Ahad, Januari 17, 2010

"The Adventures Of Hang Tuah" susunan Dato Mubin Sheppard

Buku bahasa Inggeris ini bagi saya agak baik sebagai pengenalan kitab Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Ditulis oleh Dato' Mubin Sheppard, Alllahyarham, dimulakan dalam tahun 1943 di Penjara Changi, Singapura. Allahyarham menggunakan sumber Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah bagi penulisan buku ini dalam bahasa Inggeris ini. Harapannya, agar buku ini dapat membangkit rasa kasih cinta akan khazanah cerita Tanah Melayu dan Hang Tuah merupakan salah seorang wira zaman silam yang cukup diminati anak-anak bangsa hingga pada masa kini. Buku ini pertama kali diterbitkan dalam tahun 1949 oleh Donald moore dan Eastern University Press Pte Ltd, Singapura. Ilustrasi coretan hitam diusahakan oleh Kathleen Walker. Buku kecil setebal 136 halaman ini juga mengandungi glosari mudah dengan penerangan dalam bahasa Inggeris bagi kekata bahasa Melayu yang digunakan penulis dalam buku cerita mudah yang indah ini. Terdapat 12 bab yang mengisahkan pengembaraan Hang Tuah, daripada pertarungan dengan sekumpulan bajak laut hingga ghaibnya hang Tuah di Gunung Ledang pada bab 12.

Saya senang dengan penceritaan dalam buku ini kerana setelah membaca Kitab Hikayat Hang Tuah yang tebal itu, terasa banyak episod mengenai tokoh Hang Tuah begitu hidup sekali dalam jiwa buku Inggeris ini. Saya membaca buku bahasa Inggeris ini pada tahun-tahun 1970-an. Edisi ringkas bahasa Inggeris daripada buku Allahyarham Dato Mubin telah diusahakan dalam siri bahan bacaan tambahan bahasa Inggeris oleh Oxford Unviversity Press dalam tahun-tahun 1970. Buku ini masih segar dalam ingatan dan sayang sekali saya tidak ada salinannya. Semasa menuntut di Akademi Pengajian Melayu dulu, saya sempat mendapatkan salinan di Perpustakaan Universiti Malaya dan kembali membacanya dengan penuh nikmat.

Dalam kesempatan ini, saya coretkan sedikit catatan mengenai bahagian awal kisah Hang Tuah yang bukan sahaja bijak dan berani, cekap bermain senjata tetapi pandai dalam ilmu perniagaan dan mahir menggunakan sebanyak 12 bahasa asing. Hang tuah digambarkan sebagai anak yang baik budi, segak dan terang hati dalam pengajian al-Quran.

Semoga anak-anak murid akan senang seperti saya dan akan juga mencari serta membaca kisah tokoh terkenal dalam kalangan orang Melayu dalam buku ini, tidak kira di mana-mana sahaja anda berada.

Paparan daripada youtube.com


Hikayat yang terkenal ini juga sudah lama juga dijadikan filem yang masyhur dan juga dalam banyak pementasan drama dan bangsawan sejak sekian lama.


Sekelumit Kisah Indah Daripada Hikayat Hang Tuah

Hang Tuah sekeluarga berasal dari Sungai Duyung. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya pula Dang Merdu. Mereka telah berpindah ke Bentan dan membuka sebuah kedai menjual makanan. Di Bentan, mereka tinggal dalam kampung Bendahara.

Sewaktu kecil, Hang Tuah telah belajar mengaji al-Quran daripada seorang lebai dan belajar bahasa Keling, Siam, Cina dan Jawa hingga boleh menguasai sebanyak 12 jenis bahasa.

Hang Tuah sentiasa membantu kerja-kerja ayahnya di kedai makanan itu. Dia juga pergi ke sebuah yang belukar berdekatan untuk memungut kayu api. Setiap hari, dia membelah kayu api di hadapan kedai ayahnya. Hang Tuah amat rajin menjalankan kerja-kerja di rumah dan di kedai ayahnya itu.

Hang Tuah mempunyai empat orang rakan sebaya yang amat akrab dan diangkatnya sebagai saudara. Mereka ialah Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Pada suatu ketika, mereka telah bermuafakat untuk merantau dengan perahu. Dalam pelayaran ke Pulau Tingg itu, perahu mereka tealh dihambat oleh lanun. Mereka berlima berjaya menentang musuh dengan keberanian, lebih-lebih lagi Hang Tuah. Mereka berjaya menawan beberapa orang lanun itu dan menyerahkan mereka kepada Batin Singapura yang kebetulan sedang berlayar lewat di Pulau tinggi dalam perjalanan ke Bentan. Dikatakan daripada penangkapan lanun-lanun itu, tersebar khabar bahawa lanun-lanun itu telah diketuai oleh Atia Negara yang bertujuan untuk merompak di Palembang atas arahan Patih gajah Mada, seorang menteri Kerajaan Majapahit. Keberanian Hang Tuah menentang lanun-lanun itu disampaikan kepada pengetahuan Bendahara Paduka Raja oleh Batin Singapura.

Hang Tuah lima bersahabat itu pergi berguru kepada Aria Putera di Bukit Pancalusa. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya bertekad mahu menjadi tangkas bermain senjata dan mahir dalam kemahiran berperang. Mereka menuntut berbagai-bagai ilmu , iaitu syara hulubalang, firasat dan ilmu berperang dengan menggunakan senjata dan muslihat. Aria Putera mendapati bahawa kemampuan Hang Tuah jauh mengatasi kebolehan sahabat-shabatnya lalu dia memberikan tumpuan pengajaran yang lebih kepada Hang Tuah berbanding dengan yang lain. Sebelum berangkat pulang ke kampung halaman mereka, Aria Putera telah berpesan agar Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya perlu menambah ilmu persilatan mereka dengan menuntut kepada seorang guru silat yang bernama Sang Persata Nala yang bertapa di Gunung Wirana, Majapahit. Sang Persta Nala ialah saudara Aria Putera.

Hang Tuah pernah berjaya menewaskan orang mengamuk dengan kapak. Pada ketika itu, Hang sedang membelah kayu di hadapan kedai ayahnya. Dia dapat membunuh orang yang mengamuk itu dengan menggunakan sebilah kapak juga. Hang Tuah baru sahaja berumur 10 tahun pada waktu itu. Keberanian Hang Tuah itu amat mengkagumkan jiran-jiran di kampungnya dan juga sahabat-sahabatnya. Masyhurlah kisah keberanian dan kejayaan Hang Tuah menentang orang mengamuk dalam kampung Bendahara itu.

Pada suatu hari, Datuk Bendahara sedang berjalan-jalan diiringi oleh pegawai-pegawainya, datang empat orang lelaki yang mengamuk. Orang-orang yang mengamuk itu cuba membunuh membunuh Datuk Bendahara. Pengawal Datuk Bendahara yang bertangung jawab menjadanya lari meninggalkan Datuk Bendahara seorang diri. Hang tuah dan sahabat-sahabatnya dengan mara lalu mencabar orang-orang yang mengamuk itu dengan penuh keberanian. Bendahara yang tercegat berdiri di situ menyaksikan ketangkasan Hang Tuah dan para sahabatnya menentang orang-orang yang mengamuk itu. Datuk Bendahara berasa atakjubmenyaksikan keberanian Hang Tuah kerana walaupun dia masih kecil, Hang tuah begitu berani dan amat gagah perkasa.

Selepas kejadian itu, Datuk Bendahara menjadikan Hang Tuah dan keempat-empat orang sahabatnya sebagai anak angkat dan diberi persalinan sebagai hadiah.

Berita Datuk Bendahara diselamatkan oleh lima orang budak bersahabat sampai kepada pengetahuan Raja Bentan. Baginda memerintah Datuk Bendahara menyerahkan kelima-lima orang sahabat itu untuk dilantik sebagai biduanda di istana.

Nota
Akan saya bangunkan bahan latihan tatabahasa dan bahan pengajaran daripada hikayat ini pada masa-masa mendatang. Semoga para pelajar, tidak kira di mana-mana anda berada, akan mendapat manfaatnya, insya-Allah.

Tiada ulasan: