Bangkok 8-14 Jun 2008
Minggu kedua ini, saya dikejarkan dengan jadual menjaga pelajar-pelajar pasukan bola tampar (volleyball) yang berlatih di Kompleks Sukan Chua Chu Kang sebelah pagi, dari hari Isnin hingga hari Khamis. Pasukan pelajar lelaki akan berangkat ke Bangkok untuk program pertukaran dan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah di Kota Bangkok.
Sebelah tengah harinya pula, saya berada di sekolah bagi kerja-kerja pendokumentasian pasukan ini. Walaupun menjenuhkan, tersalah taip nama, tarikh lahir dan sebagainya memberikan saya pengalaman untuk mengurus hal-hal pejabat dengan baik. Memang, saya juga melakukan kesilapan namun saya sedar semuanya itu memberikan pengajaran yang berguna bagi saya untuk menjalankan tugas yang serupa atau sepertinya pada masa akan datang.
Satu-satu yang amat saya hargai daripada pengalaman ini adalah setiap usaha saya memberikan penerangan bagi semua ibu bapa dan waris pelajar-pelajar yang turut serta dalam program itu. Kesemua ibu bapa dan waris mereka memberikan saya kerjasama yang sungguh padu dan setiap penerangan yang saya buat itu, amat menyenangkan. Selain memohon kerjasama saya memerhatikan para anak-anak mereka, mereka juga meminta agar saya juga usah terhambat dengan tugas sahaja. Mereka berharap saya juga akan mengambil masa untuk bersiar-siar sewaktu di sana.
Kami akan ke sana bersama-sama Naib Pengetua 1, Encik Ng Kian Woon dan jurulatih pasukan Encik Huang Jun Hao. Kerjasama Encik Ng dan Jun Hao amat bermanfaat. Pengetua sekolah, Encik Lee Seng Hai juga mahu kami, Encik Ng dan saya, mencari kesempatan untuk berehat di samping menjalankan tugas. Pengalaman ini amat berguna buat diri saya sendiri.
Saya sendiri berasa berdebar-debar menanti masa kami berangkat Ahad, 8 Jun 2008 nanti. Besar harapan saya semuanya akan berjalan dengan lancar. Saya akan merindui keluarga saya setentunya.
***
4 Jun 2008
Pagi hari tersebut, saya berada di Sekolah Rendah Teck Whye. Saya mengisi salah satu ruang perkhemahan bahasa yang dianjurkan oleh guru-guru bahasa Melayu di sana.
Saya memberikan penerangan dan bimbingan secara ringkas lagu puisi tradisional nazam dan gurindam, puisi dua baris, kepada 60 orang murid darjah 4, 5 dan 6. Pengalaman di sekolah rendah itu amat terkesan dalam hati saya. Anak-anak murid dapat mengikutinya dengan mudah. Saya bersyukur kerana mendapat banyak pengajaran dan kesedaran secara peribadi dengan pengalaman sewaktu membuat sesi apresasi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan