Salam takzim buat anda semua.
Semoga semua harapan ayah ibu dan semua pelajar saya tercapai sejauh ini. Semoga semua usaha pada setengah tahun pertama ini membuahkan hasil yang menyenangkan. Kalau ada apa-apa kekurangan yang para perlu atasi, gunakan masa-masa senggang yang terdapat pada masa cuti sepanjang bulan ini untuk mengatasinya. Isikanlah masa anda dengan sebaik-baik mungkin di samping harus menjalani pelbagai program yang pihak sekolah dan ayah ibu anda sediakan.
Kepada mereka yang akan pulang ke tanah air untuk berlibur, selamat bercuti. Kepada yang akan berangkat untuk melakukan program pengayaan yang pihak sekolah jalankan, selamat berangkat dan semoga anda mendapatkan manfaat daripada setiap usaha sama dan aktiviti yang dilakukan di sana.
Kepada yang 'tertambat' di tanah air, usah gelisah. Selama sebulan ini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh pelbagai pihak. Manfaatkanlah waktu-waktu senggang anda dengan mengikuti program-program tersebut. Rujuk pada akhbar dan lelaman internet yang boleh memberikan anda pelbagai usul yang sesuai.
Saya akan terus membaca buku-buku yang sudah saya beli sebelum ini selain menjalankan tugas di sekolah pada masa-masa yang ditetapkan. Pada minggu ketiga bulan cuti ini, saya akan berada di sekolah sepanjang minggu. Sesiapa pelajar yang mahu bertanya apa-apa hal mengenai pelajaran bolehlah menghubungi saya pada masa itu.
Sebelum itu pada minggu pertama bulan cuti ini, saya amat sibuk dengan program pengayaan di sekolah bagi para pelajar dan diri saya sendiri. Skit puisi tradisional 'Puteri Bertujuh Turun Bersiram' akan beraksi lagi. Pertama, dalam sesi perkongsian keprofesionalisme saya di Maktab Rendah Innova. Kedua, di Maktab Rendah Catholic bagi mengisi undangan Peraduan Mencipta Desain Wau. Para pelajar saya yang menyertai kegiatan-kegiatan itu sedang melakukan persediaan secara sederhana. Mereka saya dapati terpaksa menjalankan aktiviti lain selain membuat persediaan bagi persembahan-persembahan tersebut.
Saya akan turut sibuk membuat persediaan bagi beberapa buah persembahan dendangan puisi tradisional saya pada Bulan Bahasa 2008 ini.
Zaman persekolahan saya merupakan zaman yang cukup menarik dalam kehidupan saya pada masa lalu. Semoga pada masa ini, para pelajar saya mendapati hal yang sama. Saya mengharapkan anda mendapat lebih manfaat dalam masa-masa sebegini.
Jaga kesihatan dan keselamatan diri. Doa saya anda semua berbahagia di samping keluarga dan rakan-rakan dalam setiap aktiviti yang anda jalani. Saya akan kesunyian dan merindu iriang tawa ramai daripada anda. Walaupun berjauhan, saya berharap anda akan saling berhubung dan bertanya khabar antara satu sama lain. Bantu-membantulah sesama sendiri untuk mengatasi kelemahan dalam subjek-subjek yang perlu anda berikan perhatian. Bina persahabatan atas dasar keikhlasan dan semaikan dalam diri anda semua semangat untuk berjaya bersama-sama rakan-rakan dalam pelajaran dan seumpamanya.
Akan tetapi, saya juga akan sentiasa sibuk dengan Nurul Rasyidah dan Muhamad Faiz Danisy kali ini. Isteri saya akan berjauhan dengan kami kerana beliau akan menjalani program pengayaan selama 20 hari..... lamanya! Kedua-dua anak saya akan saya jaga sepenuhnya pada masa isteri saya berpergian. Mungkin kami akan masak bersama-sama dan membuat beberapa kraftangan mudah selain pergi menonton di pawagam dan membaca buku secara seronok di perpustakaan Jurong East atau Jurong Point. Tengoklah, mana-mana yang sempat.
Sebagai seorang guru atau teman anda, saya hanya tumpang gembira dengan sebahagian kebahagiaan anda.
Sayangilah ibu bapa anda dan pupuk serta eratkanlah rasa kasih antara setiap anggota keluarga. Berhemahlah dalam melakukan sesuatu demi kebaikan diri anda dan orang-orang yang anda sayangi. Peliharalah diri agar tidak terjebak dengan apa-apa yang boleh menggusarkan mereka pada cuti sekolah ini. Masa yang luang itu pergunakanlah dengan sebaik-baiknya.
Salam kasih buat anda semua, rakan-rakan dan anak-anak didik saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan