Khamis, Ogos 07, 2008

Projek Usaha Sama BPGHS-HCI, Khamis 7 Ogos 2008

Jie Yang berkongsi maklumat mengenai tarian singa



Para pelajar sedang mendengar dengan teliti apa-apa yang dikongsikan tentang tarian singa oleh Jie Yang


Fang Yi, Zhang dan Xingbao, mengendalikan sesi kaligrafi cina


Hafiz memerhati Xingbao menuliskan namanya dalam kaligrafi cina






Hari ini, 7 Ogos 2008, seramai 12 pelajar menengah 1HMT bertandang ke HCI untuk mempelajari serba sedikit mengenai tarian singa dan kaligrafi Cina.

Cik Hwee Nee, guru penyelaras dari HCI, menjemput kami dengan 15 pelajar menengah 1 mereka, menyambut kami. Namun, acara hanya dapat dilakukan pada jam 4.00 petang kerana para pelajar menengah 4 di sana juga sedang menjalani ujian prapeperiksaan peringkat 'O'.

Sementara menantikan jam 4 petang, mereka dibawa mengelilingi persekitaran HCI. Saya menantikan mereka di hadapan bilik kegiatan tarian singa.



A. Tarian Singa

Encik Lee, seorang guru veteran, yang berlalu di situ menceritakan serba sedikit tentang tarian singa kepada saya. Menurutnya, di hadapan saya ada tiga kepala singa. Yang agak lama adalah kepala singa dari daerah utara dan dua buah pula dari daerah selatan. Yang popular dalam kalangan masyarakat Cina tempatan adalah yang datang dari selatan. Kepala-kepala singa itu dari daerah Guandong, di tanah besar China.

Jin Chong, Glen Chua dan Jie Yang ialah tiga orang pelajar persatuan tarian singa di situ yang akan membuat perkongsian dengan pelajar-pelajar saya. Menurut Jie Yang, selain dikenali sebagai salah satu jenis tarian tradisional Cina, tarian singa itu diadakan untuk menghalau kuasa-kuasa jahat yang ghaib termasuk meraikan kedatangan Tahun Baru Cina. Tarian singa ini juga dibuat sewaktu ketibaan para tetamu terhormat dalam sesebuah majlis. Kumpulan Jie Yang berlatih setiap hari Jumaat dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang. Mereka diberi tunjuk ajar oleh seorang guru yang muda.

Menurut Jie Yang lagi, gendang yang dipalu merupakan semangat kepada tarian singa itu. Semakin rancak paluan gendang itu, semakin bersemangat tarian singa itu dibuat. Bunyi simbal dan gong menambahkan lagi gempar pada tarian singa itu.

Tarian singa dilakukan dengan meniru gaya pergerakan singa sebenar. Singa dipercayai oleh masyarakatnya sebagai salah seekor haiwan yang amat mengagumkan.

Kepala singa yang dibuat daripada siratan bilah-bilah bambu diikat erat dan dibungkus dengan kertas kilat yang kemudiannya diwarnakan dengan warna-warna cat yang cerah. Merah menjadi warna kegemaran dan dihias dengan awan larat yang mirip bagi masyarakat Cina. Para penarinya akan mengenakan seluar labuh yang serupa warnanya dengan warna kepala singa yang dibawakan. Kelopak mata singa akan terkedip-kedip sementara mulutnya akan terkatu dan terbuka kerana dikawal tangan penarinya dengan menggunakan tali yang khusus.

Jam 4.00 petang, sesi perkongsian dimulakan. Saya berasa cukup kagum dengan gaya Jie Yang memberikan penerangan kepada para-pelajar saya. Mereka mendapat peluang menyaksikan sebuah persembahan tarian yang singkat. Mereka juga berpeluang mencuba tarian singa.

Para pelajar saya mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga orang pelajar itu dengan memberikan sorakan BPGHS.



B. Kaligrafi Cina

Zhang, Xingbao dan Fang Yi, ketiga-tiganya dari Shanghai, Nanking dan Taiwan mengendalikan sesi ini. Kami berada di salah sebuah bilik khas. Kagum saya melihatkan ketiga-tiganya dapat bertutur bahasa Inggeris yang lancar sewaktu menjalankan aktiviti tersebut.

Setelah menuliskan nama mereka di kertas, para pelajar BPGHS ditunjukkan huruf-huruf Cina yang dikatakan lambang bagi nama mereka masing-masing. Para pelajar BPGHS diajari Zhang, Xingbao dan Fang Yi cara-cara menggunakan berus dengan dakwat hitam untuk melakarkan huruf-huruf Cina itu.

Saya melihat para pelajar saya berasa seronok mengikuti aktiviti menulis lakaran huruf Cina itu. Sesudah itu, masing-masing pelajar menanyakan makna setiap huruf Cina yang mereka buat itu pada ketiga-tiga pelajar pengendali sesi itu. Gelak ketawa kumpulan pelajar ini mendengar penerangan daripada ketiga-tiganya menambat perhatian saya. Sememangnya, mereka saling menjalin semangat persahabatan yang mesra.

Saya sendiri teruja melihat akan semua hasil kerja mereka. Xingbao menawarkan untuk menulis nama saya dalam kaligrafi Cina. Setelah menerangkan makna nama saya, Xingbao berbincang bersama-sama Zhang dan Fang Yi. Mereka menuliskan nama saya menurut pemahaman mereka.

Tepat jam 5.30 petang, Cik Hwee Nee muncul dan kami bersurai setelah mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan beliau.



Perenungan Peribadi Saya

Saya berasa besar hati mendapat pengalaman belajar daripada aktiviti di HCI. Pertama, dengan keyakinan para guru dan tidak perlu diawasi, pelajar-pelajar HCI menjalankan sesi perkongsian itu dengan yakin. Sudah tentu, mereka pelajar menengah 2, lebih tua daripada pelajar-pelajar menengah 1 BPGHS.

Saya mendapati, para pelajar yang mendampingi para pelajar BPGHS juga senang mengikuti kedua-dua sesi perkongsian itu dengan sikap ramah mesra mereka.

Saya percaya para pelajar saya akan berkeyakinan untuk berucap dan berkongsi pengalaman mereka di hadapan khalayak.

Tiada ulasan: