Bahan 1 - Aktiviti Membaca dalam Bacalah! Singapura 2008 di BPGHS.
Petikan teks diambil daripada antologi Ikatan Yang Menyatukan, NLB: 2007, Singapura.
@@@@@@@@@@
ABDUL WAHAB BIN HAMZAH
Abdul Wahab bin Hamzah juga dikenali sebagai A.Wahab Hj. Hamzah. Dilahirkan pada 2 Februari 1947 di Pulau Damar laut, Singapura.
Menerima pendidikan di Sekolah Melayu Pulau Bukom; Sekolah Menengah Kallang (1960-62); Sekolah Menengah Sang Nila Utama (1962-64); Maktab Perguruan Singapura (TTC) (1965-68); calon persendirian HSC (1971); Sarjana Bahasa & Sastera Melayu Indonesia, Universitas Nasional Jakarta Indonesia (UNAS) (1985); Diploma Pendidikan Lanjutan (ADE) (1992); dan Diploma Linguistik Universiti Nasional Singapura (1995).
Mula menulis puisi pada tahun 1964 dan aktif menulis cerpen dan puisi pada tahun 1997. Cerpen Keputusan merupakan yang pertama tersiar di Berita Minggu pada tahun 1997 dan sebuah sajak tersiar di ruangan Bicara Puisi di Radio.Beliau pernah bertugas sebagai guru bahasa di sekolah menengah Singapura; Guru Bahasa Melayu Lanjutan di Pusat Bahasa MOE (1990-1996); Guru Kanan Bahasa Melayu (1997-2003) dan bersara pada tahun 2003. Kini, beliau merupakan pembimbing sambilan Penulisan Kreatif & Tip untuk Peperiksaan Bahasa Melayu G.C.E peringkat O. Beliau bergiat dalam Jawatankuasa Penduduk (RC) Pasir Panjang ZONE 2 (1975-1986); anggota Jawatankuasa penduduk Islam Dover Road (1975-86); Jawatankuasa (Penolong Setiausaha) Masjid Al-Khair (1986-1988); anggota Jawatankuasa Madrasah Al-Irsyad (1994-1995); anggota Jawatankuasa KGMS (1990-2002); anggota Jawatankuasa Asas 50 (1990-2003); anggota Jawatankuasa Pertemuan Sasterawan Nusantara (1991 dan 2003 ); dan panel Juri Hadiah Sastera MBMS bagi Antologi Puisi (2003).
Karya:
Pertemuan kedua: Antologi cerpen penulis-penulis Singapura-Johor-Riau. (1995). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Igau: Kumpulan cerpen. (1999). Indonesia: Persama Indonesia.
Tuhan masih sayang: Antologi cerpen. (2002). Singapura: Angkatan Sasterawan 50.Krisis: Kumpulan cerpen Li Jian. (2002). Singapura: Singapore Literature Society & Toko Buku Haji Hashim.
Berlalu sudah dukanya. (2005). Singapura: EDN Consultant.
Pencapaian/Anugerah:
1982 : Hadiah Penghargaan JHS: Cerpen Hidup satu persinggahan.
1983 : Hadiah Kedua JHS: Cerpen Ajal.
2001 : Hadiah Sastera (Penghargaan) MBMS: Antologi cerpen Igau.
2003 : Hadiah Sastera (Penghargaan) MBMS: Antologi cerpen Tuhan masih sayang.
2004 : Cerpen Genggamnya terlerai dan Igau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin dan termuat dalam kumpulan cerpen Segelas wine dan Secawan susu oleh Chan Maw Woh; Antologi cerpen Tuhan masih sayang dicalonkan bagi Anugerah Singapore Literature Prize NBDCS.
SumberMohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.). (2005). Leksikon: Direktori penulis Melayu Singapura pasca 1965 (ms. 64-65). Singapura: Angkatan Sasterawan '50 & National Library Board.
@@@@@@@@@@
SEBATANG POHON TUA
A. WAHAB HAMZAH
Agak lama Hari Bakri merenung pohon mempelam yang semakin hilang daunnya. Pohon itu ditanam di pinggir kanan bahagian hadapan rumahnya. Kalau ada orang duduk di beranda rumahnya, pandangan mereka tidak akan terhalang oleh pohon mempelam itu. Namun begitu dahan-dahan pohon itu banyak yang menghampiri bumbung rumah Haji Bakri. Kebelakangan ini pohon itu sudah kurang berbuah, kalau ada pun boleh dikira.
Haji Bakri merenung terus pohon mempelam yang telah banyak berjasa itu. Dia cuba mengingat-ingat berapa usia pohon itu. Tiba-tiba dia tersedar bahawa usia pohon itu sebenarnya sama dengan usianya. Umurnya sudah menjangkau 80 tahun, ini bermakna pohon itu juga sudah 80 tahun berdiri tegak di hadapan runahnya itu.
“Sudahlah ayah, tebang sahaja pohon mempelam ini. Pohon ini sudah amat tua. Ayah tengok, dahan-dahannya sudah banyak yang rapuh. Daunnya sudah mula jarang-jarang dan hasilnya tak seberapa, ayah. Hendak makan sendiri pun tak cukup.” Salam , anak sulungnya yang sudah berumah tannga dan beranak tiga itu, memberikan pandangannya.
Haji Bakri tidak berkata apa-apa. Dia merenung dalam-dalam ke wajah anaknya. Ada riak-riak kurang senang di wajahnya. Salam, anak sulungnya yang sudah berumah tannga dan beranak tiga itu, memberikan padangannya.Sebenarnya bukan Salam sahaja yang mahu pohon itu ditebang. Anak-anaknya yang lain jug – Salim, Sani Salmah dan Salimah – juga pernah menyuruhnya menebang pohon itu. Alasan mereka, pohon itu sudah tua, tidak berhasil dan boleh membahayakan orang ramai. Nyawa ayahnya juga terancam.
Setiap kali anak-anaknya menuruh menebang pohon itu, dia akan berlalu meninggalkan anak-anaknya itu. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Dia tahu anak-anaknya tidak tahu betapa kuatnya ikatan pohon itu dengan jiwa dan kehidupannya. Dia semacam yakin kalau pohon itu mati, dia akan mati, atau kalau dia mati, pohon itu akan mati. Naluri kemanusiannya sering berkata begitu.
“Kalau pohon yang sudah tua itu mahu dipotong, bermakna aku yang sudah tua ini juga harus mati. Aku sudah tua dan tidak berguna lagi.”
Petang semalam, semasa dia duduk di beranda rumahnya, anak bongsunya, Salimah, menimbulkan perkara itu lagi. Jiwa Haji Bakri yang tenang tiba-tiba berubah.
“Apa dosanya pohon itu yang kamu adik-beradaik mahu potong? Kamu semua tidak nampak betapa berjasanya pohon itu pada makhluk-makhluk lain.”
“Engkau lihat burung-burung itu akan pulung dan berteduh pada pohon itu pada waktu petang dan malam. Tak terlihatkah kamu semua betapa daun-daun pohon yang tua itu memberikan perlindungan pada orang-orang yang berjalan di bawahnya dari panas matahari. Walaupun ia sudah tua, ia masih lagi berjasa. Tapi kamu semua, apa jasa yang telah kamu buat pada bangsa kamu, pada agama dan negara kamu?”
Haji Bakri menarik tongkatnya yang berada di sebelahnya, lalu bangkit dari kerusi rotan yang amat setia menemaninya.“Kamu tidak faham betapa besarnya pengorbanan pohon itu pada aku dan kamu semua. Pohon itu tidak minta makan daripada kamu semua. Dia hidup sendiri, mendapat rezeki daripada Allah. Pohon itu juga tidak menyusahkan kamu. Kamu adik-beradik harus tahu bahawa pohon itu adalah aku dan aku adalah pohon itu. Kalau kamu menebangnya bermakana kamu membunuh aku.”
Haji Bakri menundukkan kepalanya. Dia berasa amat sayu. Imran, menantunya, bangun dan memegang bahunya,kemudian Haji Bakri dibawa duduk di kerusi.“Sudahlah ayah, kami semua hanya mencadangkan sahaja. Kami lihat pohon itu sudah mula rapuh. Kami takut bila-bila masa sahaja ia akan tumbang. Kami bimbang kalau ia tumbang, rumah kita juga akan turut musnah. Kami tidak ada niat hendak menyakitkan hati ayah,” Imran cuba membela isterinya dan sekali gus memujuk rasa kurang senang ayah mentuanya.
Haji Bakri cuba menyandarkan kepalanya di dinding rumahnya. Pandangan matanya terus tertumpu kepada pohon mempelam. Dia merasakan pohon mempelam itu seolah-olah melihat ke arahnya.“Bakri, atuk tanam pohon mempelam ini sama waktunya ketika engkau dilahirkan. Engkau dilahirkan malam, pohon ini atuk tanam waktu pagi. Kalau sudah besar nanti, juga pokok ini baik-baik. Kalau dia banyak buah, boleh juga atuk jual ke kedai Ah Leng di simpang jalan sana.” Kata-kata atuknya tiba-tiba bermain di kotak ingatannya. Waktu itu, Haji Bakri baru sahaja berumur lapan tahun. Pohon mempelam itu juga sudah mula mengeluarkan bunga-bunga sulung.
Sejak kecil lagi dia amat sayang dengan pokok mempelam itu. Apabila dia sudah menjadi orang muda, pohon itu juga semakin subur dan banyak sekali buahnya apabila tiba musim berbuah. Namun pada masa itu buah-buah yang besar dan manis itu tidak dijualnya malah dia akan menghantar ke rumah jiran-jirannya.
Pada masa itu, kampung Abu kasim terdapat hampir 15 buah rumah. Semuanya rumah orang Melayu. Rumah-rumah di situ didirikan di atas tanah mereka sendiri. Mereka semua adalah tuan tanah.Haji Bakri amat sedih apabila mengingatkan keadaan kampungnya kini. Sekarang semua rumah dan tanah milik jiran-jirannya telah habis dijual kepada pihak pemaju. Pihak pemaju membayar mereka beratus-ratus ribu dolar.
Mereka semua gelap mata. Duit lebih penting daripada harta milik mereka itu.Dia berasa bersyukur juga kerana ayahnya tidak menjual tanah dan rumah milik mereka itu. Jirannya yang jarak 50 meter dari rumahnya juga masih bertahan.Rumah-rumah jirannya yang lain semua sudah didirikan rumah sebandung dan penghuninya bukan lagi orang Melayu.
Haji Bakri sedar rumahnya yang paling buruk antara rumah-rumah di kampung itu, maklumlah rumah kampung yang dibina dengan separuh batu dan separuh papan.
Pernah beberapa waktu dulu, rumahnya didatangi pihak pemaju untuk membangunkan tapak rumahnya dengan bangunan rumah sebandung. Waktu itu isterinya baru meninggal. Anak-anaknya semua bersetuju dan memujuknya untuk menjualnya tetapi dia tetap dengan pendiriannya.
Haji Bakri hanya berkata kepada anak-anaknya:“Kalau aku mati, baru boleh kamu jual. Kalu pemaju itu mahu juga tanah ini, aku mahu satu daripada rumah yang dibina dan tanah ini hanya aku sewakan, bukan dijual.” Akhirnya tidak ada pemaju yang setuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan.Malam itu Haji Bakri tidak dapat melelapkan matanya. Sebagaimana selalunya kalau dia tidak dapat tidur , dia akan bangun dan menunaikan sembahyang tahajud dan membaca Al-Quran. Kali ini, dalam sembahyangnya, sujudnya begitu lama. Banyak sekali permohonannya kepada Allah. Selepas memberi salam, dia terus mengangkat tangan. Selepas itu dia terus duduk di birai katil. Gambar isterinya yang berada di penjuru katil diambilnya. Direnungnya gambar itu lama-lama.
“Anak-anak kita mahu aku tebang pohon yang banyak membawa kenangan kepada kita. Aku tak sanggup menebangnya. Pohon tua itu lambang pertemuan kita,” dia meluahkan perasaannya kepada gambar isterinya. Dia benar-benar sedih.Di luar kedengaran deru angin seolah-olah angin ribut akan turun. Dia bangun lalu menuju ke arah jendela. Jendela yang tertutup itu dibukanya sedikit. Agak terketar-ketar juga tangannya membuka daun tingkap itu. Sebaik sahaja daun tingkap terbuka, angin sejuk menerjah masuk.
Dia duduk semula di birai katil, kemudian merebahkan badannya. Dia masih tidak dapat melelapkan mata. Dia mencapai gambar isterinya. Ingatan pada pertemuan mereka mengimbau dalam ingatan.Waktu itu hampir petang. Hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Beberapa orang yang sedang lalu lalang bertempiaran lari mencari tempat perlindungan daripada hujan lebat yang tiba-tiba turun itu.Haji Bakri pada masa itu masih muda dan baharu sahaja mula bekerja sebagai seorang guru pelatih. Dia sedang duduk di beranda sambil membaca buku. Sebaik sahaja dia mengangkat pandangannya dari pembacaannya, dia terlihat seorang perempuan sebaya ibunya bersama seorang perawan yang masih berpakaian sekolah, berteduh di rumahnya.
Melihat keadaan dua orang perempuan itu timbul pula rasa simpatinya. Dia mengambil dua kaki payung yang memang sentiasa tersangkut di penjuru beranda rumahnya itu lalu menuju ke arah dua orang wanita itu. Dia mempelawa mereka singgah dan berteduh di rumahnya.
Haji Bakri memanggil ibunya dan wanita itu berkenalan dengan ibunya. Daripada perbualan mereka, Haji Bakri tahu bahawa gadis yang berada bersamanya adalah anak wanita itu. Mereka berdua mahu ke rumah saudaranya mereka yang jauh ke dalam kampung Abu Kassim itu. Memang jodoh itu Tuhan yang menentukan.Pohon mempelam tua itu menjadi nostalgia antara dia dengan isterinya.Dentuman petir di luar rumahnya yang diikuti dengan bunyi sesuatu yang rebah ke bumi dengan kuat telah mengembalikan Haji Bakri ke alam nyata. Ingatan pada isterinya putus tiba-tiba.
“Ayah, ayah!” suara Salimah yang seperti orang dalam keadaan terkejut memanggilnya.
“Ayah...rumah kita, ayah!” getaran suara Salimah yang seperti orang terkajut itu menyuntuh gegendang telinga Haji Bakri.
"Rumah kita kenapa? Apa yang dah jadi?” Haji Bakri bertanya bertalu-talu sambil memegang bahu anaknya.“Beranda rumah kita ranap, ayah. Pohon mempelam kesayanagn ayah itu telah dipanah petir dan dahannya telah rebah. Habis beranda rumah kita, ayah.”I
Imran, menantunya, dengan tenang membantu isterinya memberitahu Haji Bakri. Haji Bakri tidak dapat berkata apa-apa. Perlahan-lahan dia menuju ke beranda rumahnya. Pintu utama dan dinding beranda rumahnya musnah. Haji Bakri hanya melihat dalam lebat hujan dan samar-samar pohon mempelam itu menyembah bumi.
Tanpa sedar, air matanya bergenang. Dia sedih melihat pohon tua yang akhirnya kalah dan tumbang dipanah petir.Haji Bakri merenung ke dalam dirinya: “Aku juga sudah tua, hanya menanti masa. Aku pasrah kepada-Mu ya Allah.”
@@@@@@@@@@
Bahan ini telah digunakan dalam projek tersebut dua minggu sebelum cuti penggal yang lalu. Daripada bahan ini, pelajar-pelajar Menengah 1, 2 dan 3 membaca dan diikuti dengan membuat komik, diodrama, kotak cerita dan puisi. Bahan-bahan yang para pelajar hasilkan sedang saya semak.
Saya berasa sungguh gembira mendapati banyak bahan yang menarik yang terhasil. Insya-Allah akan saya kongsi sebahagian bahan yang saya katakan tadi dengan anda sekalian.
Nota
Sulaiman Bin Sukaman - Men 3L1 (2008) telah membantu saya menaip semula cerpen ini. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan