Jumaat, Oktober 05, 2007

Erti Tunjuk Ajar

Yang disebut tunjuk ajar,
menunjuk kepada yang elok,
mengajar kepada yang benar,
mendidik kepada yang baik,
beramanah kepada yang berfaedah,
bernasihat kepada yang bermanfaat,
meneladan kepada yang sepadan,
mencontoh kepada yang senonoh,
meniru kepada yang sejudu,
memakai kepada yang sesuai.

Apabila anak ditunjuk ajar,
kecil bernama besar bergelar,
duduk tegak pada yang benar,
fikiran jernih hati penyabar.

Apabila anak diberi petuah,
kecilnya baik besarnya menakah,
berjalan tidak tersesat langkah,
bercakap tidak tersalah lidah,
bergaul tidak tersalah tingkah,
bekerja tidak pada yang salah.

Apabila anak selalu dituntun,
budi mulia perangai pun santun,
hidup sedusun tuntun menuntun,
hidup sebanjar ajar mengajar.

Apabila anak diberi amanah,
mudanya elok tua bermaruah,
tahu menapis benar dan salah,
tahu bekerja membawa faedah,
tahu memelihara laku kerenah.

(Tenas Affendy 2003a)
cuplikan daripada
Seuntai Kata Seindah Bahasa,
2007, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: