Sibuk makan dan minum sambil mendengar..... agaknya!
Rahmat yang jarang sekali tersenyum..... orangnya selalu serius.
"Inilah kisah dalam buku cerita saya," ujar Puan Hafiza Talib.
Kedua-dua orang pemudah cara ini, yang berbaju merah terang dan bertudung putih itu bekas ketua saya, sangat membantu menyebar minat membaca.
Rahmat dan Fahmi menanti saya di Stesen MRT Jurong East sejak jam 1.30ptg. Saya tiba jam 2.00ptg, membawa kotak dan kantung yang mengandungi bahan-bahan yang hendak saya kongsi bersama-sama para peserta dan setentunya Puan Hafiza Talib.
Sesampai kami di sana, kami bertemu Puan Zaimah dan Puan Rasidah di tingkat dua. Mereka saya pohonkan tempat untuk memamerkan bahan-bahan yang saya bawa tadi.
Mujurlah, Puan Syazana membenarkan dan kami memunggah isi kotak dan kantung itu. Bukan apa, hanya kotak-kotak cerita, papet dan buku kecil yang dihasilkan para pelajar saya dan rakan-rakan guru di sekolah kami.
Kami bertiga memohon izin untuk bergegas menyelesaikan salat Zuhur. Kami pulang ke Dewan Merpati dan acara perkongsian aktiviti itu bermula. Saya baru menyedari bahawa itulah aktiviti yang terakhir bagi program Baca! Singapura dalam bahasa Melayu. Namun, petang itu amat memberikan kesan yang mendalam kepada saya terutamanya. Puan Hafiza berkongsi pengalamannya membina novel dan cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan ahli keluarga.
Saya amat kagum; wanita yang hanya seorang suri rumah tangga mempunyai daya yang cukup kental untuk berkongsi pengalaman dalam hidupnya dalam bahan-bahan cereka yang telah diterbitkan. Beliau menulis setiap hari setelah menyelesaikan tugasnya sebagai seorang ibu dan isteri. Proses penciptaan kedua-dua buah novel beliau itu dihasilkan dengan daya usahanya mengedit dan memperkemaskan ceritanya dari mula hinggalah saat-saat ke pejabat penerbit. Usaha beliau yang amat saya kagumi adalah beliau menuliskan jalan cerita dalam novelnya dahulu dan dipertingkatkan kandungannya sewaktu menulisnya pula.
Saya cukup senang, wanita yang ayu ini membacakan beberapa keratan cerita yang dipetik daripada kedua-dua novel beliau; Janji Masyita dan Lambaian Kasih. Pembacaan beliau sungguh menarik sekali; daripada isu-isu mengenai masalah harian hinggalah pada petikan sebuah cerita klasik yang beliau kenali sebagai bangsawan.
Dalam pada itu, kami sempat berkongi pandangan mengenai jalan cerita Singapuraku. Para peserta, termasuksaya sendiri, memberikan respons mengenai lanjutan cerpen beliau yang dikatakan singkat itu. Maka para peserta banyak tertumpu pada kisah Aini dan Roslan (kedua-duanya merupakan watak dalam cerpen tersebut). Seronok, sungguh seronok sekali.
Saya meminta kesempatan menerangkan bahan-bahan yang dibawa sebelum itu. Saya bercerita mengenai aktiviti membaca kedua-dua cerpen Melayu dalam antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati. Puan Hafiza dan para peserta memberikan reaksi yang cukup menyenangkan hati. Saya merakamkan terima kasih saya kepada rakan-rakan guru di BPGHS atas kerjasama mereka dalam menjalankan aktiviti tersebut.
Apabila ditanya mengenai aktiviti lanjutan selepas kempen Baca! Singapura ini, saya menerangkan bahawa pihak sekolah akan menganjurkan aktiviti serupa setiap penggal pada tahun hadapan. Saya akan mengusulkan agar rakan-rakan guru saya memanfaatkan kedua-dua antologi Jauh Di Mata, Dekat Di Hati dan Ikatan Yang Menyatukan dengan memilih beberapa buah cerpen untuk tujuan itu.
Pada masa yang sama, saya dan para pelajar sastera saya akan membuat kajian mudah mengenai teks Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Kedua-dua teks ini adalah rentetan daripada projek Randai Buya Hamka yang sedang giat penulisan puisi-puisinya. Para pelajar tersebut akan mebincangkan mengenai Buya Hamka dan dua buah novel tersebut.
Dalam aktiviti akhir, kami membuat skit/sketsa sebagai respons sesudah membaca cerpen Singapuraku. Rahmat, Fahmi dan saya membawakan semula kisah Roslan dan anak-anaknya menyambut Hari Kemerdekaan.
Kami bergambar beramai-ramai dan saling bersilaturrahim pada akhir sesi. Saya memohon semua pihak yang berada di situ mendoakan semoga usaha-usaha saya ini akan berjalan lancar dan berjaya demi memberikan manfaat kepada anak-anak didik saya dan juga membangkitkan semangat agar semua rakan guru saya teruja sama untuk menjalan aktiviti-aktiviti sedemikian.
Bagi saya, semua aktiviti yang dijalankan di sekolah saya, termasuk para pelajar 1HMT VS saya, amat bermakna. Saya berharap aktiviti sokongan usaha NLB ini akan membenihkan sikap cinta akan sastera dan bahasa dalam kalangan semua pelajar saya. Besar harapan kami agar visi Arif Budiman dapat dicapai dalam masa-masa yang mendatang.
Saya menjunjung budi setiap rakan guru di sekolah dan di luar sekolah, serta para pustakawan yang begitu ramai jumlahnya kerana membenarkan saya menumpang dan berkongsi apa-apa yang diusahakan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua anak didik saya atas kerjasama yang mereka berikan dalam usaha ini.
Semoga Allah memberi saya afiat dan rahmat-Nya untuk saya teruskan usaha-usaha saya selama ini.
DIRGAHAYU BPGHS! DIRGAHAYU SINGAPURAKU!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan