Sabtu, Disember 03, 2011

Peah Hitam Legam

Peah yang berkulit hitam legam di tubuhnya ialah orang gaji Bujang, seorang pemuda kaya raya. Namun, dia mempunyai ilmu yang boleh menukarkan dirinya dengan mengambil warna kulit perempuan yang dijumpainya.
Bujang tidak suka memandang wajah orang gajinya itu kerana tubuhnya hitam legam macam arang.
Pada suatu ketika, Bujang telah menikahi seorang gadis yang berkulit kuning langsat yang bernama Melur. Wajah gadis itu sungguh ayu. Sewaktu Peah terpandang kecantikan wajah Melur, dia mahu berbuat aniaya. Tanpa disedari Melur, Peah telah menukarkan warna kulitnya yang hitam itu kepada tubuhnya. Gadis malang itu terpegun melihat akan wajahnya di cermin pada suatu pagi. Kulitnya yang kuning langsat itu telah berubah menjadi hitam legam. Dia mendapati kulit Peah telah berubah menjadi kuning langsat.
Melur telah dipukul Bujang yang menyangkanya Peah, orang gajinya yang hitam legam. Melur terpaksa melakukan kerja-kerja di rumah sementara Peah duduk bersenang lenang di samping suaminya.
Melur membasuh kain baju, mengemas rumah dan melakukan pelbagai kerja rumah yang lain. Wwalaupun dia membantah layanan yang dia terima tetapi orang-orang lain di dalam rumah Bujang tidak menghiraukannya.
“Engkau, Peah! Jangan hendak mengaku-ngaku diri engkau itu Puan kita, Cik Melur!” mereka mengherdiknya.
Salah satu kerja yang harus dia lakukan adalah menhalau burung-burung daripada memakan padi di bendang. Sewaktu berjemur di tengah panas itu, Melur telah berbaik-baik dengan seekor burung terkukur. Burung terkukur itu mengatakan dia dapat membantu Melur dengan ilmu kesaktian yang dimilikinya.
Pada suatu pagi, burung terkukur itu datang membawa sebekas minyak kelapa yang berbau harum . Menurutnya, minyak itu dapat menghilangkan kesan hitam pada kulit Melur jika disapu pada kulitnya. Melur menurut kata-kata burung terkukur itu lalu menyapukan minyak yang harum itu setiap kali sebelum dia masuk tidur. Tidak lama kemudian, kulit Melur kembali menjadi cerah dan pulih semula. Melur lalu berjumpa Bujang dan memberitahu apa-apa yang telah menimpa ke atas dirinya. Bujang pada mulanya tidak mempercayai kata-kata Melur.
“Tengok pada lidah perempuan yang ada di samping abang itu.”
Peah menjadi terlalu takut untuk membuka mulutnya dan menunjukkan lidahnya. Akhirnya, Bujang menepuk belakang Peah yang menyebabkan dia tersentak lalu mulunta ternganga. Semua orang yang berada di situ menyaksikan betapa lidah Peah itu berwarna hitam legam.
Menyedari bahawa orang gajinya itu mengamalkan ilmu hitam, Bujang lalu membunuh Peah pada ketika itu juga. Setelah menyedari kesilapannya terhadap isterinya yang sebenarnya dan setelah menghukum Peah yang dengki itu, Bujang kembali memujuk isterinya. Mereka hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Tiada ulasan: