Jumaat, Disember 02, 2011

Cerita Buah Mangga

Pada suatu masa dahulu, seorang raja telah jatuh gering. Para tabibnya memberikan air sari buah-buahan sebagai ubat untuk baginda minum. Namun usaha itu tidak membuahkan hasil. Penyakit baginda semakin parah.
Pada suatu malam, baginda didatangi sebuah suara dalam mimpinya. Suara ghaib itu mengarahkan baginda mencari sejenis buah yang sedang ranum. Air sari buah itu akan dapat menyembuhkan penyakit yang baginda deritai itu.
Keesokan harinya, baginda lalu menitahkan panglima-panglimanya pergi memanjat semua gunung di kerajaan baginda untuk mencari buah yang dimaksudkan. Mereka memetik semua buah yang mereka jumpai dan dibawa menghadap baginda.
Dengan penyeliaan tabib dirajanya, baginda minum air sari setiap buah yang dikumpulkan satu demi satu. Apabila beberapa biji buah mangga dihidangkan, rupa dan keharuman buah itu sungguh menawan hati baginda. Baginda menitahkan pegawai yang membawa lebih banyak buah itu.
Pegawai itu menyembahkan bahawa apabila buah-buah mangga itu hendak dipetiknya, pokok mangga itu telah menjerit kesakitan. Mujurlah pegawai itu segera berdoa ke hadirat Illahi. Penjaga pokok tersebut bersuara dan menyatakan bahawa buah-buahannya itu dijaganya dengan baik sebab milik baginda raja kerajaan itu. Buah-buahnya itu adalah untuk mengubati penyakit baginda.
Mendengarkan apa-apa yang dikatakan suara ghaib itu, pegawai tersebut lalu mengucapkan kesyukurannya kerana telah berjumpa dengan penawar bagi penyakit raja. Pegawai itu juga memaklumkan kepada penjaga ghaib pokok mangga itu bahawa dia ke situ untuk memetik buah bagi mengubat baginda raja yang sedang gering.
Penjaga pokok itu membenarkan pegawai itu mengambil hanya sebiji sahaja buah mangga itu setiap kali. Jika diperlukan lagi, bolehlah dia datang kembali dan memetiknya lagi.
Sebaik-baik sahaja mendengar perkhabaran pegawainya itu, baginda lalu mengucapkan kesyukuran dan meminta agar buah itu segara dijadikan air sari.
Setelah siap air sari itu, baginda lalu menyantapnya. Demi dirasa baginda nikmat air santapannya itu, baginda lalu meminta disediakan sari buah mangga itu sebagai santapannya setiap hari. Tabib itu bersetuju dan pergilah pegawai itu memetik sebiji buah mangga setiap hari untuk dibuat air sari santapan baginda.
Tidak lama kemudian, baginda kembali sembuh daripada penyakitnya. Baginda menitahkan biji-biji bdaripada uah mangga yang telah disantapnya itu ditanam di kebun diraja. Baginda juga mendapati, isi buah mangga amat enak disantap begitu sahaja.

Tiada ulasan: