Selasa, Disember 06, 2011

Cerita Awang Lotong

Tersebutlah kisah seorang janda tinggal seorang diri yang bernama Mak Miskin. Kerjanya sehari-hari mencari kayu api untuk dia jual di pekan. Wang yang didapatinya daripada penjualan kayu yang dipungutnya itu dia gunakan untuk membeli makanan dan jika berbaki, dia simpan.
Pada suatu hari, cuaca amat terik. Akibat berasa terlalu haus dan tiada juga punca air yang ditemuinya, Mak Miskin minum air yang dijumpainya terdapat dalam bekas tapak kaki gajah. Sejurus selpas kejadian itu, perut Mak Miskin membesar kerana dia mengandung. Sembilan bulan kemudiannya, Mak Miskin bersalin. Anak yang dilahirkannya sendiri tanpa berbidan berupa seekor lotong. Akan tetapi, Mak Miskin amat menyayanginya walaupun dia kesal rupa anaknya itu pada mulanya. Anaknya itu dinamai anaknya Awang Lotong.
Kehadiran Awang Lotong dalam hidup membahagiakan Mak Miskin yang tinggal bersendirian itu. Dia telah mendidk anaknya itu dengan semua kepandaian yang dia miliki.
Berapa lama kemudian, Awang Lotong menjadi seorang pemuda dewasa walaupun rupanya tidak berubah. Awang mendapatkan ibunya pada suatu hari.
“Mak, Awang hendak emak pinang seorang puteri raja,” katanya.
“Awang, tidak ada orang lainkah yang engkau hendak? Puteri raja itu, tidak setaraf dengan kita, nak!” balas ibunya.
“Mak, Awang berkenan juga. Tolonglah pinangkan Puteri Sulung,” desak Awang kepada ibunya berkali-kali.
Oleh kerana dia amat menyayangi anaknya itu, Mak Miskin menurut juga kemahuan anaknya itu.
Pinangannya itu ditolak oleh Puteri Sulung. Dengan perasaan marah, Puteri Sulung telah menghina-hina mak Miskin dan anaknya itu. Mak miskin terpinga-pinga dengan keletah buruk Puteri Sulung. Mak Miskin menangis lalu pulang ke rumahnya setelah dihina-hina begitu.
Mak Miskin mengadu kepada Awang apa-apa yang telah dikatakan oleh Puteri Sulung. Awang Lotong hanya berdiam diri mendengarkan apa-apa yang Mak Miskin sampaikan.
Selang beberapa hari kemudian, Awang Lotong mendapatkan ibunya sekali lagi.
“Mak, pergilah emak pinangkan Puteri Tengah untuk Awang. Awang sudah berkenan,” katanya.
Mak Miskin membantah permintaan Awang itu pada mulanya. Namun Awang tetap mendesak ibunya berkali-kali. Oleh kerana amat menyayangi anaknya itu, Mak Miskin menurut juga kemahuan anak tunggalnya itu buat kali kedua.
Mak Miskin menghadap raja pada hari eskonya dan menyampaikan hajat Awang Lotong itu. Puteri Tengah amat marah apabila mendengar hajat Awang daripada Mak Miskin itu. Seperti kakandanya juga, Puteri Tengah telah menghina-hina Awang Lotong. Mak miskin memendam rasa dengan keletah buruk Puteri Tengah itu. Dia menangis lalu segera pulang ke rumahnya. Mak Miskin benar-benar kesal dengan penghinaan Puteri Tengah terhadap anak kesayangannya itu.
Awang Lotong yang mendengar suara ibunya dari jauh telah turun ke tanah hendak menyambut kepulangan ibu yang dia nanti-nantikan. Dia hanya berdiam diri sahaja sewaktu dia medengarkan apa-apa yang dikatakan ibunya itu. Terbit perasaan kesal melihat ibunya menderita kerana menurutkan kemahuannya itu.
Selang beberapa hari kemudian, Awang Lotong mendapatkan ibunya sekali lagi.
“Mak, pergilah emak pinangkan Bongsu untuk Awang. Awang sudah berkenan,” katanya.
Mak Miskin membantah permintaan Awang sekali lagi. Tetapi Awang tetap mendesak ibunya berkali-kali. Oleh kerana dia amat menyayangi anaknya itu, Mak Miskin menurut juga kemahuan anak tunggalnya itu buat kali ketiga.
Kedatangan Mak Miskin diambut baik Puteri Bongsu.
“Apa hajat Mak Miskin datang ke mari?” tanya Tuan Puteri.
“Tengku Puteri, anakanda patik yang bernama Awang Lotong menyuruh patik datang meminang Tuan Puteri untuk dijadikan isterinya kalau Tuan Puteri setuju,” jelas Mak Miskin.
“Oh, begitu! Kalau anak emak sudah berkenan akan beta, tak 'kanlah dapat beta menolak hajatnya itu,” jawab Puteri Bongsu sambil tersenyum.
Mak Miskin berasa sungguh gembira mendengar ucapan Puteri Bongsu itu. Mak Miskin lalu meminta diri untuk menghadap Raja dan Permaisuri.
“Ampun tuanku, patik membawa khabar gembira. Pinangan Awang Lotong telah diterima Puteri Bongsu,” sembahnya.
“Moleklah kalau begitu,” ujar Raja.
“Ampun tuanku, bolehkah patik mendapat tahu akan hadiah hantaran untuk perkahwinan anak patik dengan Puteri Bongsu,” sembah Mak Miskin.
Medengarkan akan sembah Mak Miskin itu, baginda duduk berfikir sejenak sambil merenung ke arah Mak Miskin yang duduk bersimpuh sambil menunduk itu.
“Hantarannya ialah jambatan emas dan perak dari istana beta ke rumah kamu. Kelapa bertandan-tanda dan sirih junjung bertingkat-tingkat, dengan tidak terkira,” pinta Raja.
Terpegun Mak Miskin mendengarkan permintaan Raja itu sebagai hantaran perkahwinan Puteri Bongsu dengan Awang Lotong. Mak Miskin sedar betapa anaknya tidak akan mampu mengadakan hantaran seperti yang Raja kehendaki.
Mak Miskin meminta izin untuk pulang. Menyedari akan masalah yang akan menimpa anaknya Awang Lotong itu, maka menittiklah air matanya sepanjang perjalanannya pulang ke rumah. Sebaik-baik sahaja terpandang akan kelibat anaknya Awang Lotong, mak miskin berhenti berjalan lalu duduk di tempat dia berdiri.
Awang yang mendapati gelagat ibunya yang aneh itu segera menerpanya dengan segera.
“Kenapa, mak?” desak Awang.
“Puteri Bongsu menerima pinanganmu! Tetapi baginda Raja mahu hadiah jambatan emas dan perak dari rumah kita sampai istananya, kelapa bertandan-tandan dan sirih junjung beertingkat-tingkat dengan tidak terkiranya!
“Matilah kamu dibunuh Raja kali ini,” raung Mak Miskin.
Awang lalu membantu ibunya berdiri dan memapahnya berjalan menuju ke tangga rumah. Setelah mendudukkan ibunya di serambi rumahnya itu, Awang lalu duduk menghadap ibunya sambil tersenyum simpul.
“Kalau itu, mudah saja, mak! Mak jangan bersusah-susah hati lagi. Awang akan tunaikan permintaan Raja itu,permintaan Raja itu,” jawab Awang dengan tenang. Mak Miskin hanya memandang anaknya sambil menghela nafas panjang seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.
Diceritakan yang empunya cerita bahawa pada malam hari itu, Awang lalu berdoasambil menyalakan dupa asap dan berseru-seru nama datuk dan neneknya. Dalam sekelip mata, maka terdirilah dua batang jembatan emas dan perak yang beriring-iringan dari halaman rumahnya menuju ke istana. Keesokan harinya pula, rumah mereka bertukar menjadi sebuah istana yang cantik dan di sebuah sudut tersedia bertandan-tandan kelapa dan sirih junjung yang bertingkat-tingkat lengkap dengan orang-orang yang akan membawanya bersama-sama Mak Miskin masuk menghadap Raja di istana.
Maka berlangsunglah perkahwinan Awang Lotong dengan Puteri Bongsu pada hari itu dengan penuh adat istiadat yang gilang-gemilang.
Hiduplah pasangan pengantin baru itu dengan bahagia di rumah Awang yang sudah berubah menjadi sebuah mahligai yang cantik lengkap dengan pelayan, dayang, pengawal dan penjaga-penjaganya. Mak Miskin sudah tentu dilayan dengan penuh kasih sayang oelh kedua-dua anak dan menantunya itu.
Adapun, Awang Lotong ada sebuah rahsia. Pada saing hari, dia menjadi lotong tetapi pada malam hari pula, dia bertukar menjadi manusia. Awang dikatakan seorang pemuda yang gagah lagi tampan. Sebagai seorang isteri yang setia, Puteri Bongsu amat cermat dalam menjaga rahsia tentang suaminya, Awang Lotong itu. Hanya Puteri Bongsu dan Mak Miskin yang tahu akan rahsia Awang Lotong itu.
Puteri Sulung dan Puteri Tengah cuba mencungkil apa-apa rahsia mengenai Awang Lotong. Pada suatu hari, tanpa pengetahuan Awang Lotong, Kedua-dua Puteri Sulung dan Puteri Tengah telah datang bermalam di istana Puteri Bongsu dan suaminya. Mereka mengintai-intai kedua-dua pasangan suami isteri itu dan terbukalah rahsia selama itu. Mereka terpandang Awang Lotong yang keluar dari sarung lotongnya. Tanpa pengetahuan Awang Lotong, mereka menghasut agar Puteri Bongsu membakar sarung lotong itu. Puteri Bongsu menurut kata-kata kekandanya. Maka apabila Awang mencari-cari sarungnya,tetapi tidak menjumpainya. Maka kekallah Awang Lotong menjadi manusia pada waktu malam dan siang.
Puteri Sulung dan Puteri Tengah tidak berasa gembira dengan tindakan mereka itu. Mereka berasa iri dengan Puteeri Bongsu dan mahu memusnahkan kehidupan adinda mereka dengan suaminya itu. Mereka melakukan pelbagai hal hingga Awang Lotong menjadi marah dengan Puteri Bongsu. Awang Lotong lalu meninggalkan istana dan ghaib bersama-sama Mak Miskin yang dibawanya pergi.
Melihat suaminya telah ghaib bersama-sama mak mentuanya, Puteri Bongsu duduk menangis. Puas dia mencari-cari suaminya tetapi dia tidak mendapat khabarnya. Begitu juga dengan khabar mentuanya, Mak Miskin.
Pada suatu hari, Puteri Bongsu keluar istana sehelai sepinggang dengan berpakaian seperti seorang lelaki. Sudah jauh dia berjalan merantau ke sana kemari untuk mencari suaminya namun dia tidak berjaya. Dia tidak akan berputus asa. Dia mahu memohon ampun dan maaf daripada suaminya.
Tidak berapa lama kemduian, Puteri Bongsu sampai di sebuah pelabuhan. Sedang dia mengenang nasibnya, dia terpandang seorang lelaki yang mirip suaminya, Awang Lotong. Dengan secara bersembunyi-sembunyi, Puteri Bongsu mendekati lelai tersebut. Lelaki itu memang Awang Lotong. Dia lalu menaiki sebuah kapal yang berlabuh di situ. Tanpa pengtahuan Awang Lotong, Puteri Bongsu telah menaiki kapal itu. Kapal itu sedang belayar menuju ke laut besar.
Oleh kerana kapal itu ramai penumpang, maka mudahlah Puteri Bongsu menyamar diri. Dari jauh, dia mendapat tahu bahawa Awang Lotong ialah seorang saudagar dan kapal itu adalah miliknya.
Berapa bulan kemudian, mereka tiba di sebuah pulau. Kapal itu berlabuh. Awang Lotong turun dari kapal itu dan Puteri Bongsu mengekorinya dari belakang tanpa senyap-senyap. Sampai di sebuah simpang, Awang Lotong membelok lalu masuk ke dalam sebuah rumah yang besar. Puteri itu mendengar Awang berbual-bual dengan seseorang di dalam.
“Dah pulang engkau, Awang! Baguslah! Mak berasa sungguh sunyi tinggal bersendirian di sini. Kalau isterimu ada, alangkah baiknya!” keluh Miskin.
“Usahlah Mak bersusah hati. Awang akan pulang selalu melawat emak!” jawab Awang kepada ibunya.
Puteri Bongsu tidak dapat menahan perasaan rindunya kepada mentuanya dan terutama sekali suaminya.
Dia lalu masuk dan ke dalam rumah itu lalu memeluk kaki suaminya seraya merayu-rau memohon maaf. Puteri Bongsu menceritakan helah kakanda-kakandanya untuk memisahkan mereka sekeluarga.
Mak Miskin yang berasa hiba memujuk Awang Lotong memaafkan menantunya. Awang Lotong tiada alasan lagi untuk mengusir Puteri Bongsu lalu memaafkannya. Puteri Bongsu lalu mendakap Mak miskin dengan air matanya berlinang-linang.
“Marilah kita hidup di pulau ini dengan aman,” ujar awang Lotong.
Sejak hari itu, mereka sekeluarga hidup bahagi; Awang, Mak Miskin dan Puteri Bongsu. Setelah sekian lama tinggal di pulau itu, para penduduk pulau itu telah melantik Awang Lotong menjadi penghulu mereka.

Tiada ulasan: