Encik Lee Seng Hai, pengetua sekolah, menyampaikan amanat hari kebangsaan sewaktu kawad perbarisan hari kebangsaan.
Aziz (bekas pelajar BPGHS) bersama-sama Hanafi dan Anna - para pengacara kawad perbarisan hari kebangsaan.
Perayaan Hari Kebangsaan di BPGHS amat saya nanti-nantikan. Dalam sambutan hari ini, seperti biasa, dimulakan dengan acara perbarisan. Beberapa perenungan yang dibuat dengan penyertaan seluruh kaki tangan dan warga sekolah. Saya dapat melihat kebanggaan yang terpancar pada wajah-wajah para pelajar yang menyertai perbarisan. Ya, memang terdapat yang kaku dan kesilapan kecil di sana sini, namun begitulah halnya apabila sesebuah tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Benar kata seorang rakan yang duduk di sebelah saya, bahawa acara perbarisan tersebut tidak kemas dan banyak kesilapan. Saya merenung jauh. Apakah kesempurnaan yang diharapkan sedangkan para pelajar ini sedang belajar menanggung tanggungjawab dan mengendalikan pembelajaran pada diri sendiri dengan pengalaman ini. Saya hanya tersenyum, membiarkan sungutannya itu. Biarlah, saya sedar semuanya dilakukan untuk membimbing para pelajar; yang berkawad dan juga yang menyaksikan; belajar akan makna menimba pengalaman yang sebaik-baiknya.
Lagu 'My People My Home' yang didendangkan mengingatkan betapa pentingnya setiap warga negara Singapura ini terus mengamalkan hidup harmoni dalam sekitaran pelbagai kaum yang tinggal bersama-sama, bertepatan dengan mesej yang Encik Lee Seng Hai, pengetua sekolah sampaikan ucapan menteri pendidikan. Secara peribadi, saya tersentuh dengan kejayaan para pemuka negara masa lalu dan masa kini, yang mahu setiap rakyat Singapura bersatu padu tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, membina sebuah negara yang bersatu padu dengan iltizam mengukuhkan perpaduan sepanjang masa.
Sungguh meriah sekali apabila seusai perbarisan, semua warga sekolah ke kampus Oracle untuk menyaksikan pelbagai aksi para pelajar melakukan sorakan secara berkumpulan. Suasana pesta agak terkendur apabila hujan renyai turun. Namun, semangat untuk bertanding terus marak menyala. Saya cukup terhibur menyaksikan gelagat para pelajar yang saya kenali beraksi sesama rakan-rakan sedarjah mereka.
Semoga semangat setia kawan akan bercambah menjadi semangat bersatu pada masa hadapan. Para pelajar yang akan mencorakkan masa depan negara sebagai warga pada masa hadapan. Semoga juga sorakan ketaatsetiaan kepada negara akan terus mekar dan tumbuh menjadi pohon kebaktian jati diri Singapura. Semoga semangat kesingapuraan akan sentiasa marak dan menyala selama-lamanya.
Dirgahayu BPGHS! Dirgahayu Singapuraku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan