Sabtu, Disember 03, 2011

Petani Beristeri Wanita Bunian

Lanang, pemuda piatu, seorang pesawah yang gigih. Rumahnya terletak di tepi sebidang sawahnya yang luas. Setelah bercucuk tanam dia akan menjaga air bendangnya dan juga menghalau burung-burung yang datang merosakkan benih-benih padinya. Dari terbit fajar hingga senja hari, dia kelihatan amat sibuk menghalau burung-burung sewaktu tanaman padinya mula menguning. Jika tiada burung-burung yang datang, dia akan duduk di pondok kecil di tepi bendangnya sambil meniup-niup seruling bambunya. Berbagai-bagai irama merdu yang Lanang tiup daripada seruling bambunya itu.
Pada suatu petang, akibat berasa terlalu letih, Lanang terlelap di pondok buruknya itu. Dia terjaga apabila berasa tubuhnya ditiup angin. Dia bingkas lalu duduk bersila di dalam pondok buruknya itu. Dengan segera Lanang memasang pelita kaca yang ada di situ. Hari sudah malam. Dia berasa malas untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari bendangnya. Badannya tidak lagi berasa letih dan matanya sudah tidak mengantuk.
Lanang lalu mencapai bekalan ketupat yang diberi jirannya lalu makan seorang diri. Setelah kenyang, dia minum air teh manis yang sudah dingin dari botol kacanya.
Bulan mengambang penuh di langit gelap malam itu. Lanang lalu duduk bersandar dan mula meniup-niup seruling bambunya. Tidak lama kemudian, dia terdengar langkah kaki yang sedang bergerak menuju ke tempat dia duduk. Tidak lama kemudian, muncul kelibat seorang wanita di sisi pondok buruknya.
“Siapakah kamu ini?” kata Lanang.
“Saya, Putih,” jawabnya.
“Saya orang baru di sini. Seronok saya mendengar tiupan seruling Abang Lanang tadi. Terhibur hati saya,” sambungnya lagi.
“Oh, saya hanya suka-suka saja!” jawab lanang berasa malu.
“Tiuplah lagi seruling Abang Lanang itu,” kata Putih sambil tersenyum simpul.
Lanang meniup seruling sekali lagi.
Tidak lama sesudah itu, Lanang sudah jatuh hati kepada Putih. Dia lalu mengajak Putih pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang itu, mereka terus berbual-bual. Putih diajaknya masuk ke dalam untuk berehat. Lanang pasti Putih tidak ada saudara-mara dan tempat untuk bermalam. Lanang menyuruh Putih tidur di dalam rumah sementara dia tidur di anjung.
Pada keesokan harinya, setelah bangkit daripada tidur, Lanang bertolak ke bendang humanya untuk memulakan kerja hariannya. Dia berpesan agar Putih mencarinya di bendang jika mahu apa-apa daripadanya. Setelah Lanang pergi, Putih mula mengambil penyapu dan menyapu sambil mengemas rumah Lanang itu. Pada masa tengah hari, dia menanak nasi dan menggulai ikan keli yang ditangkapnya di sebatang sungai di belakang rumah Lanang. Setelah hidangan itu siap, Putih membawa nasi, lauk dan air minuman yang disediakannya sendiri ke bendang untuk Lanang. Mereka makan nasi seperti pasangan suami isteri. Tidak lama kemudian, Lanang membawa Putih masuk ke kampung yang berdekatan dan bertemu seorang kadi di surau untuk dijab kabul. Namun perkahwinan mereka masih belum mendapat anak.
Sewaktu musim menuai padi tiba, Lanang dibantu Putih menuai dan menampi padi sebelum disimpan dalam jelapang. Mereka menjual sebahagian padi yang mereka hasilkan selain menyimpan sebahagian untuk dimakan sehari-hari. Lanang dapat melangsaikan semua hutangnya berkat bantuan isterinya, Putih. Pada suatu petang, sewaktu duduk berehat setelah bekerja di bendangnya itu, Putih mencadangkan Lanang ikut dia pulang kampungnya; kampung orang-orang bunian. Lanang bersetuju dan mereka berangkat menuju ke kampung tempat asal Putih pada suatu petang.
Di sana, Lanang bertemu dengan saudara-mara Putih. Ayah Putih, penghulu kampung dan dia amat berkuasa di situ. Lanang berasa gembira diterima baik penduduk-penduduk kampng tempat asal Putih.
Pada suatu hari, Lanang diajak abang-abang dan adik Putih pergi berburu. Semasa berburu, mereka didatang oleh katak-kata puru yang banyak.
“Gajah! Gajah!” mereka berteriak.
Lanang yang tidak takut akan katak-kata puru itu lalu mengutip seekor katak itu lalu dibalingnya ke dalam sawah yang berhampiran. Abang-abang dan adik Putih menjadi gempar. Mereka berlari pulang ke rumah dan memberitahu ayah mentua Lanang.
“Rupanya, Anak Lanang sangat gagah hinggakan dapat mengangkat seekor gajah. Anak Lanang ini sangat gagah dan hal ini amat mengancam keselamatan kami sekampung,” katanya.
“Oleh itu, Anak Lanang tidak boleh hidup dalam kalangan kami. Manalah tahu, apa-apa yang akan berlaku kelak selagi Anak Lanang masih terus-terus berada di sini.”
Oleh itu, Lanang yang tidak bersalah itu dihalau dari kampung orang-orang bunian itu. Dan lebih malang lagi, Putih tidak dibenarkan ayahnya pulang bersama-sama suaminya Lanang pulang ke rumahnya.

Tiada ulasan: