Alang seorang nelayan yatim piatu. Dia selalu turun ke laut setiap malam selepas menunaikan salat Isyak. Selalunya, sebaik-baik sahaja pulang dari laut setiap subuh, dia ke surau untuk bersalat subuh sebelum dia pergi ke pasar untuk menjual ikan-ikan tangkapannya pada hari itu. Ikan-ikan jualannya masih segar-segar. Setelah itu, dia pulang ke rumah.
Namun, nasibnya tidak selalu beruntung. Kadangkala, Alang hanya mendapat sedikit atau tiada tangkapan langsung. Kalau musim tengkujuh, dia tidak turun ke laut kerana keadaan laut bergelombang besar. Pada musim-musim tengkujuh ini, Alang akan bercucuk tanam di kebun kecil di belakang rumahnya. Ada masa-masanya, dia pergi berburu di hutan.
Alang yang hidup sendirian terpaksa melakukan kerja-kerja rumahnya. Dalam keadaan begitu, Alang selalu terkenang akan ibu dan bapanya yang telah lama meninggal dunia. Hidupnya berasa sunyi tinggal sendirian di pondok kecilnya itu.
Alang tidak turun ke laut pada hari itu kerana musim tengkujuh sudah tiba. Alang sedar keadaan laut yang bergelombang besar dengan angin yang bertiup kencang membahayakan keselamatannya. Sekiranya dia tidak turun ke laut, dia tidak akan beroleh wang. Hujan yang lebat kali ini juga tidak membolehkannya pergi berburu.
Sambil duduk bermenung itu, dia berkata dalam hatinya, “Tak mengapalah. Mungkin esok lusa hujan teduh, aku boleh mengerjakan kebunku itu atau pergi menahan lukah di sungai di hujung kampung.”
Tidak lama kemudian, dia terlelap.
Apabila Alang bangkit daripada tidur keesokan harinya, hujan masih turun lebat. Hujan itu menghalang dia melakukan apa-apa yang dia rancang pada hari sebelumnya. Dia berasa sedih kerana dia tidak ada wang yang cukup untuk membeli makanan di pekan. Dia duduk termenung dengan perasaan sayu. Dia tidak akan berputus asa dan terus menanti hingga hujan lebat reda. Namun, sehingga lewat malam, hujan tidak juga berhenti.
Hingga seminggu hujan lebat turun tanpa berhenti-henti. Dia sudah kehabisan barang makanan di rumahnya. Sewaktu dia menjerang bubur untuk mengisi perutnya pada hari itu, dia terus-terus mengatur rancangan untuk meneruskan pekerjaannya apabila hujan berhenti kelak.
Akhirnya hujan berhenti juga. Alang berasa paling gembira kerana sudah seminggu dia tidak turun ke laut untuk menangkap ikan. Dia segera bersiap-siap untuk turun ke laut. Alang berharap dia dapat menangkap banyak ikan pada hari itu dan kemudian dia akan menjualnya di pasar. Dengan semangat yang berkobar-kobar, Alang memikul pukat dan bakul besar sambil berjalan menuju ke laut. Dia menolak perahunya ke gigi air. Sesudah itu, dia berdayung ke tengah laut. Cuaca hari itu masih sejuk dan laut masih bergelombang besar. Langit sudah mendung dan matahari bersinar dengan terangnya.
Dia berhenti berdayung lalu menebarkan jalanya ke air. Berkali-kali dia lakukan itu tetapi tiada seekor ikan pun dia dapat. Matahari sudah tegak di atas kepala. Walaupun ada bibit kehampaan terbit dalam hatinya, dia masih percaya dia akan mendapat rezeki pada hari itu. Sebelum dia bergerak dari tempat itu, dia menebarkan jalanya sekali lagi. Dia menarik jalanya tidak lama sesudah itu. Tiba-tiba, dia terpandang seekor ikan kecil terlekat pada jalanya.
Setelah diambil ikan itu dari jalanya, dia melepaskannya semula ke dalam air. Dia mula sedar bahawa jika ada seekor ikan seperti itu di tempat itu, Alang pasti akan ada ikan-ikan yang lain juga. Dia mengambil keputusan untuk menebar jalanya sekali lagi. Apabila dia menarik jalanya ke dalam perahunya, dia mendapati ada beberapa ekor ikan di dalam jalanya itu. Dia lalu memindahkan ikan-ikan itu ke dalam sebiji bakul. Selepas itu, dia berdayung balik ke pantai. Dia menambat perahunya. Setelah bersalat zohor, Alang berjalan pulang membawa ikan tangkapannya yang sedikit itu.
Apabila sampai di rumah, Alang mengeluarkan ikan-ikan yang dia dapat pada hari itu. Ikan-ikan itu masih bernyawa lagi.Dia mendapati seekor ikan kecil yang bersisik cantik dan berkilau-kilauan. Ikan kecil yang cantik itu dia masukkan ke dalam belanga tanah yang berisi air laut.
Pada keesokan harinya, Alang turun semula ke laut. Nasibnya baik kerana awal-awal lagi, dia sudah mendapat banyak ikan dalam jala yang dia tebar itu. Ikan-ikan yang dia dapat itu besar-besar belaka. Alang berasa sungguh gembira dan dia segera pulang setelah dia mendapati tangkapannya sudah cukup untuk dia jual dan dia boleh mendapatkan beras, gula, garam dan kopi. Ikan-ikannya dibeli oleh penduduk-penduduk kampung sebaik-baik sahaja dia mendarat di pantai. Beberapa ekor ikan yang tinggal dia bawa pulang untuk dibuat lauknya pada hari itu.
Setibanya di rumah, Alang terpegun apabila mendapati sudah ada makanan yang enak tersaji dan ditutup dengan tudung saji.
“Siapa yang memasak makanan-makanan ini untuk aku?” tanya Alang dalam hatinya. Dia bergerak ke sana ke sini untuk mencari sama ada sesiapa yang berada di kawasan rumahnya. Setelah sekian lama, dia dapati rumahnya kosong seperti yang dia tinggalkan pagi tadi.
Oleh kerana dia berasa lapar kerana tidak sempat bersarapan pagi tadi, dia duduk menghadapi hidangan yang enak itu. Ada tiga jenis lauk yang terhidang; gulai ikan gelama, sambal tumis daging ayam goreng dan lauk pucuk ubi masak lemak. Alang makan dengan penuh berselera selain berasa syukur kerana ada rezeki untuk dia makan pada hari itu.
Setelah selesai makan, dia mencuci pinggan dan mangkuk dan dilanjutkan dengan menyiang beberapa ekor ikan yang dia bawa. Ikan itu digaram dan diasam sebelum dia rebus. Sambil belanga ikan rebus itu dijerang di atas tungku, dia ke kebun sebentar untuk memungut serai, halia dan kunyit yang dia tanam di kebun di belakang rumahnya. Setelah itu, dia pulang lalu membersihkan badannya sebelum dia duduk mengaji al-Quran pada petang hari itu.
Setelah itu, dia membersihkan badan sebelum bertolak ke surau di kampungnya untuk bersalat jemaah dengan orang-orang kampung pada waktu Maghrib dan Isyak. Sewaktu berjalan ke surau itu, dia terkenang akan lauk- pauk dan nasi yang dia makan tadi siang dan akan orang yang menyediakan makan tengah harinya itu tadi. Alang jadi terlupa akan hal itu sebaik-baik sahaja dia sampai si surau dan dia berada dalam kalangan orang-orang kampung yang mesra menyambut kedatangannya.
Kejadian hidangan yang tersedia untuknya berlaku setiap hari. Pada suatu hari, Alang mengambil keputusan untuk mengintip orang yang selalu menyediakan hidangan untuknya. Dia pulang ke rumah awal untuk memerhatikan keadaan sekeliling rumahnya sebelum dia menjalankan tindakan selanjutnya. Sepanjang hari dia di rumah, Alang tidak mendapati apa-apa yang aneh berlaku dalam rumahnya. Dia memerhatikan ikan yang dia simpan dalam belanga tanah. Dia memberi ikan itu makan dengan menabur beberapa butir nasi dan sayur ke dalam belanga tanah itu sesudah dia menukarkan air dalam belangan tanah itu.
Keesokan harinya, Alang bersiap-siap untuk turun ke laut. Sebenarnya dia tidak ke laut, tetapi dia bersembunyi di balik semak berdekatan di luar pintu dapur rumahnya. Tidak lama kemudian, Alang terdengar bunyi pinggan dan mangkuk berlaga. Alang mendekati pintu dapur rumhanya. Dari celah-celah rekahan dinding kayu rumahnya itu, Alang mendapati ada lembaga sedang bergerak-gerak. Tanpa berlengah-lengah, Alang membuka pintu dapur rumhanya dan melangkah masuk. Alangkah terkejutnya Alang apabila dia terpandang seorang gadis yang cantik sedang mengosek besar untuk ditanah. Gadis itu juga berasa terkejut kerana pastinya dia tidak menyangka Alang akan pulang secepat itu. Gadis itu tidak sempat menyembunyikan dirinya.
“Engka siapa?” tanya Alang.
“Akulah ikan yang engkau tangkap dan simpan dalam belanga tanah itu,” jawab gadis tersebut.
Alang berasa sungguh hairan lalu pergi mendapatkan belangan yang mengandungi ikan kecil itu. Ikan itu sudah tidak ada apabila Alang melihat ke dalam belanga tanah itu.
Sambil menoleh kepada gadis itu, Alang bertanya lagi, “ Bagaimana engkau dapat bertukar menjadi manusia?”
“Aku sebenarnya telah disumpah menjadi seekor ikan. Aku akan bebas daripada sumpahan itu sekiranya ada manusia yang mahu memelihara ikan itu,” jawab gadis itu.
Mendengarkan penjelasan gadis itu, Alang segera melamar gadis itu.
“Mahukah engkau menjadi isteri aku?” tanya Alang lagi.
“Boleh, jika engkau menuruti syarat-syarat yang aku tetapkan,” jawab gadis itu.
“Apa syaratnya?” pinta Alang dengan tidak sabar-sabar.
“Jangan sekali-kali engkau membuka rahsia kepada orang lain bahawa aku berasal daripada seekor ikan,” tegas gadis itu.
“Jika engkau langgar syarat itu, aku akan kembali menjadi ikan untuk selama-lamanya.
Tanpa berfikir panjang, Alangbersetuju untuk mematuhi syarat gadis itu. Mereka berkahwin sesudah itu.
Kehidupan Alang dan isterinya itu sungguh bahagia untuk beberapa ketika. Dia memanggil-manggil isterinya dengan panggilan Dayang. Alang tetap menjalankan kerjanya menangkap ikan dan mengerjakan kebunnya seperti biasa. Dia juga akan kelaur pergi berburu kalau ada keperluannya. Dayang pula menguruskan rumah tangga dan ada kalanya membantu Alang di kebun.
Pada suatu hari, Alang dikunjungi oleh kawan-kawan sebaya di rumahnya. Mereka berborak-borak sambil berehat-rehat sepanjang hari. Kawan-kawan Alang memuji-muji isteri Alang yang cantik itu.
Sewaktu berbual-bual itu, mereka menanya-nanya akan asal usul Dayang. Alang yang terlalu seronok pun bercerita tentang asal usul isterinya itu. Dia terlupa akan janji-janjinya kepada Dayang tempoh hari. Dayang terdengar akan perbualan suaminya itu dan dia berasa kecewa. Dengan senyap-senyap dan tanpa pengetahuan suaminya, Dayang memakai tudung lalu keluar rumah.
Lewat petang barulah kawan-kawan Alang pulang. Alang tergesa-gesa pergi menunaikan salat Asar yang sudah suntuk kerana hari hampir senja. Setelah selesai bersalat, Alang mendapati rumahnya masih gelap dan pelita minyak tidak dipasang isterinya, Dayang. Puas dia memanggil-manggil nama isterinya itu sambil mencari-carinya ke sana ke mari tetapi tidak juga dia ketemui.
Tiba-tiba, Alang terpandang akan sebuah balang tanah di atas lantai dapur rumahnya. Di dalamnya ada seekor ikan kecil. Ikan kecil itu seolah-olah memandangnya.
Sedarlah kini Alang akan kesilapan yang telah dia lakukan. Dia sedar bahawa isterinya telah menjadi ikan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan