Sabtu, Disember 10, 2011

Tuah Seorang Pemuda Yang Jujur

Seorang pemuda berjumpa sebentuk cincin di kebunnya. Oleh kerana terlalu jujur, dia menunjukkan cincin yang ditemuinya itu kepada jirannnya. Jirannya itu seorang peniaga yang licik. Apabila terpandang akan cincin itu, jirannya itu pasti itu adalah cincin emas. Namun, jirannya itu berkata, “Ini hanya sebentuk cincin tembaga yang murah. Bagi saya cincin ini dan saya akan gantikan dengan seekor ikan.”
Jirannya pergi menangkap seekor ikan yang berenang-renang dalam sebuah kolam yang terletak di belakang rumahnya. Pemuda yang jujur itu menerima ikan itu dengan penuh syukur dan mengucapkan terima kasih kepada jirannya. Pemuda itu pulang ke rumah lalu membelah perut ikan itu sebelum dia memasaknya. Pada kali ini, dia mendapati dalam perut ikan itu terdapat pula sepasang cincin emas.
Pemuda itu lalu menunjukkannya kepada jirannya sekali lagi. Jirannya, yang penuh muslihat itu, berkata, “Nampaknya, engkau selalu menemukan cincin tembaga. Biar aku beri engkau seekor ayam sebagai gantinya. Aku kira cukuplah dengan nilai dua bentuk cincin ini.”
Jirannya mengambil seekor ayam tua dan menyerahkannya kepada pemuda itu. Pemuda itu sekali mengucapkan terima kasih dan membawa ayam itu pulang ke rumahnya. Ayam itu dikurung dalam sebuah raga dan diletakkannya pada sebuah sudut di dapurnya.
Pada keesokan harinya, sewaktu pemuda itu hendak menyembelih ayamnya itu buat lauk hidangannya pada hari itu, ayam yang diberikan jirannya yang licik itu terlepas lalu berlari masuk ke dalam kebunnya. Sewaktu menemukan ayamnya itu, pemuda itu melihat bahawa ayamnya sedang mematuk-matuk tanah. Pemuda itu lalu mengambil sebatang ranting mati lalu mengais-ngais tanah yang dipatuk-patuk ayamnya itu. Tidak berapa lama kemudian, dia menjumpai tiga bentuk cincin emas dalam lubang yang digalinya dengan ranting mati itu. Dia segera menunjukkan ketiga-tiga bentuk cincin yang dijumpainya kepada jirannya sekali lagi. Jirannya yang begitu gembira dapat menipu pemuda itu lagi, berkata, “Hai, cincin-cincin ini tidak berharga langsung. Tak mengapa, aku akan menggantikannya dengan seekor kambing bagi cincin-cincin tembaga ini.”
Jirannya itu pergi ke kandang tempat dia mengurung kambing-kambingya. Dia lalu mengheret seekor kambing tua lalu diserahkan kepada pemuda yang begitu gembira dengan pertukaran itu. Setelah pulang ke rumahnya, pemuda itu lalu menambat kambing itu di sebuah kandang miliknya. Dia memberikan kambing itu makan selonggok rumput kering dan air minuman dalam sebuah bekas.
Keesokan harinya pula, pemuda itu sduah bersiap-siap hendak membawa ayam dan kambing tuanya ke pekan. Dia hendak menjual binatang-binatang itu di pekan pada hari itu. Diikat kepak dan kaki ayamnya agar tidak boleh bergerak dan terbang lepas nanti. Kambingnya diikat taki pada lehernya lalu dihela.
Sewaktu dalam perjalanan ke pekan, kambing tuanya asyik terbatuk-batuk dan bersin. Dan dia berhenti berjalan sambil melihat-lihat kambingnya. Kalau sakit, pastilah tida sesiapa yang akan membeli kambingnya itu. Pada waktu dia berhenti sejenak sambil mememrhatikan kambingnya, dia terpegun apabila ada empat bentuk cincin keluar dari mulut kambing itu, Setelah kambing itu berhenti batuk dan bersin, pemuda itu mengutip keempat-empat bentuk cincin itu lalu disarungkan ke jari kanan dan kiri; dua bentuk pada jari manis dan jari hantu kedua-dua belah tapak tangannya.
Tersebutlah kisah seorang saudagar kaya yang tinggal di pekan itu. Saudagar kaya ini sedang bersedih memikirkan anak gadisnya yang sedang sakit. Menurut tabib dan dukun yang merawat anak gadisnya itu, penyakit anak gadisnya itu akan sembuh jika memakan daging ayam yang digoreng dan gulai kambing yang tua. Tetapi kedua-dua binatang itu hanya boleh didapatkan daripada seorang pemuda yang memakai empat bentuk cincin pada satu-satu masa. Pemuda itu akan melewati rumah saudagar pada suatu pagi kerana hendak menjual binatang-binatang itu di pekan.
Sejak mendapatkan pesan tabib dan dukun itu, maka saudagar itu asyik ternanti-nantikan kedatangan pemuda tersebut. Setiap hari, dia asyik menunggu di pintu pagar rumahnya memerhatikan orang ramai yang berlalu-lalang di hadapan rumahnya yang tidak jauh dari pekan itu.
Pada pagi itu, sewaktu membuka pintu pagar, saudagar itu ternampak kelibat pemuda yang jujur itu menghela kambing tuanya sambil mengepit ayam di tangan kanannya berjalan menghampiri rumahnya. Dia memerhatikan benar-benar sama ada pemuda itu adalah orang yang dia nanti-nantikan itu.
Apabila pemuda itu benar-benar tiba di depan pintu pagar rumahnya, saudagar itu lalu menegurnya.
“Assalamualaikum, orang muda,” sapa saudagar itu sambil tersenyum dengan wajah yang berseri-seri.
“Waalaikumsalam,” sahut pemuda itu.
“Apakah tuan hendak menjual ayam dan kambing itu?” saudagar itu berkata sambil menunjuk ke arah ayam dan kambing yang ada pada pemuda itu.
“Benar, saya hendak menjualnya,” balas pemuda itu.
Kebetulan, saya hendak membeli ayam dan kambing untuk dibuat ubat bagi menyembuhkan penyakit anak saya,” sambung saudagar itu.
Saudagar itu lalu menyuruh orang gajinya menjemput pemuda itu masuk ke dalam halaman rumahnya.
Saudagar itu lalu duduk di anjung rumah sambil menantikan pemuda itu tiba. Pemuda itu lalu menyerahkan ayam dan kambingnya kepada orang gaji saudagar itu.
Sewaktu duduk bersila menghadap saudagar di anjung rumah, pemuda itu tersenyum kerana dia berasa beruntung pada hari itu. Kambing dan ayam yang dibawanya itu pasti akan dibeli saudagar itu. Pada masa yang sama, saudagar itu gembira apabila mendapati pemuda yang duduk bersila di hadapannya memakai empat bentuk cincin di tangan-tangannya.
Setelah membayar harga kambing dan ayam yang dibelinya itu, saudagar itu menjemput pemuda itu untuk bersarapan dan makan tengah hari di rumahnya pada hari itu. Saudagar itu mahu mengenali dengan lebih dekat pemuda itu. Daripada perbualannya, saudagar itu mendapati pemuda itu sungguh lurus dan amat baik budi pekertinya. Di dalam hatinya, terbit hasratnya menjadikan pemuda itu anak menantunya. Anak gadisnya itu sudah pun dewasa dan umurnya sudah layak untuk dijodohkan.
Ayam dan kambing yang dibeli saudagar itu segera disembelih dan dimasak seperti yang telah ditetapkan oleh tabib dan dukun yang merawat anak gadis saudagar itu. Lebihan daging binatang yang disembelih dibuat lauk-pauk lain dan ditambah dengan hidangan-hidangan lain. Anak gadis saudagar yang sakit itu diberi makan sesudah hidangan siap dimasak.
Selesai makan tengah hari, sauadagar itu meminta agar pemuda itu datang kembali ke rumahnya pada keesokan hari. Pemuda itu berjalan pulang ke rumahnya dengan sukacita. Dia mendapat laba daripada penjualan kambing dan ayamnya selain dijamu makan oleh saudagar pada hari itu.
Keesokan hari, anak gadis saudagar yang sakit-sakit itu kembali sembuh dengan segera. Saudagar itu lalu mendakap anaknya yang sudah sembuh itu sambil mengucap syukur kepada Allah s.w.t.
Pemuda itu tiba sebaik-baik sahaja saudagar itu hendak menghadapi sarapan. Pemuda itu dijemputnya berjamu sarapan dengannya. Anak gadis saudagar dan isteri saudagar itu turut bersarapan sama tidak lama kemudiannya. Setelah selesai makan, saudagar itu itu menyatakan hasratnya hendak menikahkan pemuda itu dengan anak gadisnya. Pemuda itu tidak menolak dan anak gadis saudagar itu turut bersetuju dengan hasrat saudagar tersebut. Maka saudagar itu lalu menyuruh orang kepercayaannya menjemput kadi dan jiran tetangganya sebelum dijalankan majli akad nikah dan persandingan pengantin baru itu.
Hiduplah pasangan muda itu kerana mereka saling kasih-mengasihi antara satu sama lain. Pemuda itu telah mempelajari ilmu perniagaan daripada mentuanya dan setelah dia menjadi mahir, dia mengusahakan perniagaannya sendiri pada akhirnya.

Tiada ulasan: