga memohon izin untuk bergegas menyelesaikan salat Zuhur. Kami pulang ke Dewan Merpati dan acara perkongsian aktiviti itu bermula. Saya baru menyedari bahawa itulah aktiviti yang terakhir bagi program Baca! Singapura dalam bahasa Melayu. Namun, petang itu amat memberikan kesan yang mendalam kepada saya terutamanya. Puan Hafiza berkongsi pengalamannya membina novel dan cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan ahli keluarga.

Saya amat kagum; wanita yang hanya seorang suri rumah tangga mempunyai daya yang cukup kental untuk berkongsi pengalaman dalam hidupnya dalam bahan-bahan cereka yang telah diterbitkan. Beliau menulis setiap hari setelah menyelesaikan tugasnya sebagai seorang ibu dan isteri. Proses penciptaan kedua-dua buah novel beliau itu dihasilkan dengan daya usahanya mengedit dan memperkemaskan ceritanya dari mula hinggalah saat-saat ke pejabat penerbit. Usaha beliau yang amat saya kagumi adalah beliau menuliskan jalan cerita dalam novelnya dahulu dan dipertingkatkan kandungannya sewaktu menulisnya pula.

Saya cukup senang, wanita yang ayu ini membacakan beberapa keratan cerita yang dipetik daripada kedua-dua novel beliau; Janji Masyita dan Lambaian Kasih. Pembacaan beliau sungguh menarik sekali; daripada isu-isu mengenai masalah harian hinggalah pada petikan sebuah cerita klasik yang beliau kenali sebagai bangsawan.

Dalam pada itu, kami sempat berkongi pandangan mengenai jalan cerita Singapuraku. Para peserta, termasuksaya sendiri, memberikan respons mengenai lanjutan cerpen beliau yang dikatakan singkat itu. Maka para peserta banyak tertumpu pada kisah Aini dan Roslan (kedua-duanya merupakan watak dalam cerpen tersebut). Seronok, sungguh seronok sekali.

Saya meminta kesempatan menerangkan bahan-bahan yang dibawa sebelum itu. Saya bercerita mengenai aktiviti membaca kedua-dua cerpen Melayu dalam antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati. Puan Hafiza dan para peserta memberikan reaksi yang cukup menyenangkan hati. Saya merakamkan terima kasih saya kepada rakan-rakan guru di BPGHS atas kerjasama mereka dalam menjalankan aktiviti tersebut.

Apabila ditanya mengenai aktiviti lanjutan selepas kempen Baca! Singapura ini, saya menerangkan bahawa pihak sekolah akan menganjurkan aktiviti serupa setiap penggal pada tahun hadapan. Saya akan mengusulkan agar rakan-rakan guru saya memanfaatkan kedua-dua antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati dan Ikatan Yang Menyatukan dengan memilih beberapa buah cerpen untuk tujuan itu.

Pada masa yang sama, saya dan para pelajar sastera saya akan membuat kajian mudah mengenai teks Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Kedua-dua teks ini adalah rentetan daripada projek Randai Buya Hamka yang sedang giat penulisan puisi-puisinya. Para pelajar tersebut akan mebincangkan mengenai Buya Hamka dan dua buah novel tersebut.







Dalam aktiviti akhir, kami membuat skit/sketsa sebagai respons sesudah membaca cerpen Singapuraku. Rahmat, Fahmi dan saya membawakan semula kisah Roslan dan anak-anaknya menyambut Hari Kemerdekaan.

Kami bergambar beramai-ramai dan saling bersilaturrahim pada akhir sesi. Saya memohon semua pihak yang berada di situ mendoakan semoga usaha-usaha saya ini akan berjalan lancar dan berjaya demi memberikan manfaat kepada anak-anak didik saya dan juga membangkitkan semangat agar semua rakan guru saya teruja sama untuk menjalan aktiviti-aktiviti sedemikian.

Bagi saya, semua aktiviti yang dijalankan di sekolah saya, termasuk para pelajar 1HMT VS saya, amat bermakna. Saya berharap aktiviti sokongan usaha NLB ini akan membenihkan sikap cinta akan sastera dan bahasa dalam kalangan semua pelajar saya. Besar harapan kami agar visi Arif Budiman dapat dicapai dalam masa-masa yang mendatang.

Saya menjunjung budi setiap rakan guru di sekolah dan di luar sekolah, serta para pustakawan yang begitu ramai jumlahnya kerana membenarkan saya menumpang dan berkongsi apa-apa yang diusahakan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua anak didik saya atas kerjasama yang mereka berikan dalam usaha ini.



Semoga Allah memberi saya afiat dan rahmat-Nya untuk saya teruskan usaha-usaha saya selama ini.

DIRGAHAYU BPGHS! DIRGAHAYU SINGAPURAKU!

Isnin, Julai 28, 2008

Singapura Lama, Singapura Baru - Baca! Singapura

Alhamdulillah. Daripada teks di atas, kita sudah menjalankan pembacaan dan sekali gus perbincangan mengenai kandungannya.

Mujur ada buku audio yang membantu dalam pembacaan cerpen tersebut.

Tugasan-tugasan yang telah dijalankan sejauh ini.

1. Suka diingatkan, para pelajar 1HMT BPGHS perlu membuat catatan ringkas mengenai kedua-dua watak pak Raub dan Penarik Beca daripada teks tersebut. Daripada aktiviti ini, pemerian mengenai kedua-dua watak ini akan dibuat karangan pemerian. Bahan itu perlu para pelajar buat dalam buku kecil dan kotak cerita seperti biasa. Saya bercadang hendak membuat latihan perbandingan antara kedua-dua watak ini. Berkemungkinan, aktiviti kraftangan menghasilkan papet dan diodrama akan dibuat dalam masa terdekat.

2. Para pelajar diminta mengayat daripada sebilangan perkataan yang saya pilih.

3. Daripada perbincangan secara lisan, para pelajar diminta memberikan pandangan peribadi terhadap kedua-dua orang watak.

Aktiviti lain akan menyusul pada minggu berikutnya. Aktiviti-aktiviti tersebut termasuklah karangan membina pemahaman mengenai konflik masa lalu watak Pak Raub semasa dia remaja.

Bahan-bahan latihan bahasa dan karangan yang sesuai akan dijalankan selain kerja kraftangan juga akan dibuat sama.

Rabu, Julai 23, 2008

Program Hari Keharmonian Kaum, Sekolah Menengah Bukit Batok, 21 Julai 2008.

Pada petang hari Isnin, 21 Julai 2008, kumpulan "Puteri Bertujuh Turun Bersiram" buat persembahan sekali lagi. Selain mendapat perhatian akan kerja-kerja para pelajar ini, saya bersyukur setiap seorang daripada mereka mendapat pengalaman yang bermakna dalam erti bekerjasama dan mengukuhkan silaturahim.

Saya sedar terdapat beberapa kerumitan dan isu-isu penyelarasan, namu saya percaya daripada kerumitan yang boleh dileraikan dengan saling memahami akan hati budi sesama mereka, mereka mendapat pengalaman yang amat berharga. Saya sedar ada sebahagian mereka yang merasakan diri mereka layak memberi orang lain pandangan mereka, namun saya tekankan sikap ukhuwah dan saling menghargai setiap rakan dalam kumpulan itu. Mereka harus saling bermusyawaha dan mereka harus mengawal perasaan masing-masing dan menjaga hati orang lain. Saya sedar, inilah hakikat perkembangan sahsiah anak-anak remaja ini. Mereka memerlukan panduan dan bimbingan. Mereka juga perlu ditegur dan menerima pandangan sesama sendiri dan orang-orang yang dewasa, iaitu para guru termasuk diri saya sendiri. Semoga pengalaman membuat persembahan ini, yang bakal menerima lagi undangan daripada beberapa pihak yang sedang dipertimbangkan, membuat mereka lebih yakin dan berhemah tinggi.

Saya bersyukur dengan pengalaman membimbing dan mendampingi pelajar-pelajar saya ini. Pengalam ini amat berharga, semoha usaha saya mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya. Aamiiin.












Program Usaha Sama HCI-BPGHS, Hari Keharmonian Kaum, 21 Julai 2008

Mereka tersenyum-senyum bangga apabila Farhanny mengenalkan program Usaha Sama HCI-BPGHS sepanjang beberapa bulan yang lalu. Farhanny saya suruh baca teks ucapan yang saya tukil daripada bahan hebahan yang disediakan Valen, salah seorang pelajar yang mengikuti program ini di BPGHS.

Program tersebut termasuklah membuat lukisan batik, membuat dua jenis kuih Melayu, menari dan memainkan alat-alat gamelan. Persembahan gemelan itu adalah kemuncak acara program yang dijalankan di BPGHS.

Bermula bulan hadapan, akan bermulalah beberapa siri aktiviti yang akan dijalankan di pihak HCI.

7 Ogos 2008, para pelajar EMAS Menengah 1 akan ada pengalaman menarikan Tarian Singa.
21 Ogos 2008, mereka akan mengenali Kesenian Minum Teh Cina.
28 Ogos 2008, ada aktiviti Bot Naga.
11 September 2008, ada aktiviti Kaligrafi Cina.

Saya percaya, para pelajar ini akan meraih sebanyak mungkin beberapa aspek kebudayaan dan kesenian masyarakat Cina Singapura dalam program usaha sama ini.
















Ahad, Julai 20, 2008

BACA! SINGAPURA - 4.0

Pengalaman di Perpustakaan Masyarakat Bedok













Program Bicara Buku Sempena Kempen Baca! Singapura 2008
Sabtu, 19 Julai 2008, jam 2.30ptg - 4.30 ptg, Perspustakaan Masyarakat Bedok.

Dua buah novel telah dibincangkan peserta acara ini, Haruman Kencana tulisan Zaharah dan Mail Mau Kahwin oleh Muhammad Ariff Ahmad.

Kesembilan-sembilan pelajar saya, Amalina, Marissa, Safwanah, Farhanny, Izyan termasuk Taqim, Danial, Rahmat, Fahmi saya dapati berasa seronok mengikuti acara khas ini. Puan Syazan dan Puan Marhamah, pegawai-pegawai perpustakaan memberikan kami sambutan yang amat mesra.

Suasana di bilik program perpustakaan itu berkumandang lagu-lagu zaman sembilan belas tujuh puluhan dengan haruman minyak wangi untuk membangkitkan betapa hal sedemikian akan pengenalan bagi kedua-dua buah novel.

Di sebuah sudut terdapat bekas indah yang diisi dengan beberapa botol minyak wangi serta bekas yang berisi bunga manggar dan bekas-bekas bunga telur yang indah-indah.

Cikgu Zaimah Mohd Ali dan Cikgu Rasidah Ahmad menjalankan aktiviti pengenalan kedua-dua buah novel itu dengan para peserta acara perbicangan itu. Soalan-soalan yang berdasarkan sinopsis kedua-dua novel itu ditukil untuk menguji kecerdasan para peserta. Bayangkan anak-anak murid saya dan para ibu peserta bengkel saling beradu kecerdasan untuk mendapatkan hadiah manisan yang ditawarkan Cikgu Rasidah dan Cikgu Zaimah.

Sementara Taqim, Amalina, Dabial dan saya mengikuti wartawan Berita Harian untuk diwawancara, pelajar-pelajar saya yang lainnya itu diminta bergabung dalam kumpulan masing-masing dan membuat skita atau apa-apa respons bagi akitiviti pos membaca.

Sekembalinya kami di bilik program perpustakaan itu, kami sempat membasahkan tekak dan menikmati juadah yang disediakan.

Sesudah itu, aktiviti pos membaca dijalankan. Kami didendangkan dengan syair dan lagu-lagu berlirik yang dicipta dengan spontan, termasuk pendeklamasian sajak dan ucapan pantun serta beberapa lakonan sketsa dan bacaan kreatif yang disediakan oleh para peserta bengkel. Saya berasa senang mendapati semua aktiviti yang berkitar daripada plot-plot novel Mail Mau Kahwin itu dijayakan oleh para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar saya dan peserta-peserta lain.

Sesudah semuanya selesai membuat persembahan, kami dihidangkan dengan penyampaian istimewa . Puan Hafiza Talib, menyampaikan skit yang dipetik daripada cerpen tulisan beliau, Singapuraku, yang termuat dalam antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati. Beliau memberikan persembahan yang cukup menarik. Persembahan tersebut membuat saya menghimbau semula setiap aktiviti pembacaan dan perbincangan cerpen beliau yang saya buat dengan pelajar-pelajar menengah 1 dan dua di sekolah sepanjang minggu 1 dan 2 semester 3 ini.

Memang itulah harapan saya, agar para pelajar saya dapat mendengar sendiri dan bertemu muka dengan Puan Hafiza sewaktu kami di situ. Semua para pelajar saya bersetuju bahawa mereka juga berasa pembacaan yang mereka buat sebelum itu masih segar dalam ingatan dan mereka senang dengan pengalaman tersebut.

Kecuali Taqim, Amalina dan Danial, pelajar-pelajar yang membuat persembahan mendapat cendermata daripada pihak perpustakaan. Fahmi meminjamkan saya cakera audio pembacaan cerpen Singapuraku dan Singapura Lama Singapura Baru untuk saya nikmati dahulu di rumah pada hujung minggu. (Terima kasih, Fahmi!)

Bagi saya, sememangnya, saya mahu semua anak-anak saya termasuk para pelajar saya menggemari hobi membaca yang banyak sekali manfaatnya. Semoga usaha saya yang kecil ini, bersama-sama Amalina, Safwana, Marissa, Izyan, Farhanny, Taqim Danial, Rahmat dan Fahmy akan berputik dan sentiasa mekar dalam diri mereka minat membaca sepanjang hayat. Semoga usaha saya ini Allah makbulkan.

Terima kasih Cikgu Zaimah, Cikgu Rasidah, Puan Syazana dan Puan Marhamah. Tidak lupa juga terima kasih kepada Puan Hafizah Talib. Petang Sabtu di Perpustakaan Masyarakat Bedok amat bermakna dan berkesan sekali.

KUIZ BAHASA & KEBUDAYAAN 2008

19 Julai 2008 - Kuiz Bahasa & Budaya 2008 untuk Sekolah Rendah Zon Barat

Anjuran Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dengan usaha sama
Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu, Balai Rakyat Boon Lay

Bertempat di Balai Rakyat Boon Lay, 19 Julai 2008, 9.00 pg - 1.00 ptg

Sebanyak 7 buah sekolah rendah zon barat mengambil bahagian setelah mendaftar dalam masa 2 hari melalui emel.

Sekolah-sekolah tersebut adalah:
Sekolah Rendah Boon Lay Garden
Sekolah Rendah Greenridge
Sekolah Rendah Keming
Sekolah Rendah Perempuan Methodist
Sekolah Rendah Teck Whye
Sekolah Rendah West View
Sekolah Rendah Xingnan

Setiap pasukan diwakili empat orang pelajar (termasuk seorang peserta simpanan). Setiap pasukan terdiri sekurang-kurangnya seorang murid darjah 4, seorang murid darjah 5 dan seorang murid darjah 6, (termasuk seorang peserta simpanan - dari mana-mana peringkat darjah 4-6).

Sebanyak 2 pusingan saringan dijalankan dan 3 buah sekolah, Sekolah Rendah West View, Sekolah Rendah Boon Lay dan Sekolah Rendah Teck Whye masuk ke pusingan akhir. Sekolah Rendah Teck Whye menjadi juara, sementara Sekolah Rendah Boon Lay naib juara dan Sekolah Rendah West View mendapat tempat ketiga.

Pengadil-pengadil pada hari itu ialah Cikgu Zelda Ibrahim dari Sekolah Menengah Swiss Cottage, Cikgu Muslim Hanafiah dari Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Cikgu Nur Azarina Khamis dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Majlis juga mengalu-alukan Puan Ho Geok Choo, Anggota Parlimen GRC Jurong yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Acara selingan diserikan dengan nyanyian beramai-ramai oleh para pelajar ASEAN dan persembahan puisi artistik pelajar-pelajar HMT dari BPGHS.

Seramai seratus orang pelajar, ibu bapa dan para guru menghadiri acara ini.

Menjunjung Budi
Acara pada hari tersebut tidak akan dapat berlangsung tanpa kerja keras setiap individu berikut.

Encik Jusri - Pegawai Pentadbiran, Balai Rakyat Boon Lay.

Para Anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Balai Rakyat Boon Lay.

Cikgu Sazali Sahri - Ketua Subjek Bahasa dan Sastera Melayu, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Cikgu Noor Marlina, Cikgu Teoh, Cikgu Senan, Cikgu Ezra, Cikgu Maimoon dan Cikgu Nur Azarina - para tenaga pengajar dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Jawatankuasa Kecil Projek Kuiz:
Cikgu Zelda Ibrahim - Sekolah Menengah Swiss Cottage
Cikgu Muslim Hanafiah - Sekolah Menengah Yusoff Ishak
Cikgu Rahayu - Sekolah Rendah Xingnan
Cikgu Norlaily Ahmad - Sekolah Rendah Boon Lay Garden
Cikgu Hariyati Surana - Sekolah Rendah West View
Cikgu Faridah Abdul Aziz - Sekolah Rendah Teck Whye

Para pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang:
Nadiah, Diyana, Syahirah, Fazleen, Aisyah, Sabrina, Izyan, Adilah, Annastasia, Farhana, Ahamd Tirmuzi, Syafiq, Sufy, Saufy, Amirul Asyraf, Muhd Amirul, Hanafi, Ridhwan, Iqbal, Sulaiman, Iddo, Robert, Arveen, Wei Liang dan Bayu

Syukur kepada Hadirat Ilahi yang melancarkan semua aktiviti hari tersebut dengan inayah-Nya. Semoga usaha ini diberkati-Nya.




**********************************************
Sebahagian potret yang dipetik pada majlis tersebut.















Isnin, Julai 14, 2008

HAMKA - Pembinaan Bahan Puisi

Berdasarkan bahan-bahan yang terdapat di lelaman wikipedia dan lelaman pendidikan yang lain, para pelajar sastera menengah 3 mencari bahan mengenai tokoh dan menyusunnya dalam beberapa bahagian.

Tokoh: HAMKA
- sumbangan
- kelahiran
- keluarga/kehidupan
- pendidikan
- masa muda
- masa tua

Pemerian mengenai riwayat hidup dan perjuangan tokoh tersebut dibuat dalam bentuk puisi tradisional yang mereka senangi.

Pelajar-pelajar tersebut juga dikehendaki mencari maklumat serta bahan 'podcast' mengenai seni persembahan Randai Minangkabau, Tambo Minangkabau dan juga maklumat mengenai Kaba Minangkabau.

Bahan-bahan 'podcast' berikut boleh dijadikan bahan rujukan untuk persembahan kami nanti.

a. persembahan "Randai Minangkabau"
http://tuneman.multiply.com/video/item/7/Randai_

b. persembahan "Randai Minangkabau" 2
http://www.youtube.com/watch?v=ID5ExN5aQ_U

c. persembahan saluang dan vokal dalam bahasa Minangkabau
http://www.youtube.com/watch?v=lG2Jh_Gq0i8

d. tarian pasambahan Minang
http://www.youtube.com/watch?v=SGePZrrg06A&feature=related


Tambo Minangkabau - sebuah lagi jenis sastera Minangkabau yang boleh dipertimbangkan dalam menggarap idea buat persembahan.
http://palantaminang.wordpress.com/tambo-minangkabau/

Semua bahan yang dihasilkan dan didapatkan hendaklah dimuatkan ke dalam blog pelajar masing-masing. Bahan-bahan yang sudah disiapkan akan saya saring dan dipaparkan bagi mencatat perkembangan bahan persembahan yang kami bakal buat.

Jumaat, Julai 11, 2008

Latihan Mengarang - 1HMT BPGHS

Berikut adalah borang perbincangan karangan yang kita bersama-sama bina. Sila muat turunkan bahan ini sebagai panduan latihan karangan anda. Karangan anda hendaklah ditulis dengan menggunakan sekurang-kurangnya 300 patah perkataan.

Berdasarkan kandungannya, bina sebuah karangan perbincangan sepanjang 300 patah perkataan mengenai topik "Baik Buruk Kedua-dua Ibu Bapa Keluar Bekerja."

Bahan Latihan Karangan
http://myfreefilehosting.com/f/7fd3b7cf1f_0.04MB