Sabtu, Disember 10, 2011

Cerita Sebilah Keris Panjang dan Sebilah Keris Pendek

Tersebutlah kisah dua orang adik-beradik yang mengembara. Awang Sulung namanya si abang dan Awang Bungsu nama si adik. Mereka anak yatim piatu dan telah meninggalkan kampung halaman mereka untuk mencari kehidupan di tempat orang. Mereka hidup dengan memakan buah-buahan serta pucuk-pucuk kayu dan tidur di kawasan lapang dan berbumbungkan langit.
Tidak lama kemudian, mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir lelaki yang sudah tua. Ahli sihir yang budiman itu telah mengajak mereka Awang Sulung dan Awang Bongsu, dua beradik tinggal di rumahnya buat seketika dan membantu membuat kerja-kerja di rumahnya.
“Jika kamu berdua tinggal bersama-sama aku, nanti akan aku ajarkan engkau berdua membaca dan menulis.”
“Tidak usahlah, Pakcik,” jawap Awang Sulung. “Apa faedahnya kami belajar membaca dan menulis?”
Namun begitu, mereka tinggal di rumah ahli sihir itu untuk beberapa hari. Tiada banyak yang mereka lakukan di rumah ahli sihir itu. Sewaktu mereka bertolak pergi, ahli sihir itu memberi mereka sedikit makanan sebagai bekalan namun mereka menolaknya kerana mereka mahu jalan berlenggang sahaja. Ahli sihir yang baik hati itu lalu memberikan mereka sebilah keris setiap seorang.
“Keris panjang dan keris pendek itu dapat membantu kamu berdua menghadapi sebarang kemungkinan. Jika salah seorang daripada kamu menghadapi kesusahan, keris yang satu lagi akan menjadi karat. Keris yang karat itu akan membawa kamu berjumpa dengan saudara kamu itu dan dapat membantu kamu menyelesaikan masalah yang dihadapi.”
Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan orang tua itu setelah mengucapkan terima kasih dan salam mereka. Awang Sulung mengambil keris panjang sementara Awang Bungsu mengambil keris yang pendek. Mereka menyisipkan keris mereka masing-masing itu di pinggang sepanjang masa.
Setelah berjalan kaki buat sekian lama, kedua-dua orang adik-beradik itu tiba di sebuah kota. Kota itu lengang akibat gangguan raksasa laki bini yang telah memakan ramai penduduk di situ. Pada setiap masa, kedua-dua raksasa laki bini itu mendesak raja menghantar anak-anaknya untuk mereka makan. Setelah ramai anak dan rakyatnya menjadi mangsa, kini raja terpaksa menghantar puterinya yang seorang untuk dimakan raksasa laki bini itu.
Sewaktu menghampiri sebuah istana, kedua-dua adik-beradik itu mendapati ada seorang puteri yang ditinggalkan di situ. Para pengawal raja telah melarikan diri dan bersembuyi kerana mereka takut akan raksasa jika mereka tinggal lama di situ. Kedua-dua orang adik-beradik itu lalu duduk sebentar sambil berbual-bual dengan puteri itu. Menurut puteri itu, dia juga berasa takut akan dua raksasa yang akan datang membahamnya. Namun, dia memberanikan dirinya kerana sanggup berkorban dirinya untuk menyelamatkan rakyat di negeri ayahandanya. Raksasa itu akan muncul pada bila-bila masa. Kedua-dua orang adik-beradik itu mengambil keputusan untuk menemani puteri itu.
“Biarlah kami berdua berehat di sini sahaja. Kami sudah berasa terlalu letih kerana sudah berhari-hari kami berjalan kaki.”
Rehat kedua-dua orang adik-beradik itu dikeutkan dengan kehadiran dua orang gergasi yang memakan daging manusia. Gergasi yang berupa buruk dan menggerunkan itu berlari-lari untuk mendapatkan makanannya pada hari itu. Kedua-dua orang adik-beradik itu lalu menghunuskan keris-keris yang mereka bawa itu dan mengacumkannya ke arah kedua-dua orang raksasa. Dengan tidak semena-semena, keris-keris itu melayang-layang ke angkasa lalu menyerang kedua-dua orang raksasa itu. Maka berlaku lah pertembungan yang hebat antara kedua-dua orang gergasi itu dan kedua-dua bilah keris yang bergerak dengan sendirinya di awang-awangannya itu. Setelah sekian lama, matilah kedua-dua orang raksasa yang ganas itu. Bangkai kedua-dua raksasa itu terbaring di atas tanah. Puteri dan kedua-dua orang adik-beradik itu menyaksikan kejadian yang penuh takjub itu tanpa bersuara sepatah kata pun. Adik-beradik itu kini sedar bahawa keris panjang dan keris pendek yang mereka miliki pemberian ahli sihir lelaki itu benar-benar keris-keris sakti.
Orang-orang yang ada bersama-sama menyaksikan pertempuran antara keris-keris sakti dan raksasa itu dari tempat persembunyian mereka, segera menghadap raja lalu menyembahkan kejadian itu. Raja yang sedang bermasygul hati demi mengenangkan nasib puterinya itu bangkit lalu berangkat dengan ditandu oleh para pengawalnya ke istana tersebut. Baginda raja beegitu gembira apabila mendapati puterinya terselamat daripada menjadi makanan raksasa laki bini itu. Baginda lalu menyuruh rakyatnya menguburkan bangkai raksasa-rasaksa itu. Baginda membawa pulang kedua-dua orang adik-beradik itu ke istana bersama-sama puterinya.
Hiduplah kedua-dua orang saudara itu di istana. Awang Sulung telah dikahwinkan raja dengan puterinya. Puteri itu pula sudah terpaut hati kepada Awang Sulung. Oleh kerana baginda raja sudah tidak mempunyai putera lagi, kedua-dua orang adik-beradik itu dilantik dan dilayan sebagai putera-putera kandung baginda sendiri. Kedua-dua orang adik-beradik itu berasa bahagia hidup di istana itu.

Tidak lama kemudian itu, Awang Bongsu membuat keputusan hendak mengembara sekali lagi. Dia berasa bosan hidup di istana dengan segala kemewahannya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada abangnya, dia bertolak dengan menunggang seekor kuda. Setelah jauh meninggalkan kota tempat tinggalnya itu, Awang Bongsu tiba di sebuah kota lain yang juga sunyi dan sepi.
Kawasan kota di tepi laut itu dikelilingi gunung-ganang yang tinggi. Tanpa pengetahuannya, di puncak gunung-ganang itu didiami oleh sekawan raksasa yang boleh menjelma menyerupai burung-burung nasar raksasa yang selalu menyerang kota tepi laut itu dan memakan para penghuninya. Itulah sebabnya keadaan dalam kota di tepi laut itu menjadi sunyi sepi. Setelah turun daripada tunggangannnya dan menambatnya di sebatang pokok, Awang Bongsu lalu merayau-rayau di sekelilingnya. Tidak lama kemudian dia mendapati keadaan menjadi hingar-bingar dengan bunyi burung-burung nasar raksasa yang datang lalu menyerangnya. Kuda tungangannya dibaham burung-burung nasar raksasa itu. Dengan segera dia menghunus kerisnya dan mengacumkannya ke arah burung-burung nasar raksasa itu. Keris pendeknya dengan sendirinya menerawang ke angkasa lalu menyerang burung-burung nasar itu. Banyaklah burung nasar raksasa itu mati ditikam keris pendek yang sakti itu. Hanya sepasang burung nasar raksasa yang dapat melepaskan diri setelah menyaksikan kawan-kawan mereka mati dibunuh.
Setelah serangan burung nasar raksasa itu reda dan burung-burung yang itu mati bergelimpangan bangkai-bangkainya di tepi pantai, Awang Bongsu lalu masuk ke dalam kota melalu pintunya yang terbuka luas. Selain bangkai-bangkai burung nasar, ada juga bangkai-bangkai mansuia yang telah dibunuh beberapa lama sebelum itu bergelimpangan di banyak tempat di dalam tembok kota itu. Awang Bongsu berjalanlah masuk ke dalam kota dan sampai di sebuah kawasan yang agak bersih. Akibat keletihan, dia duduk dan berbaring sejenak. Tidak lama kemudian, dia terjaga kerana mendengar bunyi gendang dipalu-palu dengan kuatnya. Dia bingkas bangun lalu mencari-cari ke arah datangnya bunyi gendang dipalu bertalu-talu itu. Dia mendapati bebarapa buah gendang di salah satu sudut di dalam kawasan istana kota itu. Dia mengambil sebilah tombak yang terdapat di situ lalu menuris kulit gendang itu. Dia terpegun apabila mendapati ada seorang puteri terkurung di dalam gendang besar itu.
“Beta dikurung kerana hendak disembunyikan daripada pengetahuan burung-burung nasar rasaksa itu. Beta ialah puteri negeri ini. Ayahanda dan bonda beta telah melarikan diri demi menyelamatkan diri daripada diserang burung-burung nasar itu.”
Awang Bongsu lalu melepaskan puteri itu. Puteri itu lalu melepaskan orang-orang yang bersembunyi di tempat-tempat rahsia. Dengan bekerjasama, mereka membesihkan kota itu dan cuba mengembalikan keadaan kota seperti semula.
Berbalik tentang sepasang burung nasar yrasaksa ang terlepas daripada dibunuh keris pendek yang sakti itu. Kedua-dua burung nasar itu ialah raja dan permaisuri raksasas yang mengubah rupa mereka menjadi burung. Sekembalinya mereka di sarang kediaman mereka, mereka mengatur rancangan untuk menundukkan Awang Bongsu yang telah membunuh pengikut-pengikutnya yang lain.
Mereka menukar keadsan mereka menjadi seperti manusia biasa lalu masuk ke dalam kota di tepi laut itu dan cuba mendapatkan rahsia mengenai keris yang boleh bergerak dengan sendirinya. Dengan bermacam-macam muslihat digunakan, Awang Bonsu telah ditikam dengan keris pendeknya sendiri. Luka di perutnya parah. Dia jatuh gering dan tidak dapat bergerak kerana diracun oleh raksasa laki bini itu sebelum ditikam kerisnya sendiri. Namun begitu, keris pendeknya dapat membunuh burung nasar raksasa laki bini itu sesudah itu.
Awang Sulung mendapati kerisnya telah menjadi karat pada suatu hari. Dengan segera dia memberitahu isterinya bahawa adiknya, Awang Bongsu di dalam keadaan bahaya dan dia perlu membantunya. Dengan bantuan keris panjang, Awang Sulung tiba di kota di tepi laut itu dan masuk menghadap adiknya yang sedang gering itu.
Apabila mendapati keadaan adiknya yang terlantar di atas tempat beradu itu dengan isteri adiknya meratapi keadaan nasib yang menimpa suaminya, Awang Slung lalu mengambil keris adiknya dan dirapatkan dengan keris panjangnya. Kedua-dua bilah keris itu direndam di dalam sebuah bekas yang berisi air bersih. Awang Sulung lalu membasahkan sehelai kain dan mengelap seluruh badan adiknya. Setelah selesai dilap seluruh badan, dia lalu mencurahkan sedikit air itu ke atas luka adiknya. Sehari sesudah itu, Awang Bongsu lalu bangkit daripada tempat beradunya lalu muntah dengan banyak sekali. Setelah muntah, Awang Bongsu mendapat tenaganya semula dan dia lalu bangkit untuk berdiri. Tidak lama kemudian, tubuhnya kembali sihat dan dia sembuh beberapa hari kemudiannya.
Maka setelah keadaan kembali pulih seperti sedia kala, kedua-dua orang bersaudara itu memerintah negeri masing-masing dengan adilnya hingga akhir hayat mereka.

Tiada ulasan: