Mulai Januari 2011, catatan di sini memuatkan semua bahan dan penemuan saya yang berkaitan dengan projek peribadi penulisan saya yang berjudul Cerita Rakyat Orang Melayu. Bahan-bahan ini saya pungut daripada kajian lapangan sewaktu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, hingga pada masa ini. Cerita-cerita di sini kebanyakannya berasal dari seluruh ceruk dan rantau di Asia Tenggara. Alamat emel saya di manafyasir@gmail.com
Selasa, November 27, 2007
Sabtu, 24 November 2007 - Darmawisata Ke JB dan KT
***Muzium Istana Besar Johor***
***sebahagian daripada ruang-ruang pameran di Muzium Kota Tinggi***
***bufet buah-buahan segar - ewah-ewah!
Johor Bahru dan Kota Tinggi - Tak Banyak Yang Saya Ketahui. Anda Pula?
Sebagai seorang guru, lawatan tersebut memang memberikan saya kesan yang cukup mendalam. Dengan menyaksikan sendiri bahan-bahan pameran di Muzium Istana Besar Johor dan Muzium Kota Tinggi, saya berasa betapa masayarkat Melayu daerah kita ini kaya dengan tradisi dan tamadun.
Di Muzium Istana Besar, pelbagai peninggalan untuk tatapan anak-anak bangsa dipamerkan. Balai penghadapan, balai menunggu bagi para tetamu dan ruang-ruang khas Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar dahulu dengan kaum keluarganya dihias indah dengan serba kemewahannya yang tidak terjangkakan. Terbetik di hati, betapa mudah mengajarkan tentang martabat bangsa yang berdaulat ini dalam karya-karya lama dengan membawa anak-anak didik saya nanti sekali lagi ke sana melihat artifak-artifak yang bersejarah di situ. Selain pameran barang-barang indah, terdapat juga jurai keturunan Sultan Johor dengan penerangan sejarah kerajaan Johor sejak zaman silam, menempuhi zaman penjajahan British hingga Malaysia mencapai kemerdekaan. Keindahan setiap bahan yang dipamerkan dengan penerangan ringkas yang diberikan juga memudahkan pemahaman tentang negeri jiran terdekat kita yang tidak asing bagi kita orang-orang Singapura.
Di Muzium Kota Tinggi pula, peristiwa-peristiwa bersejarah dirakam dengan grafik yang sungguh menarik hati di samping pameran barang-barang berharga. Daripada banyak bahan-bahan yang dipamerkan, saya amat tertarik dengan replika rumah-rumah Melayu di Johor yang cukup unik lagi indah. Sudut pameran koleksi Putera Mahkota Johor dan juga ruang Menteri-menteri Besar Johor juga sangat mempesonakan. Dalam setengah jam, bagi saya amat singkat untuk mengenali secara terperinci banyak khazanah bangsa yang terdapat di sini.
Ladang Buah-buahan Desaru juga amat mempesonakan. Ladang ini seluas 100 hektar. Buah-buahan tempatan ditanam selain limau madu yang diusahakan secara besar-besaran. Kami makan tengah hari dengan bufet buah-buahan yang sungguh menarik di samping hidangan lauk asam pedas, sayur goreng ala cina, ketam lada hitam, udang masam manis dan tauhu jepun beserta lauk bening sayur. Penerangan mengenai perusahaan madu lebah juga memberikan gambaran jelas serta meningkatkan kesedaran saya akan kelebihan serangga yang banyak membawa manfaat kepada manusia itu. Teringat akan Surah an-Nahl dalam al-Quran al-karim.
Bersiar-siar di Mini Kelantan - melihat-lihat barang-barang yang dijual di sana mengingatkan saya akan keadaan Singapura kira-kira 30 tahun dahulu. Hanya yang bebeza dari Singapura pada waktu adalah kebanyakannya perniagaan dijalankan dalam bahasa Melayu dan ramai peniaganya terdiri daripada orang-orang Kelantan, menurut apa yang saya perhatikan dan dengarkan gaya pertuturan mereka.
Bagi saya, sememangnya di Malaysia terdapat banyak muzium. Setiap satu mempunyai keistimewaannya. Muzium di Melaka tidak sama dengan muzium di Kota Baru, Kelantan. Apa lagi dengan pengalaman di Johor sendiri. Semuanya sungguh unik. Seuniknya Muzium Negara yang terletak di Kuala Lumpur. Bagi saya, lawatan ke JB dan KT amat memberikan pengalaman berharga kepada saya untuk dikongsi bersama-sama dengan anak-anak murid saya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan