Jumaat, Disember 02, 2011

Cerita Ikan Lumba-lumba

Tersebut kisah seorang nelayan miskin tetapi baik hatinya duduk termenung di atas perahunya kerana dia tidak mendapat apa-apa tangkapan pada hari itu. Dia terkenang akan nasib keluarganya yang hidup susah.
Dia lalu naik ke pantai setelah menambatkan perahunya di tempat yang biasa. Dengan tidak semena-mena, datang seorang lelaki tua yang berpakaian serba putih menyapanya yang sedang mengelamun sewaktu berehat melepaskan kepenatannya itu. Lelaki itu mengatakan bahawa dia orang asing dan sedang menuju ke rumah saudaranya yang agak jauh dari situ. Lelaki berasa lapar dan haus dan meminta sedikit makanan dan minuman daripada nelayan itu.
Dengan berbesar hati, nelayan itu mengeluarkan bekalannya lalu mengajak lelaki itu makan bersama-samanya.
Setelah selesai makan, mereka berbual-bual sebentar. Daripada perbualan itulah, nelayan itu menceritakan nasib yang menimpanya pada hari itu. Lelaki itu hanya menasihatinya supaya banyak bersabar dan terus berdoa sambil meneruskan usahanya seperti biasa.
Apabila tiba waktu salat, lelaki itu mengajak nelayan tersebut bersalat bersama-sama. Setelah selesai bersalat dan berdoa, lelaki itu diajaknya pulang dan bermalam di rumah. Lelaki itu menolaknya dengan baik. Sebelum berpisah, lelaki itu menganjurkan agar nelayan itu memasang rawai di pantai berdekatan dengan tempat perahunya ditambat. Semasa nelayan itu memasang rawainya, lelaki itu menaburkan banyak daun-daun kering di atas permukaan air. Daun-daun kering itu dipungutnya di tepi pantai tadi. Perbuatan lelaki itu disaksikan nelayan miskin itu tanpa berkata apa-apa.
Setelah selesai memasang rawai itu, mereka berpisah. Tidak jauh selepas berpisah, nelayan itu mendapati lelaki yang berjalan bersama-samanya tadi telah ghaib.
Sesampainya di rumah, nelayan itu disambut anak-anak dan isterinya. Mereka bersyukur nelayan itu telah selamat pulang.
Pada keesokan harinya, nelayan itu menunaikan salat subuh dahulu sebelum dia turun ke laut. Setelah hari terang baru dia mendayung perahunya ke tengah lautan. Nelayan itu kembali ke tempat dia dan lelaki yang dia jumpai semalam memasang rawainya. Alangkah gembiranya nelayan itu apabila dia mendapati banyak ikan yang tersangkut di rawainya.
Setelah ditarik rawainya ke dalam perahu, dia langsung naik ke pantai. Dia tidak berhenti-henti mengucapkan syukur ke hadirat Illahi atas semua hasil tangkapan yang diperolehinya dengan rawainya itu pada pagi itu. Dia seakan-akan terpandang kelibat lelaki yang dia temui semalam.
Dengan tangkapannya hari itu, dia dapat menjamu keluarganya dengan beberapa ekor ikan segar yang dibawa pulang setelah dia selesai menjual tangkapannya yang banyak di tepi pantai kepada para peraih.
Pada malam itu, dia bermimpi bertemu semula dengan lelaki itu hari sebelumnya. Lelaki itu menceritakan bahawa dia telah pulang ke laut semula sebagai ikan lumba-lumba dan menghambat ikan-ikan yang nelayan itu dapati tersangkut pada rawai yang dipasangnya.
Nelayan itu terjaga daripada tidur lalu mengambil wudhu lantas mendirikan salat sunat sebagai mengucapkan kesyukurannya atas pertolongan Allah itu.

Tiada ulasan: