Saaran, lelaki bujang yang sudah pertengahan umur masih membujang. Dia memungut rotan di dalam hutan sebagai mata pencariannya.
Pada suatu hari, Saaran sudah masuk ke dalam hutan seperti selalunya. Hari mula hujan walaupun matahri sedang terik di langit. Saaran berasa tidak sedap hati pada waktu itu, namun dia buang ingatan buruk yang melintas dalam fikirannya. Dia meraba-raba tas yang berisi paku, tumbul payung dan buah keras yang selalu dia bawa di dalam tasnya. Hari masih terang-benderang sewaktu dia meneruskan langkahnya. Dalam pada itu, dia terdengar suara perempuan muda menghilai-hilai tidak jauh dari tempatnya berlalu itu. Dia terus melangkah hingga sampai di sebatang anak sungai yang dilingkungi semak samun dan pokok-pokok besar. Saran memandang di sekeliling kawasan sungai yang airnya mengalir deras yang masih kedengaran suara perempuan menghilai itu. Tidak jauh dari tempat dia berdiri, Saaran terpandang kelibat seorang perempuan muda yang sedang duduk di atas sebongkah batu besar di tepi sungai itu. Perempuan muda itu menghilai-hilai melihatkan Saaran yang terhendap-hendap di dalam semak. Saaran sedar bahawa yang dilihatnya itu bukan makhluk jenis manusia. Setelah dia bertenang sambil membaca doa di dalam hatinya, Saaran mendekati perempuan muda itu lalu disapanya.
“Kenapa adik duduk di sini? Hari sudah masuk senja, apakah adik tidak takut?”
“Apa yang hendak saya takutkan, bukankah abang ada di sini?” balas perempuan muda itu. “Sudah lama saya menunggu abang datang.”
Saaran hanya berdiam diri sahaja di samping menyambung pembacaan ayat-ayat suci di dalam hatinya. Dengan langkah yang berani, Saaran mendekati perempuan muda yang duduk di atas batu itu.
“Marilah duduk dekat saya,” ajak perempuan muda itu.
Saaran menurut ajakan perempuan muda itu tanpa berhenti daripada membaca ayat-ayat suci di dalam hatinya. Saaran duduk di kiri perempuan muda itu. Sewaktu duduk, dia terhidu haruman semerbak wangi itu berselang-selang bau pacai, taburan wangian sewaktu mengkafankan jenazah. Saaran kini yakin bahawa dia berada di tempat orang yang sudah mati namun dia teruskan pembacaac ayat-ayat suci hingga selesai. Hati Saaran kembali tenang.
“Siapa nama adik ini?” Saaran bertanya.
“Saya orang sini, bang …. hi …. hi!” perempuan itu menjawab dan menghilai panjang sesudah itu. Saaran masih sedar akan apa-apa yang dia saksikan walaupun begitu, dia berasa curiga akan berlaku sesuatu kelak. Dia sedar perempuan muda itu bukan manusia seperti dia. Perempuan muda itu puntianak.
Perempuan muda itu merenung tajam mata Saaran sambil mendekatinya. Saaran dapat melihat dengan jelas tengkuk perempuan itu berlubang. Saaran segera menyeluk tasnya dan menggenggam paku, tumbul payung dan buah keras dan merapat pada perempuan itu. Dengan nekat, Saaran menekan tengkuk perempuan itu dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya menyumbatkan barang-barang itu di tengkuk puntianak itu. Perempuan muda itu cuba menolak-nolak Saaran ke tepi tetapi Saaran melakukannya dengan segera. Setelah semuanya tertancap, maka puntianak itu menjadi kaku lalu rebah sebelum sempat Saaran diterkamnya.
Setelah perempuan muda itu pengsan, wajahnya menjadi jernih dan sifat syaitannya lenyap. Saaran segera turun ke gigi air dan mengambil air yang dia takung dalam takir yang dibuatnya daripada daun-daun pokok yang lebar. Air itu lalu disiramnya ke atas tubuh perempuan yang pengsan itu. Setelah berkali-kali dilkakukannya, perempuan muda itu pun sedar daripada pengsannya. Perempuan itu bingkas bangun lalu duduk tersipu-sipu dan bersikap sopan santun, seperti seorang manusia biasa. Sifat iblisnya sudah lenyap hilang.
Mulai saat itu, perempuan muda yang sebenarnya puntianak itu berubah menjadi seperti manusia biasa. Saaran membawa perempuan muda itu pulang ke rumahnya dengan segera. Di rumah, Saaran menyuruh perempuan itu mandi dan menukar pada pakaian yang lebih bersih. Setelah bersih dan berdandan dengan sederhana, wajah perempuan muda itu berubah dan berseri-seri. Perempuan itu kini menjadi seorang wanita yang cantik sekali di kampung tempat tinggal Saaran itu.
Saaran menamakan perempuan muda itu dengan nama Nilam. Saaran telah mengingatkan Nilam agar tidak mengganggu apa-apa yang ada di tengkuknya. Jika barang-barang di tengkuknya diganggu, Nilam akan kembali menjadi hantu semula. Nilam yang patuh akan suruhan Saaran itu dan dia berjanji akan menutup rahsianya daripada pengetahuan orang lain. Tidak lama kemudian, orang-orang kampung mengahwinkan Saaran dengan Nilam. Setahun kemudian, Nilam melahirkan seorang anak perempuan yang sangat comel dan cantik sepertinya. Anak itu dia namakan Saemah. Kehidupan kelaurga baru Saaran berubah menjadi senang. Saaran dapat mengumpulkan sedikit wang dan modal untuk dia mengusahakan sebuah peniagaan. Perniagaannya mendapat keuntungan yag besar. Saaran semakin menyayangi anak dan isterinya.
Saemah meningkat dewasa menjadi anak gadis yang cerdas. Pada waktu yang lain pula, Nilam melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dia namakan Samad. Tidak lama sesudah itu, Samad sudah pandai merangkak-rangkak dan Saemah dapat membantu Nilam melakukan kerja-kerja di rumah.
Pada suatu ketika, Saaran telah bertolak ke Singapura untuk membawa barang-barang perniagaannya ke sana. Saaran berada agak lama di sana. Tinggallah Nilam menjaga anak-anaknya di rumah.
Pada suatu petang, Nilam terlena sewaktu Saemah mencari-carikan kutu di kepalanya. Samad pula sudah tidur selepas Nilam menyusuinya. Saemah mendapati ada sesuatu di tengkuk emaknya sewaktu dia sedang asyik menyisir rambut ibunya yang panjang mengurai dengan sebatang serit rambut gading. Menyedari akan anaknya sedang memerhatikan sesuatu di tengkukuknya, Nilam terjaga lalu dia segera bangkit dan menguruskan rambutnya semula sambil diuraikan menutup tengkuknya.
“Emak,” kata Saemah, ”Kenapa di tengkuk emak seperti ada bekas luka dan ada kepala paku di situ?”
Nilam memandang anaknya dengan cemas. Setelah dia sedar bahawa dia tidak harus melakukan sesuatu yang akan membuat anaknya itu curiga, Nilam tersenyum sambil memengang kedua-dua belah tangan anaknya.
“Saemah, anak emak. Engkau tidak boleh tahu. Ini pantang orang-orang tua. Jangan tanya-tanya lagi,” Nilam memberi alasan.
Namun, perasaan ingin tahu Saemah tidak dapat disembunyi-sembunyikannya lagi. Dia mahu tahu benar sebab-musabab tengkuk ibunya begitu. Dia mendesak-desak ibunya supaya memberitahu sebab-musabab di tengkoknya ada tertusuk paku.
“Sudahlah Saemah, jangan tanya-tanya emak lagi!” bentak Nilam lalu bangkit membetulkan rambutnya dan bajunya. Sejak hari itu, Saemah mendesak-desak ibunya agar bercerita berkenaan tengkuknya yang ada paku itu. Akhirnya, Nilam mengalah. Pada suatu petang, Nilam membuka rahsianya. Tetapi, sebelum itu, Nilam mahu Saemah berjanji yang dia tidak akan berasa kesal atau berasa malu setelah mengetahui rahsia tentang emaknya itu. Saemah berjanji.
Nilam duduk berfikir panjang sebelum mula bercerita tentang kejadian yang berlaku sepuluh tahun yang lampau.
“Pada suatu hari, ketika emak sedang mandi di sungai, bapa engkau datang. Emak terhidu bau manusia. Manusia memang makanan emak yang sangat sedap pada waktu itu. Bapa engkau datang lalu menancapkan paku di tengkuk ibu. Akhirnya, emak dapat dia tawan.”
“Oh, rupa-rupanya emak makan manusia?” kata Saemah dengan perasaan gementar dan suaranya gugup.
“Apa, engkau takut? Baru emak mulakan cerita sedikit,” balas Nilam dengan kecewa.
“Tidak, emak! Tidak, ceritalah!” Saemah cuba berdalih. Setelah Nilam diam seketika, dia menyambungi ceritanya lagi.
“Bapa engkau lelaki yang berani. Dia mendekati emak lalu memasukkan tumbul payung, buah keras dan paku di tengkuk emak ini! Emak, bangsa puntianak apabila disumbat dengan barang-barang itu di tengkuk ini, berubah menjadi manusia biasa!” sambung Nilam.
Saemah memandang wajahnya ibunya tanpa bersuara. Wajah Saemah berubah mendengarkan sambungan cerita ibunya itu.
“Apakah engkau menyesal emak engkau ini puntianak?” tanya Nilam kepada Saemah.
Saemah lantas memeluk ibunya seraya berkata, “Tidak, emak …… maafkan Saemah, emak!”
“Mengapa emak tidak buangkan saja paku di tengkuk emak itu supaya orang lain tidak akan mengetahuinya?” kata Saemah memberi usul kepada emaknya. “Boleh saya cabutkan paku itu?” sambung Saemah apabila melihat ibunya berasa ragu-ragu.
“Tak usah, Saemah. Engkau tidak akan berbuat begitu kalau engkau masih sayangkan emak dan adik,” balas Nilam. Kata-katanya itu dapat menghentikan anaknya daripada berkata-kata lagi.
Namun, tidak lama kemudian, Saemah masih terbayang-bayang akan paku yang tertancap di tengkuk emaknya. Dia asyik memikirkan hal itu hinggakan akhirnya dia berasa malu kalau-kalau kawan-kawannya mengetahui akan rahsia ibunya itu. Berkali-kali dia merayu-rayu ibunya agar dicabut paku yang ada di tengkuk ibunya itu. Nilam menjadi serba salah dan terbit rasa menyesal di dalam hatinya kerana membuka rahsianya itu kepada anaknya sendiri, Saemah. Dia malah berasa bersalah mengenangkan dia sudah melanggar janji kepada suaminya yang dia akan menyimpan rahsia itu daripada pengetahuan sesiapa.
Pada suatu petang, sewaktu hujan gerimis, Nilam terlena sebaik-baik sahaja Samad tertidur setelah menyusu. Saemah memandang wajah emaknya yang keletihan memasak dan menjaga Samad itu. Dia lalu duduk di sisi emaknya yang sedang terlena itu sambil menyisir-nyisir rambutnya. Saemah teringat akan kata-kata emaknya tempoh hari. Hatinya telah bulat untuk membuang paku yang ada di tengkuk ibunya sekaligus menyembunyikan keaiban ibunya itu.
“Aku percaya, rahsia emak tidak akan orang lain tahu setelah aku cabut dan buang paku di tengkuk emak itu,” katanya dalam hati. Saemah lalu meraba-raba di bahagian tengkuk ibunya dan mendapati kepala batang paku ada di siti. Dengan sekali rentap, dia dapat mencabut paku yang tertancap itu. Nilam terjaga sambil mencelikkan kedua-dua biji matanya dengan tiba-tiba. Wajah Nilam berubah menjadi pucat dan dengan tiba-tiba dia bingkas lalu terjun ke luar tingkap. Saemah mendapatinya, ibunya menerawang di udara buat seketika sebelum di hinggap duduk di atas dahan pokok mangga yang rendang di halaman rumahnya. Nilam yang bertenggek di atas pokok itu lalu mengerbang-ngervangkan rambut panjangnya seraya mengilai-hilai dengan kuatnya. Saemah yang terpaku itu kembali sedar akan apa-apa yang berlaku di sekelilinga. Dia terdengar Samad terjaga dari tidur dan menangis mencari-cari ibunya. Saemah segera menggendung adiknya lalu keluar di anjung rumah.
“Emak …. Turunlah, emak! Samad mengangis. Dia hendak susu agaknya, emak!” teriak Saemah berkali-kali sambil dia cuba mententeramkan adiknya yang sedang merengek-rengek itu.
Nilam yang di atas pokok itu berhenti menghilai lalu berteriak, “Aku bukan emak engkau lagi! Aku sudah kembali pada asal kejadian aku!”
“Emak …. Turunlah, emak! Samad mengangis. Dia hendak menyusu agaknya, emak!” teriak Saemah, seakan-akan dia tidak mendengar kata-kata Nilam itu. Saemah masih terus berteriak memanggil ibunya walaupun dia sedar ibunya sudah bukan manusia lagi.
Tidak lama kemudian, Nilam melayang turun ke anjung rumah lalu duduk di tangga. Wajahnya kembali seperti Nilam.
“Biar emak susukan Samad kenyang-kenyang,” kata Nilam sambil menghulurkan tangannya untuk mendukung Samad. Saemah segera menyerahkan adiknya kepada Nilam. Samad begitu lahap menyusu dan Saemah mengusap-usap tangan ibunya. Tidak lama kemudian, Samad kembali terlena. Dalam pada itu, Saemah dan nnilam bertangis-tangisan.
“Nilam …. Nilam …. Abang dah balik!” kata Saaran yang baru sahaja pulang. Dia terpegun mendapati keluarganya di anjung rumah. “Mengapa kaususui anak kita di tangga rumah? Apa yang terjadi?”
Dengan segera, Samad dilepaskannya di lantai anjung lalu Nilam terbang ke pokok mangga yang berdekatan. Selepas itu, dia menghilai panjang.
Saemah segera mendukung adiknya lalu mendapatkan ayahnya. Mereka menyaksikan Nilam yang berubah wajah yang sungguh mengerikan hati.
“Nilam, macam mana boleh jadi begini. Aku balik bawa buah tangan untuk engkau dan anak-anak kita. Sekarang, engkau hendak pergi pula,” rayu Saaran.
“Saaran …. Segala-galanya berlaku cukup pantas. Cuma pesanku, peliharalah anak aku baik-baik…” kata Nilam seraya menghilai-hilai panjang. Tidak lama kemudian, dia terbang lalu menghilangkan dirinya.
Saaran mendukung Samad di tangan kanannya sambil memeluk Saemah yang sedang menangis itu di tangan kirinya.
“Bapa, emak dah jadi puntianak!” Saemah menangisi nasibnya. Dia lalu menceritakan kepada bapanya apa-apa yang telah terjadi sebelum itu. Saaran berasa terharu mendengarkan penerangan Saemah yang bercakap dengan suara yang tersekat-sekat akibat menahan sedih hatinya.
“Saemah, ingatlah pesanan ayah!” pujuk Saaran. “Besok-besok, janganlah ada anak-anak yang engkar dengan larangan ibunya. Inilah akibatnya!” kata Saaran sambil menangisi nasib mereka tiga beranak pada hari-hari mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan