Alhamdulillah. Aktiviti ini telah berjalan dengan jayanya dan bermula dari jam 1.30ptg hingga 3.30ptg. Terima kasih kepada Cikgu Fahmy dan rakan-rakan guru BMnya yang sudi menerima pelawaan saya untuk berkongsi keghairahan menulis karangan dengan baik bagi tujuan kerja-kerja harian dan ujian.
Saya menyuruh para murid dalam kumpulan masing-masing menyusun kepingan-kepingan gambar bersiri dan membincangkan bahawa ada jalinan cerita dalam latihan mereka itu. Saya lanjutkan dengan perbincangan menggunakan pengalaman deria dalam menghasilkan ayat-ayat menarik dalam karangan mereka pula. Sesudah itu, saya bincangkan tentang 3 cara memulakan karangan dan 3 cara mengakhiri karangan mereka.
Pada akhir sesi, saya minta mereka buat sebuah karangan berdasarkan latihan yang guru mereka siapkan. Karangan-karangan itu akan disemak para guru dan 10 daripadanya akan dihantar kepada saya untuk dinilai dan akan saya berikan hadiah kelak.
Semoga murid-murid itu dapat menghasilkan karangan yang lebih baik berkat bimbingan para guru BM mereka itu, insya-Allah. Saya berasa amat senang dengan pengalaman ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan