Sabtu, Disember 03, 2011

Tetamu Orang Bunian

Pak Tuas mengerjakan kebunnya setiap hari. Terdapat sebidang tanah di sebelah kanan jalan besar dekat kebunnya itu. Pada suatu petang, Pak Tuas sedang membakar rumput rampai kering yang hendak dibuatnya baja bagi tanamannya di situ. Dia disapa oleh seorang lelaki yang lengkap berbaju Melayu dan bersongkok. Setelah bertukar-tukar khabar, mereka duduk berehat di sebuah pondok yang Pak Tuas dirikan di kebunnya itu. Sambil berbual-bual, Pak Tuas menghidangkan bekalan yang dia bawa dari rumah. Pak Tuas mempelawa lelaki itu air kopi dan pengat ubi yang disediakan isterinya di rumah siang tadi.
Pada masa yang sama, anak Pak Tuas, Awang juga didatangi oleh sepasang suami isteri yang hendak membeli setandan pisang yang sedang masak ranum di kebun ayahnya. Awang membawa mereka berjumpa ayahnya sendiri untuk bertanyakan harga buah pisang yang hendak mereka beli itu.
Setelah bertemu ayahnya itu, Awang mengenalkan kepada Pak Tuas orang yang hendak membeli buah pisang di kebunnya. Mereka tidak ada wang tunai untuk membayar harga pisang itu dan mahu menukarkannya dengan ubi yang mereka bawa dari kebun mereka sendiri. Pak Tuas menyedari bahawa di kawasan tempat tinggalnya jarang dikunjungi orang ramai lalu dia tidak menawar-nawar harga. Dia bersetuju dengan cadangan pasangan itu.
Pak Tuas lalu bersuara, “Tinggal di mana?”
Jawab sang suami, “Situ ha, seberang jalan tu!”
Setelah mengambil pisang dan meletakkan ubi sekarung itu, pasangan itu berlalu pergi. Pak Tuas kembali bersembang dengan tetamunya sementara Azman berjalan kembali ke tempat dia bekerja awal tadinya dan menyambung kerjanya. Sewaktu dia menoleh ke belakang melihat pasangan yang mengangkat tandan pisang itu, Awang mendapati kedua-dua orang itu sudah ghaib. Dia mendapati ayahnya sedang bersalam-salaman dengan tetamunya sebelum tetamunya berangkat pergi.
Mereka meneruskan pekerjaan masing-masing walaupun Awang kehairanan melihat kelibat pasangan yang tiba-tiba ghaib. Dia juga terpegun apabila melihat tetamu ayahnya juga ghaib dengan tiba-tiba.
Di rumah, Awang berbual-bual dengan ayahnya tentang pasangan yang datang ke kebun mereka itu siang itu.
Pak Tuas hanya tersengih-sengih sahaja sepanjang mendengar penjelasan Awang.
“Orang Bunian ‘tu hanya tunjukkan diri dia pada orang-orang tertentu, jenis orang yang baik atau orang yang jahat. Jenis orang yang tahap nafsu dia tinggi, bukan macam jenis kita, jenis nafsu amarah ni,” jelas Pak Tuas.
“Pernah sekali,” sambung pak Tuas, “ada orang bunian yang datang berjumpa Penghulu kampung membantah sebuah projek yang dibangunkan di atas tanah tempat tinggalnya. Tanah itu kosong. Menyedari akan hal ini, Tuk penghulu memberhentikan projeknya sebelum ada apa-apa kejadian yang buruk berlaku.”
Awang melopong mendengarkan penjelasan bapanya. Beliau juga berkisah tentang kejadian yang berlaku kepada salah seorang jiran mereka.
“Pernah, Pak Din adakan majlis khenduri perkahwinan anaknya. Dekat-dekat waktu asar, waktu tetamu sudah mula surut, tiba sebuah rombongan tetamu dengan menaiki sebuah kereta lembu. Semua orang dalam rombongan itu berpakaian serba hijau; baju, seluar tapi yang lelakinya bersongkok hitam dan. Ada yang cakap bahasa Jawa dan ada yang cakap bahasa Melayu. Mereka disambut dan dijamu Pak Din macam dia layan tetamu-tetamunya yang lain. Sewaktu bersalam-salaman semasa mereka hendak balik, Pak Din diberi mereka sampul wang sumbangan macam orang lain. Pak Din pula terlupa menyiapkan berkat untuk semua tetamunya itu lalu masuk ke dalam rumah sekejap. Bila dia keluar semula, didapati kereta lembu serta tetamu-tetamunya yang berpakaian serba hijau itu sudah ghaib. Pak Din sedar bahawa orang-orang itu ialah orang-orang bunian."

Tiada ulasan: