Jumaat, Disember 02, 2011

Cerita Hantu Puntianak

Malam itu, Siti telah pergi ke perigi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya. Suaminya belum pulang-pulang lagi dan dia terpaksa mengambil air untuk digunakan bagi menyediakan hidangan makan malam suaminya. Sewaktu berjalan pulang dengan menjinjit baldi berisi air, dia ditegur oleh seorang wanita tua yang dia tidak kenal.
“Mengapa jalan malam-malam ini seorang diri. Awak ‘tu mengandung. Pulanglah lekas!” sapa perempuan tua itu.
Siti hanya tersenyum lalu berkata, “ Tidak, makcik. Suami saya belum pulang,”
“Pulanglah lekas, awak ‘tu mengandung,” gesa wanita tua yang berkaki tiga itu.
“Baiklah, makcik!’ jawab Siti lalu berjalan semula ke rumahnya dengan segera. Hatinya kian berdebar-debar.
Sebaik-baik sampai di rumahnya, Siti segera mengunci pintu rumah dan tingkapnya. Cerek buruknya diisi dengan air yang diambilnya tadi. Dia lalu menjerang cerek itu di atas dapur. Pada waktu itu, guruh berdentum-dentam di langit dan disertai tiupan angin yang kencang.
Siti dapat mendengarnya dari dalam rumah buruknya itu.
Tiba-tiba, Siti terdengar pintu rumahnya diketuk kuat. Dia menarik nafas panjang sambil mendengar untuk memastikan sama ada dia mendengar ketukan di pintu rumahnya. Setelah dia pasti ada ketukan di pintu, dia segera mendekati pintu sambil bersuara, “ Siapa ‘tu?”.
“Saya, Mak Bidan. Suami engkau pesan suruh aku datang!”
Siti segera membuka pintu itu dan tersenyum melihat kelibat wanita yang telah banyak kali menolongnya sewaktu dia berasa sakit semasa mengandung sulung itu. Dia mengajak mak Bidan itu masuk ke dalam rumahnya.
“Nampaknya engkau sakit kuat. Mari aku periksa!”
Lalu Siti berbaring di atas katil dan mak Bidan itu segera menyapukan minyak urut di perut Siti sambil mengurut-urut perlahan perut Siti yang sudah 7 bulan itu.
“Merengkan badan ke kiri,” arah Mak Bidan sambil terus mengurut-urut perut Siti. Siti terlena kerana berasa lega dengan urutan yang diberikan.
Siti tidak sedar bahawa Mak Bidan itu bukan orang yang sebenarnya tetapi jelmaan puntianak yang sudah memerhatikannya sejak di perigi tadi. Tiba-tiba Siti tersentak apabila mendapati wajah Mak Bidannya itu berubah menjadi puntianak.
Tiba-tiba wanita tua yang menegur Siti tiba lalu menghalau hantu puntianak yang belum sempat mencederakan Siti. Wanita tua itu lalu menggerbangkan rambut dan membaca ayat-ayat suci daripada al-Quran. Siti yang sedar akan hal itu lalu turut membaca ayat-ayat suci daripada al-Quran yang diingat pada waktu itu. Hantu betina itu menghilai-hilai sekuat-kuatnya. Dengan tongkat di tangannya, wanita tua itu lalu menghayunkanya ke arah hantu itu yang terus terbang keluar melalui tingkap rumah yang terbuka luas. Siti menjadi pucat tetapi bersyukur nenek itu segera mendapatkannya dan terus-terus mengucapkan syukur ibu yang sarat mengandung itu tidak sempat diapa-apakan oleh puntianak yang datang menggangu itu. Setelah keadaan kembali tenang, Siti meminta jasa baik wanita itu tinggal bersama-samanya sehinggalah suaminya pulang. Wanita tua itu bersetuju untuk membantunya. Dia bersyukur dapat terhindar daripada menjadi korban makhluk buas itu.

Tiada ulasan: