Selasa, Mac 11, 2008

'Puteri Bertujuh Turun Bersiram'



Sebahagian daripada kumpulan pelajar peserta BPGHS


Perenungan Peribadi

(Bagi mendapatkan semua foto yang Cikgu Sazali petik, sila layari lelaman ini: http://emasbpghs.multiply.com/)

Sepanjang minggu kesepuluh, kami menjalankan sesi latihan untuk persiapan bagi peraduan Gema Puisi Artistik 2008 anjuran Maktab Rendah Nanyang.

Yang menyenangkan saya adalah kesungguhan setiap peserta, daripada ketujuh-tujuh anak gadis yang berdeklamasi dan berdendang puisi, termasuk ketiga-tiga orang pelajar, Nadiah, Syafiq dan Sufi begitu sabar dan tekun menjalani latihan. Ada saat-saat ketawa dan serius dalam masa berlatih. Namun, saya cukup senang hati, dalam masa yang singkat juga mereka dapat menjalankan sesi latihan dengan baik.

Yang menyerlah dalam sesi-sesi tersebut, diketepikan faktor saya, sikap kebersamaan dalam melakukan kerja-kerja dengan baik di kalangan pelajar peserta begitu terasakan. Walaupun ada masa-masanya, seorang dua yang tidak dapat hadir kerana ada tugasan lain, latihan berjalan dengan lancar. Dan apabila rakan-rakan itu kembali semula, mereka saling bantu-membantu dalam memastikan latihan itu mereka jalankan bersama-sama dengan rukun dan suasana menggembirakan..

Mereka saling memberi pandangan ikhlas untuk memberikan dapatan pada aspek pergerakan dan penghayatan. Teguran yang saling membina itu diterima setiap peserta dengan hati terbuka. – betapa saya terharu bahawa anak-anak yang sebegitu muda tahu apakah yang dimaksudkan dengan kerjasama dan kesungguhan dalam menjalankan tugasan.

Saya berharap setiap pengalaman belajar dan kegembiraan yang mereka temui dalam projek ini memberikan mereka arah dan landasan untuk membina keyakinan diri dan langsung membentuk perilaku yang elok sepanjang masa.

Sebagaimana ghairahnya mereka dalam projek ini, saya begitu juga. Rasa penat tidak terasakan dan masa bergerak pantas.

Yang menjadi keprihatinan saya juga semoga semangat cintakan tanah air, bangsa dan diri sendiri akan sentiasa menjadi teras dan warna indah dalam penakatan hidup mereka pada masa hadapan. Saya cuba mengungkapkan sikap bekerjasama dan saling hormat-menghormati antara satu sama dalam melaksanakan tugas sebagai seorang guru, sekali gus sebagai seorang dewasa. Memang, usaha ini menuntut perhatian dan masa yang bukan sedikit. Semoga usaha kecil saya ini dapat mereka manfaatkan bagi kehidupan mereka pada masa akan datang.

Terimbas kembali saat-saat menggerakkan ketujuh-tujuh pelajar sastera saya untuk mendapatkan bahan bagi asas teks puisi panjang yang akan mereka dendangkan itu. Teringat kekeliruan pada wajah-wajah mereka bertujuh. Ini dibebankan lagi dengan disiplin untuk menguasai dendangan beberapa lagu puisi tradisional. Namun, saya bersyukur mereka saling meyakinkan sesama sendiri akan kemampuan masing-masing dan merujuk setiap apa-apa yang kurang mereka fahami kepada saya. Senang melihatkan mereka amat menghormati saya sebagai guru dan menghargai setiap satu hal yang saya perkatakan dalam aspek-aspek pengkaryaan kerja seni ini.

Begitu juga dengan pelajar yang membunyikan alat muzik. Mereka tekun menggunakan kemampuan sendiri dalam saling bergabung pendapat dan pandangan untuk membuat yang terbaik, walaupun ada masa-masanya saya membiarkan sahaja mereka melihat apa-apa peranan yang masing-masing perlu lakukan. Mereka kembali merujuk kepada saya setiap apa yang mereka kurang pasti.

Diyanah dan Tirmuzi juga pelajar yang membantu saya dalam usaha ini. Pandangan mereka yang dikongsi bersama-sama rakan-rakan yang membuat persembahan amat membantu. Saya sedar sebagai rakan sebaya, pandangan mereka lebih terkesan dan tidak menimbulkan tekanan kepada rakan-rakan mereka itu. Mereka juga turut senang dapat bersama-sama dalam projek ini, walaupun bekerja pada saat-saat terakhir dan sebagai peserta di belakang tabir.

Saya secara peribadi menyenangi semua pengalaman yang dilalui sewaktu menjalankan projek ini. Menang bukanlah matlamat saya dalam projek ini. Saya bersyukur dapat menyemai sikap saling meyakini kemampuan masing-masing, kerjasama yang memadukan semangat persaudaraan, mendapatkan bantuan dengan gaya dan cara yang sepatutnya, membantu sesama rakan, percaya akan kebolehan sendiri dan bersiap siaga memberikan bantuan selain mendahulukan tugasan penting sekolah dan menyusun masa selain bersikap jujur dan hormat-menghormati.

Semoga setiap teguran, anjuran dan tunjuk ajar saya memberikan arah kepada pelajar-pelajar ini betapa cinta akan ilmu dan kerja keras untuk mencapai kejayaan menjadi tunggak mencari kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup. Masa saya tidak panjang, namun harapan ibu bapa saya mahukan saya menjadi insan yang syumul, semampu saya, sedang saya usahakan. Semoga pelajar-pelajar saya ini akan menjadi penyumbang besar pada kesejahteraan dan kemakmuran negara dan dunia, tidak lupa pada diri dan keluarga masing-masing.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Pada hari persembahan, bukan sahaja anak-anak peserta itu tertekan, saya tambah-tambah lagi. Saya sedar betapa bagusnya sesuatu usaha, pengurusan masa dan kerjasama pada saat-saat akhir sama penting. Ada beberapa pelajar saya tidak menghafal rangkap-rangkap puisi masing-masing. Saya terpaksa membiarkan mereka sendiri untuk menyedari bahawa mereka harus mengatasi masalah itu dengan bertindak bijak.

Saya berasa beruntung dengan kehadiran Cikgu Noormarlina dan Cikgu Sazali pada hari tersebut, sejak di sekolah pada pagi hari persembahan dan pada waktu persembahan diadakan.

Cikgu Noormarlina membantu para pelajar perempuan saya berdandan. Beliau juga amat faham kerenah mereka dan dengan senyuman yang sentiasa di bibir, memberikan kata-kata galakan serta semangat kepada mereka.

Cikgu Sazali selain mendapatkan hidangan makanan tengah hari bagi kami, bersama-sama dalam cara persembahan dari mula hingga akhir, membuat rakaman di samping memberikan kata-kata galakan dan sokongan kepada pelajar-pelajar saya itu.

Apabila tiba saat persembahan hendak diadakan, saya berada di belakang tabir menyaksikan sendiri cara dekat pelajar-pelajar saya itu membuat persembahan. Ternyata, persembahan mereka sungguh unik dan lain daripada persembahan-persembahan kumpulan-kumpulan yang lain.

Kumpulan pelajar BPGHS berjaya mendapat tempat ketiga selain hadiah khas ciptaan lagu puisi yang asli. Dua hadiah kami rangkul. Tergambar kegembiraan Syafiq, Sufy, Nadiah, Izyan, Adila, Shahirah, Fazleen, Siti Umairah, Sabrina dan Aisyah sewaktu menerima hadiah daripada Encik Faizal, tetamu khas acara pertandingan tersebut.

Kegembiraan saya tak terhingga sewaktu berdiri memberikan tepukan kepada para pelajar saya yang turun dari galeri penonton untuk naik ke pentas menerima hadiah. Selain ucapan syukur ke Hadirat Ilahi, terlerailah segala rasa tekanan saya pada saat itu.

Bagi saya, kejayaan mereka kejayaan semua pelajar saya. Kejayaan bagi sekolah yang memberikan peluang untuk saya dan pelajar-pelajar saya sama-sama menyelami dan mengalami sendiri apa-apa yang dimaksudkan seni dan pendidikan selain yang terdapat dalam buku teks. Nilai pengajaran yang saya dapati begitu tinggi dan setentunya tiada duanya. Saya berharap hasil usaha ini dapat dipersembahkan kepada lebih ramai khalayak; memberikan gambaran betapa program EMAS dan Bahasa Melayu di BPGHS sememangnya unik dan istimewa.

Persembahan akan dipertingkatkan dengan memberi nilai dan masukan bermutu daripada para pelajar setentunya di samping penyeliaan saya dan rakan-rakan guru yang lainnya.

Saya senang dengan pengalaman yang penuh warna dan rasa ini. Semoga anda juga akan mendapat manfaat daripadanya.

Salam kesenian daripada saya buat anda semua.

Isnin, Mac 10, 2008

8 Mac 2008 - Maktab Rendah Nanyang


Ketiga-tiga orang pemain muzik iringan persembahan kami - Nadiah, Syafiq & Sufy


Salah satu adegan dalam persembahan di pentas


Bergambar sewaktu latihan di bilik ML2


Trofi-trofi yang dimenangi

Alhamdulillah. Semua usaha beberapa minggu ini berbaloi. Kami mendapat tempat ketiga dan memenangi hadiah khas bagi kategori lagu puisi ciptaan asli.

Buat masa ini, saya sedang menyusun perenungan daripada proses pembinaan bahan persembahan ini. Untuk waktu ini, sekadar beberapa gambaran berkenaan sesi latihan dan juga persembahan yang dibuat di Maktab Rendah Nanyang.

Nantikan paparan selanjutnya mengenai persembahan ini.