Selasa, Disember 06, 2011

Cerita Sang Gedembai

Penduduk Kampung Hulu Sungai gempar dengan berita kehadiran suatu lembaga yang dikenali sebagai Gedembai yang menyempah seorang pekebun yang baru pulang dari kebun pisangnya. Din Saga menjadi batu disumpah kerana tidak menyedari kehadiran gedembai yang menegurnya itu.
Beberapa hari sesudah itu, seorang kanak-kanak yang sedang bermain-main pula telah disumpah menjadi batu juga kerana melarikan diri akibat takut akan gedembai yang berwajah bengis itu. Kaum keluarga kedua-dua mangsa sumpahan gedembai itu bersedih dengan kejadian malang yang menimpa orang-orang yang mereka sayangi.
Orang-orang kampung duduk bersidang di rumah Tuk Sali, penghulu kampung itu untuk mencari ikhtiar mengusir gedembai yang menakut-nakutkan penduduk kampung. Tuk Sali mencadangkan mereka mencari gedembai itu untuk memujuknya supaya berpindah jauh dari Kampung Hulu Sungai.
Sembilan orang pemuda termasuk anak-anak Tuk Sali akan masuk bersam-samanya ke hutan untuk bertemu gedembai itu. Mereka bersenjatakan golok dan parang lalu berjalan masuk ke dalam hutan tempat gedembai itu selalu ulang-alik.
Setelah berjalan di dalam hutan itu untuk beberapa lama, mereka menemui gedembai yang mereka cari-cari itu.
“Hah.. hah.. hah, hendak ke mana kamu semua ini?” tanya gedembai itu sebaik-baik sahaja melihat rombongan Tuk Sali itu.
Tuk Sali segera menyahut, “Wahai Sang Gedembai, kami datang hendak meminta kerjasama tuan hamba.”
Medengarkan kata-kata Tuk Sali itu, Sang Gedembai membeliakkan matanya.
“Kalau boleh,” sambung Tuk Sali, “kami minta tuan berpindah dari sini.”
“Apa, berpindah?” jawab Sang Gedembai. “Engkau semua menghalau aku, ya?” tempik Sang Gedembai. Dia naik berang.
“Engkau berani hendak menghalau aku?” tempik Sang Gedembai lagi. “Aku sumpah engkau menjadi batu!”
Belum sempat Tuk Sali berkata-kata selanjutnya, serta-merta tubuhnya menjadi kaku. Kilat memancar-mancar di langit disertai bunyi guruh berdentam-dentum. Tuk Sali berubah menjadi batu seperti kedua-dua orang kampung sebelum itu.
Melihat akan kejadian yang sungguh menakjubkan itu, para pengikut Tuk Sali bertempiaran lari ketakutan untuk menyelamatkan diri mereka masing-masing. Sang Gedembai ketawa berdekah-dekah melihatkan telatah orang-orang yang bertempiaran lari itu. Sesudah itu, Sang Gedembai berlalu pergi masuk ke dalam hutan.
Anak Tuk Sali yang bernama Jalal berpatah balik ke tempat kejadian lalu segera memeluk kaki ayahnya yang sudah berubah menjadi batu itu. Dia berazam akan membantu menyelamatkan orang-orang kampung dan bapanya.
Sekembalinya di kampung, Jalal diangkat menggantikan Tuk Sali menjadi penghulu yang baru. Dia berjanji akan berikhitar untuk menghapuskan Sang Gedembai yang tidak berhati perut itu.
Seminggu kemudian, Sang Gedembai kembali di kampung. Penduduk kampung sedang meraikan sebuah majlis persandingan. Suasana yang meriah itu membuatkan gedembai terganggu dan naik marah. Dengan marah, dia sumpah kedua-dua pasangan pengantin yang sedang bersanding itu menjadi batu. Sesudah peristiwa itu, Kampung Hulu Sungai menjadi sunyi sepi. Orang ramai takut hendak berbuat bising kerana tidak mahu mengganggu Sang Gedembai itu.
Seorang pemuda tampan telah tiba di kampung itu sewaktu Penghulu Jalal sedang bersidang untuk mencari jalan bagi menyelesaikan gangguan Sang Gedembai itu.
“Assalamualaikum,” ucap pemuda tampan itu ketika dia sampai di halaman rumah Penghulu Jalal, tempat orang-orang kampung bersidang dan berhimpun.
“Waalaikumsalam,” serentak orang-orang kampung menjawab salam pemuda itu.
“Siapa tuan hamba ini dan ada hajat apa datang ke mari?” tanya Penghulu Jalal.
“Nama hamba Indera Sakti, putera raja Panca Persada. Hamba ke mari berjalan-jalan melihat-lihat tempat orang.”
Maka anak raja yang baru datang itu memohon untuk duduk mendengar orang-orang Kampung Hulu Sungai bersidang. Baginda tertarik mendengarkan kisah kezaliman yang dilakukan oleh Sang Gedembai di kampung itu. Baginda lalu bertitah, “Insya-Allah, beta dapat cuba menyelesaikan masalah yang tuan semua sedang hadapi ini.”
“Tiada sesiapa yang dapat menewaskannya, Tuanku!” sambung Jalal.
Tiba-tiba, terdengar suara ketawa yang berdekah-dekah.
“Hah.. hah.. hah!”
“Itu pun suara Sang Gedembai bedebah itu!" sahut Penghulu Jalal dengan ketakutan.
Putera Indera Sakti lalu melompat ke tanah dan dia mendapati Sang Gedembai sedang berdiri tidak jauh dari situ dan memandang ke arahnya.
“Siapakah kamu?” kata Sang Gedembai hendak menunjukkan keberaniannya.
Putera Indera Sakti hanya berdiam diri kerana baginda mahu menyakiti hati Sang Gedembai itu.
“Oh, engkau nak tunjuk lagak, ya? Aku sumpah engkau menjadi batu!” tempik Sang Gedembai itu seperti biasa.
Putera Indera Sakti hanya berdiri tenang. Tiba-tiba, baginda lalu ketawa pula. “Selama ini, engkau bermaharaja lela dan melakukan kezaliman sesuka hati engkau!”
Menyedari sumpahannya tidak menjadi ke atas Putera Indera Sakti, Sang Gedembai menjadi gementar. Dia terpegun seketika.
Orang-orang kampung semuanya keluar kerana hendak menyaksikan perkelahian antara sang Gedembai dan anak raja itu.
“Sekarang, tibalah giliran engkau mendapat balasan atas semua kezaliman yang telah buat!” Putera Indera Sakti menghembuskan sesuatu ke arah Sang Gedembai itu.
Serta-merta itu juga, tubuh Sang Gedembai yang besar itu mengecut menjadi semakin kecil hingga menjadi sebesar seekor katak dan dia terlompat-lompat di situ.
“Cepat, tikam dan bunuh Sang Gedembai itu!” perintah Putera Indera sakti.
Dengan segera, orang ramai meluru ke arah Sang Gedembai yang mengecil itu lalu dipijak-pijak mereka hingga hancur luluh badannya lalu mati.
Tamatlah riwayat Sang Gedembai yang digeruni penduduk kampung.
“Wahai Penguhulu Jalal, bawalah beta ke tempat orang-orang yang pernah disumpah Sang gedembai durjana itu!”
Maka mereka bergerak beramai-ramai ke tempat pasangan pengantin yang menjadi batu itu. Putera Indera Sakti lalu membaca ayat-ayat tertentu dan dihembuskan ke arah pengantin yang menjadi batu itu. Tidak lama kemudian, pasangan pengantin itu menjadi manusia semula seperti sedia kala. Mereka pergi menyaksikan juga hal yang sama Putera Indera Sakti lakukan ke atas batu Tuk Sali, Khalid dan Din Saga. Para penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu berasa takjub dan amat gembira serta bersyukur.
Setelah keadaan pulih aman, Putera Indera sakti memohon diri untuk pulang semua ke negerinya. Tuk Sali, Penghulu Jalal dan semua orang kampng menghantar Putera Indera Sakti berangkat di bahteranya yang berlabuh di hulu sungai kampung itu.

Tiada ulasan: