Pada suatu masa dahulu, seorang nakhoda kapal terdampar di sebuah pantai setelah kapal yang dia miliki tenggelam dihempas ribut. Setelah dia sedar daripada pengsannya, dia berjalan ke pedalaman pulau dan bertemu dengan seorang nenek kebayan. Nenek kebayan yang baik hati itu mempelawa nakhoda kapal itu tinggal di rumahnya sehingga dia kembali sihat. Setelah dia pulih, nakhoda itu membantu perempuan tua itu mencari kayu dan menangkap ikan di laut sewaktu dia tinggal di nenek kebayan tua itu. Apabila dia mendapat jenis pokok yang sesuai, dia membuat sebuah sampan untuk dia gunakan pergi menjala dan menangkap ikan di tengah laut.
Pada suatu hari, sewaktu nakhoda itu duduk di tepi pantai, dia terpandang kelibat sekawan burung terbang di angkasa. Semakin burung-burung itu terbang dekat, nakhoda itu mendapati bahawa yang terbang itu bukanlah burung tetapi sekawan bidadari jelita yang bersayap. Mereka mendarat di tepi sebuah kolam dekat dengan air terjun yang terletak tidak jauh dari tempat nakhoda itu berada. Setelah menanggalkan sayap-sayap mereka, bidadari itu lalu bermandi-manda serta bersuka ria sesama sendiri di kolam itu.
Nakhoda itu telah jatuh hati kepada salah seorang bidadari itu dan dengan senyap-senyap, dia mendekati tempat bidadari itu menanggalkan sayap-sayap mereka. Dia mengambil salah satu pasang sayap lalu menyembunyikannya dengan menanamnya di dalam sebuah lubang yang dia korek tidak jauh dari kolam itu. Setelah puas mandi, bidadari itu kembali mendapatkan sayap-sayap mereka lalu memasangnya di badan mereka semula. Puteri bongsu mendapati sayapnya sudah hilang lalu mengadukan hal itu kepada bidadari-bidadari yang lain. Mereka cuba mencari sayap puteri bongsu tetapi tidak berjumpa. Mereka lalu menasihati puteri bongsu agar tinggal di bumi buat sementara sedang mereka pulang ke kayangan dan berjanji akan pulang untuk membawa puteri bongsu pulang. Lalu bidadari-bidadari yang lain terbang kembali ke kayangan dan tinggallah puteri bongsu seorang diri duduk menangisi nasibnya yang malang.
Setelah bidadari-bidadari yang lain itu lenyap di udara, nakhoda itu timbul lalu memujuk puteri bongsu. Dia berjaya memujuk puteri bongsu supaya mengikutnya pulang bersama-sama dan akhirnya mereka berdua berkahwin. Nakhoda membina sebuah rumah yang lebih besar untuk dia dan isterinya. Nakhoda itu juga menjemput nenek kebayan tinggal bersama-sama mereka. Tidak lama kemudian, puteri bongsu melahirkan seorang anak lelaki. Setahun kemudiannya, dia melahirkan seorang putera lagi.
Pada suatu hari, nakhoda itu mendayung sampannya ke tengah laut untuk menjala ikan. Setelah memberitahu nenek kebayan, puteri bongsu membawa anak-anaknya bersiar-siar di tepi pantai. Semasa bersiar-siar itu, puteri bongsu dan anak-anaknya sampai di tempat suminya menyembunyikan sayap puteri bongsu. Oleh kerana hujan turun lebat pada malam sebelumnya, maka lubang itu terkambus dan puteri bongsu terpandang akan sayapnya. Puteri bongsu dengan segera memasang sayapnya di badan dan terbang pulang ke rumah. Puteri bongsu menyerahkan anak-anaknya kepada nenek kebayan lalu dia terbang pulang ke kayangan.
Nenek kebayan tidak dapat menahan puteri bongsu. Dia menjadi belas melihatkan kedua-dua orang anak kecil itu yang tidak berhenti-henti menangis hendakkan ibunya. Pada petang hari, nakhoda itu tersentak melihat anak-anaknya dijaga oleh nenek kebayan. Setelah mendapat tahu yang isterinya telah terbang pulang ke kayangan, nakhoda lalu keluar rumah untuk menjejaki isterinya. Setelah penant berjalan, dia duduk di atas sebongkah bantu besar di tepi pantai. Seekor burung gagak terbang lalu hinggap di sisinya.
“Apakah yang tuan hamba risaukan? Bolehkan hamba tolong?” tanya burung gagak yang pandai berkata-kata.
“Dapatkah tuan hamba menerbangkan hamba ke kayangan?” kata nakhoda itu. Burung gagak tiba-tiba mengibas-ngibaskan sayapnya. Tidak lama kemudian, badannya menjadi besar seperti seekor kuda.
“Naiklah di atas belakang hamba,” Pelawa burung gagak yang besar itu.
Burung gagak itu menyuruh nakhoda itu memaut pada tengkoknya sewaktu mereka berada di udara supaya nakhoda tidak terlepas dan jatuh ke bumi. Terbanglah burung gagak itu ke kayangan dengan nakhoda itu di atas belakangnya. Sampai di kayangan, burung gagak itu lalu mendarat. Dia berpesan kepada nakhoda itu agar berjalan hingga sampai di sebuah rumah yang didiami oleh seorang lelaki tua yang bernama Pak Sabar. Sebelum berangkat pergi, nakhoda itu mengucapkan terima kasih kepada burung gagak itu lalu terus berjalan. Nakhoda mendapati kawasan tempat dia lalui itu luas seperti sawah padi. Setibanya di hujung sawah padi itu, dia sampai di sebuah rumah lalu memberi salam. Salamnya disambut oleh seorang lelaki tua yang bertubuh tegap. Setelah berbual-bual beberapa ketika, nakhoda lalu bertanya sama ada lelaki tua itu ada melihat isterinya terbang lalu di situ.
“Ada, tuan hamba dapat berjumpa dengannya di dalam kota,” jawab Pak Sabar.
“Tetapi, tuan hamba hendaklah mendapat isteri tuan hamba yang sebenarnya. Hamba akan menghantar kelip-kelip ke sana sewaktu tuan hamba mencari isteri tuan hamba itu. Kelip-kelip itu akan hinggap di bahu kanan dan kiri isteri tuan hamba. Semua perempuan yang tuan hamba jumpa kelak kelihatan serupa. Ingatlah pesanan hamba. Usah bercakap-cakap dengan sesiapa pun hinggalah tuan hamba menghadap raja,” terang Pak Sabar. “Jika tuan hamba tersilap, raja itu akan menjatuhkan hukuman yang berat ke atas diri tuan hamba.”
Nakhoda lalu mengucapkan terima kasih kepada Pak Sabar lalu meneruskan perjalanannya menuju ke kota. Pada setiap selekoh jalan yang dia lalui, nakhoda disapa oleh ramai orang. Di sebuah selekoh, dia disapa oleh sebatang pokok yang bermata dan bermulut. Nakhoda itu tidak menghiraukan apa-apa yang dia saksikan.
Di sebuah selekoh jalan, dia disapa oleh batu yang bermulut. Nakhoda masih tetap tidak menjawab walaupun dia berasa takjub. Serumpun pokok buluh di tepi sebatang jalan menyapa-nyapa nakhoda. Nakhoda tidak menoleh ke kiri atau ke kanan dan dia terus berjalan hingga dia sampai di pintu kota. Dia masuk menghadap raja yang sedang bersemayam dan dihadap oleh para pembesarnya.
“Apakah gerangan hajat kamu datang menghadap beta, wahai manusia?” titah baginda.
Nakhoda lalu menjawab, “ Patik datang untuk membawa isteri patik pulang. Pasti percaya puteri bongsu berada di dalam istana ini.”
Raja lalu menitahkan semua orang perempuan berkumpul dan berbaris di hadapan balai rong. Semua orang perempuan itu menurut titah baginda itu. Nakhoda lalu berjalan memeriksa perempuan itu untuk menemukan isterinya. Tepat seperti kata-kata Pak Sabar, perempuan-perempuan itu serupa dengan wajah isterinya, Puteri Bongsu. Nakhoda masih tidak mendapati sebarang kelip-kelip pada semua perempuan itu hinggalah dia sampai kepada wanita yang berdiri di hujuung barisan perempuan itu. Pada perempuan itu ada kelip-kelip hingga di bahau puteri bongsu, isteri nakhoda itu.
“Ini dia isteri patik, tuanku!” teriak nakhoda sambil menudingkan jarinya ke arah Puteri Bongsu.
Raja itu bertitah, “Benar dan tepat sekali! Itulah isteri kamu, Puteri Bongsu anakanda beta. Kamu boleh membawanya pulang. Akan tetapi, beta ada satu lagi tugas untuk kamu laksanakan.”
“Dalam bakul itu ada padi yang sudah bercampur dengan pasir. Pisahkan padi itu daripada pasir dan isikan padi-padi itu ke dalam sebuah lesung yang ada di situ,” titah Raja lagi.
Lelaki itu memandang ke arah sekawan kelip-kelip yang berada di bahu siterinya. Dengan sekelip mata, kelip-kelip itu bertukar menjadi sekawan burung pipit. Burung-burung pipit itu mengutip butir-butir padi itu dan mengalihkannya ke dalam lesung yang ada di situ. Dalam masa yang singkat, tugas itu dapat diselesaikan.
Setelah menyaksikan itu, baginda lalu menitahkan agar nakhoda diberikan sebuah istana kecil untuk di tinggal bersama-sama Puteri Bongsu. Tidak lama kemudian, Puteri Bongsu melahirkan putera yang ketiga. Pada waktu itu, nakhoda berasa rindu akan anak-anaknya yang berada di dunia yang dia tinggalkan dalam jagaan nenek kebayan. Nakhoda lalu memohon izin Raja untuk turun ke dunia agar dia dapat berkumpul semula dengan anak-anaknya.
Baginda memperkenankan permintaan nakhoda. Baginda lalu menitahkan pesuruhnya mengiringi nakhoda dan Puteri Bongsu ke sebuah tempat yang dapat membawa nakhoda pulang ke bumi.
Pesuruh raja itu menunjukkan seutas tali perak yang terikat dan tergantung di sebatang pokok beringin yang besar. Setelah membendung bayinya, nakhoda itu menyuruh Puteri Bongsu mengikat bendungan yang mengandungi bayinya di badannya. Mereka dapat turun ke bumi dengan mudah; hanya dengan memegang pada tali perak itu. Setelah selamat sampai di halaman rumah mereka, nenek kebayan keluar menyambut kepulangan nakhoda dan Puteri Bongsu. Nenek Bongsu lalu memanggil kedua-dua anak nakhoda datang bersalam dengan ibu bapa mereka. Di bumi, Puteri Bongsu melahirkan anak yang keempat.
Keempat-empat orang anak nakhoda dan Puteri Bongsu membesar dan berjaya menjadi empat orang raja yang gagah dan memerintah kerajaan mereka dengan adil dan saksama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan