Selasa, Disember 06, 2011

Cerita Tebu Sebatang

Disebutkan yang empunya cerita, di Kampung Batu Lumut, Mak Misah, seorang janda, tinggal bersama-sama Melur, anak sulungnya dan Jali, anak bongsunya. Mereka hidup miskin. Setelah kematian suaminya, Mak Misah mengambil alih tugas arwah suaminya mengerjakan kebun mereka yang tidak seberapa luas.
Selain berkebun, Mak Misah juga memungut kayu di hutan yang berdekatan rumahnya untuk dia jual bersama-sama hasil kebunnya di pekan. Dengan wang yang diperolehinya daripada berjualan itu, Mak Misah menyara kehidupan keluarganya.
Melor dan Jali gemar makan tebu yang ditanam Mak Misah. Melor selalu membuangkan kulit tebu itu untuk dimakan Jali, adiknya. Namun, ada sebatang tebu yang tumbuh dekat belakang dapur rumah dan jauh daripada pokok-pokok tebu yang lainnya. Mak Misah berasa tentu air batang tebu itu manis sekali. Dia memberi tebu itu lebih perhatian daripada tebu-tebu yang lainnya.
Pada suatu pagi, Mak Misah telah berpesan kepada Melur, “Melur, tebu sebatang yang subur di belakang dapur jangan kautebang. Tebu itu untuk mak. Jangan lupa pesanan Emak, ya!”
“Tebu yang mana, Emak?” Tukas Melur.
“Yang tinggi dan besar ruasnya,” jawab Mak Misah sambil menuding jarinya ke arah pokok tebu yang dia maksudkan.
“Ya, Emak,” jawab Melur.
Sebelum dia meninggalkan rumah, Mak Misah berpesan lagi seperti biasanya, “Jaga adikkau baik-baik. Nanti petang, Mak balik cepat,” kata mak Misah sambil membimbit keranjang dan menjunjung raga yang berisi hasil kebun yang dia usahakan itu. Mak misah segera turun dari rumah setelah bersalaman tangan dan mencium pipi anak-anaknya.
“Hati-hati di jalan, emak,” kata Melur kepada ibunya.
Mak Misah segera berjalan menuju ke pasar tempat dia menjual hasil kebunnya itu. Jali yang baru sahaja selesai mandi dan bersarapan itu turun ke tahan untuk pergi beramin-main.
“Jangan main jauh-jauh, Adik! Kakak hendak mengemas rumah. Nanti boleh Adik teman kakak pergi membasuh di sungai,” kata Melur kepada Jali. Jali hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
Setelah selesai mengemas rumah, Melur mengangkat raga yang berisi kain yang hendak dia basuh. Apabila sampai di pintu rumah, dia berteriak, “Jali! Jali! Mari ikut Kakak pergi ke sungai!”
Jali muncul di sisi kakaknya tidak lama sesudah itu.
“Kakak, Jali hendak tebu.”
“Baik, nanti kakak tebang,” jawab Melur sambil berjalan ke dapur untuk mengambil sebilah pisau.
“Mari, nanti kakak tebang,” jawab Melur. Jali menuruti kakaknya yang berjalan menuju ke pokok-pokok tebu yang tumbuh di hadapan rumah mereka. Sewaktu Melur hendak menebang salah satu pokok tebu itu, Jali bersuara.
“Jangan tebu inilah, jali hendak tebu yang lain!”
Melur menyaksikan adiknya dengan penuh pertanyaan di dalam fikirannya.
“Habis, tebu yang mana?” kata Melur.
Jali segera menghela tangan kakaknya menuju ke belakang dapur rumahnya. Dia menunjukkan pokok tebu yang tinggi dan besar batangnya.
“Oh, yang itu! Yang itu tak boleh, Dik. Itu tebu emak. Emak pesan jangan menebangnya."
“Tak mahu, Jali hendak tebu itu juga,” Jali muka menarik muka.
Puas sudah dipujuk adiknya agar ditebang pokok tebu yang lain, namun adiknya berdegil.
Tanpa menghiraukan adiknya, Melur pergi menebang sebatang pokok tebu yang lain. Setelah dibuang daun-daunnya dan dikerat-kerat batangnya, Melur memberi adiknya sepotong. Jali tidak mahu mengambilnya tetapi dibuangnya sambil meraung dengan kuatnya. Jali segera menarik-narik tangan kakaknya seraya menjerit-jerit, “ Nak tebu besar! Nak tebu besar! Nak tebu besar!"
“Pukul dengan batang tebu ini baru kautau, kakak cakap kau tak mau dengar! Emak tak beri kita tebang pokok tebu itu, tau tak?” pekik Melur.
Nak tebu besar! Nak tebu besar! Hendak juga!” raung Jali dengan bersungguh-sungguh tanpa berhenti daripada raungannya. Kemduian, dia berguling-guling di atas tanah, dan tangisannya terus menjadi-jadi.
Melihatkan adiknya begitu, Melur menjadi terharu dan belas akan adiknya.
“Bangun Jali, jangan berguling-guling begini, habis kotor baju dan seluar nanti,” kata Melur cuba menarik adiknya supaya bangun berdiri.
“Baiklah, mari kita tebang tebu besar itu. Balik emak nanti, kalau dia pukul Adik, Kakak tak mahu tolong Adik!” katanya, mengalah.
Melur menarik tangan adiknya ke pokok tebu di belakang dapur rumah mereka lalu ditebangnya tebu yang sebatang itu. Sesuda itu, dibuang daun-daunnya, dipotong-potong lalu diberikan kepada Jali.
Mereka berdua pergi ke sungai dan Melur memulakan kerjanya membasuh kain-kain kotor. Jali yang duduk di atas sebongkah batu yang berdekatan makan tebu itu hingga habis. Setelah selesai membasuh, Melur dan Jali pulang ke rumah. Melur menjemur kain-kain itu di ampain di halaman rumah. Sesudah itu, dia mengajak adiknya masuk ke dapur. Jali mengambil mainannya dan bermain di sebuah sudut dengan senyapnya. Melur menanak nasi dan memasak lauk untuk hidangan makan mereka pada hari itu.
Selepas tengah hari, Mak Misah tiba di rumah. Sewaktu melewati pintu dapur di belakang rumahnya,dia mendapati pokok tebu itu sudah tiada lagi. Dia begitu marah apabila melihat batang tebu yang sudah dipangkas orang.
Sebaik-baik sahaja dia duduk di atas amben di ruang dapur rumahnya itu, dia meletakkan raga dan bakul di atas lantai. Dipandangnya kanan dan kiri, mencari-cari Melur dan Jali.
“Melur! Melur!” teriak Mak Misah. Dari dalam rumah, dia mendengar tapak kaki berlari-lari menuju ke dapur. Melur menjengukkan kepalanya di pintu dapur itu.
“Mak dah balik?” katanya.
“Siapa yang tebang tebu besar emak itu?” katanya, marah.
“Me-melur, Mak! Adik menangis samabil berguling-guling di atas tanah hendakkan tebu itu juga!” jawab Melur terketar-ketar.
“Tak boleh harap punya budak! Kau tidak ingat apa-apa pesanan aku, ya?” katanya lalu mencapai sepotong puntung kayu api di bawah dapur lalu segera menghayunnya ke belakang badan Melur.
Melur mengaduh sakit dan merayu-rayu emaknya agar dia tidak terus memukulnya lagi. Pada masa itu, Mak Misah sudah gelap mata lalu terus memukul Melur bertubi-tubi. Oleh sebab tidak tertahan sakit, Melur lalu meluru turun ke tanah. Ma Misah mengejarnya sambil mulutnya kecoh menyumpah dan menyeranah anak gadisnya itu.
“Tebu itu untuk aku, yang kauberdua makan sampai habis, kenapa?” ungkitnya berulang-ulang kali sambil terus memukul-mukul Melur. Jali yang sedang tidur lalu terjaga lalu menangis melihatkan ibunya memukul kakaknya dengan teruk itu. Setelah berasa letih, Mak Misah kembali duduk di atas amben di dapur rumahnya. Tiba-tiba Mak Misah berasa pitam lalu jatuh pengsan kerana dia keletihan.
Melur menangis teresak-esak di bawah tangga anjung rumah. Dia meraba-raba seluruh tubuhnya yang bengkak-bengkil. Dia berasa hiba dengan perbuatan ibunya lalu dia duduk berdoa bersungguh-sungguh hati.
“Oh Tuhanku, tergamak emak memukulku seperti ini. Nampaknya, emak tak sayang aku lagi. Kalaulah aku seekor burung, boleh aku terbang jauh dari sini!”
Dengan takdir Allah yang Maha Berkuasa, pada ketika itu juga Melur bertukar menjadi seekor burung merpati. Burung merpati itu terbang ke atas bumbung rumah. Di atas bumbung rumah itu, burung merpati itu.
“Emak sayang tebu sebatang, Emak tak sayang anak mak seorang!”
Diulang-ulangnya kata-kata itu dengan suara yang sayu dan pilu. Sewaktu Mak Misah terjaga, dia mencari-cari arah datangnya suara itu. Dia memanggil-manggil nama Melur. Mak Misah segera turun ke tanah lalu mendongak untuk melihat bumbung rumahnya. Dia mendapati ada seekor burung merpati putih yang sedang berlagu-lagu dengan suara sayu dan pilu.
“Emak sayang tebu sebatang, Emak tak sayang anak mak seorang!”
“Melur, baliklah ke rumah, usahlah berlagu-lagu lagi!” pujuk Mak Misah tetapi burung merpati itu segera tebang lalu pergi. Mak Misah tidak dapat melakukan apa-apa sesduah itu. Dia hanya memandang burung merpati itu terbang ke arah timur hingga hilang daripada pandangan matanya.
Mak Misah duduk meratapi nasib malang yang menimpa anak gadisnya akibat perbuatannya memukul Melur tadi. Dengan Melur tiada di rumah, Mak Misah tidak dapat keluar berjualan di pekan. Dia hanya bekerja di kebunnya sambil memerhatikan Jali yang masih belum tahu melakukan kerja rumah atau di membantunya di kebun.
Beberapa hari sesudah itu, rumah Mak Misah didatangi seorang pemuda yang bertanyakan tentang Melur yang telah berubah menjadi seekor burung merpati. Daripada perbualan mereka itu, Mak Misah telah menyatakan kekesalannya memarahi serta menghukum Melur tanpa berfikir panjang. Tiba-tiba Melur menjelma di hadapan mata ibunya, adiknya dan lelaki muda itu. Mak Misah segera memeluk anaknya itu. Kedua-dua orang anak dan ibu itu saling tangis-menangisi kerana menyesali peristiwa yang telah berlaku.
Lelaki muda yang bertamu di rumah Mak Misah itu sudah tertarik hati dengan Melur lalu meminangnya. Mak Misah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju sambil tersenyum lalu segera menyeka air matanya yang masih berlinangan itu.

Tiada ulasan: