Sabtu, Disember 03, 2011

Cerita Harimau Jadi-jadian

Tersebutlah kisah manusia yang dapat mengubah dirinya menjadi harimau. Manusia tersebut, selalunya lelaki, akan menyarungkan dirinya dengan kain batik yang mempunyai bunga seperti yang terdapat pada badan seekor harimau. Kain itu akan digunakan oleh pemakainya sebelum dia pergi berburu di dalam hutan.
Pada suatu hari, isteri lelaki itu tidak percaya apabila orang-orang kampung mengata-ngatakan bahawa suaminya seorang tukang sihir yang boleh berubah menjadi seekor harimau. Wanita itu lalu memerhatikan gerak-geri suaminya sejak hari itu.
Pada suatu malam, suaminya hendak keluar rumah dengan bersikap yang aneh, tidak seperri biasa. Secara senyap-senyap, si isteri mengintai arah suaminya pergi. Suaminya pergi ke bangsal di belakang rumah mereka dan tidak keluar-keluar. Tiba-tiba, dia ada terdengar ngauman harimau berdekatan. Si isteri segera kembali masuk ke dalam rumahnya dan mengunci pintu dari dalam.
Keesokan harinya, si isteri mendapati suaminya bangun tidur lewat dan tertinggal salat waktu subuh. Apabila digerakkannya, di mendapati tangan dan jari suaminya ada bekas-bekas lumpur.
Memandangkan suaminya tidak juga berjaga setelah dikejutkan daripada tidur, sang isteri lalu ke dapur untuk menyediakan sarapan setelah dia selesai bersalat. Dia mendapati ada daging dan kulit rusa yang sudah dibersihkan.
Suaminya bangun agak lambat daripada tidurnya. Sewaktu duduk bersarapan, si suami mengatakan dia berasa letih kerana keluar berburu sepanjang malam.
Si isteri akan memasak daging rusa yang ditangkap suaminya itu. Sang isteri lalu memungut pakaian-pakaian yang kotor untuk dia cuci pagi itu. Dia mendapati sehelai sarung batik kepunyaan suaminya kotor berlumpur. Apabila dia hendak mencucinya, suaminya menghalangnya seraya mengatakan dia sendiri yang akan membersihkannya.
Sewaktu sang isteri pergi mencuci kain bajunya di sungai, ramai perempuan kampung sudah pun duduk mencuci pakaian kotor mereka di situ. Mereka tiba-tiba menjadi senyap apabila isteri pemburu itu tiba. Tanpa menghiraukan mereka di situ, dia memula mencuci pakaiannya hinggalah selesai tugasnya.
Sewaktu mencuci itu, dia ada terdengar bahawa ada banyak reban ayam ternakan orang-orang kampung diganggu musang atau harimau malam kelmarin. Pada malam hari selesai mereka makan malam, si isteri mengadu kepada suaminya akan apa-apa yang dia dengar daripada perbualan orang-orang perempuan yang pergi membasuh kain siang tadi. Suaminya memujuk isterinya agar tidak mengendah akan kata-kata perempuan-perempuam itu.
Si isteri sedar bahawa suaminya berasa kurang senang dengan kata-kata orang ramai. Dia sedar bahawa cerita orang ramai itu ada kebenarannya. Namun, dia amat mengasihi suaminya dan akan menyimpan rahsianya dan berharap pada suatu hari sikap suaminya akan berubah menjadi insan yang salih.

Tiada ulasan: