Sabtu, Disember 03, 2011

Cerita Ubat Guna-guna

Pada suatu masa, seorang anak muda yang mengamalkan ilmu hitam, dengan menggunakan kepandaiannya meramu minyak guna-guna untuk memikat hati kaum perempuan. Dengan mencampurkan sari bunga-bungaan dengan minyak kelapa, dia aakan bertapa selama 100 hari sebelum memuja semangat nenek moyang untuk menjadikan minyak guna-gunanya itu mujarab. Oleh sebab amalannya itu, pemuda itu hidup bersendirian dan tinggal di sebuah rumah yang dibinanya di atas puncak sebuah bukit yang tinggi.
Pada suatu hari, sewaktu pemuda itu tiada di rumahnya, datang sekawan kera ke rumahnya. Seekor kera betina telah membalik-balik bekas guna-guna yang baru pemuda itu sediakan. Apabila bekas guna-guna itu tumpling, minyak itu tumpah dan sedikit daripadanya termercik ke muka kera betina itu.
Tidak lama kemudian, kera betina itu menjadi lemah lalu pengsan dan rebah ke lantai. Sebaik-baik sahaja kera itu terjaga, pemuda itu sudah pulang ke rumah. Demi terpandang akan wajah pemuda itu, kera itu sekan-akan terpikat kepadanya. Kera itu segera dihalaunya. Larilah kera betina itu dengan segera lalu memanjat sebatang pokok yang berdekatan. Kera itu asyik memandang –mandang ke arah pemuda itu. Jika pemuda itu leka, kera itu akan turun lalu mendekati pemuda itu. Pemuda itu akan menghalaunya sekali lagi. Walaupun dihalau berkali-kali, kera betina itu akan datang semula mendekatinya lagi.
Pemuda itu musykil di hati melihat akan gelagat kera itu. Dengan tidak semena-mena, pemuda itu terpandang akan bekas minyak guna-gunanya yang tumpah di lantai rumahnya. Dengan memerhatikan keadaan kera betina itu, tahulah pemuda itu bahawa kera itu sudah jatuh hati kepadanya.
“Sayang, engkau hanya seekor kera, kalaulah engkau seorang gadis yang rupawan sudah tentu aku akan nikahimu,” pemuda itu berkata dalam hatinya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Sejak hari itu, kera betina itu akan selalu datang membawakan pemuda itu makanan seperti buah-buahan hutan. Memandangkan betapa baik layanan kera betina itu, maka pemuda itu tidak menghalaunya lagi. Dari semasa ke semasa, pemuda itu tidak menghiraukan kera betina itu keluar masuk di rumahnya itu.
Namun, pemuda itu masih tidak berputus asa untuk mendapatkan seorang gadis untuk dia jadikan isterinya. Maka pemuda itu duduk memikirkan cara-cara dia boleh mendekati orang-orang kampung yang tinggal di kaki bukit tinggi tempat tinggalnya.
Buah-buah yang dia dapat hasil pemberian kera betina itu tidak semuanya dia makan. Pemuda itu lalu memanggil kera betina itu untuk mendapatkan bantuan bagi melaksanakan hajatnya.
Pada suatu hari, sewaktu kera betina itu tiba, pemuda itu memangku kera itu lalu berkata-kata kepadanya. Pemuda itu mendapati bahawa kera betina itu mengangguk-anggukkan kepalanya setiap kali dia menyatakan sesuatu dan ada kalanya berbunyi seakan-akan memahami apa-apa yang dikatakan pemuda itu. “Kamu bawalah buah-buahan hutan yang baik-baik supaya aku dapat menukarkannya dengan barang-barang lain dari kampung di kaki bukit ini,” kata pemuda itu. Keesokan harinya, siang-siang hari sudah tersedia banyak buah-buahan hutan tersusun di anjung rumah pemuda itu. Pemuda itu lalu membawa buah-buahan itu ke pasar di kaki bukit tinggi itu. Buah-buahan yang dijualnya laris dibeli orang. Kerja sedemikian itu dilakukannya berhari-hari lamanya, dan dia dikenali sebagai penjual buah-buahan hutan. Akan tetapi, pemuda itu selalu mengelakkan dirinya dikenal rapat dengan orang ramai di pasar itu.
Pada suatu hari, pemuda itu pulang ke rumah dan mendapati rumahnya sudah bersih dikemas dan tersedia hidangan makan malam untuknya. Pemuda itu akhirnya mendapat tahu bahawa kera hutan itulah yang memasak semua hidangan makanannya dan mengemas bersih rumahnya. Pemuda itu tidak sedikit pun menaruh belas kepada kera betina yang banyak berjasa kepadanya itu.
Tidak lama kemudian, ada seorang gadis cantik telah datang ke rumah pemuda itu. Menyedari akan kejayaannya memikat hati seorang gadis, pemuda itu mula tidak menghiraukan kera betina itu lagi. Akibat merajuk hati, kera itu pergilah masuk semula ke dalam hutan. Kera hutan itu berasa sedih apabila menyaksikan betapa pemuda itu amat mengasihi gadis yang datang ke rumah pemuda itu. Sewaktu bergayut-gayut di dahan-dahan pokok, tanpa dia sedari, tangannya tidak memegang dahn pokok dengan erat. Kera hutan itu jatuh ke bawah dan masuk ke dalam sebuah kolam yang airnya jernih. Kera betina itu cuba berenang. Akhirnya dia berjaya mencapai dahan pokok yang rendang dan dekat dengan permukaan air tempat dia berenang. Setelah itu, kera itu duduk berfikir sejenak akan nasibnya yang telah banyak berbuat baik kepada pemuda itu. Kera betina itu sedar betapa pemuda itu tidak mengasihinya. Dengan itu, kera bentina pun pergi meninggalkan rumah dan kawasan tempat tinggal pemuda di atas puncak bukit itu.
Kera betina telah membuat keputusan untuk melupakan pemuda itu buat selama-lamanya.

Tiada ulasan: