Mulai Januari 2011, catatan di sini memuatkan semua bahan dan penemuan saya yang berkaitan dengan projek peribadi penulisan saya yang berjudul Cerita Rakyat Orang Melayu. Bahan-bahan ini saya pungut daripada kajian lapangan sewaktu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, hingga pada masa ini. Cerita-cerita di sini kebanyakannya berasal dari seluruh ceruk dan rantau di Asia Tenggara. Alamat emel saya di manafyasir@gmail.com
Jumaat, Disember 07, 2007
Senopati Pamungkas 2
Alhamdulillah, saya selesai membacanya. Banyak yang terungkap dalam novel bersiri yang dijadikan satu jilid sekarang ini mengenai persilatan dan banyak falsafah mengenai kehidupan para pesilat yang ulung dalam zaman kejatuhan Seri Kertanegara dan zaman awal pemerintahan Manahara Jayatakwang.
Upasara Wulung merupakan seorang ksatria (pahlawan) yang dipelihara dan dididik dalam persilatan sejak bayi lagi. Tokoh ini merupakan seorang jaguh silat yang banyak berkorban untuk kebaikan orang lain dan ketaatannya kepada sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah di Jawa. Setelah mengalahkan serangan tentera Tatar dari negeri China, dia dapat menghapuskan musuh negara dari India dan Turkestan. Walaupun Puteri Aize Baijani telah mengambilnya sebagai suami, cinta Upasara Wulung tetap kepada Permaisuri Rajapatni yang merupakan salah seorang isteri Maharaja Jayatakwang. Demi mengelakkan daripada terus melamun dengan rasa cintanya kepada Permaisuri Rajapatni, Upasara Wulung sanggup kehilangan daya tenaga seorang pahlawan yang benar-benar menguasai ilmu Bantala Parwa, ilmu yang cukup ampuh yang dituntut daripada Eyang Sepuh, mahaguru yang sungguh handal lagi disegani.
Namun, pergolakan di keraton dengan pelbagai perebutan kuasa yang berlaku antara Maharaja Jawatakwang dengan Putera Mahkota yang didalangi oleh Permaisuri Gehara Indreswari yang diboyong dari Tanah Melayu (Pulau Perca), apa lagi dengan kelicikan salah seorang senopati yang bernama Halayudha, menimbulkan pelbagai sengketa dengan akhirnya ramai para pembesar keraton saling berbalahan.
Lanjutan Senopati Pamungkas 1 ini terdapat dalam Senopati Pamungkas 2 yang setebal 1700 halaman. Kali ini, apa yang sempat saya belek, mengemukakan pertualangan Upasara Wulung dengan jaguh-jaguh persilatan dari negera-negara Asia termasuk Koreya dan Jepun dengan nama-nama yang sungguh mengagumkan. Namun, saya akan membacanya selepas saya menyelesaikan Hikayat Amir Hamzah yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Saya berbuat demikian demi membina rasa ingin tahu kisah selanjutnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan