Ahad, Julai 20, 2008

BACA! SINGAPURA - 4.0

Pengalaman di Perpustakaan Masyarakat Bedok













Program Bicara Buku Sempena Kempen Baca! Singapura 2008
Sabtu, 19 Julai 2008, jam 2.30ptg - 4.30 ptg, Perspustakaan Masyarakat Bedok.

Dua buah novel telah dibincangkan peserta acara ini, Haruman Kencana tulisan Zaharah dan Mail Mau Kahwin oleh Muhammad Ariff Ahmad.

Kesembilan-sembilan pelajar saya, Amalina, Marissa, Safwanah, Farhanny, Izyan termasuk Taqim, Danial, Rahmat, Fahmi saya dapati berasa seronok mengikuti acara khas ini. Puan Syazan dan Puan Marhamah, pegawai-pegawai perpustakaan memberikan kami sambutan yang amat mesra.

Suasana di bilik program perpustakaan itu berkumandang lagu-lagu zaman sembilan belas tujuh puluhan dengan haruman minyak wangi untuk membangkitkan betapa hal sedemikian akan pengenalan bagi kedua-dua buah novel.

Di sebuah sudut terdapat bekas indah yang diisi dengan beberapa botol minyak wangi serta bekas yang berisi bunga manggar dan bekas-bekas bunga telur yang indah-indah.

Cikgu Zaimah Mohd Ali dan Cikgu Rasidah Ahmad menjalankan aktiviti pengenalan kedua-dua buah novel itu dengan para peserta acara perbicangan itu. Soalan-soalan yang berdasarkan sinopsis kedua-dua novel itu ditukil untuk menguji kecerdasan para peserta. Bayangkan anak-anak murid saya dan para ibu peserta bengkel saling beradu kecerdasan untuk mendapatkan hadiah manisan yang ditawarkan Cikgu Rasidah dan Cikgu Zaimah.

Sementara Taqim, Amalina, Dabial dan saya mengikuti wartawan Berita Harian untuk diwawancara, pelajar-pelajar saya yang lainnya itu diminta bergabung dalam kumpulan masing-masing dan membuat skita atau apa-apa respons bagi akitiviti pos membaca.

Sekembalinya kami di bilik program perpustakaan itu, kami sempat membasahkan tekak dan menikmati juadah yang disediakan.

Sesudah itu, aktiviti pos membaca dijalankan. Kami didendangkan dengan syair dan lagu-lagu berlirik yang dicipta dengan spontan, termasuk pendeklamasian sajak dan ucapan pantun serta beberapa lakonan sketsa dan bacaan kreatif yang disediakan oleh para peserta bengkel. Saya berasa senang mendapati semua aktiviti yang berkitar daripada plot-plot novel Mail Mau Kahwin itu dijayakan oleh para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar saya dan peserta-peserta lain.

Sesudah semuanya selesai membuat persembahan, kami dihidangkan dengan penyampaian istimewa . Puan Hafiza Talib, menyampaikan skit yang dipetik daripada cerpen tulisan beliau, Singapuraku, yang termuat dalam antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati. Beliau memberikan persembahan yang cukup menarik. Persembahan tersebut membuat saya menghimbau semula setiap aktiviti pembacaan dan perbincangan cerpen beliau yang saya buat dengan pelajar-pelajar menengah 1 dan dua di sekolah sepanjang minggu 1 dan 2 semester 3 ini.

Memang itulah harapan saya, agar para pelajar saya dapat mendengar sendiri dan bertemu muka dengan Puan Hafiza sewaktu kami di situ. Semua para pelajar saya bersetuju bahawa mereka juga berasa pembacaan yang mereka buat sebelum itu masih segar dalam ingatan dan mereka senang dengan pengalaman tersebut.

Kecuali Taqim, Amalina dan Danial, pelajar-pelajar yang membuat persembahan mendapat cendermata daripada pihak perpustakaan. Fahmi meminjamkan saya cakera audio pembacaan cerpen Singapuraku dan Singapura Lama Singapura Baru untuk saya nikmati dahulu di rumah pada hujung minggu. (Terima kasih, Fahmi!)

Bagi saya, sememangnya, saya mahu semua anak-anak saya termasuk para pelajar saya menggemari hobi membaca yang banyak sekali manfaatnya. Semoga usaha saya yang kecil ini, bersama-sama Amalina, Safwana, Marissa, Izyan, Farhanny, Taqim Danial, Rahmat dan Fahmy akan berputik dan sentiasa mekar dalam diri mereka minat membaca sepanjang hayat. Semoga usaha saya ini Allah makbulkan.

Terima kasih Cikgu Zaimah, Cikgu Rasidah, Puan Syazana dan Puan Marhamah. Tidak lupa juga terima kasih kepada Puan Hafizah Talib. Petang Sabtu di Perpustakaan Masyarakat Bedok amat bermakna dan berkesan sekali.

Tiada ulasan: