Ahad, Disember 23, 2007

Tujuh Langkah Tugasan Penulisan




Sebuah tugasan penulisan dikatakan berjaya
 sasaran pembaca dikenal pasti
 kandungan penulisan disusun dalam bentuk efektif dan meyakinkan.

Tugasan penulisan anda dibahagikan kepada tujuh langkah berikut:
1. pengembangan topik
2. mengenal pasti khalayak pembaca
3. penyelidikan
4. penyusunan semua idea & prapenulisan
5. draf/penulisan
6. penyemakan
7. penyuntingan

Jika tajuk penulisan tidak ditetapkan, kenal pasti satu hal yang anda minati.
Rujuk buku teks anda, yang terdapat topik-topik yang menarik minat anda.


Mengembangkan Topik Pilihan/Tajuk Karangan
Berdasarkan topik atau tajuk yang diberi, bentangkan objektif anda dalam sebaris dua ayat.

Bagi soalan karangan yang sudah ditentukan, atau topik yang anda suka:


Beri perhatian pada idea utama atau kekata yang anda fikirkan penting.
Gunakan hanya frasa-frasa singkat atau sesepatah perkataan pada waktu ini.
Bina peta makna (peta minda/peta konsep) dengan menggunakan senarai frasa dan kata yang anda tetapkan itu.


Kenal pasti apa-apa yang anda mahukan berdasarkan konsep yang anda bina itu.
Pilih kata kerja (atau lebih) dan tuliskan definisi sebagai panduan anda.
Adakah anda mengembangkan idea karangan berbentuk ekspositori atau perbincangan? Rujuk semula soalan yang diberikan kepada anda.


Senaraikan semua sumber maklumat yang anda perlukan untuk tugasan anda itu.
Mulakan dengan yang kecil dahulu – apakah definisi dalam ensiklopedia? Adakah seseorang yang boleh anda tanya, atau sebarang hasil penyelidikan yang telah dibuat – seperti makalah-makalah dalam majalah atau akhbar?
Adakah enjin pencarian di Internet?
Lanjutkan dengan langkah berikut – adakah seseorang pakar rujuk atau sebarang pertubuhan yang boleh anda dapatkan khidmatnya?

Analisis topik anda pada tahap ini
Adakah terlalu kabur atau terlalu sempit ruang lingkupnya.
Adakah topik ini menarik? Adakah hal-hal yang, masih dipertikaikan, atau dapatkan anda menolong sesiapa menghuraikan kekeliruan itu? Dapatkan anda memberikan pendapat daripada dua sudut yang berbeza, atau satu sudut pendapat sahaja dan menjangkakan apa-apa persoalan atau hujah yang bakal dibangkitkan?


Ringkaskan semua maklumat dalam topik anda
Bentangkan dapatan anda kepada guru bagi mendapatkan maklum balasnya.
Ingatkan langkah-langkah yang telah anda lakukan sebelum ini sementara guru anda menghalusi atau membuat pernyataan semula topik anda itu.


Tuliskan pandangan anda, atau pendekatan yang anda lakukan, dalam menangani topik
Ingat: anda menulis esei sambil mempelajari sesuatu dan mengalami sebuah pengalaman. Sering kali, maklumat yang anda temui tidak memihak kepada anda. Anda perlu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam hal ini.


Bersedia untuk menerima pandangan orang lain sementara anda menjalankan penyelidikan:
Anda hanya memahami duduk perkara pada sudut pandangan anda.
Sudut pandangan anda mungkin sepihak sahaja, yang kerap mempengaruhi penyelidikan anda.



Mengenal Pasti Khalayak Pembaca

Siapakah mereka?
Tentulah pada tahap ini, anda sedar betapa khalayak yang terdekat adalah guru dan rakan-rakan anda. Akan tetapi usah anda lupa, bahawa bahan-bahan yang anda tulis itu mungkin akan dibaca juga oleh orang lain.

Bagaimana pula pendekatan yang akan anda gunakan dalam penulisan anda?
Sebuah karangan berbentuk naratif berbeza daripada bentuk perbincangan atau ekspositori. Oleh itu, anda harus mengenal bentuk-bentuk pelbagai jenis karangan. Baca bahan-bahan yang telah diterbitkan atau kumpulan karangan yang terdapat di pasaran.


Penyelidikan


Bina jalur masa anda dalam menetapkan masa bagi penyuntingan, penyemakan dan sebarang kemungkinan yang tidak anda duga.



Peringkat Menimba Ilham

Langkah ini harus berterusan untuk menghalang daripada idea anda menjadi buntu dan tandus. Adakan kaedah pengumpulan frasa dan istilah, kosa kata, peristiwa dan sebagainya, untuk anda gunakan pada masa depan.

Peringkat Penyelidikan; pengumpulan maklumat dan penyimpanannya:
Buat daftar simpanan yang sistematis semua wawancara, percubaan, data, lelaman Internet, laporan dan sebagainya.

Sumber rujukan – para pembimbing, pembantu, pustakawan, pakar rujuk dan lain-lainnya.

1. Bina strategi-strategi penyelidikan dan senarai sumber

2. Sempitkan topik anda dan pemeriannya; tandai kekata kunci dan penggolongannya – adakan senarai sekurang-kurangnya 50 patah perkataan – ini merupakan asas untuk anda gunakan dalam penyelidikan dan penulisan. Buat senarai daripada bahan-bahan sumber yang khusus dan juga yang umum.

3. Gunakan senarai yang anda buat itu untuk ditanyakan kepada guru atau pembimbing dan sebagai panduan untuk anda mendapatkan semua sumber yang ada – buku teks, bahan-bahan rujukan seperti ensiklopedia, lelaman Internet, jurnal, majalah dan seumpamanya.

4. Bahan-bahan yang digunakan dalam bahan anda hendaklah dinyatakan sumbernya supaya anda tidak menyalahi undang-undang hak cipta.

Pelbagai Sumber-sumbernya
Enjin pencarian di lelaman Internet – ada pelbagai maklumat yang boleh anda akses
Penerbitan pemerintah – surat, laporan, jurnal dan seumpamanya.
Media cetak umum – surat khabar, majalah dan seumpamanya.


Peringkat Penyusunan/Prapenulisan
Dengan menggunakan peta konsep, lakaran bentuk karangan, termasuk hasil sesi sumbang saran – tentukan cara-cara anda membina hujah – sama ada gaya naratif atau perbincangan.

Fokus
Cari idea utama – kembangkan dengan hujah dan disokong oleh fakta. Beri penilaian anda pada setiap hujah yang anda kemukakan. Gerakkan minda anda untuk memberikan penilaian antara idea utama dan fakta yang menyokong. Berbincang dengan rakan-rakan atau guru jika terdapat sebarang keraguan.

Peta Minda
Langkah ini membolehkan anda mengembangkan idea tanpa sebarang sekatan. Sering kali, maklumat akan berubah-ubah berdasarkan faktor masa dan keadaan pencapaian teknologi.

Sumbang Saran
Aktiviti ini memberikan anda pemahaman yang lebih. Dengan mengemukakan dapatan kajian anda, anda dapat menyisihkan bahan-bahan yang tidak diperlukan dengan bahan yang penting.

Kerangka karangan dan Kerangka Karangan
Mengenal pasti idea utama, lihat semua soalan atau topik karangan anda. Meneliti semula soalan akan membantu anda lebih fokus. Daripada pemahaman anda dengan semua maklumat yang anda kumpul, buat kerangka karangan. Senaraikan hujah dalam perenggan-perenggan yang sesuai.

Sebuah karangan ekspositori dan perbincangan memerlukan anda memberikan sekurang-kurangnya 5 hingga 6 fakta. Susun semuanya menurut susunan idea yang sesuai.

Sebuah karangan naratif memerlukan anda menyelesaikan sebuah cerita yang lengkap.

Fikirkan idea untuk perenggan permulaan dan perenggan penutup, di samping lima perenggan isi-isinya.



Draf/Penulisan

Draf yang anda mulakan bagi penulisan karangan membantu anda memahami semua topik karangan anda, semasa anda membuat penyelidikan dan pengumpulan maklumat yang seusia, dan dilanjutkan dengan tahap menulis.

Anda perlu:
• masa yang mencukupi untuk memberikan fokus pada tajuk karangan
• ruang bekerja yang tidak diganggu, sama ada projek sekolah yang lain atau gangguan teman-teman anda, agar anda dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya
• kenali semua maklumat dan sumber yang anda kumpul
• bayangkan reaksi guru anda dan rakan-rakan yang akan membaca karangan anda
• menulis secara kasar maklumat daripada penyelidikan anda dalam catatan yang ringkas
• menyemak semua yang telah kumpul, teliti soalan karangan setiap kali anda membuat kerangka karangan anda itu.

Anda perlu sediakan
• judul atau pengenalan yang anda dapat buat melalui latihan prapenulisan
• senarai sumber rujukan anda – buat perangkaan daripada nota-nota yang anda sediakan – jangan terbeban dengan maklumat yang banyak itu. perincian dan fakta sokongan dapat anda isikan kemudiannya
• sunting – jangan lakukan dulu – hanya pastikan anda mendapati setiap yang anda lakarkan serta maklumatnya telah anda buat


Berehat setelah anda lakukan aktiviti prapenulisan ini. Segarkan minda anda pada masa yang sama.

• Semak semua idea, topik, dan soalan yang anda hadapi semasa aktiviti prapenulisan itu. Baca semua kerangka karangan anda. Baca secara nyaring apa-apa yang anda lakarkan. Pastikan gaya yang anda buat dalam kerangka itu ada ciri-ciri yang menarik.

• Nilai semula idea, topik dan soalan dengan memberikan keutamaan mana-mana bahagian yang dahulu dan selanjutnya, gunakan warna pen yang lain semasa anda meneliti semula draf anda ini.

• Pastikan semuanya disusun dengan rapi, ada pertalian dan pengaliran idea yang sesuai.



Menulis Semua Draf Anda

Perenggan pertama
• Kemukakan topik, pancing minat pembaca (ingat – khalayak)
• Wujudkan sudut pandangan
• Berikan fokus pada tiga idea utama untuk dikembangkan

Wujudkan pengaliran idea setiap perenggan selanjutnya
• ayat-ayat idea pokok setiap perenggan memberikan gambaran pada seluruh karangan
• ayat-ayat yang menyambung, frasa-frasa serta kata-kata yang digunakan dalam permulaan perenggan pertama menyatukan idea pada perenggan-perenggan lain.
hindarkan perenggan-perenggan yang hanya terdiri daripada sebaris dua ayat. perenggan-perenggan itu perlu anda kembangkan idea-idea anda itu.
• lanjutkan hujah-hujah anda pada seluruh bahagian karangan
usah menyimpang atau ketepikan fokus karangan anda
usah ringkaskan idea anda yang dikembangkan pada perenggan-perenggan selanjutnya – nantikan pada perenggan akhir, perenggan rumusan.
• gunakan ayat-ayat penyata dalam karangan anda. Idea pada setiap sebaik-baiknya hanya dikembangkan dengan dua maklumat
• sokong setiap hujah anda dengan petikan, data dan keratan yang sesuai
beri pengenalan, jelaskan dan buat petikan yang sesuai
setiap petikan atau keratan yang digunakan usah menggugat pengaliran idea karangan anda


Rumusan
• Baca semula perenggan pertama dan perenggan selanjutnya.
• Ringkaskan semuanya, buat rumusan bagi hujah-hujah anda
• Semak semula (sekali lagi) perenggan pertama dan perenggan-perenggan yang lainnya
adakah perenggan akhir anda meneguhkan setiap hujah idea-idea utama anda?
adakah hujah-hujah anda tersusun, ada pengaliran daripada yang penting kepada bahagian-bahagian yang menyokong?
adakah perenggan akhir anda memberikan rumusan bagi semua idea dalam perenggan-perenggan sebelumnya?
• sunting/tulis semula perenggan pertama anda jika perlu untuk memastikan perkembangan idea-idea anda dalam perenggan-perenggan berikutnya dan ditutup dengan rumusan dalam perenggan akhir.



Semakan
Sebelum menyemak, ambil sedikit masa untuk melihat perspektif baru topik anda. Dengan melakukan hal demikian, penulisan anda dapat menyampaikan semua maklumat yang diperlukan dalam karangan anda itu.

Menyemak karangan anda memerlukan anda menumpukan kepada penguasaan kosa kata yang luas.


Strategi Penyemakan Secara Umum
• baca hasil penulisan anda dengan nyaring.
• baca secara perlahan-lahan. Bagaimanakah ‘bunyi’nya?
• tutup bahagian-bahagian yang sudah anda baca semasa anda menyemaknya. Analisis setiap ayat yang anda gunakan.

 adakah teks anda itu ada idea yang menyeluruh? adakah teks anda itu terlalu panjang dan perlukah anda memendekkannya?
 bagaimanakah agaknya penerimaan khalayak anda itu?


Judul

Adakah teks menerangkan secara ringkas apa-apa yang anda hasilkan memenuhi judul atau topik yang diberikan?

Perenggan permulaan/ pengenalan
Mulakan dengan menarik perhatian pembaca anda.

• Permulaan karangan mengundang pembaca untuk membaca karangan anda hingga selesai. Adakah ayat pertama anda dalam perenggan itu menarik hati? Adakah perenggan pertama anda memberikan sebarang jangkaan? Adakah perenggan itu mengenalkan perkara dan idea yang akan dikembangkan?


Perenggan Sokongan• Adakah setiap perenggan memberikan hujah-hujah yang disusun rapi?
• Adakah setiap hujah-hujahnya logik dan berkesan?
• Adakah idea yang anda curahkan dalam perenggan itu disusun dengan sempurna?

• Adakah peralihan dari satu perenggan kepada perenggan yang lainnya mempunyai pertalian? Apakah hubungan idea dalam setiap perenggan jelas? Adakah perlu jika perenggan-perenggan itu dipadamkan, digabungkan menjadi satu?

• Adakah setiap ayat yang menyokong hujah topik dalam perenggan itu?
• Adakah perlu jika ayat-ayat itu dipadamkan atau digabungkan menjadi satu?

• Adakah setiap idea dalam perenggan-perenggan itu menepati topik dan hujah yang diutarakan dalam setiap perenggan?


Perenggan Rumusan
Adakah rumusan yang dibuat memberikan ringkasan dan menjelaskan semua maklumat penting yang diutarakan dalam soalan?

Adakah perenggan rumusan membuat pembaca berfikir?
Adakah setiap hujah dilengkapkan dengan fakta sokongan?


Ayat-ayat dan Frasa-frasa

Setiap ayat yang digunakan harus jelas dan logik, walaupun pendek tetapi tepat.

Ayat-ayat yang digunakan haruslah lancar, melainkan pada bahagian-bahagian yang anda mahu menegaskan sesuatu hujah.

• Adakah nada dalam karangan anda itu tekal dalam semua perenggan?
• Adakah hujah-hujah disokong dengan fakta yang sesuai? Pastikan tidak ada idea yang tergantung tanpa penghuraian dan penjelasan hujah.
• Adakah ayat-ayat penyata yang anda gunakan terlalu ringkas?

Beri perhatian pada penanda wacana dan kata sendi yang sesuai.


Kosa kata

Pastikan senarai kosa kata yang digunakan dalam sesebuah penulisan sejajar dengan topik yang dibincangkan. Pastikan anda ada senarai kosa kata yang boleh anda gunakan dengan yakin.

• Adakah sebarang perkataan yang tidak jelas atau sesuai menurut konteks perbincangan dalam karangan anda itu?
• Adakah kosa kata yang memberikan gambaran emosi? Adakah kosa kata yang digunakan itu secara berkesan memberikan penekanan pada idea dan hujah yang anda kemukakan?
• Adakah susun kosa kata yang penting ada bahagian-bahagian yang memberikan kesan penekanan idea dan hujah (di awal’ pertengahan, atau penghujung ayat)?
• Adakah ayat penyata, kata pemerian yang sesuai digunakan?
• Adakah penggunaan kata ganti diri yang terlalu kerap digunakan?

Adakah kosa kata yang terlalu kerap digunakan? Bolehkah diganti dengan kata sinonim yang sesuai?

Kata-kata ungkapan dalam perbualan boleh menghambat kejelasan hujah anda dan tidak akan memberikan kesan yang baik pada karangan anda.


Kata Adjektif
• Adakah penggunaan atau adjektif dalam tulisan anda memberikan gambaran yang jelas bagi sesebuah watak/peristiwa?
• Adakah kata-kata adjektif itu sesuai dengan alur idea atau adakah kata-kata adjektif itu membuat pembaca berhenti membaca? Jika pembaca berhenti membaca, adakah langkah itu sesuai tau berkesan?




Kata Kerja
Kata kerja aktif lebih berkesan dan tepat bagi sebarang pemerian.

• Adakah dia berkata dia menang atau dia membisikkan, menegaskan kemenangannya, atau dia merahsiakannya?

• Banyak faktor yang membawa kejayaan kami lebih menarik daripada Ada banyak perkara yang membawa kejayaan kami. Hindari penggunaan ada.

• Gadis itu menghempas daun pintu bilik tidurnya lebih menarik daripada Daun pintu biliknya dihempas oleh gadis itu. Hindari ayat-ayat pasif.


Setiap kali anda mendapatkan semula karangan anda yang disemak guru, minta beliau beri lapor balik untuk mempertingkat kemahiran penulisan anda.



Penyuntingan & Penyemakan

Secara sedar, langkah penyuntingan dibezakan daripada langkah penyemakan, dan dilakukan sesudah proses menulis dan meninjau semula tulisan tersebut. Menulis dan peninjauan penulisan berfokus pada kandungan, perutusan dan gaya penulisan, sementara penyuntingan dan penyemakan pula berfokus pada selok-belok penulisan.

Dengan rakan anda,
• saling menyemak kesilapan dan mendapatkan pendapat selain pandangan anda.
• pendapat rakan anda memberi nafas baru pada anda untuk anda meningkatkan mutu tulisan anda itu.

Semai sikap meragui bahan anda.
Usah meremehkan segala-gala yang anda lakukan.
Jika terdapat sebarang pengulangan kesilapan, semak semula tulisan anda itu.
Banyak kesilapan daman kerja tulisan dilakukan tanpa kita sedari.

Tanpa kita sedari kesilapan berikut pasti berlaku:
• Kesalahejaan – ‘kerosakan’ atau ‘kerosakkan’ – gunakan penyemak ejaan kalau anda memilikinya dalam komputer anda.
• Kesilapan menaip – ada masanya kita tersalah taip perkataan.
• Minda kita bergerak lebih pantas daripada tangan atau papan kekunci komputer.




Baca nyaring, perkataan demi perkataan
Manfaatkan dua buah deria anda: pendengaran dan penglihatan
Kita sering kali dapat mendengar kesilapan, seperti kekata yang tertinggal atau diulang-ulang daripada kekata yang kita terlepas pandang


Perlahankan
• Kecepatan pembacaan anda, baca apa yang tercetak di kertas, bukan apa-apa yang anda fikirkan ada di kertas
• Mengenal kesilapan ini lebih sukar jika anda membaca sewaktu anda menulis.
• Mengapakah perlu anda perlahankan kecepatan anda membaca?
• Anda hanya memerhatikan huruf awal dan akhir perkataan sewaktu anda membaca pada kecepatan yang biasa. Mata anda hanya dapat menatap cetakan tiga atau empat perkataan dalam sebaris, atau mungkin kurang daripada jumlah itu. Anda akan dapat menerima perkataan dalam ruang ini, bertabah kurang lagi jika anda melangkau lebih daripada yang disebutkan. Seseorang pembaca yang biasa hanya akan dapat mengambil enam huruf dalam satu-satu ketetapan. Oleh itu, anda perlu memastikan mata anda membaca setiap perkataan yang ditulis dan dua kali lebih panjang jika perkataan itu panjang, dalam anda menyemak tulisan anda itu. Anda harus melihat perkataan itu, bukan melompat-lompat dalam menyemak tulisan anda itu.


Sesudah anda berpuas hati, anda boleh menghantar kerja anda untuk guru semak.

Pastikan anda berasa lega atas kerja-kerja yang anda lakukan dalam menghasilkan sesebuah penulisan karangan dengan keyakinan diri bahawa anda telah melakukan yang terbaik.

Tiada ulasan: