Selasa, Disember 06, 2011

Cerita Gadis Patung Cendana

Seorang janda tinggal bersama-sama anak gadisnya. Janda itu mengerjakan sawah sementara anak gadisnya menjaga rumah. Mereka hidup serba sederhana.
Pada suatu hari, seorang lelaki yang sudah agak berumur datang meminang anak gadis janda itu. Janda itu meminta tangguh.
Apabila genap masanya, lelaki tua itu datang semula menagih janji janda itu. Kali kedua ini, janda itu meminta lelaki tua tangguh selama setahun lagi.
Pada kali ketiga lelaki itu menagih janji janda itu, janda itu memberi helah, “Anak saya masih budak lagi. Dia belum tahu mengurus rumah tangga.”
Lelaki itu pulang ke rumah setelah diminta tangguh setahun lagi.
Pada kali keempat, lelaki tua itu datang ke rumahnya, janda itu menjadi serba salah. Sebenarnya, dia tidak mahu berpisah dengan anak tunggalnya itu, selain dia tidak suka bermenantukan lelaki tua itu yang hampir sebaya dengannya.
“Tunggulah enam bulan lagi. Pada waktu itu, saya tentu akan memberi jawapannya,” janji janda itu buat kesekian kalinya.
Setelah lelaki tua itu pergi, janda itu mencari helah untuk mengelakkan anak gadis tunggalnya berkahwin dengan lelaki tua itu. Pada masa dia memerah otaknya itu, dia teringat akan seorang tukang ukir yang masyhur. Tukang ukir itu pandai mengukir kayu yang dapat menyerupai manusia.
Pada keesokan harinya, pergilah janda itu ke rumah tukang ukir yang mahir lagi masyhur itu. Tukang ukir itu sanggup mengukir patung yang akan menyerupai anak gadis tunggal janda itu jika dia dapat kayu cendana sebagai bahan ukirannya itu. Dengan segera janda itu mencari kayu cendana seperti yang dikehendaki tukang ukir itu lalu menyerahkannya dengan kepada tukang ukir itu.
“Berilah saya tempoh selama enam bulan,” ujar tukang ukir itu. Janda itu pulang ke rumah dengan perasaan gembira. Dia yakin bahawa dia dapat menjayakan rancangannya dan menghindarkan dirinya daripada berpisah dengan anak gadis tunggalnya itu.
Setelah enam bulan berlalu, lelaki tua itu datang semula menagih janjinya. Lelaki tua itu telah berpegang pada janji janda itu.
“Seperti yang kita janji dulu, enam bulan sudah berlalu. Saya datang hendak menuntut janji,” kata lelaki itu.
Janda itu tidak dapat berdalih-dalih lagi. Dia percaya patung kayu cendana yang ditempahnya itu sudah siap disediakan oleh tukang ukir itu.
“Kalau sungguh juga encik hendak meminang anak saya itu, saya terima,” jawab janda itu sambil tersenyum.
“Bilakah dapat ditetapkan hari persandingan itu?” tukas lelaki itu.
“Hari persandingan itu saya harap dapat dilangsungkan dua bulan dari sekarang,” jawab janda itu.
Setelah lelaki tua itu berpuas hati dan menyerahkan sumbangan mas kahwin, duit belanja untuk majlis persandingan serta keperluan-keperluan yang lain yang ditetapkan janda itu, dia pun berangkat pulang.
Janda itu pergilah ke rumah tukang ukir itu. Dia berasa amat gembira kerana patung yang sudah dia tempah itu sudah disiapkan tukang ukir dengan baiknya. Janda itu mendapati patung ukiran itu benar-benar menyerupai anak gadis tunggalnya. Kalau dikenakan pakaian yang lengkap, tiada sesiapa yang akan menyangka bahawa itu adalah anak patung yang diperbuat daripada kayu cendana.
Setelah menjelaskan upah tukang ukir itu, janda itu mengupah beberapa orang muda yang dipercayainya untuk membawa patung kayu itu pulang ke rumahnya pada waktu malam. Patung itu disimpan di dalam sebuah almari khas berkunci di dalam biliknya.
“Jangan beritahu sesiapa tentang patung kayu ini,” pesan janda itu kepada anak gadisnya. “Patung yang menyerupai kamu ini akan emak sandingkan pada hari pernikahan kamu dengan lelaki tua itu nanti,” sambung janda itu lagi.
Menjelang hari persandingan yang dirancangkan, semua persiapan telah siap dibuat. Pada hari persandingan itu, semua jemputan hadir dengan gembiranya.
Pelamin indah sudah didirikan di ruang tengah rumah janda itu. Pengantin perempuan, patung yang menyerupai anak gadis tunggal janda itu telah didudukkan lengkap berpakaian pengantin yang serba indah. Anak gadis tunggal janda itu yang sebenarnya telah dia sembunyikan di dalam almari khas yang terletak di dalam bilik. Oleh sebab patung itu serupa dengan anak janda itu, tiada sesiapa yang menyangka bahawa pengantin perempuan yang duduk itu sebenarnya sebuah patung kayu cendana.
Akhirnya, rombongan pengantin lelaki yang separuh umur itu tiiba. Hajat lelaki tua itu hendak berkahwin dengan gadis cantik anak tunggal janda itu berjaya akhirnya.
Setelah agak lama duduk bersanding di atas pelamin, pengantin lelaki itu mula berasa syak. Pengantin perempuan di sisinya itu tidak bergerak-gerak atau bersuara sekali pun. Dia sedar bahawa pasangan pengantin di sisinya tidak juga bernafas seperti orang biasa.
Tanpa disangka-sangka oleh sesiapa pun, pengantin lelaki itu lalu bangun dari tempat duduknya dan turun dari atas pelamin. Dengan langkah yang cepat, dia turun dari rumah janda itu lalu berjalan pintu pagar rumah itu. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berasa hairan.
Sesampai di pintu pagar, pengantin lelaki itu lalu berpaling seraya berseru, “Hai patung cendana, bangkitlah engkau dan ikutlah ke mana-mana sahaja aku pergi!”
Sesudah dia berseru-seru buat beberapa kali, pengantin lelaki itu pun berjalan terus meninggalkan rumah janda yang masih riuh dengan para jemputan itu.
Di atas pelamin, pengantin perempuan yang diam membatu itu tiba-tiba bergerak-gerak. Pengantin perempuan itu bangkit lalu berjalan turun ke tanah dan mengikuti pengantin lelaki itu.
Janda itu berlari masuk ke dalam biliknya. Dibuka almari yang dikuncinya itu. Dia mendapati anaknya telah bertukar menjadi patung cendana. Janda itu lalu meraung sekuat-kuatnya.
Para jemputan gempar apabila mendapat tahu bahawa pengantin perempuan yang duduk di atas pelamin itu tadi adalah patung cendana sebenarnya. Anak gadis tunggal janda itu yang disembunyikan dalam almari itu telah bertukar menjadi patung cendana.
Patung cendana itu sudah bertukar ganti tempat dengan anak gadis tunggal janda itu.

Tiada ulasan: