Bahan Rujukan 1 - Buku Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang diselenggara oleh Harun Mat Piah.
(imej buku Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang diselenggara oleh Harun Mat Piah)
Bahan di atas merupakan himpunan pantun Melayu yang dikutip daripada pelbagai sumber. Amat baik bagi anda untuk mengetahui bentuk-bentuk pantun Melayu. Dalam bahagian pengenalannya, diperincikan tentang pantun dan apa-apa yang diperlukan untuk mencipta serangkap pantun yang indah.
Saya sarankan semua peserta peraduan mengambil banyak masa meneliti sendiri pantun-pantun Melayu yang telah dikategorikan bagi memudahkan anda mempelajari gaya bahasa dan struktur ayat Melayu dalam pantun.
Rujukan 2: Kuasai Struktur Ayat Bahasa Melayu oleh Ong Chin Guan
(imej daripada Dawama Sdn. Bhd.)
Bahan ini boleh para peserta rujuk tentang binaan ayat-ayat Melayu. Panduan ini disusun dengan sistemastik bagi memudahkan pemahaman pembaca.
Berikut adalah bahan yang terkumpul daripada hasil bengkel yang dibuat oleh para peserta. Nama-nama peserta tidak disertakan demi menjaga kerahsiaan mereka.
Pantun 2 kerat
1.
Ada dara ada teruna,
Pantun guna flora fauna.
2.
Biar berlembut jangan berkeras,
Ucapkan pantun biarlah jelas.
3.
Orang Melayu bersopan santun,
Flora dan fauna menghiasi pantun.
4.
Anbil pati buang hampasnya,
Ambil kata buang imbuhannya.
5.
Bunga subur harum baunya,
pantun mengungkap flora dan fauna.
6.
Air laut pasang surutnya,
Pantun Melayu tinggi nilainya.
7.
Anak Cina tersenyum manis,
Rima pantun pelbagai jenis.
8.
Indah lautan kerana ombaknya,
Indah pantun kerana bahasanya.
9.
Sawah padi terbentang luas,
Pantun Melayu bahasanya jelas.
10.
Burung merpati terbang sekawan,
tulis pantun tak perlu imbuhan.
11.
Ayam usah kita kurungkan,
pantun usah kita imbuhkan.
12.
Bahasa kita jadi kekuatan,
Pantun tidak perlu imbuhan.
13.
Anak ayam mematuk beras,
Flora dan fauna menjadi teras.
14.
Terbang tinggi burung jentayu,
Indah sekali bahasa Melayu.
15.
Kalau orang kaya hartanya,
Pantun Melayu kaya flora dan faunanya.
16.
Rendang kayu kerana daunnya,
Gemilang Melayu kerana adabnya.
17.
Apa tanda pantun berkesan,
Setiap baris empat perkataan.
18.
Indah gunung kerana lembahnya,
Pantun Melayu banyak ertinya.
19.
Sambil duduk membaca surat,
Pantun ada makna tersirat.
20.
Air zam-zam dalam tempayan,
Dalam pantun tak perlu imbuhan.
Pantun 4 Kerat
1
Tengok orang gunakan mata,
Menilai seseorang pada budinya;
lapan ke dua belas suku kata,
Jangan pula lupakan rimanya.
2.
Empat belas bintang di langit,
Ditemani pula bulan mengambang;
Pantun Melayu telah lama bangkit,
Disulami dengan bahasa tersayang.
2.
Jangan kita bersikap daif,
Nanti orang pijak kepala;
Makna pantun biar positif,
Sifat budaya bangsa kita.
3.
Menuju seberang naik kereta,
Jalan menyusur tepi pantainya;
Bahasa Melayu pusaka kita,
Pantun Melayu simbol budaya.
4.
Pergi memancing di tepi pantai,
Nampak seekor ikan yang cantik;
Tulis pantun kita bersanai,
Asalkan maksudnya indah dan molek.
5.
Nsi ambeng nasi lemak,
Amboi sedapnya dicampur sambal;
Mari abang mari kakak,
Rima pantun usahlah janggal.
6.
Kalau hati dah jatuh sayang,
mungkin masjid akan dibina;
Kalau hendak dibuat pembayang,
Boleh gunakan flora dan fauna.
7.
Sopan santun si anak Melaka,
Duduk berehat di waktu malam;
Pantun-memantun seni pusaka,
Bila berpantun ungkaplah alam.
8.
Gadis Minang bersopan santun,
Berbudi bahasa indah wajahnya;
Apa faedah dengan berpantun,
Indahnya budi indahnya bahasa.
9.
Burung merpati terbang tinggi,
Hinggap sebentar di kayu jati;
Pantun Melayu indah berseri,
Budi bahasa terpikat di hati.
10.
Orang Melayu selalu berpesan,
Dalam syair atau cerita;
Pantun Melayu satu warisan,
Sungguh indah bahasa kita.
11.
Kalau bicara bersopan santun,
Supaya tidak dianggap buruk;
Apa indahnya dalam pantun,
Dalam pantun banyak petunjuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan