Tersebutlah sebuah kerajaan di Tanah Jawa yang bernama Kediri. Kerajaan ini diperinrah oleh seorang permaisuri yang bergelar Ratu Kediri. Adinda baginda bernama Pengiran Agung.
Pengiran Agung telah menikahi seorang penari istana tanpa pengetahuan sesiapa. Penari istana yang jelita itu bernama Megawati dan setelah dia menjadi isteri Pengiran Agung, dia dikenali sebagai Ratu Ayu atau Mas Ayu. Pengiran Agung dan Mas Ayu mendapat seorang puteri yang diberi nama Raden Mas.
Sebaik-baik sahaja mendapat tahu, Ratu Kediri tidak berkenan dengan pernikahan wsecara rahsia adindanya itu. Baginda tidak mahu Raden Mas kelak akan menaiki takhta kerajaan dan menjadi Ratu Kediri, memandangkan baginda sendiri tiada mempunyai zuriat untuk mewarisi takhta kerajaannya kelak. Bagida lalu mencari muslihat untuk menghancurkan rumah tangga Pengiran Agung dan Mas Ayu itu. Salah seorang pembesar istana yang bergelar Patih Wonosogoro, telah bersetuju untuk membantu untuk hasrat baginda itu.
Pada suatu hari, sewaktu Pengiran Agung keluar berburu atas perintah Ratu Kediri, Patih Wonosogoro telah membunuh Mas Ayu.
Pengiran Agung yang tidak sedap hati sewaktu berburu itu lalu, membatalkan perburuan itu. Sekembalinya, baginda mendapati bahawa istananya telah terbakar dan isteri baginda, Mas Ayu, telah mati dibunuh orang. Dandiar, pesuruh Pengiran Agung yang setia telah berjaya menyelamatkan Raden Mas dan menghapuskan Patih Wonosogoro dan pengikut-pengikutnya. Pengiran Agung tidak dapat menahan hati lalu merajuk sewaktu mendapat tahu bahawa kematian isterinya adalah atas perintah rahsia kakandanya Pengiran Agung lalu meninggalkan Pulau Jawa dan pergi membawa diri ke Kerimun. Di sana, Pengiran Agung menyamar diri dan hidup sebagai seorang nelayan. Tinggallah baginda bersama-sama puterinya, Radin Mas di situ buat beberapa ketika. Ratu Kediri yang sedar akan pemergian adindanya memerintahkan Dandiar agar pergi memujuk dan membawa Pengiran Agung pulang semula ke Kediri.
Tersebutlah kisah Puteri Khalijah, anak sultan yang menetap di Karimun. Pada suatu hari, Tengku Khalijah dan dayang-dayangnya sedang bermain-main di dalam taman larangan, yang tidak jauh dari kampung nelayan tempat tinggal Pengiran Agung dan Raden Mas. Semasa bermain-main itu, Raden Mas telah menasihati Tengku Khalijah tentang buruknya sifat manusia yang sombong. Tengku Khalijah naik murka lalu memerintahkan para pengawalnya mengheret Raden Mas ke belukar untuk dipukul dengan kejamnya.
Pada masa kejadian Raden Mas hendak dipukul oleh pengawal-pengawal diraja, Dandiar yang sedang merantau untuk mencari Pengiran Agung mendarat di tepi pantai yang berdekatan. Sewaktu menemui para pengawal yang sedang menyiksa Raden Mas, Dandiar cuba memohon agar para pengawal itu menunjukkan belas kasihan kepada Raden Mas. Pada waktu sedang berbantah-bantah itu, pecahlah perkelahian antara pengawal-pengawal Karimun dan orang-orang Dandiar. Para pengawal Kerimun tewas lalu melarikan diri setelah dihambat orang-orang Jawa itu.
Orang-orang Jawa di bawah tangan Dandiar telah mengamuk di pekan dekat istana Raja Kerimun itu. Pada masa yang sama, Raja Karimun sedang dihadap para pembesarnya. Sultan lalu menitahkan Dandiar dan para panglima Jawa itu menghadapnya. Namun, Dandiar enggan berhenti daripada mengamuk di pekan hinggalah gadis yang diseksa pengawal diraja dan orang tuanya dititahkan menghadap sama.
Sewaktu Raden Mas dan Pengiran Agung masuk menghadap, Dandiar hilang kesabarannya apabila dia mengetahui bahawa gadis yang diseska itu ialah Puteri Raden Mas, anakanda Pengiran Agung, penghulu Dandiar sendiri. Pengiran Agung memerintahkan Dandiar agar bertenang sementara Pengiran Agung memohon ampun kepada Raja Karimun atas kesilapan yang dilakukan puterinya, Raden Mas.
Sebagai balasan atas keterlanjuran Tengku Khalijah memukul Raden Mas, Raja Karimun telah menjodohkan Tengku Khalijah dengan Pengiran Agung. Daripada peristiwa di taman larangan itu, Raja Karimun mengenali Pengiran Agung sebagai seorang anak raja dari Pulau Jawa.
Seusai pernikahan Pengiran Agung dan Tengku Khalijah, Dandiar memujuk Pengiran Agung agar pulang ke Pulau Jawa. Pengiran Agung tidak mahu kerana dia sudah bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya ke Pulau Jawa yang telah meragut nyawa isterinya, Mas Ayu. Dandair pulang ke Pulau Jawa dengan tangan kosong, tanpa Pengiran Agung dan Raden Mas.
Di Pulau Jawa, Dandiar mengkhabarkan tentang Pengiran Agung dan puterinya, Raden Mas. Ratu Kediri memerintahkan Dandiar berangkat semula bertemu dengan Pengiran Agung. Pengiran Agung diberi baginda kurnia harta yang dimuatkan pada empat buah pedati lembu. Dandiar diperintahkan untuk menyampaikan kurniannya itu dengan segera.
Di Kerimun, Pengiran Agung dan Tengku Khalijah dikurniai seorang putera yang dipanggil Tengku Cik. Pada masa yang sama, mereka telah mengambil seorang anak angkat yang bernama Cik Nong yang berumur lima tahun. Keluarga istana Kerimun telah berangkat ke Temasik kerana hendak diberikan pelajaran mengaji al-Quran di sana. Raden Mas juga dibawa bersama-sama.
Sewaktu di Temasek, Tengku Khalijah telah menyeksa anak tirinya, Raden Mas.
Pada suatu hari, Tengku Cik telah mengadu kepada Pengiran Agung bahawa Raden Mas telah dipukul Tengku Khalijah hingga pengsan. Oleh kerana tidak dapat menahan perasaan hiba akan nasib yang menimpa puterinya, Pengiran Agung yang gelap matanya lalu menghunus keris dan mengamcam nyawa Tengku Khalijah. Tengku Chik yang hendak membela ibunya dan menahan ayahnya daripada melukakan ibunya lalu menangkap mata keris Pengiran Agung dengan kedua-dua belah tapak tangannya. yhal itu berlaku dengan pantas, telapak tangan Tengku Chik luka ketika Pengiran Agung sedar akan akibat tindakannya itu kelak. Sewaktu Tengku Chik luka itu, Pengiran Agung berasa kesal. Atas hasutan Tengku Khalijah dan Datuk Temenggung, Pengiran Agung telah dikurung di dalam sebuah perigi buta dan tidak dibenarkan sesiapa pun pergi melawatnya.
Pada masa yang sama, Tengku Bagus, adinda Tengku Khalijah, telah jatuh hati kepada Raden Mas dan mahu menikahinya. Majlis persandingannya telah ditetapkan walaupun tanpa kehadiran Pengiran Agung.
Pada hari persandingan Raden Mas itu, Dandiar tiba dengan bingkisan titipan Ratu kediri itu. Sewaktu hadir dalam majlis persandingan di istana Raja, Dandiar dikhabarkan bahawa Pengiran Agung sedang berpergian.
Tetapi, sewaktu Tok Kadi hendak menjalakan ijab dan kabul, Tengku Cik memberitahu bahawa baginda ada berjumpa Pengiran Agung yang terkurung di dalam perigi buta yang terletak di belakang istana. Dandiar lalu meminta Tengku Chik menunjukkan tempat Pengiran Agung dikurung. Sementara itu, para panglima Jawa disuruh mengawal istana dan dia tidak membenarkan sesiapa pun keluar masuk tanpa izin daripadanya.
Pengiran Agung yang sudah lemah itu dikeluarkan dari perigi buta dan diusung masuk ke dalam istana. Raden Mas berlari turun dari pelamin lalu mendapatkan ayahandanya. Dia memohon ampun daripada Pengiran Agung. Sewaktu dia mendapati ayahnya sedang uzur dan nazak itu, Raden Mas menyambah Tengku Khalijah seraya memohohn agar ibu tirinya itu meminta ampun dan maaf daripada Pengiran Agung yang sedang tenat. Tengku Khalijah tidak mahu melakukannya. Raden Mas dia tolak.
Raden Mas lalu menadah tangannya seraya berdoa agar Tuhan mengasihi dirinya kerana ayanya sudah meninggal dunia. Sejurus kemudian, Raden Mas. Tengku Khalijah pula dipanah petir dan meninggal dunia.
Dandiar meminta Raja agar menabalkan Tengku Cik sebagai raja. Dia juga menuntut agar jenazah Raden Mas dan pengiran Agung dikebumikan dengan penuh adat istiadat diraja. Dandiar mengamcam akan menghancurkan kota dan negeri jika semua tuntutannya tidak dituruti. Raja bersetuju untuk mengelakkan pertumpahan darah terus berlaku.
______________________________________________________________
Kisah bermula di Tanah Jawa, di sebuah kerajaan bernama Kediri. Kediri sebuah empayar yang besar dan ketika cerita ini bermula, rakyat jelata Kerajaan Kediri sedang meraikan pertabalan Rajanya yang baru, Kanjeng Ratu Kediri serta permaisurinya, Kanjeng Radin Ratu. Keraiannya amatlah meriah dan besar-besaran dan segala macam perayaan dan acara berlangsung selama berpuluh-puluh hari lamanya. Dan sementara Kanjeng Ratu Kediri berdiri diatas takhta sebagai Raja Besar Kediri, adinda kandungnya Radin Kesumowijoyo dilantik sebagai Pangeran Agung, gelaran kedua terbesar di Keraton (istana) Kediri, dengan gelaran Kanjeng Pangeran Agung Radin Kesumowijoyo Diningrat. Pangeran Agung seorang putera kacak lagi tampan, pahlawan yang gagah perkasa yang mengetuai angkatan bala tentera Kediri yang cukup besar, dibantu panglimanya serta pengikut setia dan rakan akrabnya, yang bernama Dandiar. Pengiran Agung disanjung-sanjung rakyat jelata kerana sifat baginda yang selalu merendah diri dan budiman, selain ketampanan dan kegagahan yang baginda milikinya itu.
Namun begitu Pangeran Agung masih belum beristeri, masih membujang dan belum ada mana-mana puteri-puteri raja dapat menambat hati Pangeran Agung. Kanjeng Ratu Kediri amat gusar hati akan keadaan adindanya itu. Selain dari rasa gusar oleh kekandanya itu, seseorang yang lain juga sentiasa memikirkan Pangeran Agung tetapi bukanlah tentang perasaan yang sama seperti Kanjeng Ratu Kediri sebaliknya hasad dengki dan sakit hati. Perasaan cemburunya meluap-luap kerana keadaan dirinya yang tidak dipandang oleh Kanjeng Ratu Kediri untuk dilantik menjadi Pangeran Agung. Mungkin kerana keadaan dirinya yang hanya saudara tiri berlainan ibu maka, Kanjeng Ratu Kediri tidak langsung mempertimbangkan akan peluang bagi dirinya menjadi Pangeran Agung.
Suasana di balairong keraton sungguh meriah. Para pembesar memenuhi setiap ruang balairong dan di atas singgahsana Kanjeng Ratu Kediri bersemayam, di sampingnya Kanjeng Radin Ratu. Pangeran Agung yang berada di atas singgah sana itu sedang melayan hatinya sendiri, tidak sedikit pun memberi perhatian akan adat-istiadat yang sedang berlangsung untuk menghiburkan sekalian tetamu diraja dan pembesar-pembesar. Sewaktu sebuah tarian dipersembahkan, lenggang gemalai penari utama menarik perhatian baginda. Bunyi paluan kumpulan gamelan itu tidak didengarinya dengan jelas tetapi matanya terlalu tertarik kepada penari utama yang bergerak gemalai lagi mengasyikkan gambang dan gendang. Pengeran Agung terpikat hari akan kecantikan penari utama itu.
Dan setelah selesai acara keraian pada lewat malamnya, Pengiran Agung lalu mengutus seorang utusan mengundang penari utama itu, yang bernama Mas Ayu, bertemunya di taman larangan di keraton. Mas Ayu menurut perintah dan pergi bertemu dengan Pangeran Agung yang sedang tersenyum simpul sewaktu menanti kedatangannya. Mas Ayu yang mulanya terkejut tetapi menjadi tersipu-sipu malu sewaktu menghadap Pangeran Agung yang selama ini menjadi rebutan ramai perempuan gadis di seluruh Kediri. Pangeran Agung yang menjadi sebutan orang itu sedang berdiri di hadapannya, malah melafazkan kata-kata cinta dan memujui-mujinya. Pangeran Agung menyatakan bahawa baginda sudah jatuh cinta sejak terpandang akan kecantikan Mas Ayu.
Sejak itu, Pangeran Agung sentiasa mencari-cari kesempatan secara senyap-senyap untuk bertemu dan memadu kasih dengan kekasih hatinya, Mas Ayu. Ini kerana, dia tahu akan sifat kekanda kandungnya, Kanjeng Ratu Kediri dan Kanjeng Radin Ratu, meskipun kakandanya itu ialah seorang raja yang adil dan saksama tetapi baginda amat mementingkan darjat dan kedudukan keturunannya yang mereka tidak sekali-kali akan membenarkan mana-mana ahli keluarga mereka berkahwin dengan orang-orang daripada golongan rakyat biasa. Menyedari akan hakikat itulah, Pangeran Agung mengambil keputusan untuk memperisterikan Mas Ayu dengan secara senyap-senyap. Untuk berberapa ketika, mereka terpaksa berpura-pura terutamanya di hadapan Kanjeng Ratu Kediri dan Kanjeng Radin Ratu. Namun bukanlah sesuatu yang sukar untuk mengetahui rahsia itu tambahan pula bagi orang yang memusuhi Pangeran Agung, yang senantiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya.
Kanjeng Ratu Kediri amat murka dengan tindakan Pangeran Agung apabila Radin Manosekoro membawa berita akan perkahwinannya dengan Mas Ayu. Namun, walau macam mana marah sekali pun Kanjeng Ratu Kediri akan adindanya itu, sikap kakandanya itu takkan mengubah pendirian Pangeran Agung. Kasih sayangnya kepada Mas Ayu melebihi segala-galanya dan nampaknya Kanjeng Ratu Kediri terpaksa belajar untuk menerima hakikat itu. Namun tidak bagi permaisuri, Kanjeng Radin Ratu. Tambahan pula Radin Ratu mempunyai hubungan yang rapat dengan Radin Manosekoro, yang sentiasa mempunyai peluang untuk terus-terusan meracuni fikiran Radin Ratu.
Keadaan yang memalukan ini tidak patut dibiarkan dan perlu diambil tindakan dengan segera. Maka, Kanjeng Radin Ratu dan Radin Menosekoro merancang sesuatu. Sesuatu yang dapat menjarakkan perhubungan Pangeran Agung dan Mas Ayu, agar sesuatu dapat dilakukan untuk memisahkan mereka.
Sekali lagi keraian berlangsung di Keraton Kediri, menyambut akan kelahiran tanda cahaya mata Pangeran Agung dan Mas Ayu. Kelahiran Radin Seri Diningrat atau singkatannya Radin Mas membawa seribu sinar kepada kedua-dua Pengiran Agung dan Mas Ayu. Dengan kelahiran puteri yang comel ini barulah dirasakan cukup lengkap akan ikatan cinta antara Pangeran Agung dan Mas Ayu. Malah kehadirannya disambut dengan gembira oleh sekalian hamba rakyat.
Pada suatu hari, Pangeran Agung mendapat titah akan Kanjeng Radin Ratu amat berkehendakkan daging kijang dan memintanya untuk mendapatkannya. Maka diiringi oleh berberapa pengikutnya yang setia dan tentunya Dandiar. Pangeran Agung bertolak menuju ke hutan belantara dengan membawa titah Kanjeng Radin Ratu. Namun dihati Mas Ayu berasa amat bimbang untuk melepaskan suaminya itu pergi, tidak seperti sebagaimana dia melepaskan suaminya untuk titah-titah yang lain sebelum itu. Tapi apa yang mampu dilakukannya, hanyalah dipendam di dalam hati dan tidak dia luahkan kepada Pangeran Agung, supaya suaminya tidak gusar.
Apa yang ditakutkan nampaknya bukanlah semata-mata mimpi buruk sebaliknya titah yang dikeluarkan oleh Kanjeng Radin Ratu adalah satu helah untuk membawa Pangeran Agung meninggalkan istana untuk Radin Manosekoro menjalankan rancangan jahat mereka! Radin Menosekoro mengambil peluang untuk memperkosa Mas Ayu tetapi Mas Ayu berjaya menentangnya. Namun malang baginya, dalam pergelutan demi memelihara kesuciannya itu, Mas Ayu terkorban apabila Radin Manosekoro menikam akan Mas Ayu. Lantas demi menghilangkan bukti angkaranya itu, Radin Manosekoro bertindak membakar istana Pangeran Agung, dalam keadaan Mas Ayu masih bernyawa demi melindungi puterinya, Radin Mas.
Dalam keadaan yang amat tegang itu, Pangeran Agung pulang dari perburuannya dan baginda amatlah terperanjat melihat akan istananya yang sedang menanti saat untuk terus rebah ke bumi. Namun Pangeran Agung sempat untuk membawa Mas Ayu yang sudah terlalu lemah akan keadaannya, yang sambil memeluk akan Radin Mas. Dalam nafasnya yang terakhir, Mas Ayu berpesan agar Pangeran Agung menjaga Radin Mas sepenuh hati selagi Pangeran Agung masih hidup. Setelah Mas Ayu meninggal dunia, Pangeran Agung mengarahkan agar orang-orangnya mencari Radin Manosekoro dan memerintahkan agar dia dibunuh demi membela akan kematian Mas Ayu.
Pangeran Agung terlalu kecewa dengan apa yang terjadi terhadap keluarganya kerana padanya, Pangeran Agung menganggap yang dia telah dikhianati oleh keluarga sendiri. Apa yang berlaku atas dirinya membuatkan Pangeran Agung mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan sekelian kaum kerabat diraja Kediri malah Pangeran Agung bersumpah
Kediri ditinggalkan jauh, jauh dari diri Pangeran Agung serta juga jauh dari hatinya. Apa-apa yang berlaku atas dirinya serta apa-apa yang menimpa keluarganya, adalah sesuatu bala yang amat berat dan peritnya tidak tertanggung. Jadi, pada fikiran Pangeran Agung, jalan terbaik untuk menghilangkan rasa kecewa dan lara hatinya adalah dengan meninggalkan Kediri, tempat yang padanya tidak adalah neraka. Walau bagaimana sekali pun Dandiar, sahabat baiknya cuba memohon Pangeran Agung agar mengurungkan niatnya, namun Pangeran Agung tetap berkeras hati untuk meninggalkan Kediri. Baginda masih belum tahu dan dapat menentukan hala tujunya selepas itu.
Bersama-sama Radin Mas yang masih kecil, Pangeran Agung menumpang sebuah kapal pedagang cina yang mana membawanya terus hingga ke Karimun, sebuah pulau yang berada dalam gugusan Kepulauan Riau, yang pada ketika itu berada dalam pemerintahan Empayar Johor Riau Lingga. Dan pada fikiran Pangeran Agung adalah baiknya jika kelak apabila Radin Mas besar nanti, dia tidak mengetahui akan asal usulnya, siapakah dia dan dari manakah asalnya. Elok lagi kalau Radin Mas tidak mengetahui yang dirinya berasal dari keturunan raja berdaulat kerana pada Pangeran Agung, kerana darah keturunan itulah, keluarganya hancur dan binasa. Biarlah mereka dua beranak mengasingkan diri di sini dan untuk berapa lama mereka akan berada di Karimun? Tuhan saja yang Maha Mengetahui, dan biarlah Dia sahaja yang menentukan.
Hari berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Hiduplah Pangeran Agung sebagai seorang nelayan biasa, kais pagi makan pagi, dan kais petang makannya petang. Bersama-sama anaknya yang dikasihi Radin Mas yang kini sudah berusia 15 tahun. Dia menjadi seorang gadis sunti yang cantik jelita, seakan-akan ibunya Mas Ayu. Radin Mas cukup manja dengan ayahnya sementelah, Radin Mas tidak pernah merasai kasih sayangnya seorang ibu. Namun keadaan hidup mereka yang sederhana, pada tanggapan Pangeran Agung amatlah tenang dan tenteram, jauh daripada segala hasad dengki dan penganiayaan sebagaimana yang berlaku atas mereka 15 tahun yang lalu.
Namun takdir mempunyai rancangan lain bagi Pangeran Agung dan Radin Mas yang bakal membawa mereka kembali kepada kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Dan juga bakal menguji akan nilai kasih sayang antara ayah dan anak ini. Pada suatu hari, ketika Pangeran Agung telah pun pun ke laut untuk menangkap ikan, sementara Radin Mas megambil keputusan untuk memetik sedikit buah-buahan, boleh juga dibuat makanan tambahan bagi mereka berdua. Dan tanpa disedarinya, kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan yang sepatutnya tidak dia jejaki. Kawasan itu adalah taman larangan istana Sultan Karimun di mana tidak jauh dari tempat Radin Mas berada, puteri kepada Sultan Karimun, Tengku Khalijah sedang bermain-main dengan dayang-dayang pengiringnya. Melihatkan seorang gadis yang berpakaian lusuh sedang seorang diri memetik buah-buahan di taman itu, Tengku Khalijah naik berang. Tercemar sudah akan keadaan taman tersebut dengan kehadiran gadis itu, pada fikirannya. Tanpa berfikir panjang, Tengku Khalijah memanggil adinda lelakinya, Tengku Bagus serta berberapa orang pengawal menangkap Radin Mas! Radin Mas yang terpinga-pinga hanya dapat membatukan diri amat ketakutan dan terpaksa membiarkan lelaki-lelaki itu mengheret dirinya ke arah Tengku Khalijah. Dan tanpa memberi peluang untuk Radin Mas membela diri atas kesalahan yang tidak disedarinya itu, Radin Mas dipukul oleh dayang-dayang Tengku Khalijah bertalu-talu. Yanya yang mampu dilakukan oleh Radin Mas, menangis dan merayu agar mereka berhenti daripada memukulnya.
Namun kejadian yang kejam itu disaksikan oleh seseorang dari arah pantai. Seorang lelaki berpakaian seorang pahlawan serta pengiringnya yang baru mendaratkan perahunya di pantai. Lantas setelah mengamati akan seorang gadis lemah sedang diseksa, lelaki itu - Dandiar menghampiri mereka lantas dengan lantang memohon agar diberhentikan akan kekejaman itu. Dandiar amat berang dengan apa-apa yang berlaku dihadapan matanya, tambahan pula yang melakukannya adalah orang-orang dari kerabat diraja, Dandiar mengambil keputusan untuk membawa perkara itu kepada Sultan Karimun.
Suasana di balai penghadapan istana Karimun menjadi tegang apabila Dandiar menuntut agar keadilan dapat ditegakkan terhadap apa-apa yang berlaku atas gadis lemah itu. Namun, Dandiar terdiam sebaik muncul seorang lelaki di istana dan dia mengaku dirinya ayah gadis yang dianiaya itu. Seorang lelaki yang amat dikenalinya, yang dicari-carinya sejak 15 tahun yang lalu namun sebaik-baik sahaja pandangan mata mereka bertaut lelaki itu memalingkan wajahnya. Lantas Dandiar meluru ke kaki lelaki itu - Pangeran Agung dan menyembahnya penuh takzim, sambil mencucurkan air mata. Sultan Karimun yang menyaksikan kejadian itu di depan mata baginda, terpegun. Baginda yang tahu tentang kisah seorang putera Kediri yang menghilangkan diri dan kini putera yang diceritakan orang itu berada dihadapannya dengan keadaan yang lusuh dan tidak terurus. Diburu rasa bersalah dan malu dengan tindakan anakandanya, Tengku Khalijah terhadap Radin Mas, lantas baginda mengambil keputusan untuk menebus akan kesalahan yang telah dilakukan puterinyaitu. Tengku Khalijah sebagai gantinya, ditawarkan menjadi isteri Pangeran Agung!
Pangeran Agung mendiamkan diri. Nampaknya kehidupan sebagai kerabat diraja, yang telah ditinggalkan 15 tahun masih lagi memburunya dan menuntutnya kembali. Tapi apa-apa yang terbayang di depan matanya hanyalah anaknya yang amat dikasihi, Radin Mas. Sebaliknya Radin Mas meminta agar ayahnya menerima Tengku Khalijah, mengenangkan Pangeran Agung telah lama hidup tanpa isteri dan dirinya sendiri yang melihat peluang itu baginya untuk merasai kasihnya seorang ibu. Mendengarkan akan permintaan anaknya itu, namun dengan berat hati, Pangeran Agung menerima pelawaan Sultan Karimun. Dandiar berpuas hati dengan pelawaan Sultan Karimun dan meminta baginda berjanji untuk menjaga akan Pangeran Agung dan Radin Mas yang amat disanjunginya itu, tambahan pula Dandiar bakal meninggalkan Pulau Karimun.
Janji hanya tinggal janji. Setelah berberapa lama selepas perkahwinan antara Pangeran Agung dan Tengku Khalijah, lahirlah seorang bayi lelaki menjadi tanda penyatuan antara mereka berdua dan bayi itu dipanggil Tengku Chik. Tapi, bagi Pangeran Agung, Radin Mas lebih disayangi kerana mengenangkan apa yang terjadi keatas mereka berdua dulu dan Radi Maslah yang satu-satunya tanda cintanya yang masih ada, antara dirinya dan Mas Ayu. Malah, mengatasi akan isterinya sendiri Tengku Khalijah. Dan ini, membuahkan cemburu yang membara dihati Tengku Khalijah, sebagai seorang isteri yang sepatutnya mendapat perhatian yang sepatutnya dari suami, tapi tidak bagi Pangeran Agung. Dan cemburu ini berubah menjadi racun yang berbisa!
Setelah berberapa lama, pusat pemerintahan Kesultanan Kerimun berpindah ke Singapura dan istana diraja terletak di Teluk Belangah. Sekelian kerabat diraja berangkat ke Singapura dan menetap disana. Keadaan yang diharapkan untuk bertambah elok antara ahli keluarga diraja Kerimun sebenarnya tinggal harapan sementelah rasa cemburu yang semakin membara di hati Tengku Khalijah, melihatkan keakraban antara Pangeran Agung dan Radin Mas. Tengku Khalijah jauh sekali melihatkan Radin Mas sebagai anak yang berhak menerima kasih sayangnya sebaliknya tidak lebih dari seorang musuh yang perlu dimusnahkan segera! Ketiadaan Pangeran Agung yang sentiasa menerima titah Baginda Sultan menjadi peluang untuk Tengku Khalijah menyeksa Radin Mas, melakukan kerja-kerja berat di istana, sama seperti hamba abdi. Sedarlah bagi Radin Mas, apa yang diharapkan olehnya untuk mendapat kasih sayang seorang ibu, tidak akan berlaku dan impian cuma akan tinggal impian. Namun bagi Radin Mas, kasih sayangnya pada Pangeran Agung itu lebih utama, dan sebarang apa yang dilakukan oleh Tengku Khalijah padanya dipendamkan jauh disudut hati, kerana dia sedar, jika dikhabarkan pada Pangeran Agung akan melukakan hati ayahandanya yang telah terlalu lama hidup menderita sebelum ini. Seksaan demi seksaan bertambah apabila Tengku Bagus, adinda lelaki Tengku Khalijah mengambil kesempatan mengganggunya.
Keadaan di dalam keluarga diraja ini bertambah tegang apabila suatu hari Pangeran Agung pulang secara mengejut dari perantauan dan terkejut melihat keadaan yang sebenarnya. Dengan itu, Pangeran Agung naik berang dan marah apabila menyedari yang selama ini Tengku Khalijah tidak lain hanyalah menyeksa Radin Mas. Pangeran Agung seperti orang yang hilang akal lantas mencabut keris yang tersisip dipinggang dengan niat hendak menikam Tengku Khalijah. Dalam keadaan yang gawat itu, Tengku Chik yang masih kecil menerpa ke depan untuk menghalang Pengeran Agung lantas terluka tangannya akibat terkena keris Pangeran Agung. Tengku Khalijah yang melihatkan akan tangan Tengku Chik yang terluka, lantas mengadu kepada Baginda Sultan mengatakan yang Pangeran Agung sudah hilang akalnya kerana sanggup melukakan anaknya sendiri. Baginda Sultan Kerimun terpaksa mengambil keputusan yang amat berat, menangkap Pangeran Agung dan atas alasan demi keselamatan kaum kerabat diraja yang lain, Sultan Kerimun mengurung Pangeran Agung di dalam sebuah perigi buta yang tersembunyi di belakang istana. Dan baginda juga menitahkan tindakannya itu dirahsiakan daripada pengetahuan Radin Mas. Keadaan ini menjadikan Radin Mas berasa amat tertekan akibat dari seksaan ibu tirinya selain kehilangan ayahnya yang tidak diketahui di mana dia berada.
Tengku Khalijah pula berpendapat bagi mengelakkan rahsia hitam itu terbongkar dikalangan rakyat jelata, ada eloknya Radin Mas dikahwinkan dengan Tengku Bagus, dengan ini segala tindakan dan peri laku Radin Mas akan mudah dikawal. Dan saranannya itu mendapat restu dari Baginda Sultan Kerimun. Betapa gundah dan sedih bagi Radin Mas. Dia hanya mampu untuk menerima keputusan itu memandangkan dirinya yang yatim piatu, tidak berhak untuk membela dirinya sendiri, sementelah kehilangan Pangeran Agung, satu-satunya tempat dirinya mengadu untung nasib dirinya.
Segala persiapan perkahwinan Radin Mas dan Tengku Bagus dilangsungkan. Keadaan di istana Teluk Belanga meriah tapi bagi Radin Mas, ini semua membuatkan lara hatinya bertambah-tambah. Sudah banyak kali dia cuba merayu Tengku Khalijah dan Baginda Sultan agar diberitahu ke mana hilangnya Pangeran Agung, ayahnya yang sangat dikasihi tetapi tidak diendahkan oleh Tengku Khalijah dan Baginda Sultan. Namun, ke mana hilangnya Pangeran Agung, dalam diam diketahui oleh Tengku Chik yang pada suatu hari bermain gasing di halaman istana dan gasing tersebut memasuki pagar perigi buta tempat kurungan Pangeran Agung.
Maka, tibalah hari perkahwinan Radin Mas dengan Tengku Bagus. Orang ramai memenuhi ruang istana dan ianya sungguh meriah dengan segala acara dan persembahan. Tatkala orang ramai sedang bersuka-sukaan dengan temasya yang berlangsung, Radin Mas hanya mampu menangisi nasib dirinya. Sedang dirinya didandan selaku pengantin diraja, air matanya mengalir terus mengenangkan kehilangan Pangeran Agung entah ke mana.
Dan suasana ini bakal menjadi bertambah gawat apabila Dandiar dan para pengikutnya tiba di istana Teluk Belanga apabila mendengarkan akan berita tentang pernikahan Radin Mas dan Tengku Bagus. Sangkaannya, ini tentulah hari yang bahagia bagi Pangeran Agung dan Radin Mas tetapi sebaik langkahnya menjejaki ke balai penghadapan istana, Dandiar menjadi berang apabila mengetahui Pangeran Agung tidak ada di situ. Masakan, pada hari perkahwinan Radin Mas, Pangeran Agung tidak menghadirkan diri dan ini pada sangkaan Dandiar ada sesuatu yang tidak kena. Ini terbukti apabila khadi yang bakal menikahkan Radin Mas bertanyakan akan wali bagi Radin Mas. Dandiar mula mengamuk dan mengugut untuk menghuruharakan istana teluk Belanga.
Tengku Chik yang melihat keadaan yang amat genting itu terus tampil ke depan dan memberitahu Dandiar akan di manakah Pangeran Agung disembunyikan. Lantas Dandiar menitahkan pahlawan-pahlawan pengikutnya membawa keluar Pangeran Agung dari kurungan dan terperanjat melihatkan keadaan Pangeran Agung yang amat lemah seakan seperti tidak langsung diberi makan. Radin Mas menerpa Pangeran Agung yang dipapah masuk ke balai penghadapan lantas memeluk dan mencium ayahnya yang sangat dirinduinya itu. Terlalu sedih akan dirinya melihat keadaan Pangeran Agung yang sudah amat lemah dan tidak bermaya itu.
Tengku Khalijah yang melihat keadaan itu lantas bertindak hendak meninggalkan balai penghadapan namun Radin Mas menerpa Tengku Khalijah yang pada ketika itu sudah sampai ke muka tangga istana, menyembah dan merayu agar Tengku Khalijah memohon ampun dari Pangeran Agung, memandangkan keadaan Pangeran Agung sudah amat tenat. Tetapi, Tengku Khalijah menolak Radin Mas lantas menyebabkan Radin Mas rebah di kaki tangga menyebabkan tertikam pacak sanggul yang terdapat di kepalanya! Namun itu tidak menghalang Tengku Khalijah dari meneruskan niatnya tetapi dengan kuasa Allah Yang Maha Besar, sebaik-baik kakinya mencecah tanah di halaman istana, petir yang muncul tiba-tiba lalu memanah Tengku Khalijah dan Tengku Khalijah mangkat serta-merta. Sebaik sahaja berlaku kejadian itu, Pangeran Agung juga menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan Dandiar. Dandiar mula mengamuk, mengarahkan agar pengikutnya menyerang istana namun Tengku Bagus tampil ke depan untuk menentang akan tindakan Dandiar.
Tapi ternyata kudrat Tengku Bagus tidak setanding Dandiar seorang pahlawan terbilang dan gagah perkasa. Setelah berjaya membunuh Tengku Bagus, Dandiar mengambil keputusan untuk membunuh Baginda Sultan pula tetapi Tengku Chik terus menghalang Dandiar dan berkata, jika nendanya, Baginda Sultan dibunuh, kepada siapakah harus dia mengikut sementelah ayahandanya, Pangeran Agung dan bondanya Tengku Khalijah telah pun mangkat, begitu juga kakandanya, Radin Mas. Dandiar lantas di buru rasa simpati yang teramat sangat dan bersalah, dan juga mengenangkan Tengku Chik juga adalah zuriat keturunan Pangeran Agung, maka Dandiar menuntu dengan keras agar Baginda Sultan untuk berjanji akan menjaga Tengku Chik sebaik-baik, serta juga berjanji untuk menjadikan Tengku Chik sebagai pewaris takhta. Dan Dandiar juga menuntut Baginda Sultan mengkebumikan Pangeran Agung serta Radin Mas, menurut adat istiadat diraja. Maka dengan itu, Radin Mas dimakamkan secara besar-besaran di sebuah tempat tidak jauh dari istana Teluk Belanga. Makamnya terus kekal hingga ke hari ini.
Demikianlah kisah sebuah pengorbanan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya dan juga sebaliknya. Kasih ikhlas yang diuji pelbagai musibah dan petaka tapi terus kekal utuh hingga ke hari-hari terakhir mereka berdua, Pangeran Agung dan Radin Mas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan