Selasa, November 27, 2007

Anugerah Mas



***Foto 4 orang Penerima Anugerah Mas 2006***


Bagi saya adalah amat bermakna sekali penyampaian Anugerah MAS kepada empat tokoh muda yang telah menunjukkan pencapaian dan potensi selaku guru bahasa Melayu yang aktif dalam masyarakat, pengarang dalam bahasa Melayu, ustaz/ustazah yang menulis dalam bahasa Melayu dan ustaz/ustazah yang menyampaikan dakwah dan ilmu dalam bahasa Melayu. Saya menerima anugerah tersebut bagi kategori guru bahasa Melayu yang aktif dalam masyarakat. Anda boleh tersenyum.....

Sebagai salah seorang penerimanya buat julung-julung kalinya, saya bersyukur usaha saya selama ini mendapat perhatian umum walaupun bagi saya usaha-usaha itu sungguh kecil. Selain menunaikan tuntutan dan kewajipan sebagai seorang pendidik, saya berasa perlu melakukan apa-apa yang saya fikir baik untuk manfaat umum. Walaupun ada masa-masanya, usaha yang dijalankan selalu disalah tanggap, disangsikan, digurat dengan maklum balas yang mendukacitakan, saya berkeyakinan bahawa usaha saya bukan untuk dinilai dan bukan untuk diberi ganjaran. Saya mengidam-idamkan ganjaran yang lebih besar daripada-Nya.

Mengenang kembali saat-saat saya menerima anugerah tersebut, isteri, anak-anak dan saudara-mara saya lekat di hati walaupun secara zahirnya mereka tidak hadir kerana meneruskan kelangsungan kehidupan. Bagi mereka, cukup seorang bapa, suami dan saudara yang mereka kenali itu, saya yang dimaksudkan, tetap menjalankan tugas harian saya sedaya mungkin yang saya mampu.

Menilai semula apa-apa yang saya lalui sepanjang 11 bulan setelah menerima anugerah itu, saya harus melangkah terus dengan melipatgandakan usaha saya dalam tugas harian dan kerja-kerja kemasyarakatan yang saya taburkan selama ini. Bukan sesuatu yang besar, namun cukup memberikan kepuasan bagi diri saya. Masa-masa senggang saya tidak berlalu begitu sahaja. Kesihatan zahir dan mental serta batin perlu saya jaga. Selain berusaha dan berdoa, saya juga selalu berharap agar kasih sayang keluarga yang saya bina akan tetap kukuh dan Allah rahmati.

Sebaik-baik sahaja tamat pengajian di Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, saya berasa terpanggil untuk melakukan apa-apa yang terbaik buat keluarga dan anak-anak didik saya. Di rumah, saya seorang bapa dan suami. Di sekolah, saya seorang guru dan rakan. Pada khalayak masyarakat, saya salah seorang anggota yang harus bersedia mempertahankan nilai-nilai bersama yang setiap warga negara mahukan. Kesemuanya menuntut saya bertambah matang dan berhemah.

Mengenangkan betapa besarnya sumbangan Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, dengan kegigihannya, kepada masyarakat dan negara, saya sedar betapa usaha saya selama ini tidaklah dapat menyamai segala-gala yang telah beliau sumbangkan. Namun, dalam diri saya semaikan semangat beliau dan juga setiap guru dan mantan guru saya untuk melakukan yang terbaik bagi anak-anak didik yang bakal menjadi warga negara masa akan datang. Usaha saya termasuklah mempertingkatkan kemampuan dan kemahiran semana yang saya mampu dan memberikan yang terbaik dalam menjalankan tugas saya. Sokongan isteri dan anak-anak saya selama ini menjadi pembakar semangat saya untuk tujuan itu.

Semoga semua pihak dan anak-anak didik saya memahami hasrat saya ini.

Tiada ulasan: